

Semalam... alahai sibuklah pulak! Walaupun saya kata tak kisah, suka tak suka, kena juga ambil kisah, maklumlah anak nak kahwin. Terpaksa sibukkan diri mengemas rumah, luar dan dalam. Bab ini, suami saya memang rajin. Dia tak berat tulang. Malah, setiap hujung minggu, itulah kerja dia, mengemas dan mengemas!
Hari ini, saya nak puji suami saya. Bukanlah saya nak menunjuk-nunjuk, tetapi apa salahnya, kan? selalu juga saya komen pasal orang lelaki dalam blog saya ini. Bila masa nak puji, kita pujilah. Alhamdulillah, Tuhan telah hadiahkan seorang suami yang baik hati buat diri yang kerdil ini. Mungkin kami telah mengharungi pelbagai masalah bersama-sama sejak mula berkahwin, tetapi sekali lagi alhamdulillah, kami dapat mengatasinya bersama-sama.
Di antara dia dan saya, saya rasa dia jauh lebih baik daripada saya. Dia lebih bersabar, lebih menjaga hati dan lebih menyayangi saya. Dulu-dulu, saya ni jenis berangin. Silap sahaja, suka melenting, suka merajuk. Merajuk ialah 'main aktivity' saya. Tapi, suami saya, dia dah faham dan kenal hati budi saya. Dia tahu macam mana nak 'tackle' saya. Kalau orang lain agaknya, dah lama orang seperti saya ditinggalkan.
Mungkin dia menepis segala yang kecil-kecil untuk menghayati kebaikan besar saya.
Saya percaya, kerana pengalaman hidup saya dengan suamilah berjaya menghidupkan watak-watak lelaki dalam novel-novel saya. Bagi saya, hero adalah hero, kerana mungkin suami saya yang begitu. Bukan soal rupa atau wang ringgit, tetapi soal personaliti yang saya suka dan 'ngam' dengan saya.
okeylah... lain kali kita sambung lagi. Hari ini, saya ada dua wedding yang saya kena pergi. Jumpa lagi!