Assalam
Hari ini ialah hari rehat keluarga kami. Alhamdulillah, hari ini kami dan anak-anak serta cucu-cucu, kami semua pergi ke Lenggeng. Anak-anak saya sangat seronok melihat perkembangan di tanah kami di persekitaran Lenggeng. Sebagai ayah dan bonda mereka, pastinya kami juga seronok melihat mereka suka. Alhamdulillah ya Allah. Lepas itu, kami makan tengah hari di pekan kecil Lenggeng. Memang kecoh kedai makan yang biasa kami ke situ. Hari ini, kedai itu jadi kalut dibuat cucu-cucu kami.
Saya suka apa yang sedang kami rancangkan di Lenggeng kerana ia merupakan sesuatu yang terlalu dekat dengan hati kami. Sesuatu yang sangat sederhana. In syaa Allah, kalau boleh itulah yang kami mahu lakukan, sesuatu yang 'simple' tetapi mampu membuat kami rasa aman, puas dan damai. Sesuatu yang mampu membuat kami hargai alam ciptaan yang Maha Esa. Subhanallah.
Bila saya melihat pemergian Almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, saya melihat sesuatu yang sangat berbeza daripada yang biasa-biasa. Saya tak mahu menyentuh apa-apa tentang politik, tetapi bagi saya, Alharhum Nik Abdul Aziz adalah seorang insan yang sangat sederhana kehidupannya, namun mampu untuk menjadi insan yang ikhlas memperjuangkan agama Islam dan beliau paparkan melalui kehidupannya yang sederhana dan personalitinya yang sangat berat kepada seorang yang budiman dan mengamalkan kebaikan. Pastinya, seorang yang baik akan melakukan semua yang baik-baik bukan hanya untuk dirinya tetapi untuk orang lain juga. Semoga perbuatannya menjadi contoh yang baik buat kita semua.
Almarhum hidup sederhana dengan seorang isteri serta sepuluh orang anak-anaknya. Dari situ, Almarhum cuba lakukan yang terbaik buat semua sedaya yang dia mampu. Mungkin banyak yang boleh kita kritik tentang tugasannya, namun sebagai insan yang baik hati, kita sepatutnya menghormati insan seperti Almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz, kerana hari ini, memang payah untuk kita berjumpa dengan insan yang seikhlasnya dalam pelbagai segi yang diuruskan seperti apa yang dicontohi Almarhum.
Semoga rohnya dirahmati Allah swt dan tergolong sebagai orang-orang yang beriman.
Wassalam.