Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Saturday, July 30, 2011

HONDA HYBRID SAYA HAMPEH!


Contoh kereta dan Bateri Hybrid

Salam

Pernah tak anda lakukan sesuatu kerana kata hati anda mahukan begitu? Mahu lakukannya kerana itulah pinta hati kecil anda. Ikut instinct kata orang putih dan itulah yang sedang saya lakukan. Saya ingin maklumkan kepada pembaca-pembaca blog saya dan juga orang-orang di luar sana tentang sebuah cerita benar berkaitan dengan kereta yang saya beli sekitar dua tahun yang lalu.

Pasti anda pernah dengar tentang kereta hybrid, kan? Kami (saya da suami) terpikat untuk membeli kereta Honda Hybrid ini pada bulan April 2009, setelah 'dikelentong' oleh pihak Honda melalui iklannya, konon-konon bateri IMA (bateri yang berfungsi untuk menjalankan teknologi hybrid) mampu bertahan sekitar 12 hingga 20 tahun. Malah, semasa kami berjumpa dengan 'dealer' itulah 'kelentong' mereka. Dibuktikan dengan brosur yang diserahkan kepada kami.

Kami membeli kereta itu dengan harapan kami akan mampu berjimat dalam hal 'minyak' keretanya kerana itulah guna utama siapa-siapa pun membeli kereta Hybrid. Bukan untuk berasa glamor kerena memakai kereta yang mempunyai label Hybrid. Kalau nak glamor (kalau saya orang kayalah), baiklah saya pakai Ferrari macam sesetengah orang tu.

Malangnya, semasa kereta kami cecah 85,000 km, lampu bateri IMA nya asyik berkelip. Bila kami beritahu pada pihak Honda (yang servis kereta), dia kata okey tu, tak ada apa-apa. Malah, masa kereta kami cecah 99,000 km, kami hantar kereta itu pada pihak servis, dan masih mereka kata tak apa. Sebaik sahaja cecah 101,000km dan warranty habis tempoh, terus bateri IMA nya buat hal dan pihak servis kata kami kena tukar bateri IMA tu untuk jalankan hybridnya!

Memang gila betul sebab harga bateri IMA bukannya seciput, tetapi RM15,000!

Mestilah kami naik angin, kerana dan sah-sah kami kena kencing dengan pihak HONDA! Dahlah mereka menipu melalui iklan mereka, lepas itu mereka main lepas tangan aje!

Untuk makluman anda sekelian, kami merupakan antara orang yang terawal membeli kereta Honda Hybrid dan kami percaya hanya kereta kami sahaja yang sudah mencecah 100,000 km di Malaysia. Jadi, kemungkinan besar orang lain tak tahu lagi tentang hal yang mungkin timbul berkaitan dengan bateri IMA ni. Kalau anda rajin semak di Internet, memang dah banyak masalah macam ni di luar negara.

Saya harap anda di luar sana berjaga-jaga dengan apa yang saya tulis ini. Saya bercerita tentang kereta saya yang sedang berdepan dengan masalah bateri IMA. Jadi... fikir-fikirlah sendiri kalau anda juga bercadang untuk jadikan kereta macam saya ni kereta kesayangan anda.

Biarlah saya katakan di sini saya beli kereta itu dengan harga RM130,000, bukannya seringgit dua, dan tanpa bateri IMA nya, teknologi hybrid yang dibanggakan pihak Honda boleh kita anggap sebagai satu cerita DONGENG sahaja.

Saya izinkan anda menyampaikan cerita ini kepada teman-teman anda atau saudara mara anda, kerana ini adalah satu cerita benar yang terjadi pada saya. Insya-Allah, saya tak akan mendiamkan diri.

Thursday, July 28, 2011

Bismillah dan Alhamdulillah

Salam

Tiada kata-kata yang lebih baik daripada ucapan memuji Allah SWT. Mulakan semua perbuatan dengan ucapan Bismillah (in the name of Allah), sudahi dengan ucapan alhamdulillah. Sebutkan selalu 'Insya-Allah' pada setiap perkara yang belum tahu kesudahannya, katakan juga Masya-Allah, Subhanallah. Pujilah Tuhan agar hati sentiasa tenang dan jiwa tenteram. Insya-Allah, Tuhan mendengarnya.

Wednesday, July 27, 2011

Menumpang Kesedihan Orang Lain



Salam

Saya masih kesibukan tetapi tak puas hati kalau tak menulis di blog ini. Mungkin dah biasa kot, dah jadi habit melepak di blog ini. Kalau tak lama, sekejap pun jadi, kecualilah saya keluar. Bukan tak boleh buka blog kat tempat lain, tapi tak selesa. Syok kat rumah jugak, tak suka di perjalanan.

Hari ni, saja nak berbual tentang perasaan. Mungkin dah berkali-kali saya bincang tentang hal ini di blog ini, tetapi memang tak akan puas, ada-ada sahaja ceritanya. Mungkin juga teringat pada kisah blog balu yang saya muatkan di entri sebelum ini. Berkali-kali saya menangis bila membaca entri-entrinya, berasa sedih dan cuba tumpang bayangkan keadaannya. Dalam pada itu, saya teringat dua orang anak sepupu saya (yang berlainan) dan kedua-duanya menjadi balu dalam usia yang terlalu muda.

Yang seorang itu, khilangan suami dalam kemalangan jalan raya (Sama macam balu di blog berkenaan) dan mempunyai dua orang putera kecil. Semasa tragedi berlaku, suaminya menaiki motor berenjin kuasa besar. Ketika melawat keluarganya, saya sebak kerana isterinya masih dalam hari kerana melahirkan bayi kecil. Kisah ini terjadi sekitar empat tahun yang lalu dan anak sepupu saya masih terkapai-kapai menjaga anak-anaknya hingga ke hari ini. Mujurlah ada ibu bapa yang dijadikan tempat tumpang kasih.

Seorang lagi pula, baru sangat berkahwin dan mereka bekerja di Dubai dan tiba-tiba sahaja suami diserang barah lalu meninggal dunia. Tinggallah sang isteri terkapai-kapai. Kebetulan, ibunya pula sedang sakit, jadi tidaklah dapat dia menumpang kekuatan ibunya. Memang sedih bila melihat kedaannya. Hanya Tuhan yang tahu perasaan mereka yang tiba-tiba sahaja menjadi balu muda.

Sejak kebelakangan ini, hati saya kerap tersentuh, perasaan juga mudah sangat terasa. Tak tahulah mengapa, mungkin sedang menumpang kesedihan orang lain. Mungkin juga beginilah hati penulis seperti saya, ada kala ingin bayangkan perasaan orang hinggakan terlalu terasa akan keadaannya.

Apa pun, mungkin baik juga kalau kita semua melihat akan keadaan orang lain. Saya selalu mengingatkan diri saya ini. Kalau kita rasa kita mempunyai banyak masalah, bayangkan orang lain yang lebih hebat dugaannya. Kalau kita rasa kita tak berduit, bayangkan orang lain yang mungkin ada duit tetapi hilang orang kesayangannya. Bayangkan juga mereka yang hilang semuanya dan berada dalam keadaan yang sempit pula kewangannya.

Belajarlah untuk bersyukur dengan apa sahaja yang kita ada dan ingatlah selalu bahawa dugaan akan selalu berdepan dengan kita dan ini semua adalah sebahagian daripada kehidupan kita di dunia ini. Buatlah yang baik-baik agar kita hidup dengan penuh kebaikan dunia dan akhirat. Insya-Allah.

Tuesday, July 26, 2011

Dialah Diariku

Gambar sekadar hiasan

Salam

Pagi ini saya akan kesibukan kerana ada urusan yang berkaitan dengan entri saya pada 14 Julai (Bila Aku Naik Darah Aku Saman Aje). Huhu... harap-harap semuanya okey nanti.

Okeylah, pagi ini sebelum keluar, saya nak tulis sedikit tentang penulisan aktiviti harian seseorang yang kita panggil 'diari'. Sekarang ni, memang jarang benar kita mendengar tentang orang menulis diari, kalau dulu-dulu memang selalu kita dengar pasal hal ini. Macam tak sah kalau tak ada diari. Diari dijadikan tempat luahan perasaan selain daripada mencatat event seharian.

Baru-baru ini, saya diminta oleh seseorang untuk mengintai blog seorang wanita muda yang baru lagi kehilangan suaminya. Usianya masih berada dalam lingkungan dua puluhan dan suami mudanya meninggal kerana kemalangan. Memang sedih bila saya membaca entri-entri di blognya. Sekalipun saya cuba membayangkan situasinya, tak mungkin sama dengan apa yang dirasainya. Apa tah lagi dia mempunyai dua orang cahaya mata yang masih kecil.

Tetapi... inilah hakikatnya, tak kira tua atau muda, bila ajal kita tiba, kita akan pergi jua sekalipun kita mempunyai isteri atau anak-anak kecil yang memerlukan. Sekalipun kasih dan sayang masih segar berbunga. Hanya Tuhan yang Maha Mengetahui. Apa pun, berbalik pada hal diari ini, saya ingin ceritakan apa yang diceritakan oleh tuan punya blog berkenaan.

