

Seperti biasa, hujung minggu di musim cuti sekolah, saya mesti busy menghadiri jemputan perkahwinan anak rakan-rakan. Hari ini ada, esok pun ada (dua lagi), minggu depan pun ada (Rasanya ada empat sekali). Sebenarnya saya tak kisah, kalau orang jemput, insya-Allah saya akan pergi, kecuali kalau memang tak dapat sebab ada hal yang tak dapat nak dielakkan. Saya memang pelik dengan tabiat orang yang cari sebab untuk tidak ke jemputan yang dihulurkan orang. Ada sahaja sebab yang diberi untuk tidak datang. Mungkin memang jenis begitu agaknya, sekalipun tahu, walimatul urus ini memang wajib kita hadir untuk raikan pengantin. Begitu juga untuk mengunjungi mereka yang meninggal dunia.
Hari ini, selepas selesai sahaja ke majlis perkahwinan, saya sempat ke rumah salah seorang jiran lama yang juga telah pulang ke rahmatullah. Saya dapat berita agak lewat, jadi sebaik sahaja tiba, jenazah sudah pun dikebumikan. Tapi, kami berjumpalah dengan waris-warisnya. Begitulah hidup kita, sampai masa akan pergi jua. Kerana itu, selagi kita bernafas, lakukanlah yang terbaik agar kita dipeliharai Allah SWT sentiasa. Kita tidak tahu bila ajal kita tiba.
Semasa keluar dari dewan majlis perkahwinan anak teman saya, saya juga terserempak dengan seorang teman. Dia merupakan pakar psikologi dan juga seorang kaunselor. Malah, itulah kepakarannya kerana dia juga adalah seorang pensyarah universiti. Kebetulan, dia membaca semua novel-novel saya.
"Eh, you dah siap ke novel baru you?" dia bertanya.
"Sedang disemak." Jawab saya.
"Lain kali kan, you cuba tuliskan cerita seorang isteri... yang duk teringatkan kekasih lama." Katanya kepada saya.
"Hah! hisy, nanti orang marah pulak." Saya tergelak.
"Sungguh. I rasa memang ramai yang mungkin marah, tapi ni realiti. Banyak kali I kena nasihat depa yang macam ni. Dah jadi wife, tapi duk ingat buah hati lama. Something is wrong somewhere." Dia kata kepada saya.
"Yalah... I know," saya pulak jawab. "Banyak jugak yang duk cakap macam ni pada I. Nanti I fikirkan. Tapi novel I 'Hanya Kita Berdua' ada sikit2 macam tu, cuma heroin tu taklah ingat gila kat boyfriend lama masa dia masih berkahwin dengan husband dia."
"Yalah. Yang I kata ni... lain sikit."
Aduhai... memang macam-macam, kan? ialah, ini yang kita katakan realiti sebuah kehidupan. Kita sebagai manusia, doakanlah yang terbaik buat diri kita ini.Insya-Allah, Tuhan lindungi kita sentiasa, dunia dan akhirat.