Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Sunday, October 31, 2010

Kenapa Nak BerBlog?


Salam

Hari ini, 31 bulan Oktober pada tahun 2010, kan? Hehe, tak silaplah. Kalau ikut kalendar Islam, hari ini ialah 23, Zulkaedah 1431 Hijrah.

Pagi ni, saya sempat pergi bersarapan di luar, dengan suami dan anak bongsu. Inilah di antara sebab mengapa saya suka tinggal di kawasan Kota Seriemas ni (kawasan Nilai sebenarnya)... sebab kami dikelilingi kawasan-kawasan kampung, ada yang di negeri Selangor dan ada juga Negeri Sembilan. Pagi tadi kami makan nasi lemak ayam kampung di sekitar Salak Tinggi. Tempat ini merupakan favourite buat 'bikers berenjin besar', sebab tak jauh dari trek Formula One. Tapi... suasana memang kampung. Pagi tadi, kereta 'sports' pun banyak yang lepak di tempat ni, ada Fair Lady, ada Skyline... mungkin dia orang nak pergi ke Sepang.

Okeylah... pagi ni nak bercerita tentang 'BLOG'. Ya, saya amat bersetuju kalau orang muda rajin berblogging. Bagi saya, ibu bapa patut menggalak anak-anak mereka menulis dalam blog. Kalau bermula dari awal lagi, lagi baik. Dengan cara berblogging, budak-budak akan menghabiskan masa cuba menulis dan mencari bahan untuk menulis. Pastikan mereka tidak menulis yang bukan-bukan.

Lagi satu yang saya nak kongsi bersama pembaca-pembaca tentang tulisan dalam blog - kalau nak tulis dalam blog, okeylah kalau nak tulis biasa-biasa, tapi kalau boleh elakkan guna bahasa 'cincai' atau apa yang orang muda kata 'bahasa rempit'. Susah nak baca dan tak faham.

Kalau blog kita menyusahkan orang yang nak membaca, secara automatik, orang tak mahu masuk blog kita. Malas. Penat. Sakit mata. Itulah yang saya rasa kalau masuk blog yang tulis bahasa terlalu ringkas.

Kalau tak percaya, pergilah tengok blog-blog yang jadi 'favourite'. Blog-blog ini semua mengguna bahasa yang baik-baik walaupun sederhana dan 'sempoi'. Tak perlulah berbahasa macam buku sastera. Tak payah berbunga-bunga pun tak apa.

Tujuan kita menulis di blog ialah untuk berkongsi cerita atau berkongsi maklumat. Kalau sekadar hendak tulis catatan tentang aktiviti kita sahaja dan untuk keseronokkan kita sahaja, eloklah tulis saja dalam diari. Itu dah memang sah orang lain tak baca.

Bila kita tulis dalam blog, bukan hanya kita perlu jaga bahasa, tetapi janganlah kita jadikan blog kita tempat mengumpat atau mengata orang lain. Pun begitu, kita ada hak untuk menulis sesuatu untuk 'defend' hak kita apabila 'hak' kita diumpat atau dihina oleh orang lain. Asal jangan kita jadikan blog kita tempat 'menyerang' tak tentu pasal, sudahlah.

Saya suka baca blog yang banyak memaparkan maklumat baru. Walaupun kita suka membaca, tidak mesti semuanya kita dapat baca. Tetapi bila jumpa blog yang menarik, tentu kita turut seronok membaca entri-entri dalam blog itu.

Okey, bloggers... rajin-rajinlah buat 'research' dan masukkanlah maklumat baru dan menarik dalam blog anda untuk dikongsi bersama pembaca blog!



PS: Ramai yang gila-gila berblogging sebab nak buat duit. Okey aje, apa salahnya. Asal jangan bermusuh-musuh sebabkan duit, cukuplah... hehe

Saturday, October 30, 2010

Percaya Ke Tidak?



Salam

Pagi ni saya tak ke mana-mana. Cik abang saya kena attend kursus pulak dah. Mujurlah sampai tengah hari sahaja. Malam nanti, nak ke rumah anak saya, dia ajak makan malam.