Katanya suatu ketika dahulu, dia rajin menulis diari. Maklumlah itulah tempat untuk dia meluahkan rasa hati. Namun apabila sudah berumah tangga dengan putera idaman hatinya, suaminyalah menjadi diarinya. Setiap hari, diluahkan segala-galanya pada sang suami. Tak perlu lagi untuk mengatur diari. Dia bahagia buat begitu kerana mungkin kali ini diarinya lebih bercorak interaktif.

Saya teringat kepada diri saya jua. Setiap hari itu juga yang saya lakukan. Semuanya diluahkan kepada sang suami. Bila dia mendengar, jiwa dan perasaan berasa lega, tak kiralah apa kisahnya, yang penting dia tahu.

Namun Tuhan lebih mengasihi suami si tuan blog berkenaan, dan setelah suaminya diambil pergi, dia terkapai-kapai kerana diarinya sudah tidak ada lagi. Maka dia kembali kepada blog untuk meluahkan apa yang terasa di hati. Pun begitu, tak mungkin blog sama seperti sang suami, tidak semuanya dapat dicatatkan di blognya.

Saya tertarik dengan kata-katanya, ketika kita masih mempunyai kekasih hati (tak kiralah suami atau isteri), sayangilahnya. Katakanlah kata-kata kasih kita kepada yang tersayang kerana kita tak tahu ajal kita akan tiba bila. Mungkin dia atau pun mungkin juga kita yang diambil pergi. Bila dah tiada, tentulah hati akan terasa. Buat apa pun, tak mungkin akan jadi sama.

Bagi anda yang membaca blog ini, biarlah kita amalkan kata-kata sayang kepada yang tersayang. Insya-Allah, tidaklah kita rasa terkilan dan semoga 'cinta' kita akan sentiasa berbunga hingga akhir hayat dan ke pintu syurga. Amin.

Monday, July 25, 2011

Dari Lenggong Ke Lenggeng



Imej di Tasik Raban (cilok dari blog orang)

Salam semua,

Semoga semua berada dalam keadaan yang baik-baik hendaknya. Tiga hari saya tak update blog ini. Kebetulan pada hari Jumaat, saya telah menemani suami ke Perak, iaitu di kawasan Lenggong. Mungkin ramai yang tak tahu di mana terletaknya pekan Lenggong.

Lenggong ialah sebuah pekan kecil yang terletak di antara Kuala Kangsar dan Grik. Memang dah lama benar saya tak ke sana dan bila berkesempatan untuk berada di kawasan itu, saya pun meronda-rondalah. Teringat kepada nostalgia lama ketika bersama teman-teman sekolah berpuluh-puluh tahun yang lalu. Ramai juga kawan-kawan saya yang berasal dari Lenggong dan kawasan sekitarnya seperti Sauk, Raban, Chenderoh dan Lawin.

Saya pergi ke kawasan Tasik Raban dan memang best sangat kawasan tu. Tak macam dulu-dulu. Ada chalet dan resort dan 'full house' pulak tu! Kami sempat juga ke kawasan Lata Kekabu, mestilah ada air terjun kan?

Sebenarnya kami ke Kampung Beng, ada kenduri dan kami bersama-sama orang kampung makan kenduri kerbau masak rendang, kambing masak kurma dan ayam kampung goreng. Siap ada tempoyak dengan ikan kering lagi. Adoi mak, memang kena betul dengan selera saya!

Saya dan suami sempat melancong ke kawasan Grik dan terus ke Pulau Banding, cuma tak sempat ke Hutan Belum aje. Kami ronda-ronda dan relaks. Berhenti solat dan beli-beli buah-buahan tempatan. Ada timun betik (Mesti ramai yang tak tahu nama buah ni), ada tembikai comel, ada durian dan paling banyak ialah pisang. Semua jenis pisang ada.

Kami tidur di Lenggong, tetapi masa nak balik tu, kami singgah juga di Kuala Kangsar. Takkan tak singgah kot, itulah kampung saya walaupun dah tak ada siapa-siapa di sana. Pekan Kuala pun dah banyak berubah wajah. Saya ke sekolah saya dan juga ke sekolah suami saya. Yang wajib ialah pergi makan laksa dengan cendol kat tepi sungai. Lepas tu pergi beli roti Double Lion (Orang Kuala aje yang tahu). Dapat juga beli apam daun pisang dengan putu Perak. Memang puas hati, beb!

Adoi... akhirnya tinggal lah Perak dan kami terus balik ke Negeri Sembilan. Siapa sangka, kan... saya tak pernah bayangkan yang sekarang ini saya dah berkampung di Negeri Sembilan. Siap saya ada tanah di kawasan Lenggeng. Itulah yang saya katakan dari Lenggong ke Lenggeng, bunyi nak macam sama aje, tapi negerinya lain-lain. Dulu saya bermain di Lenggong, kini saya berubah tanah pula dan bermain di Lenggeng!

Apa pun, bagi saya, Lenggong dan Lenggeng merupakan latar yang indah. Ada gunung, ada sungai dan ada orang kampung yang baik-baik belaka. Alhamdulillah.

Thursday, July 21, 2011

Ada Konflik Dalam Hidup Anda?


Salam

Perancangan saya ialah untuk adakan ruang 'berbual' dengan pembaca saya yang ingin membawa isu-isu konflik dalam 'love life' mereka dan saya bercadang untuk berbincang di laman web yang disediakan di www.ainaemir.com

Tetapi buat masa ini saya masih kesibukan dan kerana itu laman web itu belum dapat saya aktifkan sepenuhnya. Apa pun, memang saya akan lakukannya dalam sedikit masa lagi, insya-Allah. Jadi, kalau anda mempunyai sebarang kisah atau cerita tentang 'love life' anda, bolehlah menyampaikannya di ruang yang akan kami sediakan nanti. Sebenarnya ruang ini adalah untuk saya dan pembaca berlaku interaktif dalam perbualan hal-hal dan konflik yang sedang berdepan dengan sesiapa jua (tak kira dah kahwin atau belum, lelaki atau perempuan, tua atau muda).

Sementara menunggu, sekiranya anda mempunyai apa sahaja cerita yang boleh dikongsi sama, silalah hantar e-mel kepada saya (boleh guna identiti sembunyi/samaran) dan bila ruang di laman web yang saya maksudkan sudah disediakan, bolehlah saya letakkan kisah-kisah ini di ruang tersebut.

Tak kisahlah apa pun ceritanya, asal tidak mengaibkan siapa-siapa(jangan letak nama sebenar orang berkenaan, misalnya nama suami/isteri, kekasih atau bekas kekasih) dan ruang ini disediakan sekadar untuk berkongsi cerita dan dapatkan pendapat, bukan untuk selesaikan sebarang masalah peribadi.

Anda juga boleh beri pandangan tentang apa-apa sahaja yang sedang berlaku dalam masyarakat kita hari ini, misalnya tentang hantaran dan mas kahwin, tentang cara memilih jodoh, tentang campur tangan ibu bapa dalam hal rumah tangga,kesibukan bekerja, tentang poligami dan macam-macam lagi.

Kalau anda mempunyai pandangan dan idea, sila beritahu saya juga. Semoga ruang ini nanti akan memberi menafaat kepada kita semua, insya-Allah.

Wednesday, July 20, 2011

Kenapa Dia Tak Setia?


Salam

Sebelum saya masuk ke tajuk entri kali ini, saya ingin maklumkan bahawa semalam saya kehilangan seorang teman akibat barah. Dia merupakan seorang pensyarah di UKM. Semoga rohnya dirahmati Allah SWT.

Semalam juga, saya berkesempatan untuk berada di sebuah sekolah menengah di kawasan Lembah Klang. Sekolahnya menarik dan cantik, maklumlah sekolah baru, terletak pula di kawasan yang indah juga. Kebetulan, cikgu-cikgunya sangat baik, begitu juga dengan pelajar-pelajarnya. Alhamdulillah. Semoga mereka akan tertarik untuk menulis. Insya-Allah.

Berbalik kepada judul hari ini, saya teringat dengan cerita seorang teman. Katanya, "Dulu dia memang sayangkan saya. Maklumlah, saya ni bukannya cantik pun, sedang-sedang sahaja. Dulu, dia juga hidup cara sedang-sedang. Mungkin berada di kategori yang agak susah juga. Sebab itulah dia pilih saya. Sesuai dengan kedudukannya. Tapi sekarang dia dah jauh lebih senang. Maklumlah, kerjayanya cemerlang. Orang semua dah kenal dengan dia. Jadi... saya ni dah tak sesuai untuk dia. Tak setaraf lagi. Tak macam dulu. Sebab tu lah dia kata dia kena cari yang lain, yang lebih sesuai untuk kedudukannya."

Itulah keluhan hatinya. Malah, kisah itu bukan kisah yang 'solo', mungkin terlalu banyak kisah yang seperti itu. Dulu okey, sekarang dah tak okey. Memang sedih kita mendengarnya, tetapi itulah hakikat dan realiti dunia. Manusia boleh berubah hati. Kesetiaan bukan merupakan sesuatu yang perlu dihormati.

