Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Thursday, May 31, 2012

Hati Yang Tenang


Salam

"Jiwa saya tak tenteram, kak. Gaji saya besar, rumah dah ada, kereta pun okey. Semuanya cukup, kak dari segi material, tapi kenapa saya tak happy-happy?"

Kalau tanya pada saya, saya pun tak tahu kenapa dia tak happy. Kadang-kadang mungkin begitulah perasaan kita. Kita rasa tak bahagia. Malah, hati sentiasa gundah-gulana. Semua buat semua pun tak kena. Kalau dari segi wang dan barang, mungkin dah banyak ada, tapi jiwa masih tak bahagia. Ada orang duit mungkin setinggi gunung, tapi perasaan selalu murung. Tak happy langsung. Ada pula tu, semua nampak macam dah cukup, tapi hati di dalam masih suka rasa sakit. Ada pula tu, bukan main lagi rajin ke masjid, pergi dengar ceramah 'ilmu' sana sini, tapi jiwa masih tak juga tenteram.

Apa yang tak kena?

Entahlah, kan. Tapi yang pasti tentunya ada yang tak kena. Sebab itulah kita tak bahagia. Jiwa pun tak tenteram. Sentiasa gundah-gulana.

Ada orang nampak macam susah, sana tak cukup, sini pun kurang. Tapi jiwanya lebih tenteram dan dia juga happy selalu. Gelak taklah kuat, tapi rajin senyum-senyum. Kita tengok pun jadi suka. Wajahnya banyak cahaya. Tutur katanya lembut sahaja. Kita jadi teringin nak jadi macam dia.

Ya betul tu, kadang-kadang kita tercari-cari. Mahukan sinaran dalam jiwa dan mahukan hati yang bahagia. Mahu lihat orang dan rasa suka, tak rasa benci, tak rasa sakit hati. Biar orang lebih dari kita, kita tetap bahagia kerana kita tak rasa sakit hati pun. Kita tak berdendam, kita tak menunjuk-nunjuk, kita relaks aje, kita rasa senang dan tenang dan yang penting kita tidur malam aman sahaja. Tak mengigau, tak takut-takut.

Memang indah bila kita dapat bangun dalam tidur dan terus tunaikan solat sunat. Dekatkan diri dengan Allah SWT. Sentiasa buat solat taubat dengan rasa rendah diri dan tulus ikhlas. Kita manusia tak mampu untuk lari daripada buat kesilapan dan hanya Tuhan yang boleh mengampunkan kita. Mintalah pada-Nya agar kita sentiasa redha dengan segala apa yang perlu kita lalui. Mungkin sikit yang kita ada, tapi kita rasa banyak dan cukup.

Insya-Allah, jom kita sama-sama belajar untuk cari ketenangan dan kebahagiaan. Memang ada di sana dan sedang menunggu kita semua.

Wassalam.

Wednesday, May 30, 2012

Lakukan Sesuatu Kerana Suka

Salam

Hari ini dah pun hari Rabu. Begitu pantasnya masa berjalan namun dalam setiap kerja yang kita lakukan, adakah begitu pantas juga kita mendapat 'jawapannya' atau hasilnya? Huhu... mungkin anda tak faham apa yang saya nak kata ni. Apa maksud saya ialah setiapa apa yang kita usahakan tentulah kita mengharapkan ganjaran yang berpatutan, kan? Tapi kadang-kadang kita jenuh berusaha, tetapi tak juga dapat sesuatu yang positif. Kita terus tunggu dan usaha lagi. Ada tu dah malas nak cuba, terus sahaja give up. Insya-Allah kalau kita tak putus semangat, kita akan pasti bertemu dengan apa yang kita mahukan. Pun begitu, kadang-kadang memang bukan rezeki kita di situ, tetapi rezeki kita di tempat lain. Kita mesti percaya bahawa rezeki kita tetap ada dan kita juga perlu terus berusaha tanpa rasa malas dan jemu.

Inilah yang saya nak ceritakan. Kalau dulu-dulu di negara kita ni memang tak ramai yang minat nak tulis. Menulis merupakan sesuatu yang boleh buat kita 'buang' masa kerana hasilnya tak ada. Kalau ada pun, tak seberapa. Tak ramai yang nak baca apa yang kita tulis. Tetapi sejak kebelakangan ini, mungkin sekitar 12 atau 15 tahun yang lalu, ramai yang dah ada minat untuk menulis kerana mereka percaya menulis akan datangkan hasil yang baik sekalipun kalau tidak selumayan di negara Barat.

Macam-macam yang orang tulis.

Dalam begitu, memang ada orang menulis tanpa fikirkan tentang hasil (dalam bentuk wang) yang boleh dikutip. Baginya, kalau dapat menulis dan ada yang sudi membaca hasil tulisannya, itu sudah baik. Itu sudah membuat hatinya berbunga. Happy sangat-sangat. Mungkin orang seperti itu sangat ikhlas. Dia mahu melakukan sesuatu bukan kerana 'wang'. Memang dah tak banyak yang mahu lakukan sesuatu bukan kerana 'wang'. Tapi, alhamdulillah, saya dah jumpa beberapa orang yang memang suka menulis dan tak kisah pun sama ada apa yang ditulis itu akan mendatangkan keuntungan atau tidak. Orang yang saya maksudkan ini menulis dan kemudiannya menguruskan percetakan bukunya dan seterusnya mengedarkannya. Katanya, "Tak kisahlah orang beli ke tidak." Malah, banyak bukunya sudah diedarkan secara percuma sahaja. Baginya, kalau ada yang membaca itu sudah memuaskan hatinya.

Begitu juga dengan orang yang berusaha keras untuk berdakwah secara senyap-senyap. Tak ada sesiapa pun yang buat gempaq kerana dia memang tak mahu dihebohkan. Dia lakukannya kerana Tuhan semata-mata. Dalam perjalanannya untuk berdakwah, kalau ada rezeki yang datang, dia terima dengan baik, tetapi dia melakukan kerja dakwahnya secara percuma. Macam-macam yang diusahakan termasuk menyelamatkan mereka yang dizalimi ahli keluarga, suami dan orang awam. Diusahakan untuk mencari tempat dan seterusnya mengaturkan agar orang yang diselamatkan ini ada cukup makan dan pakai, ada tempat berteduh dan tidak diganggu. Seterusnya, dia mengajar mereka untuk teruskan kehidupan dan dekat dengan Tuhan. Semuanya tanpa bayaran. Memang dia tak glamor dan tak ada yang tahu pun. Tapi... saya respect dia, kerana dia lakukan semua tu kerana Allah SWT.