Pagi ni, mood nak bercerita tentang 'percaya' atau tak 'percaya'. Kenapa saya sibuk nak bercerita pasal hal ni? Pagi tadi masa 'breakfast' dengan suami, dia bercerita tentang seorang temannya. Temannya ini bukan Melayu. Dia baru sahaja beli kereta baru, sebuah kereta mewah yang agak 'stailo'.

"Dia beli kereta tu?" Saya sudah tersenyum-senyum. Bukan apa, kerana saya tak dapat nak bayangkan teman suami saya dengan kereta 'sporty' yang macam tu. Teman suami saya ni masih bujang walaupun umurnya dah banyak. Lagi satu, dia ni bukan jenis bergaya. Kalau tanya saya, dia ni jenis 'serabai'. Rambut dia sentiasa 'serabai', gaya dia juga agak selekeh, walaupun dia dengan suami saya dua-dua bergelar 'DR' kerana ada PhD dalam bidang kejuruteraan.

"Kenapa Dr.... tak nak kahwin-kahwin?" Rasanya macam dah banyak kali saya tanya soalan yang sama. Mungkin hairan kot.

"Entahlah... tapi dia pernah kata yang dia tak percaya pada perempuan."

"Tak percaya pada somebody ke atau pada semua perempuan?"

"Rasanya pada semua perempuan. Dia ada bad experience kot. Bagi dia, semua perempuan sama aje. Memang dia tak trust!"

"Oh oh..." Saya senyum. "Macam sama aje dialognya dengan kawan-kawan perempuan saya. Ada jugak yang macam tu, tak percaya langsung pada lelaki. Kata dia orang, lelaki rata-rata semuanya kaki kelentong!"

Suami saya senyum saja. Iyalah... bukan pertama kali kami bercerita tentang hal ini. Dia mempunyai teman-teman yang tak percaya pada perempuan, saya juga mempunyai teman-teman yang tak percaya pada lelaki. Inilah yang menyukarkan mereka untuk mencari pasangan hidup. Mungkin kerana itu juga, mereka lebih bahagia hidup tak berteman.

Saya masih ingat kisah seorang teman saya. Dia banyak duit (dia anak orang kaya), berkahwin pula dengan somebody yang berduit (pangkat besar di sebuah syarikat minyak), tetapi dulu-dulu dia langsung tak suka bergaya. Asyik comot aje, hinggakan ada kakitangannya mengusik dengan berkata, "Puan.... datang kerja memang pakai uniform ya?"

Kami juga suka mengusiknya kerana terlalu cermat. Sudahlah asyik pakai pakaian yang sama ke tempat kerja, lepas tu tak bergaya langsung. Rasa-rasanya, makcik yang sapu sampah kat pejabat lebih bergaya dari dia... hehe.

Hinggalah terjadi kisah ini...

Tiba-tiba sahaja dia dapat tahu yang suami dia buat hal...

Kawan saya ni 'frustrated' gila. Jenuhlah kami pujuk dia. Kerana dah ada anak-anak, kawan saya tu tidaklah rancang untuk berpisah dengan suami. Tetapi dia mula berubah... pakai cantik-cantik, bergaya... dan dah tak kedekut lagi. Tapi... saya tahu, dia tak pernah lagi percaya pada suaminya itu. Mungkin sampai hari ini.

Dia merupakan di antara kawan-kawan saya yang kaya dari segi 'material', namun saya tidak pasti sama ada dia bahagia...

Okeylah, apa yang saya nak bangkitkan ialah tentang kepercayaan. Hidup berpasangan mesti ada kepercayaan dan jangan kita musnahkan itu. Sekali terkena, sampai bila-bila pun payah nak lupa.

Wallahua'lam.

Friday, October 29, 2010

Lelaki Romantik



Salam

Pagi ni nak bercerita tentang ciri-ciri lelaki romantik.

Hah, apa halnya pulak?

Saja je... sebab tajuk ni macam sensasi sikit - buat orang perempuanlah!

