Assalam
Sambung dari entri semalam. Hari ini saya akan kisahkan perjalanan kami dari Jakarta ke Bandung dan aktiviti kami ketika berada di Bandung. Kalau anda yang tidak familiar dengan kota Bandung, ia adalah sebuah kota yang agak dingin kalau dibandingkan dengan kota-kota lain di Indonesia, mempunyai sekitar lima juta penduduk dan kebanyakan bangunannya mempunyai reka bentuk zaman Belanda. Perjalanan highway dari Jakarta ke Bandung sangat enak. Lanskapnya menarik, siap ada sawah padi, tanaman yang lain dan juga perkampungan. Tak ada tanah yang terbiar. Sebaik sahaja tiba di Bandung, cuacanya mendung dan suhunya sudah jadi rendah dan sangat nyaman. Kami ke rumah sepupu saya Ahmad Basweedan. Ibu Ahmad dan ayah saya adalah adik beradik dan kedua-duanya sudah tidak ada lagi.
Di rumah Ahmadlah saya bertemu semula dengan ami saya Ami Mustafa atau Ami Mus, yang kini usianya sudah 91 tahun. Dulu Ami Mus memang tinggal di Amerika Syarikat dan sejak dua tahun yang lalu, Ami Mus dibawa pulang oleh anak-anak saudaranya ke Indonesia, tempat lahirnya Ami Mus. Memang seronok dapat jumpa Ami Mus lagi dan kedatangan kami memang dinanti-nantikannya. Selain Ami Mus, rumah Ahmad juga dihadiri oleh ayah mertuanya, seorang profesor linguistik, yang kini sedang dirawat daripada penyakit strok. Betapa mulianya hati Ahmad dan isterinya Sofi, yang begitu prihatin terhadap mereka yang sudah tua dan uzur. Semoga Allah cucuri rahmat dan murahkan rezekinya.
Makan tengah hari disediakan di rumah Ahmad. Seketika kemudian, sepupu saya Lula dan suaminya Raof (mereka tinggal di Bandung) datang ke rumah Ahmad untuk berjumpa dengan kami. Kebetulan, Inez dan suaminya telah dibawa Misyal (suami Mira yang merupakan anak Inez) untuk turut berada di Bandung. Mereka juga datang dari Jakarta. Selepas itu, kami beramai-ramai ke rumah Yasmin untuk melawatnya. Yasmin ialah adik kepada Lula dan kedua-dua Lula dan Yasmin adalah anak-anak tante saya, Tante Amnah, juga sudah tiada lagi.
Dari rumah Yasmin, kami telah ke Rumah Mode, iaitu outlet untuk shopping. Tempat ini merupakan tempat popular bagi pelancong Malaysia yang datang ke Bandung. Merata-rata di tempat itu kami bertembung dengan orang Malaysia. Ahmad dan Sofi menemani kami ke Rumah Mode. Selepas itu, kami dibawa pula ke Restoran Meditarrenean, restoran autentik Mediterranean kepunyaan menantu Ahmad yang bernama Arif. Beliau adalah seorang arkitek dan saya sangat tertarik dengan reka bentuk dan deko restoran comel itu. Anak Ahmad (yang berkahwin dengan Arif) bernama Fairus dan beliau adalah seorang doktor. Kedua-dua anak menantu Ahmad sangat budiman dan rendah diri. Ibu Arif (yang saya tak kenal) siap memberi hadiah kepada saya, membuatkan saya rasa terharu sangat-sangat. Semoga silaturahim ini berkekalan hingga ke jannah.
Malam itu, kami dibawa ke villa Suzy yang terletak di puncak kawasan Bandung. Kami telah dilayan oleh pembantu-pembantunya seramai tiga orang. Kami tidur di villa Suzy, sebuah rumah besar yang mempunyai lima kamar tidur. Alhamdulillah, segala-galanya nyaman. Cuaca sangat dingin membuatkan kami berasa seperti berada di Eropah.
Esok paginya, setelah bersarapan di villa Suzy, kami ke rumah Ahmad sekali lagi untuk berjumpa dengan Ami Mus dan ahli keluarga yang lain. Selepas itu kami ke Rumah Mode buat seketika dan makan tengah hari masakan Sunda sebelum pulang ke Jakarta. Bagi saya, kalau ke Bandung memang tak sah kalau tak makan Sunda. Kami sekeluarga memang suka makan masakan Sunda terutama ikan terbang.
Alhamdulillah bagi kami semuanya lancar, walaupun hujan sepanjang lawatan kami di Bandung, tetapi cuaca sangat enak. Makan pun enak-enak. Tetapi yang paling penting, kami dapat berjumpa dengan semua ahli-ahli keluarga, termasuk Irsyad, anak Ahmad yang sangat baik budi. Irsyad sangat friendly, walaupun masih muda, dia mempunyai karakter yang sangat menyenangkan dan sangat rendah diri. Semoga mereka menjadi contoh untuk kami di Malaysia, insyaaAllah.
Wassalam.
Lepak di rumah Ahmad bersama Ami Mus (atas wheel chair)
Di hujung itu adalah ayah mertua Ahmad. Baju kuning ialah Misyal
Bersama Sofi (berkerudung) dan Inez. Cucu Sofi bernama Ibrahim
Bersama famili di rumah Ahmad, yang berbaju hitam.
Rumah Ahmad
Bersama sepupu saya Lula
Bersama ahli keluarga di rumah Yasmin. Baju hitam itulah Yasmin
Di Rumah Mode
Basuh tangan di restoran kepunyaan Arif
Cantik, kan dekonya?
Nasi Arab bersama kambing. Tengoklah tekonya, sangat unik.
Lula dan Raof sedang menikmati makan malam
Buku Menu Restoran Gaza
Bersama ahli keluarga di Restoran Gaza kepunyaan Arif. Lelaki berbaju hitam ialah Irsyad, anak bujang Ahmad. Yang berdiri antara Sofi dan Ahmad ialah Arif.
Di balkoni Villa Suzy di atas puncak
Dari Villa Suzy
Di Villa Suzy
Di Villa Suzy
Di rumah Ahmad bersama Ami Mus dan Profesor
Di Restoran Sunda
Di Restoran Sunda
Ikan Terbang, di Restoran Sunda