Bila tahap ekonomi berubah, kerap kali juga hati turut berubah.

Perlukah kita lakukan sesuatu untuk ikut tahap ekonomi kita? Maksud saya, kalau kita rasa kita tak cantik sangat, tapi bila suami berubah status ekonominya, kita turut ubahkan rupa kita pula?

Adoi... peninglah kepala.

Tapi... bagi sayalah, biasanya, tak kiralah lelaki atau perempuan, kalau mereka jenis yang tak setia, mereka akan terus begitu. Kalau tak hari ini, esok-esok mereka akan berubah juga. Mungkin alam persekitaran mereka yang buat mereka jadi begitu. Rasa perlu untuk berubah, mungkin tiba-tiba sudah jadi bosan dan jemu dengan yang satu itu.

Hoi kesiannya.

Tapi bukan semuanya begitu. Ramai yang terus setia hingga akhir hayat.

Sebenarnya juga, hidup memangnya macam itu. Tak mungkin tak ada apa-apa yang berlaku. Kalau tak begini akan jadi pula begitu. Cuma kita sebagai manusia, kenalah terima segala dugaan yang datang. Ujian yang diberikan Tuhan kepada kita ialah untuk menyedarkan kita tentang kewujudan-Nya. Betapa besarnya kuasa Allah SWT.

Tak usah kisahlah kalau ada yang tak setia. Mereka hanya sekadar manusia biasa. Kalau hari ini mereka lakukan ini kepada kita, esok-esok mungkin mereka pula yang terkena.

Cintailah Tuhanmu, Allah SWT juga akan terus mencintaimu. Insya-Allah.

Tuesday, July 19, 2011

Sayangilah Dia Seadanya


Salam

Ingat tak masa kita jatuh cinta? Ingat tak masa kita angkat nikah dengannya? Ingat tak masa kita mula-mula tahu tentang dia, tentang bagaimana kita terasa hebat dengan kehadirannya? Kita tak dapat tidur lena kerana dia, dan kita tak lalu makan bila dia pergi jauh.

Tapi... kenapa semua rasa tu boleh hilang?

Tiba-tiba sahaja kita tak rasa yang dia tu hebat sangat. Ada-ada yang tersilap dan terkurang dengannya. Dia tidur berdengkurlah, berat badan dia dah tak macam dulu lagi, dia tak pandai bergaya, asyik pakai baju kelawar siang dan malam, perut dia naiklah macam orang mengandung empat bulan, rambut dia tak lebat macam dulu lagi, gaji dia taklah banyak mana, mak ayah dia asyik menyibuk aje, adik-beradik dia suka mengganggu, kawan-kawan dia suka datang rumah...

Aduh... macam-macam yang menyakitkan hati kita!

Pernah tak rasa macam tu? Atau kita tak pernah nak mengaku kerana kita rasa diri kita terlalu baik dan sempurna, begitu juga dengan dia?

Ayoyo, buat apa kita tipu diri kita, baik kita mengaku aje. Kadang-kadang itulah perasaan kita dengan pasangan hidup kita. Kita tak sempurna begitu juga dengan dia.
Ya, betul tu. Kita tahu bahawa pasangan kita itu sekadar manusia biasa. Begitu juga dengan diri kita. Masing-masing ada kebaikan dan ada keburukan. Ada kekuatan dan ada kelemahan. Tak pernah sempurna, kerana kesempurnaan itu bukan hak kita.

Jadi, sebagai teman dan pasangan hidup, yang ini kita kena tahu dan terima kenyataan. ‘We are not perfect.’

Kalau kita sedar akan kenyataan ini, mudahlah kita memainkan peranan kita sebagai suami dan isteri. Tidaklah kita cepat melatah apabila berlaku sesuatu yang tidak menyenangkan, sekalipun muncul orang ketiga atau berdepan dengan masalah yang besar. Insya-Allah.

Terimalah hakikat bahawa kita berkahwin dengan pasangan kita kerana apa yang ada pada dirinya. Kita sayanginya ‘seadanya’. Janganlah kita mengada-ngada hendak lebih daripada itu. Mahukan dia baik, mahukan dia cantik atau kacak, mahukan dia berwang, mahukan dia romantis, mahukan segala-galanya daripadanya. Kan mustahil tu?

Saja-saja seronok bercerita tentang hal rumah tangga. Jadi, kalau anda terasa macam pasangan anda tak hebat mana, janganlah bimbang, kerana dia dan anda memang sentiasa tak pernah sempurna dan kita belajar dari semua kekurangan yang ada pada kita. Insya-Allah, everything will be okay.

Sayangilah dia seadanya.

Wallahua'lam.

Monday, July 18, 2011

Mencari Jalan



Salam

Sudah dua hari saya tak update blog ini, almaklumlah bila hujung minggu kadang-kadang terlalu sibuk. Semuanya hendak dilakukan masa hujung minggu itu. Nak mengemas, nak beli-belah (yang ni saya memang tak suka buat kecuali mustahak), melayan tetamu (biasanya tetamu suka menziarah masa hujung minggu) dan tentunya untuk menghadiri majlis perkahwinan. Kebetulan, semuanya berlaku masa hujung minggu yang lepas ini.

Saya didatangi tetamu jauh pada hari Sabtu dan pada hari Ahad pula, kami menghadiri majlis perkahwinan anak teman yang juga sangat rapat dengan anak saya. Apa pun, tahniah Juman (anak kawan saya yang kami panggil Juju), semoga berbahagia hingga ke syurga. Iyalah, dari budak-budak hingga dewasa kita melihat mereka, dan kini sudah pun bergelar isteri orang. Kebetulan juga majlis perkahwinannya diadakan di pekarangan 'Taman Botanikal' Putrajaya dan berkonsep taman. Saya dan ibu pengantin, kami memang merupakan orang yang gila-gila bunga dan taman... jadi, sangatlah sesuai! Alhamdulillah.

Tergerak juga pagi ini untuk bercerita tentang sesuatu yang saya rasa mungkin semua orang merasakannya, hanya payah untuk menggambarkannya sahaja. Ianya ada kaitan dengan 'Mencari'. Seorang penulis Barat telah menulis tentang hal ini di dalam novelnya yang berjudul 'Freedom'. Dalam novel itu beliau bercerita tentang 'pencarian' sesuatu yang payah untuk dilakarkan.

Baginya, manusia hari ini hidup terlalu bergantung kepada 'wang' hinggakan tidak tahu untuk bebaskan diri dari soal itu. Segala-galanya berkaitan dengan wang. Seolah-olah kebahagiaan mampu dikecapi kalau berwang yang banyak. Penulis adalah seorang 'jutawan' dan dalam novel itu beliau bercerita tentang kebebasan untuk berfikir dan lakukan apa yang mahu dilakukan tanpa ambil kisah dengan hal wang. Mengikut pengalamannya, 'wang' tidak pernah mampu membahagiakannya.

Mungkinkah apa yang dikatakannya itu benar?

Tentu kita semua bersetuju bahawa 'wang' bukan semua dan segala-galanya dalam hidup ini. Wang hanyalah sebahagian sahaja dalam hidup kita. Ada ketika, wang tidak memberi apa-apa makna pun sekadar tolong membayar keperluan sahaja. Tetapi, ada insan tertentu di dunia ini, hidupnya hanya mahukan 'wang' sahaja. Baginya, wang adalah segala-galanya. Dengan wang dia mampu berkuasa dan semestinya bila ada kuasa, bertambah banyaklah wang datang. Kalau tidak, mungkin tiada mereka yang bersikap seperti 'Firaun', tamak haloba, sedangkan berjuta-juta manusia yang tak mempunyai makanan. Lihatlah negara seperti di Somalia, Bangladesh, India,Pakistan,Sudan dan banyak lagi. Malah, di negara kita, juga di negara Barat, ramai yang tak cukup makan dan pakai. Mereka yang tak cukup makan dan pakai tak semestinya tidak bahagia dan mereka yang mempunyai wang setinggi gunung tak semestinya akan selamat sejahtera.

Sebanyak mana kuasa yang kita ada, akhirnya kita akan hilang semuanya. Betul, kan?

Itulah yang saya maksudkan dengan mencari. Mencari kekebasan, ketenangan jiwa,kebenaran, kawan dan teman, tanpa perlu fikirkan tentang hal 'wang' atau harta. Bebas untuk hidup selagi ada umur tanpa perlu terikat dengan soal wang.

Di akhir zaman, ramai yang terus mencari. Namun ramai juga tersasul dan terlupa bahawa kita akan jumpa semuanya kalau kita dekatkan diri dengan Tuhan. Tuhan sediakan jalan yang lurus buat umat-Nya yang mahu mengikut jalan itu. Yang tidak mahu, mereka boleh lakukan apa sahaja kerana tentunya ada juga jalan yang luar biasa.


Wallahua'lam.