Anyway... tajuk ini sangat subjektif. Lain mata dan hati, lain pula rasanya. Lagi satu halnya, sekarang ini orang perempuan mempunyai harapan yang berbeza. Kalau dulu-dulu, sifat lelaki yang menarikkan kerusi untuk wanita, atau lelaki yang berdiri bila ada wanita yang menghampiri, atau membuka pintu kereta untuk wanita... itu dikatakan 'gentleman' dan romantik, sekarang ni dah outdated. Hehe... iya ke ni? Mungkin sebab payah nak jumpa kot... terpaksa dioudatedkan!

Okeylah... sifat macam tu pun bukannya best sangat, betul, kan? Takat buka pintu kereta atau berdiri, senang sangat.

Sekarang ni, banyak orang perempuan rasa lelaki tu bersifat romantik kalau dia rajin melayan. Ada tu suka lelaki yang pandai 'mengayat'. Isy! Boleh percaya ke ni?

Ada tu, suka lelaki yang pandai masak dan rajin pula masak untuk isteri (Yang dah jadi suamilah ni). Ada tu, yang ringan tulang, selalu tolong wife kat dapur. Tak masak tak apa, tapi tolong aturkan pinggan, tolong basuhkan pinggan.

Lagi romantik, kalau suami dia tolong sidaikan kain baju... huh! best ni.

Lelaki juga romantik apabila tolong awek atau isteri cek enjin kereta (tengokkan air dan minyak hitam). Isikan minyak kereta (untuk isterilah! kalau awek, biar dia beli sendiri). Tolong basuhkan kereta - bawa ke kedai pun tak apa.

Macam-macam lagilah. Sekarang ni dah tak main lagi hantar-hantar bunga. Basi dah kot. Atau mungkin bunga mahal sangat... hehe...

Sebenarnya, lelaki itu romantik sekalipun hanya menghantar SMS dan kata 'I miss you'... itu saja!

Apa pun, cita rasa masing-masing memang berbeza.

Lelaki memang tak romantik kalau suka berkasar! yang tu, tak ada orang perempuan yang berkenan.

Okeylah kot ni...


PS: China Town dah ada, Little India pun ada. Kat mana yang Melayu punya, ek?

Mamat-mamat kat atas ni (Johnny Depp n Brad Pitt) saja buat hiasan je...

Thursday, October 28, 2010

Baju Je, Beb!


Salam

Hari tu, adalah orang ni kirim tip macam mana nak bagi pakaian nampak cantik dan bersih. Sebenarnya, saya dah lama ada masalah membersihkan dakwat yang kena poket baju cik abang saya ni. Saya hantar dobi pun depa tak boleh nak bersihkan. Buat buang duit aje... dahlah banyak pulak tu, lepas tu depa charge untuk buat treatment! Hampeh!

Jadi, semalam kita pun cubalah tip yang diberikan. Masya-Allah... hilang pun dakwat degil tu! Legalah rasanya, sebab ada tujuh helai kemeja putih cik abang tu. Pakwe saya tu kalau pakai baju kerja, biasanya nak pakai baju putih. Ada tiga helai aje yang tak putih melepak! Seluar pulak, mesti navy blue atau hitam. Puas dah saya pesan janganlah letak pen kat poket baju tu, tapi... alahai... dia ingat bila saya ingatkan. Lepas tu, tak usah haraplah.

Mujurlah saya simpan petua tu. Siapa nak try, bolehlah. Dekat bahagian yang ada dakwat tu, letakkan susu cair sikit, lepas tu garam dan perahan asam limau nipis. Lepas tu tonyohlah! Hilang, beb!

Suami balik, saya pun tunjuklah kat dia, baju dia dah bersih. Dia tersengih-sengih sebab tahu saya tak jadilah nak campak aje baju dia tu... hehe

Dahlah tak nak orang lain gosokkan baju dia... mengada-ngada betullah pakcik ni! hehe... tak apa. Baju je.

