Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Thursday, May 05, 2011

Terkenang Budimu


Salam

Sejak bertahun-tahun lamanya, saya dah belajar satu perkara ini. Jangan kedekut dengan ilmu yang kita ada. Dan kerana itulah, saya tak pernah lokek dengan apa sahaja pengetahuan yang saya ada, seterusnya tak pernah kisah untuk berkongsi dengan sesiapa sahaja.

Sejak saya jadi penulis, itulah yang saya lakukan. Malah, saya juga belajar macam-macam perkara daripada orang lain. Saya bersyukur dan saya tak pernah lupa kepada mereka yang berjasa pada saya. Bagi saya, sebagai Muslimah, itulah yang patut kita lakukan, tidak melupakan sesiapa sahaja yang telah membantu kita, tak kiralah kecil atau besar. Dalam hal ini, saya tak pernah melupakan teman-teman saya di syarikat Alaf21. Walaupun kini saya dah lama berdikari, namun mereka tetap teman saya. Mungkin suatu hari dulu ada yang terkilan di sana-sini, saya tetap menghormati mereka. Pada Pesta Buku yang lepas-lepas, termasuklah yang baru sahaja lepas, semua bekas-bekas editor saya datang berjumpa dengan saya. Saya juga turut ke tempat pameran Karangkraf untuk bertemu dengan kawan-kawan.

Sebagai orang Islam yang beramal, kita seharusnya mempunyai sifat yang rendah diri. Siapalah kita di dunia ini. Sekalipun mungkin menulis dengan baik atau penjualan buku meletup-letup, namun kita tetap hamba Allah SWT, sekadar menumpang rezeki dan hidup yang Tuhan berikan. Bila-bila masa sahaja Tuhan juga boleh ambil daripada kita. Dan kerana itulah, kita perlu beringat selalu. Tak usahlah kita lupa daratan. Itulah yang saya rasakan dan insya-Allah, saya akan cuba sebaik mungkin untuk kekalkan silaturahim dengan teman-teman, tak kira dekat atau jauh.

Dalam dunia penulisan ini, saya juga bukannya orang lama. Baru pun tidak. Sedang-sedang sahaja. Namun, teman-teman seperti Fauziah Ashari, Aisha Sofea, Puteri Andalas, Noor Suraya, Mimie Afinie, Norhayati Berahim dan lain-lain, sentiasa akan kekalkan silaturahim kami. Kami saling berkunjungan di setiap majlis Pesta Buku. Inilah masanya untuk kami bertemu. Kami tak kisah pun siapa yang popular atau siapa yang tidak. Kami tak ambil pot pun tentang benda-benda yang tiada kaitan dengan hal peribadi kami. Alhamdulillah, kami terus menulis dan terus kekal sebagai teman.

Saya ceritakan ini sekadar mengingatkan diri saya agar sentiasa jadi diri saya sendiri dan tidak lupa diri. Kadang-kadang, kita terlupa yang kita ini hanyalah insan yang lemah, apabila mati nanti, akan terus sahaja menjadi dingin dan kaku, tidak berupaya lagi untuk berkata-kata, apatah lagi untuk memohon maaf kepada mereka yang kita pernah sakiti.

Wallahua'lam.