Pernahkah kita bertanya tentang asal usul diri kita? Pernahkah kita menyoal ibu bapa kita, datuk dan nenek kita tentang hal ini? Tak mahukah kita tahu salasilah diri kita, keturunan kita? atau sudahkah kita tahu semuanya?
Semasa di tapak pesta buku, saya telah didekati seseorang pemuda kerana mahu menumpang tiang banner KarnaDya. Rupa-rupanya, pemuda itu adalah seorang penulis yang telah meminta Fajar Pakeer (Jiran KarnaDya) di tapak pesta untuk mengedarkan buku-buku penulisannya. Semasa hendak meninggalkan tapak pesta (ketika itu pesta buku sudah hampir tamat), dia datang mengucapkan terima kasih kepada saya. Saya pun bertanya tentang buku-bukunya itu. Dia pun bercerita. Katanya, dia menulis novel tentang pencarian asal usul dirinya itu. Ada tiga jilid. Saya tertarik bila katanya penulisannya itu ada kaitan dengan 'Ahlul Bait'... keturunan Nabi Muhammad SAW.
"Kak Aina ambillah buku saya ni... saya nak beri percuma. Bolehlah Kak Aina baca." Dia berkata kepada saya.
Saya menjawab, "Oh ya, saya memang teringin nak baca, tapi tak apa, biar saya beli." Saya pun membeli ketiga-tiga buah novelnya itu.
Kebetulan, apabila saya tiba di rumah, saya mula sakit-sakit dan kerana itu saya tak mampu untuk menulis. Pun begitu, saya masih berdaya untuk membaca dan buku pemuda itulah yang menjadi bacaan saya. Alhamdulilah, saya seronok membaca bukunya. Sebuah novel yang mempunyai tulisan yang serius. Bukan sekadar novel biasa-biasa. Penulis adalah seorang graduan matematiks, juga bekas wartawan NST, tetapi kini menjadi seorang penulis dan juga seorang pengembara. Dia mahu mencari identiti dirinya dan dalam pencarian itulah penulis telah membongkarkan pelbagai kisah sejarah yang ada kaitan dengan kewujudan bangsa Melayu dan agama Islam yang dimiliki oleh orang Melayu Nusantara.
Saya kagum dengan tulisannya itu kerana saya sedar bahawa penulis telah bersusah payah ke merata ceruk untuk mengorek rahsia yang lama tersembunyi. Penulis juga berani untuk membongkarkan rahsia ini! Mungkin ada yang mahu mempertikai cara pemikirannya, namun bagi saya, penulis mempunyai hak untuk membongkarkan rahsia seperti apa yang difahaminya. Saya tabik kepadanya kerana mampu memaparkan sebuah cerita, yang telah menyusun pelbagai fakta lama, membawa kita menjelajah semula kepada kerajaan Pasai, Melaka, dan macam-macam lagi dan mendedahkan pelbagai peristiwa kebangkitan kerajaan Aceh, bumi serambi Mekah.
Apabila membaca tulisan penulis ini, sebagai pembaca, kita perlulah membuka minda dan mengizinkan penulis ini menyampaikan apa sahaja pandangan dan pendapatnya, kerana kita juga tahu terlalu banyak pembohongan dalam kajian sejarah yang menjadi peninggalan buat kita semua. Kebanyakan fakta sejarah sudah diputar-belitkan untuk kepentingan kerajaan yang wujud ketika itu dan kerana itu juga, kita berhak untuk melihat kembali segala fakta yang ada untuk kita menilai.
Saya percaya ramai yang akan melihat tulisan Radzi Sapiee (Penulis muda yang saya maksudkan) dalam novel-novelnya yang berjudul 'BERPETUALANG KE ACEH' sebagai sesuatu yang mencabar kematangan pemikiran kita dan tentu sekali penulisannya itu akan membuat kita tertanya-tanya tentang banyak hal dalam kewujudan bangsa Melayu yang beragama Islam. Bacalah! Saya tidak menyesal menelaah novel-novelnya ini.