PS: Pakwe atas ni bukannya pakwe saya. Saya ciluk kat google. Pakwe siapa saya tak tahulah pulak... hehe

Wednesday, October 27, 2010

Mek Kelate


Salam,

Jam dah melewati 9.46 malam. Kalau di bandar, waktu begini masih dianggap awal, tetapi masa saya di kampung dulu... weh dah lewat dah ni! Tambah masa saya sekolah dulu, terpaksa tidur awal. Selesai sahaja solat isya', terus cari bantal. Kalau tidur lewat, payah pulak nak bangun pagi. Tapi dulu-dulu, masa arwah ayah saya ada (saya panggil abah), kami memang kena bangun pagi. Masuk sahaja subuh, tak usah haraplah boleh tidur lagi. Ayah saya sangat garang, tambah pula bab solat ni. Kalau silap, ah siaplah... keluarlah slanga Arab dia... hehe.

Dulu-dulu, masa belum ada air paip, saya terpaksa mandi di perigi (masa saya keciklah). Huh! sejuk gila. Tapi dah biasa, okey ajelah. Kalau musim hujan (dulu bila musim hujan di Kuala Kangsar, mesti banjir - cuma rumah saya taklah kena banjir sebab jauh dari sungai) bertambahlah sejuk. Macam winter!

Bila malam pulak... memang gelap gelita! tak ada lampu jalan. Tapi, mata kami semua macam burung hantu, hehe. Saya ingat lagi, adalah seorang kawan saya ni, dia dari bandar dan dia hantar saya balik suatu malam. Dia ada kereta (walaupun masih sekolah)dan tolong hantar saya balik. Dia komplen sebab dia rasa kawasan rumah saya terlalu gelap untuk dia, padahal dia bawak kereta dan pasang lampu kereta. Bayangkanlah kami yang berjalan kaki ni... tak pernah kisah dengan kegelapan. Kadang-kadang, bila tak ada cahaya bulan (masa bulan belum naik) memang betul-betul gelap. Yang menghairankan, kami mampu melihat dengan jelas! betul-betul macam burung hantu.

Kawasan rumah saya tu tidak jauh dari hutan. Kadang-kadang pada waktu malam, akan muncul anak harimau (kehilangan ibunya). Setiap kali itu terjadi, kami semua pakat takut nak pergi mengaji, sebab takut terserempak dengan ibunya. Hehe (padahal excuse saja tu). Tapi saya ingat lagi... biasanya kami tak takut pun pada hantu, walaupun tak putus-putus kami dengar cerita pasal hantu di kampung kami tu.

Masa saya dah besar sikit (16 tahun), adalah sorang makcik tua ni (macam nenek kebayan), budak kampung semua takut dengan dia. Kami panggil dia Mek Kelate (makcik tu berasal dari Kelantan) Konon-konon makcik tu bela hantu. Tapi ada satu hari tu, saya saja-saja pergi ke rumahnya (dia duduk jauh dari orang). Bukannya apa, saja seronok nak jumpa dengan anak saudara makcik tu (ada minah datang dari Kelantan - minah tu cantik). Makcik tu masak pulut kuning dengan rendang dan dia jamu saya. Best giler! lepas tu, adik-adik saya pun dah tak kisah lagi pasal cerita makcik tu bela hantu, sebabnya kami tak nampak hantu apa pun.

Cuma pernahlah kami dengar cerita, ada sekali tu pencuri datang nak mencuri kat rumah makcik tu. Tanpa ragu-ragu, makcik tu bukak pintu (Waktu malamlah ni), lepas tu makcik tu cakap "Ha, naiklah... nak ambik apa pun, ambiklah..." Apa lagi, pencuri yang dengar tu mencecet, terus cabut lari!

Hehe... tak tahulah betul ke tidak, tapi saya rasa memang betul, sebab makcik tu memang berani pun!

Lagi satu, kenapa saya suka pergi rumah makcik tu, kerana dia ada banyak kambing. Makcik tu rajin giler! Kambing dia gemuk-gemuk!

PS: gambar kat atas ni, bukanlah gambar Mek Kelate tu... saja aje ambik gambar kat Yahoo... glamor makcik ni, kan? siap seluar pink siot!

