Assalam
Pagi ini sangat dingin. Mungkin ramai yang masih bercuti lagi kerana esok pun cuti juga, kan? Saya dah lama bangun dan kini sedang cuba update blog.
Semalam, ketika pergi ke Melaka, memang kami terpaksa bersesak-sesak dengan pengunjung yang memilih untuk ke Melaka juga. Semasa pulang, kami terpaksa menempuh kesesakan yang lama di atas jalan raya. Sungguh membosankan walaupun kunjungan kami ke Melaka agak menariklah juga. Sesekali, memang hujan pun.
Hari ini, saya nak bangkitkan tentang isu 'bohong sunat'. Mungkin anda pernah dengar terma ini yang selalu digunapakai oleh orang kita bila dikatakan terpaksa 'menipu' atas alasan apa jua sekalipun. Okey, sebenarnya ada ke 'bohong sunat' ni? Ada terselit di al-Qur'an ke? Atau pernahkah Nabi junjungan kita SAW memberi petunjuk bahawa kita mempunyai 'hak' untuk melakukan 'bohong sunat' yang dilakukan oleh banyak orang bila mahu menipu?
Setahu sayalah, memang tidak ada 'bohong sunat' kerana semua perbuatan menipu atau berbohong adalah berdosa. Setahu saya tak ada perbuatan 'bohong' yang kita boleh lakukan atas alasan-alasan untuk 'cover line'. Tipu tetap tipu dan penipuan adalah berdosa. Tak kiralah siapa yang kita tipu, mungkin tidak berdosa kalau kita terpaksa menipu untuk selamatkan diri kita daripada 'dibunuh' sedangkan kita tidak sepatutnya dibunuh. Pun begitu, masih tidak ada 'bohong sunat'.
Mengapakah agaknya orang kita suka guna istilah itu? Mungkin sudah menjadi budaya kita untuk amalkan perbuatan menipu dalam kehidupan seharian. Tetapi, bagi mereka yang suka menipu ini, pasti budaya ini akan terus melekat sampai bila-bila, kerana perbuatan itu sudah meresap ke dalam darah daging. Sangat menyedihkan. Orang yang kaki kelentong ini akan mencari pelbagai alasan untuk melindungi diri tanpa sedar bahawa 'penipuan' yang dilakukan ini adalah perbuatan 'keji' yang menambahkan dosanya. Memang ramai yang menyangkakan bahawa 'bohong sunat' tidak berdosa, malah mungkin pula akan mendatangkan ganjaran. Betapa diri sudah tertipu dengan perbuatan sendiri! Subhanallah.
Esok, kita akan mulakan tahun baru dalam kalendar Islam. Semoga 'kaki kelentong' akan juga menapak dengan niat mahu berubah.Semoga kita tidak main-main dengan perbuatan penipuan ini kerana percayalah, orang yang suka menipu satu hari nanti akan terperangkap dengan penipuannya sendiri. Wallahuaklam.
Wassalam