Friday, July 15, 2011

Aku Berada Di Sini Buat Seketika Waktu Sahaja


Salam

Ada seorang kenalan berkata kepada saya, "Kenapa agaknya ada orang lebih suka melihat orang lain kurang daripada dia, tak suka lihat orang lebih daripada dia? Saya berasa pelik, sebab orang macam ni tak nak serahkan pada Tuhan tentang rezeki ni. Kan rezeki kita ditentukan Tuhan?"

Iyalah... kita berusaha dan kerjalah kuat-kuat. Kalau ada rezeki, insya-Allah, kalau kurang, tak apa, kita boleh berusaha lagi. Lagipun, hidup dalam dunia ni bukannya kerana nak cari duit sahaja. Banyak hal lain yang kita kena ambil peduli, kerana bukan duit yang tentukan kita bahagia atau tidak.

Semalam, saya melihat satu program (luar negara)yang menceritakan tentang seorang selebriti (penulis dan pengacara program TV) yang pernah menjadi popular dan kaya-raya. Setelah mengecapi segala kejayaan, dia jatuh tergolek-golek, terus hilang kesemua hartanya, termasuk rumah, pendapatan, segala aset yang ada, malah dia juga hilang suaminya (kerana bercerai) dan akhirnya, anaknya yang sakit turut meninggal dunia. Bertahun-tahun lamanya dia terpaksa teruskan kehidupan seperti orang yang sudah tiada apa-apa. Kini, dia sedang belajar untuk bangkit semula.

Begitulah kita manusia. Kita belajar untuk mencapai kejayaan daripada segala kerumitan dan cabaran. Tanpa itu semua, kita tak dapat menilai apa itu 'baik' dan apa yang tidak. Kita tak tahu menghargai sesuatu yang bermakna untuk hidup kita. Kita akan terus 'take things for granted', seolah-olah itulah hak kita.

Turun naik dalam kehidupan adalah perkara biasa. Namun, tak usahlah kita berasa hampa kalau kita sedang dicabar, kerana tiada manusia yang hidup di dunia ini tanpa cabaran. Pun begitu, setiap apa yang kita ada, bersyukurlah.

Berulang-ulang kali saya tuliskan hal ini dalam blog saya ini, kerana berulang-ulang kali juga teman-teman berkata-kata tentang benda yang sama. Apa pun, sebagai manusia, kita kena selalu beringat bahawa kita hanya tumpang di dunia ini. Sampai masa nanti, kita akan pergi jua. Sementara waktu yang ada ini, janganlah bersikap dengki pada teman-teman dan kenal-kenalan kita. Tidak juga pada adik-beradik kita. Sentiasalah kita beringat-ingat, bahawa bila-bila masa pun Tuhan boleh ambil segalanya daripada kita, termasuk nyawa kita.

Bila saya melihat program semalam tu, terdetik di hati saya, 'Adakah aku menghargai segala apa yang Tuhan beri padaku? Adakah aku terlalu pentingkan harta di dunia ini hinggakan aku terlupa untuk menikmati hidup seadanya? Adakah aku merupakan manusia yang tamak, aku hanya ingat perutku sahaja hinggakan aku sanggup pijak orang lain untuk cuba mencapai 'kebahagiaan'?'

Bagi saya, biarlah saya fikirkan semua ini daripada biarkan diri tak pernah fikirkan hal-hal ini. Siapalah saya ini, hanya makhluk yang diciptakan Tuhan untuk berada di bumi ini buat seketika waktu sahaja.

Thursday, July 14, 2011

Bila Aku Naik Darah, Aku Saman Aje!


Salam

Hari ini memang saya lambat update blog saya ni. Bukan saja lambat-lambatkan, tetapi tadi memang ada hal yang perlu saya uruskan di luar. Eloklah kalau saya katakan bahawa halnya ada kaitan dengan tajuk entri saya hari ini.

Huhu... kenapa agaknya darah saya naik ni? Alhamdulillah setakat ini darah saya belumlah naik untuk jadi penyakit darah tinggi, malah biasanya darah saya agak rendah. Tapi, ada ketika saya juga boleh jadi marah bila ada benda yang buat saya sakit hati!

Sebenarnya, kalau ada benda yang terjadi pada kita yang buat kita jadi marah, eloklah kita cari jalan untuk selesaikannya. Tak kisahlah apa cara sekalipun, jangan biar ia menjadi isu besar dalam hidup kita!

Kalau ada orang sengaja sakitkan hati anda,elok kalau anda berterus terang dengannya. Tapi, kalau orang itu sengaja buruk-burukkan anda di tempat lain dan anda diberitahu oleh orang lain, elok juga kalau anda pergi saman dia! Kadang-kadang itu saja caranya untuk selesaikan isu-isu yang buat kita naik darah.

Sama juga kalau ada orang ambil barang kita lepas tu buat tak kisah aje. Dulu baik dengan kita, lepas itu mungkin kerana mulut orang tertentu atau mungkin juga kerana ada orang suka 'makan rasuah', anda pula dijadikan mangsanya. Dalam hal ini... saman dia juga! Huhu...

Kalau anda beli barang dan harganya pula mahal, tentulah anda mahu yang terbaik. Apatah lagi masa nak beli tu, macam-macam pujian yang diberikan pada produk yang berkenan di hati anda tu, konon-konon produk itu sangat baik dan menguntungkan anda. Anda pun termakanlah cakap 'salesman', tapi tahu-tahu, rupa-rupanya produk itu tak seperti yang anda harapkan. Hampeh! Duit anda dah habis dilaburkan pada produk yang hampeh tu. Kalau seciput tak apalah... tapi kalau dah cecah ratusan ribu, takkan nak buat tak tahu kot? Apa lagi... pergilah saman si tukang jual tu kerana dah menipu. Kalau takat beli buku aje, tak apalah. Tak sedap boleh campak dalam tong sampah. Berapa sangatlah harga buku... habis-habis pun ratusan sahaja.

Jadi, inilah ceritanya. Saya marahlah tu, sebab tu saya sedang uruskan untuk saman orang-orang tertentu.

Mungkin lain kali saya cerita lagi. Sayonara.

Wednesday, July 13, 2011

Bosan Dengan Suami Sendiri

Gambar pinjam dari yahoo


Salam

Saya berchatting dengan seseorang (tak payahlah saya katakan siapa, cuma saya katakan dia 'W') dan dia suruh saya bercerita di blog saya ini. Katanya kepada saya, "Kak Aina... nak buat macam mana kalau kita rasa bosan tahap gaban dengan suami kita sendiri?"

Oi... berat tu. Jadi saya tanya balik, "Bosan macam mana?"

"Semuanya tak kena. Saya kahwin dengan dia dah dekat tiga tahun ni, tapi payah nak jumpa masa yang saya rasa best tinggal dengan dia. Ada kala tu, saya rasa kalau dia tak balik rumah pun tak apa. Biar dia pergi tempat lain aje!"

Saya jadi bingung. Bunyi macam pelik tu dan saya memang tak biasa berada dalam keadaan macam tu. Mesti ada sebab. Jadi saya korek lagi. "Mesti ada sebab 'W' rasa macam tu."

"Saya nak jelas memang susah,kak. Tapi... saya rasa dia tak sensitif dengan perasaan saya. Asal dulu, saya cuba jugak bersabar, tapi sekarang ni dah tak boleh dah. Dia buat rumah ni macam bukan rumah dia. Dia nak kotorkan ke, nak sepah-sepahkan ke... bila balik aje, dia relaks aje kat ruang tamu tu. Lepas tu surat khabar bersepah-sepah. Lepas baca, dia buat tak tahu aje. Saya pulak yang kena kemaskan. Malah, kat ruang tamu rumah saya tu, tak pernah nampak elok sebab dia yang tukang semakkan!"

"W explainlah kat dia yang W tak suka macam tu." Kata saya pula.

"Dah malas nak cakap dah, kak. Dia tak ambil kisah pun. Masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Dah tu, bilik air pun macam tu. Sentiasa kotor. Kadang-kadang dia buat tak ambil berat untuk 'flush', saya pulak tukang bersihkan semuanya. Sekarang ni saya dah jadi geli dan bosan dengan dia. Sebab tu kak, kami tak macam orang lain lagi. Kalau boleh saya tak nak tinggal sebilik dengan dia!"

Saya terdiam juga. Iyalah, saya dapat rasakan apa yang 'W' rasakan.

"Kak... dia ingat saya kemaruk sangat dengan 'gaji seciput' dia tu. Dia dengan saya, memang berkira. Kadang-kadang saya tak minta apa-apa pun, buat tak tahu aje. Biar saya aje yang belanja benda-benda dalam rumah ni. Saya tak kisah, kak, tapi saya rasa hidup dengan dia, saya ni macam hamba abdi aje. Saya ni kuli dia... dia pemalas dan pengotor!"

Mujurlah mereka belum ada anak lagi, kalau ada pasti jadi rumit.

Saya tak tahu nak kata apa, tapi saya percaya ramai yang berada dalam keadaan begini. Bunyi macam kecil, tapi bila hati jadi sakit, yang kecil akan berubah jadi besar. Bila isteri jadi bosan dengan suami sendiri, memang payahlah...

