Assalam
Allah jadikan wanita sebagai insan yang unik. Dikuatkan bahu wanita untuk menjaga anak-anaknya, dilembutkan hati mereka untuk memberi rasa aman, dikuatkan rahimnya untuk menyimpan benih anak-anak. Sebenarnya Allah jadikan wanita sebagai makhluk yang kuat. Di saat dia menangis, air mata pula dijadikan Tuhan untuk membasuh luka batin lalu diberikan pula kekuatan baru.
Begitulah arwah ibuku. Dijadikan Allah sebagai wanita istimewa, dalam usia yang masih muda (awal 40-an), ibuku menjadi ibu tunggal dan tak pernah berkahwin lagi setelah tiada arwah ayah di sisinya. Dengan kekuatan yang Allah berikan itulah dia terus menapak ke depan, tidak menoleh ke belakang lagi. Dengan anak-anaklah ibuku berkongsi kasih dan akhirnya dia memilih untuk tinggal sebumbung dengan aku dan keluargaku lebih dari 30 tahun. Alhamdulillah, aku percaya ibuku senang dan bahagia. Dari anaknya, kepada cucu-cucu dan akhirnya cicit-cicit juga, itulah penghibur hatinya.
Alahmdulillah, dengan sebahagian besar titik peluhku, ibuku tunaikan fardhu haji, sempat juga kerjakan umrah lagi, dapat juga pergi ke luar negara termasuk ke United Kingdom ketika kami di sana. Malah, macam-macam yang ibuku merasa ketika hidup bersama kami sekeluarga.
Banyak pengorbanannya, termasuk menjadi 'chef' terhormat di rumah kami. Puas sudah kami merasa air tangannya hinggakan aku pasti tak mampu untuk bertanding sampai bila-bila.
Ibuku... sentiasa pentingkan orang lain. Tak pernah mahu melihat anak-anak susah. Malah, suatu ketika dahulu, dia pernah berkata, kalau boleh tak mahu menyusahkan anak-anak di hari tua. Alhamdulillah, Allah Maha mendengar dan telah makbulkan doanya.
Anak ini, wahai ibuku.... tak pernah ralat membelamu, tak pernah jemu melayan kerenahmu, kerana bagiku, itulah nikmat Allah buatku. Setiap permintaanmu, aku cuba tunaikan agar hatimu jadi senang dan tenang.
Alhamdulillah, walau hanya buat seketika sahaja, sempat aku menyuapkan makanan di mulutmu (14 hari sahaja), dapat aku tolong mandikanmu setiap hari, salinkan... makankan ubat, check kesihatanmu... namun semuanya hanya buat seketika sahaja. Walaupun aku sudah bersedia untuk jagamu dalam tempoh yang lama, namun Allah mendengar bisikan hatimu ya ibuku, kau mahu diambil pergi dengan segera.
Ibuku tak mahu hidup menyusahkan orang lain sekalipun anaknya.
Wahai ibuku... aku tahu kau sedang tenang di alam barzakh. Bekalan solat malammu, bekalan pembacaan al Quran yang kau lakukan tanpa henti-henti, merekalah yang sedang tolong mencerahkan pusaramu. Insyaa-Allah, Allah mudahkan penantianmu di alam barzakh. Satu hari nanti, pasti kita akan bertemu lagi.
Aku tetap akan rindukan ibuku kerana tanpamu di dunia ini, walaupun aku tetap redha, tak mampu untuk aku memadamkan bayangan wajahmu di mataku.
Semoga Allah permudahkan semuanya untukmu ibuku, semoga Allah juga permudahkan kehidupan kami ahli keluargamu, jadikan kami mereka yang tergolong dalam golongan orang-orang yang beriman lagi soleh dan solehah. Ameen ya Robilalamin.
Wassalam.
Arwah ibuku dengan Firas ketika bayi.