Sekadar hiasan - rumah kampung
Salam
Saya bukan nak buat promosi lagu yang dinyanyikan Jimmy Palikat, Aku Anak Kampung, tetapi saya nak berkongsi tentang sesuatu yang dekat di hati saya.
Saya dilahirkan di daerah kecil, iaitu Kuala Kangsar, Perak dan dibesarkan di pekan itu dan juga Batu Pahat (sekitar empat/lima tahun sahaja). Walaupun saya berketurunan Arab/Turki, tetapi saya gelar diri saya sebagai anak Melayu, kerana itulah saya. Mungkin saya boleh anggap diri saya sebagai Melayu berketurunan Arab. Tapi... saya rasa saya ini memang orang kampung. Bila selera tak ada, hanya makanan kampung sahaja yang boleh buat saya mahu makan. Saya pantang tengok lauk yang ada tempoyak, daripada tak lalu makan, terus jadi suka. Saya suka masak lemak pucuk daun labu dan pucuk jagung (orang Perak suka masak ni), saya suka telur masin, suka sambal tumis dan suka sangat-sangat jantung pisang. Saya suka makan ikan, kurang gemar daging atau ayam.
Saya juga suka pergi ke kampung-kampung. Sejuk hati saya kalau saya masuk kampung dan sebab itu mungkin saya seronok tinggal di tempat saya sekarang, kerana kami dikelilingi kampung-kampung.
Kadang-kadang, ada juga orang anggap saya seperti orang 'urban' kerana kata mereka saya suka ke luar negara. Alahai beb, itu dah bab lain. Mungkin ada orang suka beli rumah besar macam istana tu, tapi saya pulak tak macam tu, saya hanya suka berjalan. Bagi saya itu merupakan antara nikmat yang Tuhan beri pada saya. Selain daripada menulis, menziarahi tempat orang (tak kira di mana pun) merupakan sesuatu yang saya suka lakukan. Saya selalu berdoa pada Tuhan agar saya dapat melihat dunia. Saya tka pernah berdoa agar Tuhan beri saya kekayaan yang melimpah-luah, sampai ada kapal atau kapal terbang sendiri. Tak pernah pun minta sebuah mahligai, atau harta yang bertimbun-timbun, sekadar cukup-cukup sahaja, agar saya mampu untuk berjalan-jalan. Setakat ini alhamdulillah. Tidak pula saya dapat pergi dengan mudah, biasanya saya kena tunggu dan bersabar. Ada rezeki dan waktunya, saya pergilah, selagi Tuhan mengizinkannya.
Apa-apa pun, saya tetap anak kampung dan berjiwa kampung. Walaupun saya berada di Manhattan, atau London dan Paris, jiwa saya tetap jiwa orang kampung. Rasa seronok saya sama sahaja di mana-mana, termasuk bila saya tidur di dalam rumah kampung orang asli. Alhamdulillah. Saya anggap itu sebagai nikmat yang diberikan Tuhan.
Wassalam.
PS: Saya teringin nak ada rumah macam kat atas tu... dibina di Lenggeng, Negeri Sembilan.
Jangan lupa masuk ke link : http://www.e-sentral.com/search/byid/1713