Semuanya akan jadi tak kena. Perasaan bosan tentunya akan berubah jadi benci.

Tuesday, July 12, 2011

Maafkanlah Aku


Salam

'Sorry is the hardest word to say'. Ya ke macam tu? Susah untuk kita tuturkan kata 'maaf' kepada teman-teman, adik-beradik, mungkin ibu bapa dan juga pasangan hidup kita? Mengapa agaknya? Mungkinkah kerana ego? Masing-masing nak menang dan tak mahu mengaku kalah. Rugikah kalau kita mengaku kalah? Atau mungkin bila kita berkata 'maaf' sebenarnya kita sedang menang.

Itulah padangan saya. Lagi baik berkata 'maaf' daripada dibiarkan 'perkelahian' berterusan. Tidak susah pun, malah langsung tak berat. Bermodal air liur aje. Mungkin tercalar sedikit perasaan kita, namun calar ini memberi keuntungan kerana kata 'maaf' itu terus merapatkan silaturahim.

Kadang-kadang kita tidak rasa bersalah dan mungkin kita tahu yang di 'sana' itulah yang bersalah, tetapi bila kita mohon maaf, sebenarnya menunjukkan keikhlasan hati kita dan tentunya yang di sana akan lembut hatinya. Tak rugi, beb! Malah, memang menguntungkan. Tak kiralah dalam apa jua hal, terutama sekali bila hal 'rumah tangga' yang dikaitkan. Dengan berkata 'maaf', banyak perkara kita pulihkan.

Bila kita yang hulurkan 'kemaafan', di sana akan terasa hatinya. Kalau dia degil, akan cairlah dia. Kalau dia jenis kasar, akan tersentuh jua hatinya. Insya-Allah. Berkata 'maaf' itu menunjukkan sifat sabar yang ada pada kita.

Jadi... kalau anda sedang tak ngam dengan siapa-siapa sekalipun, usahakanlah untuk meminta maaf, agar yang keruh akan berubah jadi jernih. Yang marah jadi suka, yang benci akan lupa segala-galanya.

Wallahua'lam.

Monday, July 11, 2011

Ubah Haluan



Salam

Dalam hidup ini, berapa kali agaknya kita memilih untuk berubah haluan? Atau mungkinkah kita tak berani untuk melakukannya? Ada orang, tak kiralah apa pun yang akan atau bakal terjadi, dia tetap tidak berubah, kerana baginya perubahan adalah satu penyeksaan. 'Status Quo' lebih selamat sekalipun keadaan itu mungkin akan mematikan dirinya.

Dalam hal rumah tangga, memang ramai yang tak berani untuk mengubah haluan. Ada sang isteri, sekalipun suaminya tak bertanggungjawab dan jahat macam setan, dia masih sanggup menunggu dan masih kekal taat walaupun jiwa raganya hancur bagaikan kaca terhempas atas batu!

Begitu juga dalam hal lain. Memang ramai yang takut untuk mengubahkan haluannya walaupun tahu yang ribut sedang berdepan dengan kapal yang dilayari, padahal lautan itu sangat luas.

Kenapa kita takut? Bukankah sebagai manusia dan insan yang beragama Islam, sudah dinyatakan Allah SWT dalam al-Quran bahawa manusia hanya perlu takut kepada-Nya. Itu sahaja. Tak perlu takut pada syaitan atau iblis kerana syaitan dan iblis juga takut pada Allah SWT.

Tak perlu takut dengan manusia lain, tak perlu takut pada 'sabotaj' yang dilakukan manusia lain, tak perlu takut rezeki kita disekat, tak perlu takut dengan fitnah, tak perlu takut dengan kata-kata umpat, perbuatan dengki manusia, atau apa-apa sahaja. Kita hanya perlu takut pada Tuhan. Kerana takut pada-Nya lah kita wajib taat pada-Nya dan kerana itulah kita solat dan kita dekatkan diri pada-Nya. Kita lakukan apa yang Dia suruh dan jauhkan diri daripada larangan-Nya.

Dalam pada itu, tak usahlah kita pula berlagak macam 'Tuhan' dan menghukum orang lain yang tak sehaluan dengan kita.

Dalam mencari rezeki di bumi Tuhan, itulah yang perlu kita lakukan. Berusaha. Kalau jalan ini tak lurus buat kita, maka ubahlah haluannya. Bumi ini luas dan macam-macam yang disediakan Allah SWT. Kita buatlah yang terbaik dan 'ubah'lah kalau itu yang perlu kita lakukan. Tak ada manusia di dunia ini yang berhak untuk pegang dan sekat rezeki kita. Tak ada siapa-siapa yang mampu mengawal masa depan kita kecuali Allah SWT.

Kalau hari ini kita rasakan ada 'gangguan', percayalah Tuhan sedang memberi kita jalan yang lebih baik. Hanya teruskan berusaha dan bersabar. Insya-Allah, dengan mengubah haluan kita, kita akan berada di landasan yang lebih baik.

Fikir-fikirkanlah. Dunia ini tetap luas sekalipun negara kita hanya sebuah negara yang kecil.

Wallahua'lam.

Sunday, July 10, 2011

Fenomena 'Tahi Jadi Bunga'



Salam

Petang semalam, sebaik sahaja tiba rumah (Dari berjalan-jalan di kawasan Negeri Sembilan), saya terkejut dan perasaan marah datang dengan tiba-tiba sahaja. Bukannya apa, tapi ada tukang (tukang rumah yang dok betulkan kawasan taman saya) gatal tangan pergi potong akar pokok kesayangan saya (pokok bunga jenis menjalar)dan kerana itu, keseluruhan pokok itu jadi layu. Ya Allah, kalau dia ada kat depan saya, mesti saya piyat aje telinga dia (cakap ajelah). Pada hal saya dah pesan dah, pokok tu jangan diusik. Nak pastikan pokok saya tak terus mati, saya tak berhenti-henti menyiramnya walaupun sampai malam. Alhamdulillah, pagi ni nampak macam okey dah... tak tahulah bila panas nanti, takut kecut semula.

Okeylah, berbalik kepada tajuk entri saya kali ini. Mesti ada yang tertanya-tanya, apa pulak yang Kak Aina nak merepek pagi ni. Hehe... bukan saya yang punya judul ni, tetapi seorang teman yang saya anggap boleh tahan bijaklah orangnya. Dia juga rajin menulis (bukan novel cinta).

Katanya kepada saya, "Kau tahu tak pasal fenomena yang selalu terhinggap orang kita?"

"Fenomena macam mana ni?"

"Fenomena yang selalu berlaku kerana orang kita suka terikut-ikut, tak payah fikir-fikir. Main ikut aje. Kalau sorang kata 'benda' tu hebat lepas tu dipukul canang sana sini, hak lain pun mulalah kata hebat. Jadi... kalau sorang kata ada 'tahi' tu harum, yang lain main ikut dan bersetuju. Last-last, 'tahi' yang busuk tu dah jadi harum macam bunga. Yang ni lah aku kata 'fenomena tahi jadi bunga'!"

Saya terdiamlah sekejap. Cuba fikirkan apa yang dia katakan tu. Tahi jadi bunga? Bahasa apa ni, bahasa satira ke?

Saya pun suruhlah dia terangkan lagi.

Dia kata, "Alah... bukannya susah pun. Macam ni... kau perasan tak orang kita ni? Kalau suka satu-satu benda tu, cepat betul merebak. Pada hal benda tu bukannya penting atau menarik mana pun. Tapi, mungkin sebab kita bukan jenis nak tengok pilihan yang ada tapi lebih suka pada 'satu benda' yang menarik minat orang-orang tertentu, jadi kita pun terikut sama."

Huh! Saya lagilah pening. Tapi sekejap aje.

"Tak kisahlah bidang apa pun. Hiburan ke, politik ke, Seni ke, Fesyen ke, termasuklah trend bisnes. Sekor buat, hak lain main ikut sama. Sekor suka, hak lain suka sama. Misalnya kalau kau tengok dalam dunia hiburan. Pernah dulu, orang kita ni jadikan sekor mamat ni 'fenomena' yang merasuk masyarakat orang kita. Tak kira anak dara ke, mak cik ke, pak cik ke... semua dok kata mamat ni hebat gila. Kononnya ada 'aura'. Tup-tup hilang! Auranya juga turut hilang. Hah, hak macam ni lah yang aku kata 'Fenomena tahi jadi bunga'. Bila satu benda tu tak menarik mana, tapi kita dok kata hebat, lepas tu orang lain pun tergila sama, yang tulah wujudnya 'fenomena songsang' macam tu. Lepas tu, bila dah bosan mungkin, atau 'terfikir', mulalah yang bunga tadi berubah wajah jadi tahi balik!"

Adoi...

