Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Friday, November 21, 2014

Mencari Kesempurnaan Dalam Kekurangan

Assalam

Sempat pula saya blog walking pada pagi ini dan terserempak dengan kata-kata tuan blogger tentang suatu hal yang sangat menarik dalam hidup kita. Kita sentiasa mahukan kesempurnaan hinggakan kadang-kadang kita terlupa bahawa kita sekadar insan biasa sahaja, tidak pernah dijadikan 'perfect' kerana sempurna itu adalah hak Allah ta'ala. Kerana itu mungkin, dalam ketidaksempurnaan hidup kita, kita perlu bersyukur dengan apa sahaja yang dianugerahkan kepada kita, kerana dengan semangat bersyukur kita tidak akan jadi manusia yang hidup 'meroyan' mahukan segala-galanya dan sentiasa bersikap 'dengki' dan 'sakit hati' dengan kekurangan yang ada pada diri. Kita tak boleh tengok orang lebih dari kita, maka kita pun berasa yang kita juga perlu merasa. Hinggakan ada ketika kita terlupa mungkin apa yang kita ada itu sebenarnya memang rezeki kita dan kita tidak tahu pada rahsia Allah. Kita tidak pernah melihat dan tahu akan sebab-musabab kenapa Allah berikan kita hidup yang begitu. Semestinya itulah yang terbaik buat kita. Setiap apa yang Allah aturkan semestinya bersebab kerana itulah janji-Nya. Cuma manusia sahaja yang tak tahu.

Jadi... kenapa kita tak sanggup terima kekurangan? Hidup ini tak boleh kurang ke? Kalau orang berumah besar macam mahligai, salahkah kalau kita hidup dalam rumah yang sederhana saiznya? Kalau orang berkereta besar, kenapa kita juga mahu hidup berhutang sampai ke hidung untuk menunjuk-nunjuk sama, sedangkan kita tak mampu pun? Kalau orang ada keluarga dan kita tiada, sudah jadi masalah besarkah? Kalau orang ada suami dan kita pula tak ada, apakah menjadi hak kita untuk merampas suami orang?

Kalau kita mempunyai perasaan dan niat jahat sebegitu, semestinya kita hidup tidak bersyukur. Kita merupakan manusia yang tamak yang tidak mahu melihat disebalik apa yang Allah berikan kepada kita. Semestinya semuanya ada sebab mengapa hidup kita diaturkan begitu.

Yang penting sebagai orang Islam, kita sempurnakan hidup kita dengan cinta kita kepada-Nya. Kalau itu tidak pernah sempurna, buat apa lagi kita nak berkira-kira, kerana yang utama pun kita tak mampu untuk lakukan. Lihatlah apa yang ada di cermin muka, kita nampak wajah kita, tapi tak pernah kisah dengan apa yang ada di dalam hati.

Manusia ini penuh dengan kekurangan, namun kita sepatutnya bersyukur kerana masih diizinkan Allah untuk berada di dunia yang penuh dengan permainan. Yang pasti ialah di Akhirat nanti. Sudahkah kita bersedia? Wallahuaklam.

Wassalam.