Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Sunday, January 06, 2013

Aku dan Dia, Ada Beza Ke?

                Wajah anak-anak Indonesia

Assalamualaikum semua

Nampaknya sekarang ini saya tak dapatlah nak update blog ini setiap hari. Saya sedang banyak kerja, mana dengan menulis manuskrip baru, ada dua tiga projek baru lagi... jadi memang kelam-kabut ni. Kebetulan, ibu saya juga tidak berapa sihat, jadi saya juga sibuk beri perhatian padanya. Dengan si kecil-kecil ni lagi, walaupun ada orang yang membantu, tetapi saya tetap sibuk. Apa pun, saya tetap bersyukur kerana masih diizin Allah swt untuk terus sibukkan diri.

In sya Allah, Khamis depan saya akan ke Jakarta. Kali ini, bukan rancangan saya untuk makan angin, sekadar menziarahi bapa saudara saya (adik ayah saya yang kecil sekali) yang saya gelar Ami Mustafa. Ami saya ini sebenarnya tinggal di Amerika Syarikat (saya sudah berkali-kali bercerita tentangnya), tetapi sejak kebelakangan, dia agak uzur dan susah untuk anak-anaknya jaga di Amerika, jadi sepupu-sepupu saya yang tinggal di Indonesia membawa dia pulang ke Jakarta dan Bandung. Tahun ini, in sya Allah, ami saya akan berumur 90 tahun. Memorinya masih bagus, cuma susah nak berjalan dan matanya juga kurang elok. Selain daripada suami saya, saya juga akan pergi dengan seorang lagi sepupu yang tinggal di KL.

Okeylah, saya suka nak bercerita tentang menziarahi tempat orang. Seperti yang orang Melayu sering katakan, bila kita ke tempat orang, kita cubalah sesuaikan diri dengan adat resam orang. Orang lain tak sama macam kita. Dalam begitu, kita janganlah ke tempat orang dengan pandangan yang negatif. Kalau kita mempunyai semangat yang begitu, lebih baik kita jangan ke mana-mana. Saya memang sering ke Indonesia. Bukan hanya Jakarta, tetapi ke tempat-tempat lain juga, termasuklah Bandung, Bogor, Surabaya, Bali, Madura, Jogjakarta, Padang, Bukit Tinggi, Acheh, Siak, Pekan Baru dan banyak lagi yang mungkin saya terlupa nak tulis. Setiap tempat yang saya pergi, semuanya berbeza belaka sekalipun semuanya berada di dalam negara yang sama. Kita di Malaysia, janganlah pandang terlalu tinggi pada diri kita, kerana kebanyakan kita di sini, asal usulnya pun datang dari sana. Malah, banyak juga di antara kita ini, datuk dan neneknya menjadi Islam kerana datang dari sana dan ramai yang berguru dari sana.

Hari ini, Indonesia mempunyai jumlah penduduk yang ramai dan besar, berkali-kali ganda dari kita di Malaysia. Mereka juga melalui proses kemodenan seperti kita, tetapi caranya yang berbeza juga. Mereka pernah ditakluki oleh kerajaan dari negara yang beza dari kita. Ada baiknya dan ada juga tidaknya. Proses-proses inilah yang membezakan kita dengan mereka, walaupun kita adalah serumpun dengan mereka.

Hari ini, sebagai rakyat Malaysia, kita janganlah anggap diri kita sangat hebat kalau dibandingkan mereka. Jangan fikir yang mereka itu jahil daripada kita, kerana saya percaya semua itu adalah fitnah semata-mata. Sama macam kita juga, ada di antara mereka yang perangai tak baik, begitu juga yang bagus-bagus dan berakal. Manusia lebih kurang sahaja kelakuannya, yang membezakan kita ialah latihan, pengajaran dan ilmu yang kita terima. Kalau kita melihat ada di antara mereka yang Muslim tetapi tidak berlagak seperti Muslim, cuba kita lihat di tempat kita pula. Apa bezanya? Serupa sahaja. Tak usahlah kita menghukum orang lain dengan berkata bahawa orang lain itu tak tahu agama, tidak seperti kita yang kita anggap sebagai hebat!

Memang panjang kalau nak kita ceritakan, tetapi biarlah saya akhirkan di sini sahaja. Sekadar untuk mengingatkan diri ini, bila ke mana-mana sekalipun, jangan mudah sangat memandang rendah pada orang lain yang kita anggap tidak sama seperti kita. Hanya Tuhan yang menentukan sama ada kita layak ke Syurga Nya atau pun tidak. Subhanallah!

Wassalam.