"Kau tengoklah benda-benda lain, pun sama juga. Pada hal, banyak pilihan dan kita sebenarnya tak payahlah ikut sangat dengan arus yang bergelombang tu, takut nanti kita hanyut. Kau tengoklah dalam dunia hiburan, dulu orang tergila-gila dengan 'reality show berbentuk nyanyian'. Semua TV buat benda yang sama, konon-konon ia dah jadi fenomena dan sebab itu setiap stesen TV wajib ada. Lepas tu, berubah, tiba-tiba aje orang kita tergila-gila dengan program realiti berbentuk lawak. Macam nak gila pulak tengok yang lawak ni, sampaikan lawak bodoh pun dok tergelak-gelak sampai terbahak-bahak! Macam tu lah dengan politik. Cepat sangat kita terikut-ikut, tak payah fikir-fikir."

Saya mengambil masa untuk 'menghadamnya'.

"Kau tengok trend wayang Melayu, sama jugak. Tiba-tiba berlambak cerita hantu, macam orang kita ni semuanya suka giler dengan hantu. Adoi..."

Saya fikir lagi.

"Buku pun sama. Bila ada yang kata 'penulis C' hebat, macam nak rak orang beli buku dia. Aku tak kisahlah kalau semuanya sedap, tapi tak semua macam tu. Mungkin satu je yang best, tapi penulis pun boleh jadi 'fenomena' untuk yang nak baca bukunya. Takut nanti tup tup barulah perasan rupa-rupanya 'penulis C' tu taklah hebat mana."

Saya jadi gerun. Tapi mungkin betul juga apa yang dikatakan kawan saya ni. Kita tak pandai untuk belajar menyukai banyak benda dan tidak 'limit' kan diri pada benda yang orang lain kata 'best'. Mungkin sebab itu, ada orang akan hanya beli benda yang orang lain kata best, bukan kerana dirinya yang menganggap 'benda' itu memang best! Kita suka ikut cakap orang tetapi tidak membuat penilaian sendiri.

Kenapa agaknya? Apakah rata-rata orang kita kurang bijak? Atau mungkin kita malas untuk berfikir, kita biarkan orang lain buat keputusan untuk kita dan kerana itu, kita selalu terikut dan biarkan 'tahi' kita anggap wangi macam 'bunga' dan lama-lama nanti barulah kita sedar bahawa 'tahi' itu sebenarnya memang 'tahi', hanya kita yang tersasul dan terfikir yang itu 'bunga'!

Wallahua'lam.

Friday, July 08, 2011

Kalau Tak Ada Duit, Jangan Kahwin!



Salam

Bila kita berbincang tentang jumlah hantaran kahwin (bukan mas kahwin), ada macam-macam pendapat. Ada orang kata, eloklah kalau hantarannya banyak. Apatah lagi kalau si gadis (janda pun sama jugak) itu cantik, berpelajaran dan merupakan anak orang berada. Tak 'cool' kalau hantarannya 'ciput', memalukan keluarga. Malah, memang dah jadi kebiasaan, bila ada yang mahu berkahwin, itulah yang ditanya orang. "Berapa hantarannya?" Lagi banyak, lagilah hebat.

Saya teringat satu kisah yang benar-benar terjadi. Adalah hamba Allah ini, yang mahu mengumumkan secara besar-besaran tentang perbelanjaan hantaran kahwin anaknya (seorang doktor). Jumlah hantaran termasuk juga barang-barang kemas yang diminta untuk anaknya itu. Dipastikan jiran tetangga semua tahu, begitu juga saudara-maranya. Macam nak terbeliak juga biji mata kaum kerabat bakal menantunya. Mungkin terkejut agaknya. Walaupun bakal menantu juga seorang doktor, tetapi keluarganya bukan orang kaya.

Pada hari perkahwinan, kami dapat tahu bahawa pengantin lelaki tidak terbawa pun keseluruhan jumlah yang dipinta. Ketika itu, kami terasa macam berada di Gunung Ledang, bersama-sama Puteri Gunung Ledang. Adoi. Tapi... mereka kahwin juga, maklumlah, kalau nak dibatalkan pun memang tak patut. Kedua-duanya dah lama bercinta.

Adalah saya terbaca komen seseorang (yang dikira hebatlah orang itu) yang mati-mati percaya bahawa memang jadi tanggungjawab pihak lelaki untuk membawa jumlah hantaran mengikut harga pasaran hari ini. Kalau tak mampu, baiklah berpuasa sahaja, jangan kahwin! Itulah katanya. Kerana itu adalah tanggujawab pihak lelaki. Kalau tak ada duit untuk hantaran, maknanya tak mampu bertanggungjawab untuk kahwin nanti. Lagipun, katanya duit itu bolehlah pihak isteri menyimpan. Esok-esok kalau suami buat hal, isteri ada duit simpanan untuk membantunya dan anak-anak.

Kesiannya.

Mungkin saya 'confuse' kot, sebab bagi saya, kenapa kita perlu kaitkan jumlah hantaran untuk bakal pengantin perempuan dengan 'tanggungjawab' untuk memberi nafkah kepada isteri? Bukankah 'mas kahwin' merupakan perkara wajib, dan hantaran itu adalah 'adat' semata-mata. Kebanyakan ibu bapa, mereka gunakan duit hantaran untuk perbelanjaan kahwin anaknya dan ramai bakal pengantin lelaki terpaksa berhutang kerana nak kahwin.

Jadi, bagi saya, apalah hebatkanya kalau memberi duit hantaran yang tinggi sedangkan diri sudah terikat dengan hutang!

Bila dah berhutang, tentulah ada masalah bila mulakan rumah tangga nanti. Setiap bulan, duit habis bayar hutang! Boleh bahagia ke?

Lagipun, kenapa kita harus mempunyai sikap negatif bila hal perkahwinan dibincangkan, seolah-olah semua perempuan kena bersiap sedia untuk berdepan dengan masalah rumah tangga? Kenapa juga kita tidak mahu percaya pada Ketentuan Ilahi? Bukankah rezeki ditentukan Allah SWT? Kita hanya perlu berusaha sahaja. Sekalipun diceraikan, banyak orang perempuan yang mampu berdikari. Kenapa kita terlalu takut tentang hal duit, makan minum dan tempat tinggal?

Saya tak tahulah dengan pendapat orang lain, tetapi bagi saya, biarlah bila kita mahu mendirikan rumah tangga, kita lakukannya dengan ikhlas dan jangan terikat dengan hutang.

Masa saya kahwin dulu, ayah saya tak minta pun sebarang wang hantaran. Alhamdulillah, tak pernah lagi terlintas di fikiran saya bahawa suami saya tak bertanggungjawab kerana tidak memberi wang hantaran! Saya bersyukur dengan Nikmat Tuhan kerana alhamdulillah, kami mampu hidup macam orang lain juga. Bagi saya, banyak barkatnya. Syukur, saya tak pernah merungut atau mengungkit.

Jadi... saya sangatlah tak bersetuju dengan pandangan dan pendapat orang yang mengatakan bahawa 'wang hantaran' wajib diberikan kepada pihak perempuan dengan jumlah yang tinggi, ikut harga pasaran!

Wallahua'lam.

Thursday, July 07, 2011

Kenapa Ada Isteri Yang Curang?

Gambar sekadar hiasan


Salam

Kalau anda perempuan dan berkahwin, sanggupkah anda untuk berlaku curang?

Rata-rata, semua akan berkata tidak. Itu merupakan naluri seorang perempuan, tambah pula agama kita tidak membenarkan perkara seperti itu berlaku. Ia merupakan dosa besar kalau seorang perempuan menduakan suaminya. Huh, berat tu...

Pun begitu, bukanlah sesuatu yang sangat menghairankan kalau perkara seperti ini berlaku. Kalau lelaki curang, kita memang selalu mendengarnya, apatah lagi lelaki memang dibenarkan untuk beristeri lebih daripada seorang. Lelaki diberi lesen untuk berkahwin dengan lebih daripada seorang isteri.

Namun begitu, trend hari ini, banyak isteri yang juga berani untuk berlaku curang. Tak tahulah mengapa, tetapi bila perkara seperti ini berlaku, adakah kita beranggapan bahawa si isteri itu yang jahat? Atau... mungkinkah dia jadi begitu kerana sikap atau perbuatan suaminya juga?

Dalam begitu, mungkinkah si isteri sememangnya jenis macam itu? Jenis yang tak ambil kisah dan tak peduli tentang baik buruk, halal dan haram? Dulu pun dia begitu, dah kahwin pun macam itu juga.

Banyak juga para isteri yang mempunyai sifat dendam dan 'benci' pada suami sendiri dan kerana itulah mereka mencari kesempatan untuk berlaku curang.

Sebagai suami, bukankah dia wajib untuk melindungi isterinya? Kalau isteri tak tahu tentang baik buruk, suami kenalah tunjukkan. Kalau isteri tak kenal apa itu dosa dan tidak, apa itu halal dan haram, suami kenalah ajar. Kalau dibiarkan, tentulah isteri yang jahil akan terus kekal kejahilannya. Malah, banyak isteri yang jahil kerana suami mereka juga jahil.

Dalam pada itu, ada juga isteri yang jenis tak menghargai suami. Sepatutnya seorang isteri yang dihadiahkan seorang suami yang baik hati, baik tingkah lakunya, tidak kedekut dan sayang pula pada isteri, isterinya patut bersyukur. Tetapi... kalau isteri berlaku curang, tentu ada sebabnya, kan?

