Salam semua
Kalau kita berjumpa sesama sendiri di Malaysia, kita ucapkan salam, atau mungkin hello, hai... kalau di Sri Lanka, mereka berkata "Ayubowan" sambil mengangkat kedua belah tangan bertemu antara kanan dan kiri, dan yang satu lagi juga membalas, "Ayubowan". Maksudnya, "Semoga panjang umur". Itu adalah adat dan budaya orang-orang di Sri Lanka. Sebagai pelancong dan pengunjung, kita lakukannya untuk menghormati mereka.
Okeylah, rasa macam lama sungguh tak masuk blog ni. Kalau nak diikutkan, memang belum lagi ada tenaga untuk menulis, tapi... esok saya akan ke Kuching, Sarawak selama dua hari dengan Mimie Afinie kerana ada Pesta Buku Popular di sana, jadi blog sekali lagi tidak akan update selama dua hari lagi. Jadi... saya usahakan juga untuk bertemu dengan anda yang saya sayangi di blog ini.
Sebelum saya bercerita tentang Sri Lanka, saya nak sampaikan satu lagi berita tentang keluarga saya. Kami baru sahaja menambah ahli keluarga. Pada hari sebelum saya berangkat ke Sri Lanka, menantu saya (isteri Irfan) telah pun melahirkan seorang lagi cucu kami, walaupun mengikut 'due date', baby belum due lagi (sepatutnya hujung bulan), tiba-tiba sahaja doktor membuat pilihan untuk cepatkan kelahiran kerana tali pusat baby sudah mula terbelit. Apa pun, alhamdulillah, malam sebelum kami ke Sri Lanka, kami mendapat seorang cucu perempuan (adik Yusufia) dan namanya ialah Sharifah Niloufar (nama Niloufar ini ialah nama dalam keluarga kami)... kami panggil Baby Nilo. Dah ada gambar yang kami ambil, tapi saya tak sempat nak upload kat komputer saya ni. Kerana kelahirannya itu, kami satu keluarga kesibukan pada hari Jumaat itu. Saya pack bag saya hingga jam dua pagi dan lepas Subuh kami pun bertolak ke airport. Ya Tuhan... sikit punya kalam-kabut dan keletihan.
Kali ini saya tak akan tulis panjang sangat pasal Sri Lanka (sebenarnya banyak cerita), insya-Allah saya akan sambung bila balik dari Sarawak nanti. Dalam pada itu, biarlah saya berikan sedikit introduction kerana saya tahu ramai yang nak tahu pasal Sri Lanka ni.
Sri Lanka mempunyai jumlah besar penduduk yang beragama Buddha, ada sedikit Hindu, Islam dan Kristian. Buat satu jangka masa yang agak panjang, negara itu terjejas ekonomi dan pembangunan negara kerana terlibat dengan peperangan dalam negara (sekitar 30 tahun) dan sejak beberapa tahun yang lepas, barulah Sri Lanka bebas daripada pergaduhan dan negaranya mula untuk membangun semula. Jadi, kalau kita lihat negaranya, memang mempunyai infrastruktur yang agak lemah, kerana jalan rayanya tak elok. Itu dari sudut negatifnya kerana saya percaya negara itu sedang membangun dan dijangkakan akan menjadi jauh lebih baik dari segi infrastruktur dalam masa yang tidak lama.
Mula-mula, saya andaikan mungkin negara pulau ini tak jauh beza dengan India (dari segi tidak bersih)nya, tetapi saya agak terkejut melihat negara ini, walaupun masih ketinggalan dari beberapa aspeknya, tetapi dari segi kebersihan... sangat menakjubkan! Ada ketika saya rasa negara itu jauh lagi bersih dari kita di Malaysia, terutama di ibu negaranya Colombo. Ibu negara Sri Lanka mengingatkan saya kepada Pulau Pinang (kota George Town) kerana mempunyai banyak bangunan berbentuk colonial dan terletak di tepi laut. Rata-rata, public toilet Sri Lanka sangat bersih (tak tahulah kalau agent kami bawa ke tempat yang bersih sahaja), dan saya tertarik dengan alam sekitarnya, mereka sangat jaga pada pokok-pokok, tumbuhan dan binatang mereka. Kebetulan, kami duduk di tiga buah hotel (di lain-lain tempat) yang sangat cantik dan eksklusif. Satu di dalam hutan (terjaga) dan di tepi tasik, satu lagi di atas bukit di tepi sungai, dan satu lagi juga di atas bukit di tepi laut. Kata orang putih, "I had a great holidays in Sri Lanka"... huhu... kita jadi mat salih sat, sebab Sri Lanka menjadi tarikan buat mat salih dari England, kerana suatu ketika dahulu, mereka dijajah oleh British.
Sri Lanka mempunyai sejarah yang banyak dan lama, mempunyai tinggalan heritage yang sangat menakjubkan, mempunyai budaya yang sangat berwarna-warni, mempunyai orang yang berbudi bahasa, rajin bekerja dan tentunya mempunyai potential yang luas. Saya agak hairan juga kerana walaupun jumlah penduduk Islamnya sekitar 7.5% sahaja, tetapi saya rasa macam banyak, sebab mana-mana saya pergi, saya terserempak dengan Muslim (mereka berpakaian melambangkan agama mereka).
Saya akan sambung lagi cerita Sri Lanka, untuk hari ini... sampai di sini sahaja.
Wassalam.
Sarapan pagi di Amaya Resort
Amaya Resort - terletak dalam hutan dan di tepi tasik
Di Amaya Resort and Spa, Dambulla
Sigiriya - istana lama
Di Amaya Resort
Tasik di tepi Amaya Resort
Istana di atas Bukit Sigiriya (lion's rock)
Di Amaya Resort