Bijak = Cemerlang?



Salam,

Okey... masih pagi lagi. Tapi mungkin bila selesai tulis, dah masuk tengah hari. Apa pun, kali ini saya nak sentuh tentang persepsi kebanyakan orang mengenai isu 'berjaya' dan juga isu 'pintar' atau 'bijak'. Biasanya orang akan kaitkan kebijaksanaan dengan kejayaan. Maknanya... orang yang bijak biasanya akan berjaya. Dan kerana itu juga, bajet yang besar sudah disediakan oleh kerajaan kita untuk pastikan kanak-kanak bijak akan terus menjadi lagi bijak, pintar dan akhirnya berjaya!

Adoi... boleh ke ni?

Okeylah... saya nak bincang tentang beberapa perkara yang ada kaitan dengan orang-orang yang dianggap bijak, pintar atau genius. Begitu juga dengan orang-orang yang berjaya di dunia ini.

Mula-mula saya nak bercakap tentang orang-orang hebat dalam dunia Barat. Antaranya ialah orang-orang pintar seperti Albert Einstein, Mozart, Beethoven dan Leonardo Da Vinci. Kita semua tahu, tak semestinya orang bijak itu sudah menjadi pintar sejak kecil lagi. Malah, Albert Einstein, rakyat Jerman itu pernah tidak mampu bercakap sehingga umurnya empat tahun. Boleh membaca setelah tujuh tahun. Lembab juga, kan?

Tapi, salah ke kalau kanak-kanak itu lambat membaca atau menulis? Apakah kita hanya mahu menganggap bahawa kanak-kanak yang bijak baca dan menulis sejak awal lagi akan mampu terus menjadi orang pintar? Tidak adakah ruang untuk kanak-kanak yang lembab membaca atau menulis akan mampu juga menjadi orang yang akan berjaya?

Kalau dari awal lagi, kita sudah pilih kasih, bermakna kita mahu memberi tumpuan kepada kanak-kanak yang kita anggap bijak kerana pandai membaca dan menulis sejak awal lagi, apa pula akan terjadi kepada mereka yang juga bijak tapi tidak menonjol semasa awal-awal lagi? Kita akan tepikan budak-budak yang mungkin satu hari nanti akan jadi cemerlang?

Kadang-kadang kita tersasul dengan menganggap bahawa kanak-kanak yang diam dan mungkin 'weird' itu tidak bijak. Kalau kita lihat 'track' cerita orang-orang pintar dan berjaya seperti kisah Albert Einstein, Da Vinci, Mozart... mereka merupakan orang yang mempunyai karakter pelik.

Orang seperti Bill Gates tidak pernah menonjol ketika kanak-kanak, namun dalam usia yang amat dewasa, dia mampu menjadi orang yang cemerlang. Begitu juga orang seperti Oprah Winfrey.

Penulis-penulis yang kaya raya seperti Stephen King dan J.K. Rowling tidak pernah terserlah kebolehannya ketika kanak-kanak atau remaja, namun berjaya untuk menjadi penulis yang berjaya.

Di Malaysia sendiri, kita pernah membesarkan cerita-cerita kanak-kanak pintar (orang Malaysia), tetapi akhirnya mereka yang kita akan anggap bijak ini tidak berjaya dalam 'realiti' kehidupan.

Jadi, soal saya... bijak ke kita kalau mahu berbelanja secara besar-besaran untuk mengasingkan dan memberi peluang kepada kanak-kanak yang kita anggap pintar agar mereka terus berjaya?

Dengan kata-kata yang mudah, adilkah kita kepada semua kanak-kanak yang ada di negara kita ini kalau itu yang mahu kita lakukan? Dan juga... siapalah kita sebenarnya untuk mengatur hidup manusia. Bukankah ada Tuhan yang menentukan keputusan seperti itu? Mungkin ada yang berkata pula, eh, betul lah ni... kita berusaha. Memang betul, tapi biarlah kita lakukan sesuatu dengan perbuatan yang adil kerana kanak-kanak, mereka tidak serupa dan yang penting mereka tidak tahu peluang yang begini sudah ada untuk mereka gunakan. Banyak kanak-kanak pintar yang mampu mencemerlangkan diri mereka di peringkat yang lebih kemudian.