Pada mata kasar kita, mungkin kita merasakan bahawa suami yang kelihatan baik itu sememangnya baik. Namun, hanya isterinya sahaja yang tahu.

Apa pun, bukan tak ada perempuan yang jenis tak ikhlas dalam perkahwinan. Serupa dengan lelaki juga, sememangnya ada yang jenis tak bertanggungjawab dan dayus. Dalam hal ini, siapa-siapa pun boleh jadi curang pada pasangan.

Suami dan isteri payah nak curang kalau rumah tangga tidak dilanda ribut. Untuk pastikan ribut tak datang, sama-sama kena berperanan agar sebarang konflik yang berdepan tak mampu untuk menggoyahkan istana yang dibina.

Dalam pada itu, manusia tetap manusia. Tak ada yang sempurna. Kalau berlaku sebarang kesilapan dan khilaf, mohon maaf dan ampun pada pasangan dan pada Tuhan. Bertaubatlah. Allah SWT Maha Pengampun. Janji... kita tidak mensia-siakan nikmat yang dianugerahkan Tuhan kepada umat-Nya.

Wallahua'lam.

Wednesday, July 06, 2011

Di Mana Best Untuk Berbulan Madu?


Antara Destinasi Berbulan Madu - Phuket, Thailand

Salam

Ramai yang suka baca entri saya tentang 'Malam Pertama'. Ada pula yang berkata, "Sambunglah lagi, Kak Aina... pasal Malam Pertama tu." Hehe... bab tu payahlah sikit. Dalam 'Hingga Akhir Hayat', memang ada yang saya perkatakan, tapi mungkin tak sesuai lah nak letak semuanya kat entri saya ni. Apa-apa pun, banyak yang saya kongsi bersama pembaca tentang hal nak cari calon, hal mula-mula berkahwin dan bila dah lama berkahwin. Kadang-kadang kita terlupa nak beri perhatian, bukan sengaja tak nak beri perhatian, betul tak? Kadang-kadang kita nampak yang elok pada orang, terlupa nak lihat apa yang cantik yang sudah ada pada kita. Insya-Allah, 'Hingga Akhir hayat' memperkatakan benda-benda yang mungkin anda terlupa untuk memberi penilaian.

Dalam entri ini, saya nak berborak (bercerita) tentang hal 'berbulan madu'. Bukanlah penting sangat berbulan madu ke tidak bila kita mula-mula dirikan rumah tangga tu, tapi kalau ada bajet, memang tak salah kita pergi berbulan madu. Berdua-duaan tanpa ada gangguan orang lain. Maklumlah, kalau kita bercuti tapi tinggal satu bumbung dengan mak ayah, memang payahlah nak ada mood 'berbulan madu' tu.

Bagusnya berbulan madu ni kita akan sentiasa teringat akan mood berkasih-sayang tanpa gangguan orang lain. Esok-esok, bila dah lama kahwin, mungkin kita teringat suasana begitu dan elok juga dari masa ke masa kita usahakan untuk berdua-duaan dengan pasangan tanpa gangguan orang lain, termasuk anak-anak (dan cucu-cucu... hehe). Bagi saya, 'berbulan madu' ni memang baik dan menyegarkan, terutama bila kita baru berkahwin.

Pilihlah lokasi yang menarik. Tak payah terikut-ikut dengan apa yang orang lain buat. Kita ikut bajet kita dan apa yang kita suka nak buat, maksud saya tentang tempatnya. Kalau ada duit, mungkin kita boleh cari tempat penginapan yang berbintang-bintang. Tentang lokasi pula, tak kisahlah dalam negeri atau luar negara, tetapi pilihlah di mana-mana saja yang kedua-dua anda suka. Mungkin di tepi pantai, di kawasan pulau, di atas gunung atau bukit, di tepi sungai atau tasik, di dalam hutan (misalnya di kawasan Hutan Belum atau Taman Negara... memang best, beb). Ikut suka hatilah.

Antara tempat-tempat di dalam negeri yang menjadi pilihan pasangan, mungkin di Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Langkawi, Pangkor Laut dan Cameron Highlands dan di luar negara pula, Pulau Bali, Phuket dan Mauritius.

Biasanya bila nak berbulan madu ni, anda tak payahlah pilih kota-kota besar seperti Bangkok, Hong Kong atau Tokyo, sebab bagi saya, tempat macam tu kurang sesuai. Yang eloknya, jangan cari tempat yang akan membawa anda pergi bershopping-shopping. Nanti belanja jadi besar dan anda berdua tak ada masa untuk bermesra. Dok sibuk masuk kedai keluar kedai aje! Last-last nanti, boleh jadi berkelahi.

Sebab tu saya rasa agak peliklah bila saya dengar orang pukul canang nak pergi honeymoon ke London, Paris atau New York... hehe. Dok bershoppinglah tu. Iyalah, kalau dah kaya-raya, mungkin seronoklah kalau dapat menghabiskan duit lagi.

Tapi, yang penting ialah 'perhubungan' kita dengan pasangan. Sebab itulah saya kata pilihlah tempat-tempat yang tak sibuk sangat. Lagi romantik latarnya, lagilah best. Hanya anda berdua sahaja. Biar kita rasa nyaman, terhibur agar mood pun jadi okey.

Kalau semuanya okey, fikirkanlah tentang tempat untuk berbulan madu bagi mereka yang mahu berkahwin. Elok kumpul duit dari sekarang. Biasanya dengan anak-anak saudara saya yang baru berkahwin, kadang-kadang saya suka jugak sponsor percutian mereka untuk berbulan madu tu, janji jangan pilih tempat yang bukan-bukan mahal dahlah...

Tapi, kalau tak berbulan madu pun tak apa. Tak jadi salah dan tak berdosa pun. Masa saya kahwin dulu, mula-mula tu memang tak pergi mana pun sebab saya masih belajar. Tetapi masa saya join suami saya di UK, dia bawa saya ke Scotland (ada gunung, ada castle, ada tasik... ada semuanya). Katanya "This is our honeymoon." Sebab tu lah saya suka Scotland dan setiap kali saya ke UK, saya mesti pergi ke Scotland.

Tuesday, July 05, 2011

Malam Pertama


Salam.

Bila saya sebutkan tentang 'malam pertama', mungkin ramai yang bertanya 'malam pertama' apa? Saya percaya ramai yang faham maksud saya, ia itu malam pertama bagi mereka yang baru sahaja menikah. Malam pertama untuk si lelaki dan si wanita di mana pertama kalinya menjadi suami isteri dan memulakan alam rumah tangga. Inilah saat-saat intim yang terjalin antara lelaki dan perempuan buat pertama kalinya. Saya tak berbincang tentang mereka yang tidak berkahwin kerana ini bukan isunya.

Okeylah, berbalik kepada momen yang saya maksudkan ini. Bagi mereka yang baru menikah, inilah nikmatnya kerana pertama kali akan bermadu kasih dengan pasangan yang dipilih.

Orang sekarang mungkin tak panik dan takut macam orang dulu-dulu, kerana orang sekarang biasanya dah faham kalau tak 'expert' pun tentang hal-hal ini. Tapi saya teringat kisah dulu-dulu, zaman saya masih awal remaja lagi. Ada seorang sepupu perempuan (bukan sepupu rapat) yang akan bernikah. Berminggu-minggu sebelum bernikah, dia sudah gelisah. Macam-macam yang dibayangkan yang agak menakutkan. Ketika itu, saya juga turut berasa takut kerana terlalu banyak mitos yang dihebahkan seolah-olah ‘malam pertama’ atau apa yang kita panggil ‘wedding night’ itu sesuatu yang tidak menyenangkan dan menggerunkan. Seolah-olah (bagi anak gadis), malam pertama bagaikan akan diserahkan diri kepada ‘sang drakula’ untuk dihisap darahnya… hehe.

Dulu-dulu, memang macam tu. Pasangan yang baru berkahwin sangat malu. Kebanyakan pasangan tak tahu apa yang perlu dilakukan... hehe. Tak macam orang sekarang, biasanya semua dah tahu. Dalam pada itu, biarlah saya berpesan di sini. Jangan terlalu 'take things for granted'. Mungkin kita rasa yang kita kenal pasangan kita, tapi 'malam pertama' adalah sesuatu yang berbeza.

Terlalu ramai orang fikirkan tentang apa nak pakai masa menikah, apa nak pakai masa bersanding dan ramai yang tak kisah apa nak pakai untuk 'malam pertama'. Banyak duit dihabiskan untuk tunjuk pada orang ramai, tapi tak ada bajet untuk bermadu kasih buat pertama kalinya...

Dalam segmen kedua 'Hingga Akhir Hayat', ada perkara-perkara ini yang saya bincangkan. Saya juga banyak berbincang tentang soal kewangan 'couple' yang mendirikan rumah tangga. Tentang tempat tinggal, tentang keluarga, tentang sikap dan macam-macam lagi. Banyak orang tak ambil berat tentang hal-hal ini dan ini merupakan isu yang penting kerana ramai yang 'clash' kerana terlalu tak kisah dan ambil mudah tentangnya.