Memang tak banyak yang macam tu kat dunia ni, tapi insya-Allah masih ada lagi.

Ini yang buat saya terfikir, boleh ke aku percaya pada kata-kata yang keluar daripada mulut mereka yang 'konon' nya alim, tetapi mereka lakukan semua kerana 'wang' bukan kerana Tuhan? Huhu... memang hati saya berat nak ikut cakap orang yang terdorong lakukan perkara 'dakwah' kerana wang. Memang tak sama dengan orang yang berdakwah tanpa mahu jadi glamor. Yang itulah yang betul. Itu kata sayalah. Orang lain mungkin tak suka kot. Tak apalah tu. Masing-masing punya rasalah, kan? Huhu.

Okeylah... hari ini adalah hari untuk saya berfikir-fikir.

Wassalam.

Tuesday, May 29, 2012

Memang Ada Lelaki Yang Tolol!

                                  Sekadar hiasan


Salam

Iya sungguh ni. Memang ada lelaki di dunia ini yang tidak menghormati wanita. Yang saya kata tolol! Sangat bertentangan dengan ajaran agama Islam. Nabi junjungan kita, Muhammad s.a.w. sangat menghormati wanita, termasuk semua isteri-isterinya. Dia sangat romantis dan mempunyai sifat yang halus dan lembut terhadap wanita. Sekalipun mungkin kita tak mampu menjadi seperti Muhammad s.a.w., apakah susah sangat untuk jadi lelaki yang baik kepada wanita?

Bukankah ibu kita seorang perempuan? Kalau mahu berkahwin pun, bukankah lelaki juga berkahwin dengan perempuan? Bukah kah adik dan kakak kita juga perempuan dan kalau kita seorang ayah, mungkin kita juga ada anak atau anak-anak perempuan? Tanpa perempuan, kita tak wujud di dunia ini. Wallahua'lam. Namun begitu, terlalu ramai lelaki yang bersikap kejam, zalim, kasar, rakus dan tidak menghormati perempuan. Mereka bertindak ganas, layan seperti hamba abdi dan tak reti limpahkan kasih sayang, hatta kepada isteri, teman dan rakan sekerja. Malah, ada yang sanggup merogol, membunuh dan macama-macam lagi.

Ke mana pergi otak mereka dan ke mana pergi hati mereka, kita pun tak tahu!

Malam tadi, saya menonton sebuah drama Melayu di stesen TV swasta. Saya menontonnya sebab nak menemani kakak saya yang sedang berada di rumah saya. Malu sungguh saya nak melihat drama itu. Bukannya apa, tapi saya rasa si tukang buat drama itu memang tak guna akal langsung. Dipaparkan kisah lelaki yang mempunyai sifat zalim kepada wanita dan di akhir ceritanya, dia bertukar jadi baik. Dari awal cerita sampai habis, memang drama itu tak ada beri pengajaran, hanya memaparkan kisah lelaki Melayu yang tak guna akal fikiran dan perempuan yang masih setia menunggu sekalipun suaminya berlaku zalim padanya. Patutlah ramai lelaki kita yang begitu, agaknya banyak sangat tengok drama Melayu yang macam tu! Dah tu kaki yang patah tapi hari-hari kena makan bubur dan kena disuap. Memang mengarut sungguh!

Sebab itulah saya kata cukup-cukuplah kita buat jalan cerita yang macam itu. Jarang kita nak jumpa orang jahat berubah jadi baik dalam sekelip mata. Memang payah benar. Saya terkilan kerana pelakon lelaki itu saya selalu hormat. Tapi menyampah pulak saya tengok dia berlakon jadi lelaki 'tolol' yang guna lutut untuk berfikir! Huhu... emosinya saya. Apalah!

Tapi inilah dianya. Memang ada lelaki-lelaki yang bersifat zalim di luar sana dan bila kita tonjolkan lagi kisah-kisah lelaki kejam dan jadikan drama untuk ditonton ramai, bertambah ramai lagilah yang akan jadi begitu kerana mereka akan berfikir, okey apa. Esok-esok berubahlah. Sebelum tutup mata dan masuk kubur! Astaghfirullah...

Marah sungguh saya ni.

Okeylah, sebelum marah saya bertambah-tambah, eloklah saya berundur diri. Semoga anda sekelian fikir-fikirkan hal ini.

Wassalam.

Monday, May 28, 2012

Sekalipun Dia Sudah Tiada

                        Sekadar hiasan
Salam

Ini adalah kisah benar yang terjadi kepada seorang teman. Katanya, "Aku tak boleh lupa pada dia walaupun kini dia dah tak ada lagi."

Kata teman itu, suatu ketika dahulu ketika dia seorang remaja dan ibu bapanya tinggal di kampung yang terlalu jauh dari bandar, dia tak pernah merasa apa-apa yang hebat. Kebetulan, dia pula bersekolah asrama penuh yang terletak juga di pekan yang kecil sahaja. Memang tak glamor.

Suatu hari, seorang teman sekolahnya mengajak dia ke rumahnya yang terletak di Kuala Lumpur. Dia berkobar-kobar kerana sebelum itu memang dia tak pernah ke Kuala Lumpur. Sekadar lalu sahaja.

"Itulah pertama kalinya aku dapat makan enak dan duduk di meja makan yang besar, di atas kerusi yang yang cantik dan sedap. Meja makan pulak penuh dengan makanan yang hebat-hebat. Pertama kali aku merasa macam tu. Tentunya aku tak boleh lupa pengalaman itu."

Kini temannya sudah tiada lagi namun kisah indah itu tidak pernah dilupakannya. Sesuatu yang sungguh berkesan bagi seorang remaja ketika itu.

Pernahkah kita terfikir untuk lakukan sesuatu untuk seorang kanak-kanak atau remaja agar bila dia besar nanti, sesuatu yang kita lakukan itu akan meninggalkan kenangan manis buatnya? Sekalipun kita tiada lagi di dunia ini, mereka akan terus ingatkan kita. Insya-Allah.

Wassalam.

Bila Ajalnya Tiba

Salam

Hari Ahad (semalamlah tu) saya kesibukan lagi. Kakak saya datang dari Muar. Bukanlah sibuk apa sangat, tapi sibuk mengemas dan memasak. Biasanya saya tak masak tapi selalunya bila hujung minggu saya pun rajinlah nak masak. Anak-anak saya juga di rumah. Jadi kami (suami dan saya) melayan lah si kenit2 yang datang.