Akhir sekali, janganlah kita lupa bahawa Allah SWT telah mengangkat Nabi Muhammad SAW, seorang lelaki yang tidak boleh membaca dan menulis untuk menyebarkan agama Islam buat segala umat di dunia, tidak kira apa status mereka, hitam putih, pandai, bodoh, miskin atau kaya. Allah SWT memberi peluang yang sama buat semua.

Wallahua'lam.

PS: Alahai... dah matilah pulak! alah, si sotong kurita peramal Piala Dunia 2010 tu... kesianlah pulak...

Tuesday, October 26, 2010

I Used to Dream...


Salam,

Sekali lagi nak update blog malam-malam. Tak adalah cerita apa-apa yang penting sangat, tapi nak cakap pasal 'angan-angan'.

Masa saya kecil dulu, memang saya kuat betul berangan-angan. Saya tak banyak cakap, malah at one time tu, saya takut dengan orang. Masa tu masih kecil lah, masih kat sekolah rendah... Kerana tak suka campur orang, saya sering pinggirkan diri dan kerana itu juga saya banyak habiskan masa dengan berangan-angan. Berangan nak jadi itu, berangan nak jadi ini. Kadang-kadang, berangan saya berada di tempat lain. Yang paling interesting, masa saya budak-budak, saya suka sangat berangan jadi orang dewasa.

Bila masuk sekolah menengah, perangai yang suka berangan tu masih ada lagi. Malah, saya teruskan sampailah dewasa. Kalau nak tahu, saya lambat datang 'period'... umur dah lebih 14 tahun baru saya period, tak macam budak perempuan sekarang. Kerana itu juga, lamalah badan saya ni macam budak kecil aje... hehe. Kalau dalam kelas, bila beratur saya selalu duduk di depan.

Tapi saya memang tak tahu kenapa saya suka berangan-angan. Dalam pada itu, dalam usia yang muda saya dah mula membaca buku cerita. Masa akhir sekolah rendah lagi saya dah mula baca novel (mat salihlah)dan 'habit' membaca ni terus ada pada saya hinggalah saya tua... eh mana ada tua? matanglah...

Okeylah, sekarang ni saya dah kurang berangan-angan. Hampir tidak lagi, cuma sikit-sikit saja... hehe. Tak salah, kan? Berangan-angan inilah yang membuat semangat saya tinggi. Sejak dulu lagi. Biasanya, apa yang saya angankan, alhamdulillah dapat. Insya-Allah, kerana angan-angan juga saya selalu bekerja keras dan biasanya angan-angan saya tidak melibatkan kos yang tinggi, sekadar sesuatu yang indah dan menarik sahaja.

Dulu, saya tak kisah pun bila tak ada kawan yang real, sebab kawan ilusi saya banyak.

Okeylah... esok kalau ada mood saya akan update blog lagi. Malam ni nak tengok kisah gempa bumi, tsunami dan gunung berapi!

Rahsia Tetap Rahsia



Salam

Pernah seorang teman berkata kepada saya, "Kenapa tidak you buat novel tentang famili you?"

Huhu... tentang famili saya?

Mustahil. Okeylah... hampir mustahil. Sebabnya ialah kerana famili saya terlalu complicated. Jumlah yang terlalu besar dan kerana itu juga, terlalu banyak ceritanya. Ada yang cantik, baik, indah... ada juga yang tidak. Mungkin kerana itu saya tidak sanggup untuk mengisahkan bulat-bulat cerita tentang famili saya. Saya juga tidak mahu mengaibkan sesiapa, kerana bagi saya setiap keluarga pasti mempunyai cerita-cerita yang kadang-kala hanya sesuai disorokkan dalam almari sahaja!

