Sekadar hiasan
Salam pagi Jumaat
Semalam, saya memang berasa sedih. Teringat kepada guru sekolah saya semasa di Sekolah Menengah Raja Perempuan Kelsom (dulunya bernama GEGS), Kuala Kangsar. Adik saya maklumkan bahawa bulan November ini mereka sedang aturkan satu perjumpaan bekas pelajar sekolah ini di Kuala Lumpur dan insya-Allah saya memang bercadang untuk turut serta kerana beberapa orang guru kami akan hadir sama. Bayangkanlah, guru-guru kami semuanya dah tua. Bila adik saya bercerita tentang guru-guru, saya teringatlah kepada guru Bahasa Melayu saya. Saya bertanya, "Cikgu S tak datang sekali ke nanti?"
"Rasanya tak kot. Dia susah nak bergerak. Dah lama macam tu."
"Kenapa? Dia sakit ke?"
"Taklah, alhamdulillah dia masih sihat. Tapi... Cikgu S dah lama sibuk sebab terpaksa bela cucu."
"Hah? Bela cucu? Bukan ke Cikgu S dah tua? Macam mana dia nak bela cucu?"
"Dah lama dia bela cucu-cucu dia tu. Sejak dulu lagi sampailah sekarang. Sekarang ni cucu-cucunya dah besarlah..."
Kata adik saya, Cikgu S yang mempunyai seorang anak tunggal (perempuan) telah pun kehilangan anak perempuannya itu akibat penyakit kanser. Sebaik sahaja anaknya meninggal dunia, Cikgu S dan isteri Cikgu S (juga seorang guru suatu ketika dahulu) terpaksa menjaga cucu-cucu mereka kerana menantu Cikgu S main blah aje, tinggalkan anak-anaknya. Selepas itu pula, isteri Cikgu S meninggal dunia. Terpaksalah Cikgu S bela cucu-cucunya itu seorang diri.
Sedih sungguh saya mendengar cerita ini. Masih terbayang lagi wajah Cikgu S semasa mengajar kami dulu. Cikgu S memang jenis insan yang ceria dan sentiasa menceriakan hidup kami. Semasa mengajar kami Bahasa Melayu, Cikgu S suka mendendangkan syair-syair, siap berlagu-lagu lagi. Bagi kami semua, Cikgu S memang macam ayah kami. Saya sedih bila dapat tahu yang Cikgu S terpaksa bertungkus-lumus menjaga cucu-cucunya dari kecil sampai besar. Sekarang ini Cikgu S dah tua dan semestinya banyak yang sudah dilaluinya. Cuma bagi saya, memang tak mengerti dan tak faham mengapa ada insan di dunia ini yang hidup tanpa tahu tanggungjawab, hinggakan tak rasa apa-apa pada zuriat sendiri. Sampai hati sungguh, sanggup lepas tangan begitu sekali. Mana pergi akal dan hati perutnya? Tak ada ke? Memang pelik, kan?
Apa pun, saya berharap sangat agar Cikgu S kini lebih selesa daripada dulu. Semoga Tuhan melindunginya dunia dan akhirat.
Wassalam.