Tengah hari semalam, kami dapat berita sedih. Salah seorang teman suami saya (rakan sekolah di Kolej Melayu Kuala Kangsar) telah pulang ke rahmatullah. Dia mengidap leukemia dan pada petangnya suami saya telah ke Kuala Pilah untuk pengkebumian Allahyarham temannya yang dilakukan di kawasan pusara kerabat di raja Negeri Sembilan (temannya ialah seorang Tengku). Tentunya suami saya turut berasa sedih kerana temannya juga sangat aktif berhubung dengan teman-teman yang lain ketika ada umurnya. Namun, Tuhan lebih menyayanginya dan sudah sampai masanya untuk dia kembali kepada-Nya. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Alfatihah buat Allahyarham Tengku A'amash bin Tengku Adnan.

Semalam, saya juga dimaklumkan bahawa jalan raya kesibukan. Mungkin kerana cuti sekolah dan banyak aktiviti di sana dan sini. Sebab itulah saya elakkan diri daripada berjalan-jalan.

Okeylah pagi ini saya tak ada cerita apa-apa. Saya nak relaks dan lepas ini akan ke klinik, sebab nak bawa ibu saya pergi ambil ubat.

Insya-Allah kita jumpa lagi di alam maya.

Wassalam.

Sunday, May 27, 2012

Kahwin Kerana NAFSU

                              Sekadar hiasan

Salam hari Ahad kepada semua

Agaknyalah kan, kenapa orang pilih untuk kahwin? Mungkin ada yang berkata kerana dah sampai masa, mungkin ada yang kata dah tiba jodoh, tapi alhamdulillah kalau anda jawab kerana Allah lah anda mahu berkahwin. Semoga kita semua melakukan ibadah bernikah ini kerana Allah SWT, selain dari sebab-sebab yang lain.

Tapi... menggerunkan juga bila ada yang kata mahu berkahwin kerana hal-hal lain yang susah kita nak faham mungkin. Ada seorang minah ni, usainya masih muda tetapi dia memilih untuk bernikah dengan seorang jejaka berumur (nak sama usia dengan ayahnya) dan sudah pun ada isteri. Kiranya dia sanggup aje bermadu kerana baginya, tak ada hal lah! Lagipun... suaminya itu akan berikan tumpuan padanya. Almaklumlah dia masih muda. Baru 23 jer, sedangkan sang suami dah nak masuk 50 dah.

"Aku nak apa pun okey jer. Dia memang manjakan aku pun. Aku ni kan muda. Lagi muda dari anak sulung dia. Inilah masanya pun. Kalau dapat suami sebaya, takkan sanggup dia nak layan kerenah aku ni. Dengan suami aku ni, aku boleh demand apa saja. Aku nak jam tangan mahal ke, aku nak pakai beg tangan LV ke, nak beli baju mahal-mahal ke... semuanya aku dapat. Inilah untungnya kahwin dengan 'pakcik' ni... semuanya dia sanggup bagi! Memang untung, tak ada ruginya."

Huhu... minah ni kahwin sebab nak untung dan tak nak rugi dalam hal material. Bagi mata dan hatinya, material sangat penting dan orang muda tak sanggup melayan kerenahnya. Hanya orang yang sebaya ayahnya sahaja yang sanggup tunaikan permintaan 'materialnya'. Aduhai...

Tapi cerita ni lagi menarik. Ini cerita sang mamat pula.

"Aku kahwin sebab aku suka seks! Bila aku kahwin, aku dapat seks free. Tak payah bayar apa-apa. Kalau aku cari GRO atau 'call girl', aku kena bayar. Yang ni free aje, tak kisah bila masa aku nak!"

Lagi cantik.

Memang mengerikan tetapi ini adalah realiti kehidupan. Ramai di luar sana mahu berkahwin kerana NAFSU semata-mata. Soal agama, soal Tuhan, soal tanggungjawab memang tak pernah ada dalam kepala otak mereka. Orang-orang begini memang tak punyai perasaan apa-apa, jauh sekali keikhlasan dalam hati. Mereka lakukan amalan 'berkahwin' kerana sebab-sebab lain yang tiada sangkutan dengan agama. Sungguh menyedihkan.

Tanyalah diri kita, agak-agak ke mana arahnya kita nak pergi kalau kita pilih untuk berkahwin kerana hal-hal seperti yang saya ceritakan di atas ni? Rasa-rasanya boleh bahagi ke? Rasa-rasanya boleh bertahan ke? Nauzubillah...

Semoga kita lakukan semua perkara di dunia ini kerana Tuhan kita dan semoga semua amalan kita ini akan membawa kita ke syurga nanti, insya-Allah.

Wassalam.

Saturday, May 26, 2012

Baik Atau Tidak, Jahat Atau Tidak

Salam

Ada pembaca yang minta saya letakkan banyak lagi gambar semasa saya di Turki. Insya-Allah akan saya usahakan.

Hari ini dah mula pun cuti sekolah. Saya tak ke mana-mana sebab bercadang untuk mengemas rumah sahaja. Anak saya Faiz dan Laila, mereka telah ke Sungkai untuk menghadiri majlis perkahwinan seorang staf KarnaDya yang melangsungkan perkahwinannya hari ini. Tahniah kepada Hakimi dan pasangannya. Saya tak dapat pergi kerana ada program lain pada petang ini. Hujung minggu depan pula ada seorang kawan baik akan adakan majlis perkahwinan anak perempuannya pula.

Hari ini, saya ada mood untuk bercerita tentang keluarga. Seperti yang anda sekelian sedia maklum, saya mempunyai keluarga yang sangat besar kerana arwah ayah saya mempunyai banyak isteri. Ayah saya juga mempunyai ramai adik-beradik dan sepupu. Walaupun saya berjumpa dengan semua adik-beradik saya (seayah), ada yang tidak rapat sangat dengan kami kerana jarak dan juga kerana kesibukan masing-masing. Pun begitu, saya rapat juga dengan kebanyakan adik-beradik seayah dengan saya dan antara ramai-ramai abang saya (seayah), saya paling sayang abang saya yang bernama Adil (nama yang saya pinjam dalam Hanya Kita Berdua).

Baru tadi, saya berhubungan dengan adik bongsu arwah ayah saya yang berada di Amerika Syarikat. Walaupun usia Ami Mustafa menghampiri 90 tahun, dia masih ligat menggunakan Internet untuk menghubungi kami semua. Cumanya bila saya hantar email kepadanya, saya kena pastikan fon yang saya guna besar kerana 'Ami' (uncle) saya tu dah tak berapa nampak lagi. Kadang-kadang juga dia mudah tersasul. Namun saya bersyukur kerana walaupun kami berjauhan, Ami saya sentiasa mengingati kami semua. Dia selalu minta kami hantar email dan bila saya beritahu yang saya ke Istanbul, Ami saya sungguh seronok.