Yang tentunya, cerita lama kita adalah sejarah kita. Sekadar memori sahaja. Bagi saya, apa yang cantik dan indah, apa yang boleh dijadikan semangat kita, yang itulah kita ceritakan. Yang tak elok, yang tak manis, tak perlulah kita pukul canang, lalu buka pekung di dada. Apa sekalipun, itu adalah kisah famili kita. Mungkin ada ahli keluarga yang kita tak suka, namun mereka tetap keluarga kita. Ada yang baik, ada yang tidak. Tuhan Maha Adil dan kita kenalah terima semua itu.

Malah, bukan hanya saya tidak bercerita di dalam novel, saya juga tidak pernah memaparkannya di blog saya ini. Seelok-eloknya, biarlah begitu. Sememangnya juga kalau kita cerita apa-apa yang sensasi, apa-apa yang tak elok tentang ahli keluarga, terutama yang terdekat dengan kita, maka ramailah yang seronok membacanya.

Mungkin kalau saya tulis begitu di blog saya ini, akan ramailah yang datang berkunjung kerana memang menjadi tabiat manusia, suka melihat sesuatu yang luar biasa. Suka membaca sesuatu yang sedang menyakitkan hati atau mungkin suka membaca apa-apa yang sepatutnya jadi rahsia!

Setiap kita sememangnya ada rahsia hidup. Ada rahsia keluarga. Dan semua itu tak perlulah kita ceritakan pada semua orang.

Ayah dan ibu kita, sekalipun mungkin pernah melakukan sesuatu yang menggoreskan hati, namun tak perlulah kita aibkan mereka. Tentunya tidak di blog kita. Suatu hari nanti, kita juga mungkin jadi seperti mereka, ayah dan ibu anak-anak kita pula. Insya-Allah.

Percayalah... apabila kita mampu mengaibkan keluarga, orang di luar sana akan mula bercerita. Sebenarnya kita sedang melakarkan karakter kita jua. Percayalah, sekalipun ada cerita luka dan duka, biarlah kita simpan di lubuk hati. Tak perlulah memaparkannya di mana-mana kerana Tuhan Maha Mengetahui apa yang tersirat di hati kita ini. Wallahua'lam.

Monday, October 25, 2010

Wahai Mamat... What's Your Problem?



Salam, semua

Semalam, apabila terbaca sebuah artikel di surat khabar ini... adoi, geram juga yang terasa. Bukanlah sakit di hati saya ni, sebab saya tahu yang menulis artikel itu kemungkinan sedang mengalami satu perasaan - mungkin dia hampir dengan tekanan jiwa. Okeylah, saya cuba bersabar... tak nak beremosi. Lagipun, Nabi Muhammad S.A.W. telah berpesan kepada umatnya agar dapat mengawal perasaan marah.

Mamat ni (mungkin tak muda kot) membuat tuduhan secara 'sweeping statement', yang bagi saya merupakan suatu andaian yang tidak bijak! Dia berkata bahawa novel bertema cinta yang berlambak-lambak di pasaran itu adalah karya-karya picisan yang sedang merosakkan akhlak anak muda hari ini. Gejala sosial terjadi kerana anak muda taksub membaca novel-novel yang dikategorikan sebagai picisan!

Adoi... memang 'mamat' tu tak bijak. Mungkin juga dia sakit hati, kalau tidak pun mungkin sakit jiwa. Pernahkah kita dengar 'mamat-mamat rempit' yang sering berlumba-lumba di atas jalan tu merupakan mereka yang membaca novel (tak kiralah novel cinta ke tidak)? Pernahkah kita tahu yang mamat-mamat makan ganja sana sini tu kaki baca novel? Adakah statistik di mana-mana yang menunjukkan bahawa mereka yang baca novel cinta merupakan orang-orang yang mengandung luar nikah dan membuang bayi-bayi mereka hidup-hidup?