Okeylah buat hari ini. Esok-esok saya ceritakan lagi.

Monday, July 04, 2011

Apa Ada Dalam 'H.A.H.'


Salam

Ramai yang ingin tahu apa ada dalam Hingga Akhir Hayat atau HAH. Okeylah, saya akan ceritakan sikit-sikit supaya anda tidaklah tertanya-tanya sangat... hehe.

Sebenarnya ada tiga bahagian atau tiga segmen yang saya bincangkan dalam HAH ini. Yang pertama ialah 'Pra-Perkahwinan', isu-isu penting yang anda perlu tahu semasa ingin mencari dan memilih calon.

Orang putih kata, "Marriage is a gamble", perkahwinan itu adalah satu perjudian dan ramai yang percaya macam itu. Tapi bagi saya, kita harus fikirkan positif tentang hal satu ini dan sebagai sebahagian dari ibadah kita, seharusnya kita ambil berat dan berniat untuk kekal berkahwin sehingga akhir hayat. Sebab itulah bila kita doakan perkahwinan teman-teman yang baru mendirikan rumah tangga, kita minta agar mereka kekal hingga akhir hayat, tidak hanya sampai ke anak cucu sahaja.

Biasalah, kadang-kadang kita terdengar tentang perkahwinan yang gagal bila usia pasangan sudah meningkat. Kerana itulah kita harus beri perhatian tentang perhubungan kita suami isteri tak kira masa dan umur. Selagi ada hayat, selagi itulah kita perlu ambil berat.

Dalam hal 'pra perkahwinan', kita kena tahu kenapa kita mahu berkahwin atau perlu berkahwin. Jangan pula kita berkahwin kerana kita tengok orang lain sibuk mencari pasangan untuk berkahwin, jadi kita pun sibuk sama. Tak mahu ketinggalan. Memang betul kita perlu usahakan agar kita bertemu dengan pasangan yang boleh dijadikan jodoh kita. Tetapi jangan pula kita lakukannya kerana kita terdesak!

Apa pun, kita perlu ingat bahawa 'perhubungan seksual' antara lelaki dan perempuan hanya boleh berlaku secara halal. Kerana itulah kita semua digalakkan untuk berkahwin agar generasi akan datang merupakan umat-umat yang dihasilkan secara halal.

Kisah 'berkahwin' bukan merupakan sesuatu yang mudah dan boleh diambil ringan. Namun demikian, kita tak perlulah merumitkan apa-apa yang mudah dan senang. Ada ketika, kita tak perlu perbesarkan apa-apa yang kecil. Tak perlu susahkan apa-apa yang senang. Misalnya dalam hal hantaran dan majlis perkahwinan. Hal ibu bapa, hal kaum kerabat termasuk kaum kerabat pasangan. Isu cinta. Isu kekeliruan. Kisah-kisah mitos dalam perkahwinan. Isu-isu tabiat dan perangai. Semua ini saya bincangkan dalam segmen 'pra perkahwinan', agar pembaca mendapat tip dan idea tentang pelbagai isu dan konflik yang perlukan penyelesaiannya. Segmen ini juga mengisahkan 'persediaan' yang perlu anda lakukan bila mahu berkahwin.

Segmen pertama inilah yang sedang berada di Appstore atau apa yang kita panggil Apple Application Store... dan apa yang disajikan adalah dalam bentuk interaktif. Saya percaya kemungkinan besar ini adalah antara karya awal (ebook) dalam bahasa Melayu yang dihasilkan secara interaktif. Kalau anda ingin tahu, cubalah beli dan guna melalui iPod atau iPad anda. Cari Aina Emir: Hingga Akahir hayat. Anda juga boleh masuk website KarnaDya, www.karnadya.com.my untuk melihatnya. Buat masa ini, ada promosi istimewa yang ditawarkan. Malah, macam-macam ada yang boleh membantu anda untuk kekal bahagia sehingga akhir hayat. Insya-Allah.

Sunday, July 03, 2011

Hingga Akhir Hayat



Salam

Dah lama sungguh saya tak pergi berkelah di tepi sungai atau air terjun. Dulu-dulu, kami memang suka bawa anak-anak pergi berkelah di hujung minggu. Kadang-kadang kami ke tepi pantai, kadang-kadang pula kami cari sungai yang mempunyai air terjun. Malah, ketika musim panas di England, tiap-tiap hujung minggu, pasti kami pergi berkelah dan melawat tempat-tempat indah. Bagi saya dan suami, inilah cara untuk merapatkan anak-anak dan kami juga.

Semalam, kami pergi berkelah di kawasan Semenyih. Dulu-dulu, kami pernah ke tempat itu tapi memang dah lama sangat tak pernah lagi ke situ. Kebetulan, famili anak saya Irfan dan isterinya, baru lagi tiba dari Uzbekistan dan kami sedang meraikan mereka. Kebetulan juga, kata menantu saya, di tempat mereka memang payah nak jumpa sungai. Minggu lepas, kami telah ke Melaka untuk membawa mereka ke sana. Sebetulnya, negara Uzbekistan memang tak ada laut.

Dua orang cucu saya, Yusufia dan Firas ikut sekali semasa kami berkelah di Semenyih. Kawasan air terjun itu sekarang ini sangat bersih, tak macam dulu-dulu. Malah, kemudahan seperti 'tandas' dan tempat tukar pakaian pun disediakan.

Lepas berkelah, kami telah ke pekan Kajang untuk makan satay. Lepas tu, terus balik rumah berehat. Alhamdulillah.

Bagi mereka yang ingin tahu perkembangan interaktif e-book saya yang pertama, iaitu 'Hingga Akhir Hayat', kini sudah boleh dibeli melalui apple application store atau Appstore. Hanya segmen pertama. Maknanya, siapa yang ada iPod atau iPad, bolehlah cuba mendapatkannya. Hingga Akhir Hayat akan dijadikan e-book biasa dan anda boleh muat turunkan di komputer biasa dalam sedikit masa lagi.

Okeylah... hari ini hari Ahad, saya bercadang untuk ke 'garden' saya untuk kemas-kemas. Petang nanti mungkin nak keluar sekejap. Adios.

Friday, July 01, 2011

Mencari Kelainan Dalam Penulisan



Salam

Kalau tanya saya, apakah genre yang menjadi kegemaran saya, mungkin saya akan katakan bahawa 'cerita remaja' yang ada unsur thriller atau misteri. Kebetulan, semasa saya mula-mula menulis, saya telah hasilkan sebuah karya yang berbentuk cerita kekeluargaan dan bertema cinta dan kerana itu kebanyakan novel saya mengarah kepada genre yang sama. Pun begitu, saya pernah hasilkan dua buah cerita kanak-kanak, sebuah cerita remaja dewasa dan sebuah cerita thriller selain daripada karya yang bertema cinta.

Sebenarnya saya mendapat respons yang positif dari pembaca-pembaca saya yang suka kepada hasil karya saya yang berbentuk misteri/thriller dan juga cerita remaja dewasa. 'Nama Aku N' mendapat feedback yang sangat baik, cuma saya sahaja yang tak berpelunag untuk menghasilkan novel-novel seperti itu lagi. Dalam komputer saya sudah ada permulaan beberapa karya yang begitu 'genre' nya, tetapi masih belum berkesempatan untuk menyelesaikannya.

Kadang-kadang, macam-macam yang datang dan mencabar jiwa penulis yang ada pada diri saya, tetapi saya tak mempunyai masa yang lebih untuk memberi fokus. Bila idea timbul, saya sekadar melakarkan drafnya... tunggu masa yang sesuai.

Adoi... kadang-kadang saya berangan nak jadi macam 'Barbara Cartland', hanya bercakap dan bercerita, tetapi ada orang lain yang tolong taipkan! Huhu... macamlah boleh sangat. Mungkin saya akan berasa janggal kalau buat macam tu. Mungkin juga tak selesa.

Apa pun, kalau boleh, saya mahu mencuba pelbagai genre lain, tidak hanya menulis kisah keluarga dan cinta. Sebetulnya, saya sudah pun melakukannya. Misalnya, saya menulis fakta-fakta berkaitan dengan beberapa tempat di Malaysia dalam buku 'Dari Mata Turun ke Hati'. Kini, segmen pertama tentang 'perkahwinan' akan muncul dalam bentuk digital. Insya-Allah, ini adalah permulaan buat saya memasuki dunia penulisan secara lebih luas lagi.

Dalam kesibukan melakarkan skrip untuk drama TV, saya juga mencuri masa untuk menulis karya dalam bahasa Inggeris. Tak tahulah menjadi atau pun tidak, tetapi sejak kecil lagi, itulah cita-cita saya. Kalau boleh saya tak mahu kekal di takuk yang sama dan lama. Biarlah ada perubahan dan mungkin perubahan itu akan melonjakkan semangat untuk menjadi lebih tinggi lagi. Insya-Allah, kalau diizinkan Allah SWT, saya akan terus mencari kelainan dalam penulisan.