Bila kita mempunayi ahli keluarga yang ramai, tentu ada pelbagai cerita dan kerenah, kan? Begitulah hidup saya yang penuh dengan warna-warni. Tak semuanya indah belaka, namun saya tetap bersyukur kerana Tuhan izinkan saya untuk mempunyai latar belakang yang sebegitu. Banyak yang saya belajar dan saya akan terus belajar selagi Tuhan mengizinkannya.

Satu perkara yang saya belajar, tak kiralah baik atau tidak, jahat atau tidak, cantik atau tidak, kaya atau tidak, selagi mereka merupakan ahli keluarga kita, kita perlu terus ambil tahu tentang mereka. Suka atau tidak, mereka tetap ahli keluarga kita dan bersyukurlah di atas kurniaan Allah SWT ini kerana memang ramai di dunia ini hidup sebatang kara, tak punyai siapa-siapa.

Wassalam.

                  Sarapan makanan Turki di hotel
Perjalanan antara Istana Topkapi dan Aga Sofia - dengan pelancong yang ramai
 Kafe yang terletak di tingkat atas hotel - berlatarkan Laut Bosphorous
 Salah satu bazaar di Istanbul (ketiga-tiga bazaar tu terletak berdekatan dengan hotel kami)
 Makan buah strawberi dan buah cheri - di kawasan bazaar rempah
 Di atas bukit melihat pemandangan Istanbul
 Kapal-kapal besar yang berlabuh di Istanbul
 Melihat pemandangan dari kawasan Asia
Lukisan peperangan di Muzium Tentera, Istanbul

Friday, May 25, 2012

Tak Semudah Sebut ABC

                 Dah tahu baca ABC?

Salam pagi Jumaat buat semua

Pagi ini memang best sebab kita dilimpahi rahmat hujan. Saya suka bila hujan di pagi hari. Hari akan menjadi sejuk, alhamdulillah.

Saya masih batuk-batuk lagi. Iyalah, takkan cepat benar baik, kan? Kenalah bersabar sikit. Huhu. Apa pun, saya nak berceritalah dengan anda semua, mungkin ada yang dah baca novel 'Pukul 3.00 Pagi' saya tu. Saya tak tahulah kenapa, tetapi ramai pembaca saya kata ceritanya sedih. Ada yang menangis beria-ia. Iya ke sedih? Kalau ikut saya, P3P ni taklah sedih mana. Touching saja. Kalau dibandingkan dengan Sesuci Cinta, Hanya Kita Berdua, malah dengan Setulus Janji dan Bunga2 Kemboja pun, saya tak kata yang P3P ni lagi touching. Kat mana sedihnya? Betul-betul saya tak tahu.

Biasanya bila saya tulis manuskrip yang sedih, saya payah nak baca balik part yang sedih tu, sebab saya akan menangis sama. Begitulah yang saya rasa bila menulis novel2 saya yang sedih. Tapi masa saya tulis manuskrip P3P, saya tak menangis pun. Terasa aje. Aduhai...

Sebenarnya saya tak berniat untuk buat P3P sedih. Saya memang buat P3P touching aje. Saya mahu gambarkan kepayahan perjalanan hidup seorang gadis yang mempunyai ahli keluarga yang pelbagai kerenah dan masalah. Seorang gadis yang digambarkan baik, dan bila dia dikatakan tak baik, tentulah menyukarkan hidupnya yang sememangnya komplikated.

Saya gambarkan ibu Dania Hayat sebagai seorang ibu yang berdepan dengan tekanan bila dalam usia yang matang, dia diceraikan suaminya. Dilema yang berdepan dengannya menyukarkan hidupnya. Dia mahu lakukan sesuatu untuk berubah agar hidupnya turut berubah.

Bukankah kita pun begitu? Bila sesuatu terjadi pada kita, kita mahu lakukan perubahan? Misalnya bila kita bercerai dengan suami, kita mula rasakan bahawa lelaki yang pernah mengawini kita itu berubah citarasanya mungkin kerana kesilapan kita? Atau mungkin ada sesuatu yang tak kena dengan kita? Dengan itu, kita mahu lakukan sesuatu untuk puaskan hati kita. Kalau dulunya kita bertudung litup, mungkin ada yang mahu buka tudung. Ada pula tu, yang tak pernah bertudung akan mula bertudung.

Apa sekalipun bagi saya, yang penting ialah hati kita. Jujurkah kita dalam perhubungan kita dengan Tuhan? Adakah kita lakukan sesuatu itu kerana kita mahu tipu diri sendiri? Kita buat baik atau jahat kerana kita mahu protes?

Perjalanan hidup kita semestinya berliku-liku, tak ada yang mudah macam sebut ABC. Hehe... dulu masa saya kecil, saya pun tak tahu nak baca ABC sampailah umur saya dah hujung lapan tahun. Bengap sungguh! Tapi... biarlah kita berjalan dengan perlahan daripada terkejar-kejar kerana bila terlalu laju kita mungkin akan terjatuh. Kalau jatuh sikit tak apalah kot, boleh bangun semula. Tapi kalau jatuh tergolek, mungkin kita payah nak bangun kalau tak ada yang tolong.

Okeylah... harap-harap hari ini menyeronokan anda semua. Esok dah cuti sekolah, kan? Dah plan nak jalan ke mana? Takkan tak bawak anak-anak bercuti, kan? Kalau ada duit, eloklah relakskan diri anda dan bawa anak-anak melihat dunia luar. Jangan biarkan diri terperuk macam katak di bawah tempurung. Tapi kalau tak ada duit, nak buat macam mana, kan? Apa-apa pun, lakukanlah sesuatu untuk buat hidup kita ini lebih bermakna. Insya-Allah.

Wassalam.

Thursday, May 24, 2012

Hafiz Punyai Suara Gempaq, Tapi Akim Tu Seksi

                              Akim dan Hafiz
Salam

Hari ni saya nak merapu sikit dan nak relaks-relaks. Kebetulan pula saya batuk-batuk. Kira tak sihatlah ni, habis dekat satu rumah berjangkit dengan batuk-batuk ni. Bermula dengan makan rambutan. Bukannya tahu makan sikit-sikit. Bila dah makan banyak, apa lagi, saya pun semputlah. Lepas tu batuk. Aduhai...

Tapi tak apa. Batuk jer tu. Insya-Allah akan pulih.

