Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Sunday, October 12, 2014

Fikir Untung Sahaja...

Assalam

Semalam, saya sibuk ke majlis perkahwinan anak-anak kepada kawan-kawan suami saya semasa belajar di MCKK dulu. Biasalah suami saya dan gengnya. Mereka sangat rapat, jadi para isteri-isteri pun terpaksa merapatkan diri sesama sendiri. Kebetulan juga, majlis yang diadakan di malam hari semalam, merupakan satu majlis yang sungguh grand, ada tetamu-tetamu VVIP. Kebetulan juga, rakan suami saya itu merupakan usahawan yang sangat berjaya. Orang berduit pasti menyediakan majlis perkahwinan yang grand untuk anak-anak. Tapi kalau kita kurang duit, buatlah apa yang kita mampu. Jangan pula dah tahu tak berduit, tapi berangan nak buat macam majlis raja-raja!

Sajalah nak cerita sedikit tentang perilaku manusia. Kadang-kadang kita pun mungkin jadi terkejut kalau sedar bahawa ada karakter yang kita sangka macam alim, rupa-rupanya hanya alim kucing. Macam kucinglah... sentiasa mahu mencari ikan, kalau tak dapat yang berisi, tulang pun jadilah!

Baru-baru ini, adalah musibah yang terjadi di rumah bekas jiran saya (bukan di tempat sekarang) dan kebetulan, anak-anaknya menguruskan hal kematian ibu mereka. Ibu mereka meninggal di rumah, jadi memang ada rancangan untuk membawa jenazah ke surau, tetapi cadangnya untuk bawa bila siang hari esoknya. Ibu mereka meninggal di malam hari.

Tapi... adalah satu karakter ni yang mahu anak-anak si mati membawa jenazah ibu mereka di malam hari itu juga. Alasannya begini, "Kalau jenazah ada kat surau, lagi ramai orang boleh datang melawat sebab nak parking senang. Bila ramai yang datang, ramailah collection kamu nanti sebab biasalah bila orang meninggal, ramailah yang nak bersedekah. kamulah untung nanti..."

Ya Allah ya Tuhanku... bila saya diceritakan hal ini, saya sungguh terkejut. Kebetulan, ketika kematian ibu mereka, saya berada di Indonesia, tetapi anak-anak saya mewakili saya dan suami untuk menziarahi jenazah. Kata-kata itu tadi dikeluarkan di depan anak-anak saya dan anak-anak arwah jiran saya.

Begitulah manusia, sekalipun mungkin merupakan orang kuat surau, tapi kalau kepala otak hanya fikirkan 'untung' dari segi material, maka tak tahulah kita jenis amalan baik apa yang dipraktikkan ketika menjadi orang kuat surau.

Saya memang biasa dengar tentang 'collection' yang diharapkan bila sesebuah keluarga itu mengaturkan majlis perkahwinan. Ada tu memnag sengaja mengajak tetamu yang ramai dengan harapan lebih banyak collection yang akan dipungut! Nauzubillah min zalik. Tapi... untuk urusan 'orang mati' pun sama juga kepala otaknya???

Bukankah lebih baik dan afdhal kalau kita bersedekah ketika ahli keluarga meninggal bagi pihak ahli keluarga kita itu? Apa sahaja yang kita sediakan dari segi makanan atau urusan kematian, biarlah kita lakukan dengan ikhlas untuk si mati, bukan dengan harapan kita akan berjaya mendapat keuntungan yang besar kerana ramai yang akan menyumbang!

Sedihnya bila saya dapat tahu hal ini. Mujurlah anak-anak bekas jiran saya tidak mata duitan dan mereka abaikan kata-kata 'orang kuat surau'. Bagi mereka, biarlah mereka uruskan pemergian ibu mereka dengan penuh rasa kasih dan sayang bukan dengan mengharapkan sumbangan orang di sekeliling!

Untuk makluman anda, blog saya ini kerap dikunjungi 'penggemar drama Melayu' kerana ligat di instagram pelakon-pelakon terbabit dengan penggambaran drama 'Setulus Janji' di Manchester . Yang rajin update instagramnya ialah Elfira Loy, Fahrin Ahmad dan juga Fida Ibrahim. Memang cantik-cantik gambarnya membuatkan saya juga teringat pada Manchester.

Wassalam.



                                                Salah satu scene dalam drama Setulus Janji.
                      Imanina (Elfira Loy) dan Insyirah (Fida Ibrahim) sedang berbual-bual di Manchester