Okeylah, sebab tulah saya nak berbual tentang benda-benda ringan jer. Almaklumlah sebagai manusia saya juga suka dengar lagu. Suka juga tengok orang menyanyi kat TV. Tapi tak follow apa-apa program realiti ke apa ke. Kalau tertengok, maka saya tonton ajelah. Kebetulan juga, si kenit-kenit kat rumah saya ni suka benar tengok orang menyanyi. Kalau dengar azan atau tengok orang solat pun dia orang suka. Pantang nampak masjid, mereka pun mulalah azan dengan suara yang pelat tu. Kalau nampak sejadah pun, mereka akan tertunggeng-tunggeng atas sejadah konon-konon mereka solat. Tapi... kenit-kenit ni membuat hidup saya bertambah terhibur.

Bila cakap pasal menyanyi ni, hari ni saya nak berbual tentang beberapa orang penyanyi lelaki yang masih muda. Memang banyak sungguh. Macam-macam cara dan stail. Dulu-dulu saya memang suka dengar lagu dari negara seberang, sekarang ni agak berkurangan. Tak ada kesempatan sebenarnya. Kalau penyanyi kat Malaysia, ada juga performance dan suara yang saya suka dengar. Misalnya suara Hafiz. Bagi saya suara dia memang mantap dan tak pernah menjemukan. Suara Hazama pun okey jugak, ada kelainan. Suara Black pun saya suka, tapi rasanya dia tu jarang keluar kat TV. Ada penyanyi yang muncul dari program realiti, lepas tu terus hilang. Mungkin tak berapa minat untuk terus menyayi atau tak ada rezeki kot. Maklumlah, menyanyi ni memang berkaryalah. Kalau tak bersungguh-sungguh akan hilang begitu saja. Kalau suara tak gempaq, performance pun tak menghiburkan, memang mereka akan terus hilang.

Saya suka juga dengan penyanyi yang bernama Akim. Walaupun suara dia tak mantap macam suara Hafiz, tapi tone suara dia unik dan Akim memang ada gaya dan boleh menghiburkan. Malah, entah kat mana yang seronoknya tengok Akim ni, dia macam seksi! Hahaha... mesti ada yang gelak ni atau rasa hairan dengan komen saya. Tapi... itulah yang saya nampak dan kerana itu mungkin ramai yang suka dengan budak Akim ni. Huhu.

Yang seekor lagi ialah Aril. Dia ni pun saya susah nak cakap. Suara dia tu biasa-biasa aje, tapi saya rasa dia ni seorang performer dan pandai ambil hati orang bila dia menyanyi. Bagi saya, ada penyanyi yang tak mempunyai suara giler best, tapi kerana mereka merupakan 'penghibur' yang baik, mereka mampu menarik perhatian orang ramai. Bagi saya penyanyi-penyanyi lama seperti Anuar Zain, Jamal Abdillah, Ramli Sarip... masih mampu untuk bertahan kerana keunikan suara mereka dan gaya mereka menghiburkan orang. Tak jemu-jemu.

Bagi saya juga, Hafiz perlu teruskan usahanya untuk kekal sebagai penyanyi yang bersuara bagus. Harap-harap lagu-lagu barunya nanti akan terus tinggalkan kesan pada kita semua. Betul kata orang, kan... kalau penyanyi punyai suara yang 'first class', mereka akan mampu bertahan lama. Kalau tak... memang mereka akan datang dan pergi tanpa kita sedari.

Wassalam.

Wednesday, May 23, 2012

Selebriti Yang Mengubah Diri

                            Sekadar hiasan

Salam

Saya mengaku bahawa dulu-dulu, bila saya berdoa, saya berdoa untuk saya, suami, ibu bapa saya (termasuk ibu-ibu tiri, ibu dan ayah mentua), nenek dan datuk, dan anak-anak saya. Tetapi sejak akhir-akhir ini, saya akan doakan untuk semua, termasuk semua adik-beradik saya, teman-teman saya, jiran-jiran saya, kenalan-kenalan saya, pembaca-pembaca saya, malah termasuk juga orang yang membenci saya. Saya doakan untuk semua umat Islam, juga yang bukan Islam tetapi mungkin akan mendapat hidayah daripada Allah SWT untuk buka hati mereka menjadi orang Islam. Banyak perkara di dunia ini kita tak tahu, yang tahu hanya Allah SWT sahaja. Saya berdoa agar kita semua dilindungi-Nya dunia dan akhirat. Dunia ini sementara tetapi akhirat itu buat selama-lamanya. Kebanyakan kita mengharapkan kesenangan di dunia tetapi terlupa akan kebangkitan kita semula di akhirat nanti.

Okeylah, bukan tujuan saya untuk menakutkan siapa-siapa, sekadar untuk mengingatkan diri saya dan anda yang saya sayangi agar tak usah lupa untuk lakukan amalan yang baik-baik dan tak usah lupa kepada Allah SWT, kerana tanpa-Nya, kita hidup tak ada maknanya. Kosong! Subhanallah.

Sejak kebelakangan ini, kita dapat lihat banyak golongan selebriti yang cuba perbaiki diri masing-masing untuk berdepan dengan perjalanan yang mereka lalui. Bagi kita yang bukan selebriti, kita berasa kagum bila melihat perubahan yang berlaku ini. Ramai yang dulunya berpakaian seksi, kini berubah untuk memakai tudung. Lelaki pun begitu. Kalau dulu tidak ambil hal tentang agama, kini sudah ambil berat. Syukur alhamdulillah. Saya tak tahu sama ada ini merupakan sekadar trend sahaja, atau ia benar-benar sedang menggerakkan hati insan-insan ini untuk berubah. Sebenarnya juga, untuk menjadi insan yang baik bukan sekadar mengubah cara berpakaian, tetapi banyak lagi, termasuk akhlak, perhubungan manusia dengan manusia yang lain dan tentunya perhubungan kita dengan Tuhan. Apa pun, memang cantik dan indah bila kita sebagai insan, cuba lakukan sesuatu untuk perbaiki diri kita ini kerana sebagai manusia, kita tak pernah sempurna. Semoga Allah SWT melindungi kita semua, tentunya menjaga iman kita.

Kebanyakan dosa yang kita lakukan boleh kita minta ampun pada Tuhan. Dosa kecil dan dosa besar. Pintu taubat sentiasa terbuka. Namun begitu, Tuhan tidak mengampunkan kita sekiranya kita menduakan-Nya. Jauhilah daripada syirik. Berulang-ulang kali saya bangkitkan hal ini di blog saya ini, kerana itulah yang diingatkan Allah SWT dalam ayat-ayat yang diturunkan dalam al-Quran. Pastikan apa sahaja perbuatan kita di dunia ini, tidak mendekatkan kita dengan apa-apa yang boleh mensyirikkan diri kita.

Jom kita usahakan untuk perbaiki lagi diri kita agar kita menjadi insan yang disayangi Allah SWT. Biar kita jadi muslim dan muslimah yang ikhlas menyangi agama kita, insya-Allah. Allahuakbar!

Wassalam.

Tuesday, May 22, 2012

Senyum-Senyumlah Selalu

       Senyuman yang membawa berkat

Salam

Semoga anda semua sedang happy-happy sahaja, insya-Allah. Kadang-kadang, kita terlalu melayan rasa sakit di hati hinggakan tak ada masa untuk berasa tenang, kan? Sedangkan diri sentiasa perlukan ketenangan. Itulah yang terbaik. Kadang-kadang, keadaan diri kita tidaklah teruk mana, cuma kita sahaja yang rasa macam teruk, maka jadi teruklah ia. Okey... mungkin nak menceriakan hati kita, cuba kita cari jalan bagaimana boleh kita perbaiki keadaan.

Cuba kita fikirkan hal ini. Tak ada siapa pun yang mampu untuk buat kita rasa happy kecuali diri kita. Jadi... carilah jalan supaya kita tidak terperap dengan rasa tak happy tu. Mungkin kita mulakan dengan jangan terlalu ingatkan kisah yang lepas, kisah yang buat kita rasa sakit dan benci. Teruskan perjalanan dan lupakan kisah-kisah silam yang menyakitkan itu. Lagipun, masa tetap berjalan dan kita juga tak punyai banyak masa untuk duduk termenung sahaja. Bertambah tak guna kalau kita saja-saja nak murungkan diri. Masa juga singkat untuk kita terus membenci orang lain. Lebih baik kita tumpukan masa yang ada untuk menyayangi orang lain.

Hidup ini adalah satu pengalaman yang dipenuhi dengan pelajaran dan ilmu untuk kita belajar. Jangan sia-siakan ilmu yang datang kepada kita. Malah, apa yang kita anggap musibah, kadang-kadang merupakan satu ilmu besar yang mengajar kita untuk jadi lebih dewasa, lebih kuat dan lebih bijak, insya-Allah. Kalau kita anggap diri kita sebagai pelajar yang sedang belajar, kita tak akan berasa gerun untuk berdepan dengan rintangan, insya-Allah.

Dalam hidup, kita tak perlu menang sentiasa. Kadang-kadang kekalahan adalah satu kemenangan buat kita. Fikirlah secara positif dan hayati hidup kita dengan sebaik-baiknya. Apa hal pun, janganlah kita lupa untuk sentiasa ingat pada Allah SWT, bukan sekadar dalam solat tetapi dalam semua hal yang kita lalui, malah, setiap detik yang kita harungi. Bila Tuhan dekat pada kita, kita akan berasa aman dan tenang walaupun mungkin kita sedang berdepan dengan masalah. Insya-Allah.

Rajinlah lemparkan senyuman anda agar hidup ini sentiasa tersenyum buat kita semua.

Wassalam.

Monday, May 21, 2012

Air Dicincang Tak Putus

Salam

Walaupun semalam hari Ahad namun ramai yang datang menjenguk ke blog saya, mungkin teruja dengan judul entri saya. Huhu... semua orang seronok nak baca gosip, kan?

Okeylah, pagi ini saya tak ada apa-apa sangat yang nak diceritakan. Semalam, sepanjang hari saya kesibukan kerana adik saya dan keluarganya datang dari Shah Alam. Lepas itu, kakak angkat saya juga datang dari Sabah. Dia berada di Seremban buat seketika dan datang menyinggah sebelum pulang ke KK. Kakak angkat saya ialah seorang berketurunan Sino-Kadazan. Jadi, anak-anak saya juga turut ke rumah kami. Saya pun apa lagi, sibuklah melayan tetamu dan memasak. Pagi ni, jari-jari saya bengkak, hanya di tangan kanan saja. Saya tak tahu apa yang saya buat hinggakan jari-jari boleh bengkak. Apa pun, tak adalah jadi masalah besar, insya-Allah. Yang penting kami semua happy sebab dapat berkumpul dan bersembang-sembang.

Bagi mereka yang belum baca 'Pukul 3.00 Pagi', itulah yang saya utamakan, perhubungan adik-beradik. Dalam apa jua halnya, tentu kita teringat semasa kita kecil, kan? Bila kita bermain-main dan berlari-lari dengan adik-beradik kita. Kadang-kadang kita berkelahi. Ada yang menangis dan memang ada yang kaki buli. Bila kita besar, kadang-kadang kita bawa diri dan tidak sedar bahawa kita adik-beradik sebenarnya sentiasa perlukan antara satu dengan yang lain.

Ada kala kita merajuk dan berkecil hati. Ada ketika kita bermusuhan sesama sendiri. Tapi, bila kita sakit dan perlukan kasih sayang, kita perlukan kehadiran adik-beradik kita, betul, kan?

Kalau kita anak tunggal, tentu kita mahukan kehadiran adik-beradik macam orang lain juga, tetapi kenapa bila kita ada adik-beradik, kita abaikan mereka? Mesti kita rasakan bahawa adik-beradik kita menyusahkan atau tak penting, betul, kan? Apa sekalipun perasaan kita, ada hari dan waktu kita akan berasa rindu pada adik-beradik kita. Kita akan teringat masa kita kecil-kecil dahulu ketika kita beramian air hujan bersama-sama. Kita teringat semasa kita dimarahi ayah kita dan dihukum. Kita teringat semasa kita bermain di sungai dan macam-macam lagi yang buat kita rasa rindu.

Jadi... kalau ada adik-beradik, sayangilah mereka, tak kira apa dosa dan salah yang telah mereka lakukan. Kadang-kadang kita juga lupa yang kita juga pernah lakukan kesalahan padanya.

Air dicincang tak akan putus. Mereka tetap merupakan darah daging kita.

Wassalam.

Sunday, May 20, 2012

VIP Kahwin Selebriti

                         Bukan selebriti


Salam

Bukan tujuan saya hendak bergosip atau nak jaga tepi kain orang, sekadar hendak berkongsi cerita tentang perasaan wanita, bila perkara 'kahwin lain' disentuh. Memang sensitif, beb!

Malam tadi, saya dan suami menghadiri majlis perkahwinan anak rakan suami saya. Kebetulan, rakan suami saya tu orang kenamaanlah juga, siap ada Sultan dan raja-raja yang hadir meraikan mempelai. Jadi, memang banyaklah orang kenamaan yang turut hadir. Kebetulan juga, ketika duduk di meja makan, tak jauh dari meja saya tu, saya ternampaklah satu wajah yang macam pernah saya tengok, tapi tak tahu siapa. Bersamanya ialah seorang lelaki yang sudah berumur. Mula-mula saya tak perasan pun lelaki itu dan mula-mula juga saya sangka yang lelaki berumur itu membawa anak perempuannya ke majlis perkahwinan itu (ada juga yang buat begitu). Tetapi kemudiannya saya mendengar teman suami saya (yang berada sama di meja kami) berkata kepada suami saya, "Aku duduklah kat sini (dia tak bawa isterinya sekali), takkan nak duduk kat sana kot kat sebelah bini muda ***********. Mesti dia tak suka."

Saya pun pandang sekali lagi kepada pasangan yang dimaksudkan. Barulah saya perasan. Si wanita itu memang cantik orangnya dan patutlah saya rasa macam familiar, rupa-rupanya dia merupakan seorang selebriti (penyanyi) dan dulunya agak seksi juga. Sekarang ini dia bertudung cantik. Masih kelihatan sangat glamor dan membuat kami semua ingin melihatnya. Kalau tanya saya, saya kata yang dia lagi cantik bila pakai tudung. Baru juga saya perasan suaminya itu (bukan ayah ya... hehe) kerana suaminya itu memang seorang VIP dan pernah dikenali umum suatu ketika dahulu.

Selepas itu, ramailah yang memandang-mandang dan seperti biasa para isteri yang hadir menjadi gelisah. Masing-masing tak suka melihat seorang suami yang sudah berusia, beristeri muda. Dah tu, isteri tuanya ditinggalkan di rumah, dan isteri muda yang cantik menarik itu dibawa untuk menghadiri majlis. Huhu... para suami mula tension kerana para isteri mula membebel!

Hahaha... sebagai penulis, saya 'pay attention' kerana saya nak tahu perasaan masing-masing. Tak ada seorang isteri pun yang relaks. Masing-masing tak gemar, apatah lagi bila ada antara suami mereka itu juga merupakan VIP. Malam tadi memang banyak VIP yang hadir sama dan saya percaya memang banyak mata yang memandang kepada pasangan yang saya maksudkan tadi. Tentunya ada juga yang mungkin teringin untuk lakukan seperti apa yang dilakukan oleh lelaki VIP tadi, wallahua'lam.

Tanya saya? Hehe... suami saya bukan VIP pun, tetapi dia tetap seorang lelaki. Kalau nak jadi macam tu... sebagai wanita apa kah yang boleh kita lakukan? Relakslah, beb... dunia tak berakhir lagi.

Wassalam.

Saturday, May 19, 2012

Jangan Hukum Diri Sendiri

Salam

Betul tak saya katakan bahawa kita mampu jadi lebih kuat bila kita lihat orang lain lagi teruk dugaannya daripada diri kita ni? Mula-mula, bila kita rasakan bahawa diri kita ditimpa kesusahan, mungkin kita sedih teramat sangat. Mungkin juga ada yang merasakan bahawa Tuhan tidak menyayangi dirinya dan kerana itulah dia ditimpa musibah. Ada yang merasakan bahawa dugaan datang kerana diri banyak dosa dan macam-macam lagi andaian yang seperti satu hukuman ke atas diri. Hinggalah kita melihat kesusahan orang lain pula. Tiba-tiba kita rasakan bahawa apa yang menimpa kita itu tidaklah seteruk orang lain. Hati kita mula jadi tenang sikit dan dari situ kita belajar untuk kuatkan semangat.

Bagaimana agaknya kita kendalikan perasaan yang sakit? yang marah? yang sedih? yang kecewa?

Masing-masaing ada caranya. Yang pasti tiada yang terlepas daripada semua perasaan ini. Sebagai manusia dan insan yang hidup di dunia fana ini, kita tak akan lari daripada masalah, dugaan dan musibah. Kalau tidak semalam, hari ini, mungkin esok atau hari lain yang mendatang. Tak usahlah kita gelakkan mereka yang sedang diduga pada hari ini kerana kita tak tahu bila pula giliran kita untuk merasa.

Berbalik kepada soalan di atas tadi, macam mana nak jaga hati yang sedih, yang marah dan geram tu?

Kalau bertanya pada saya, inilah jawapannya. Saya belajar untuk asingkan rasa sedih, kecewa, marah, geram dan apa-apa sahaja yang mungkin menyakitkan hati, seolah-olah semua rasa ini tak akan keluar. Saya teruskan hidup saya dan bila tiba masa untuk melayannya, saya akan layan buat sebentar. Lepaskan geram, benci, marah dan semua yang menyedihkan. Kemudian saya aturkan untuk asingkan lagi dan teruskan hidup saya seperti biasa. Saya tidak duduk murungkan diri, melayan terus sakit hati atau kecewa yang ada itu.

Bukan senang untuk bersabar, tetapi itulah 'alat' yang paling berkesan untuk ubatkan perasaan yang sedang sakit, atau marah atau sedih. Selain daripada solat wajib, rajin-rajin buat solat sunat. Banyak berdoa dan minta pada Tuhan dengan ikhlas agar hati kita akan jadi lebih tenang sekalipun taufan tsunami yang datang menyerang. Jangan hukum diri sendiri tetapi memang elok kita bermuasabahkan diri. Lihat apa kekurangan pada kita dan lihat juga sama ada kita sudah tunaikan tanggungjawab kita. Jangan kita mengaibkan orang lain dan pandanglah positif pada apa sahaja yang kita tempuhi dalam hidup kita ini kerana kita percaya bahawa Allah SWT sayangkan kita. Wallahua'lam.

Wassalam.

Bila rasa sedih atau marah, cuba tenangkan perasaan.

Friday, May 18, 2012

Aku Cinta Padamu

Salam

Saya dan suami tergelak bila seorang mamat Turki (yang bekerja di hotel tempat tinggal kami di Istanbul) memberitahu kami yang dia pernah bercinta dengan seorang gadis Brunei. Mamat tu sangat teruja bila tahu yang kami datang dari Malaysia. Kebetulan, kebanyakan tetamu hotel itu adalah orang Eropah. Jadi, bila melihat saya dan suami, dia bertanya, "Kamu ni datang dari Malaysia ke?" Rupa-rupanya dia seronok hendak bercerita tentang kisah cinta 'Internet' nya yang tak menjadi. Apa pun katanya lagi, dia tak boleh lupa dengan ayat "Aku cinta padamu" dan itulah yang diungkapkan untuk kami mendengarnya.

Biasalah kan? Tak kira apa bangsa dan bahasa, bila bercinta masing-masing nak tahu macam mana nak kata "I love you" dalam bahasa pasangan mereka walaupun mereka berbual dalam bahasa Inggeris.

Wassalam.
     Saya suka tempat ni, tak jauh dari hotel saya. Sangat romantik.

Thursday, May 17, 2012

Percayalah Padaku

Salam

Semasa dalam tram di Istanbul, dalam perjalanan pulang ke hotel, saya terduduk dekat dengan satu 'couple' ni. Mereka sedang bersembang dalam bahasa Inggeris (kedua-duanya bukan berbangsa Inggeris, tapi kulit putih lah dan kedua-duanya muda dan 'good looking' dan tak sedar yang kami faham Inggeris) dan saya pula terdengar perbualan mereka. Bukan nak menyibuk tapi bila dah terdengar tu, teruslah saya dengar - hehe. Perbualan mereka lebih kurang macam ni lah:

Lelaki: Kenapa kau nak aku berubah? Kan ini dah memang diriku dan aku tahu kau tertarik padaku kerana apa adanya dan tentu kau tak mahu aku berubah untuk jadi macam orang lain.

Perempuan: Aku tak tahu, tapi aku takut...

Lelaki: Kau tak perlu takut dengan aku. Percayalah padaku... aku sayangkan kamu dan aku serius, bukan main-main.

Perempuan: Aku kan perempuan, aku kena takut.

Lelaki: Aku tahu. Tapi... inilah aku dan aku tak mahu jadi macam orang lain yang bukan aku. Kau tanyalah pada dirimu, kau nak aku berubah jadi macam orang lain yang bukan aku?

Perempuan: (Tak bercakap dan mukanya kelihatan sedih)

Lelaki: Aku nak kau fikir secara serius tentang perhubungan kita ni. Kita tak main-main, kan? Aku tahu aku sangat serius.

Huhu... begitulah lebih kurangnya perbualan yang sempat saya dengar. Apa yang menarik ialah tentang kata-kata yang diucapkan lelaki itu. Katanya, dirinya adalah dirinya dan wanita itu tidak perasan bahawa dia (wanita itu) tertarik pada lelaki itu kerana seadanya bukan sesuatu yang bukan diri lelaki itu. Huhu... kata suami saya, "You sibuklah," tapi dia juga ingat yang isterinya juga seorang penulis!

Wassalam.

Saya letakkan gambar ketika dalam perjalanan ke bahagian Asia dan juga ketika berada di sana.

 Minum petang di atas bukit di kawasan Asia. Oven rice pudding yang sangat enak bersama teh Turki.
Dalam perjalanan naik feri ke bahagian Asia (hari yang berbeza dari gambar atas)

Istanbul - Tak Rugi Ke Sana

Salam

Bagi saya, memang tak rugi ke Istanbul. Tapi saya tak nak cerita banyak-banyak sebab kalau saya mulakan, takut payah nak habis. Mungkin elok kalau anda tengok gambar. Hehe.

     Saya bersama mummy2 di muzium arkealogi
 Sedap beb! Tak percaya, jom ke Istanbul- pelbagai manisan yang enak2
   Kota Istanbul pada hari Ahad. Sepi
   Tram, suatu yang menarik
    Shopping dan shopping! Semua ada
  Kalau ke Turki tak makan Turkish delight, sama macam tak pergi Turki
  Cafe2 sedang sediakan untuk para pengunjung. Menarik, kan?
   Jual bunga ada di mana-mana saja. Cantik, kan?
   Orang Istanbul pun jenis gila bola
  Shopping lagi. Comel, kan?
  Restoran yang cantik
          Istanbul. Jom pergi sana!

Wednesday, May 16, 2012

Istanbul, Turki

Salam

Saya dan suami ke Istanbul berdua sahaja dan kami tak ikut apa-apa pakej. Kami bebas berjalan sana dan sini. Sebab itulah kami ambil kesempatan untuk melawat muzium kerana melalui tempat seperti itu dan tinggalan yang dikumpulkan, kami belajar tentang peradaban dan civilization sebuah negara itu. Kalau ke Turki tetapi tidak ke muziumnya, memang rugi. Malah, ketika di muzium navy atau tentera laut, saya melihat foto moyang saya, Ashraf Pasha. Memang langsung tak ada macam saya... hehe. Tapi, dia tetap moyang saya dan saya bangga kerana beliau pernah menjadi admiral atau ketua tentera laut di zaman Sultan Abdul Aziz di zaman Osmaniyah di antara tahun 1863-1875. Dia juga menjadi menteri.

Kami juga pergi ke muzium arkealogi dan melihat tinggalan purba. Sebelum ini, saya memang tak pernah tengok benda-benda seperti itu.

Kebetulan juga, di musim bunga (bulan Mei ialah musim bunga), banyaklah bunga di Istanbul. Saya memang teruja dan suka.

Bunga ros tak pernah tak cantik - depan muzium chora
           Lagi bunga ros - di muzium tentera
   Istanbul dari atas bukit
  Masjid Sultan Ahmad atau The Blue Mosque
  Bergaya di depan kereta orang - hehe
    Meriam besar di depan muzium tentera
    Burung merpati di kawasan pasar
  Inilah gambar moyang saya yang berambut perang dan bermata biru- hehe tak macam saya langsung!
  Hebatnya tentera laut Turki
    Lagi dengan ros di Muzium Aya Sofia
   Lukisan khat di muzium Aya Sofia
    Kubur purba di muzium arkealogi
      Mummy di muzium arkealogi

Macam-Macam Yang Menarik di Istanbul

Salam

Sungguh ni, bagi saya kota Istanbul sungguh menarik. Terletak sebahagian besarnya di Eropah, kelihatan seperti di Eropah, namun rasa Asianya tetap ada. Tak ada kota yang ada macam tu. Dua-dua ada. Azan sentiasa kedengaran mengingatkan kita bahawa kota itu adalah kota orang Islam. Malah, kebanyakannya kedai-kedai juga bertuankan orang Islam. Nak makan tak ada masalah, bukan sekadar halal tetapi enak giler! Manisannya ada pelbagai yang tak tercapai dengan luahan kata-kata.

Di Istanbul, saya dan suami sempat menaiki bot cruise untuk melihat Istanbul dari Laut Bosphorous.


      Perjalanan untuk menaiki bot cruise di Laut Bosphorous
      Kapal pelancongan yang besar berlabuh di Istanbul
                Kota Istanbul
               Salah satu istana yang terletak di tepi laut
              Kota Istanbul yang menarik
          Tembok yang dibina di tepi laut
             Rumah orang-orang kaya
              Dari atas hotel
             Dari atas hotel
    Di kawasan perkuburan yang terletak di atas bukit