Setahu sayalah, anak muda yang membaca novel, biasanya mereka tak ada masa untuk melepak tak tentu arah. Kita mesti tahu bahawa orang yang suka membaca, mereka mempunyai budaya yang berbeza. Lagi satu, 'mamat' tadi tu, dia terlupa bahawa surat-surat khabar juga boleh merosakkan akhlak orang muda. Bukankah surat khabar yang rajin tayang perempuan dan lelaki dalam pos-pos (posisi) yang seksi, terbuka pakaian sana dan sini? Bukankah surat khabar yang banyak memaparkan kisah-kisah maksiat dan mewarnai media mereka penuh dengan pelbagai hiburan tak henti-henti? Mamat ini juga terlupa tentang peranan TV... apakah TV tidak boleh merosakkan akhlak anak muda? Apa pula peranan dunia maya? bukankah anak-anak muda ramai suka surf Internet kerana seronok menonton gambar atau cerita lucah?

Bagi saya, 'mamat' yang berbinkan 'Hussein' ini sudah ketinggalan zaman dan mungkin juga berfikiran jumud! Mungkin juga dia 'frustrated' atau 'dengki' melihat orang lain dengan karya-karya mereka yang berada di pasaran.

Kalau 'mamat' ini hebat, tulislah karya-karya yang konon-kononnya berilmu tinggi. Tak payahlah buat fitnah sana sini, merendah-rendahkan orang lain dan menulis dalam surat khabar seolah-olah dia telah melakukan banyak kebaikan untuk muda-mudi hari ini.

Oi, mamat... kalau remaja itu tidak mendapat pengasuhan dan didikan yang baik daripada ibu bapanya, maka akan terjerumuslah dia dalam segala masalah sosial di dunia ini. Namun kalau dia diasuh dengan baik, bacalah dia segala macam benda di dunia ini, remaja ini akan menjadi lebih matang fikirannya, lebih bijak dan orang yang matang akal fikirannya tidak akan mudah terjerumus dalam perkara-perkara yang merosakkan dirinya.

Wahai, mamat yang bijaksana... jadilah orang yang betul-betul bijak yang mampu memberi pandangan yang membina buat para karyawan, jangan jadi manusia yang tinggi perasaan hasad dengkinya hingga mudah membuat tuduhan yang sebenarnya sedang memaparkan kebodohan diri sendiri.

Wahai, mamat... kenapa kau sedih dan sakit hati? What's your problem?

Sunday, October 24, 2010

Sang Puteri


Salam

Pagi ini, masih hujan lagi. Alhamdulillah.

Pagi ini... mood untuk berpuisi pula.


Sang Puteri

Pernahkah kau mendengar ini?
Tentang gadis yang baik budi
Kisah sang puteri, bukan pari-pari
Si dewi yang sepi lagi sunyi
Mungkin ada luka dan perit di hati
Hendak menangis tapi tidak reti

Aku lakarkan sebuah lukisan
Kisah hidup yang nak diceritakan
Namun tiada indah cahaya mentari
Tidak muncul sang pelangi
Hanya ada awan mendung yang tinggi
Menutupi landskap yang berduri

Pernah dengar tentang gurun?
Gersang dan kering-kontang
Tiada pohon tiada daun
Sungai mengalir tanpa air
Mengawal hati yang tidak mahir
Menunggu kasih yang tidak hadir

Kususun ayat dan kata-kata
Naikkan semangat si anak dara
Usah dikenang akan derita
Kerna masih ada Dia
Dia yang cinta terus cinta
Doa, kau terus berdoa
Agar kelam menjadi cahaya
Nur bahagia buat sang jiwa
Doaku untukmu jua

Saturday, October 23, 2010

Terperangkap...


Salam, semua

Malam ni memang best sebab hujan turun, hilanglah jerebu yang berterbangan sudah lebih seminggu. Harap-harap esok lagi baik dari hari-hari sebelum ini... insya-Allah.

Pagi-pagi tadi saya telah ke Kalumpang. Siapa yang tak tahu di mana letaknya Kalumpang... di Hulu Selangor, tak jauh dari Kuala Kubu Baru. Ada sungai dan ada pokok-pokok hijau. Okeylah, saya ke sana di atas permintaan bakal-bakal cikgu yang sedang berbengkel di sebuah resort di tempat itu. Sejuk... ada sorang tu dia kata syahdu... hehe, maklumlah masing-masing berjiwa seni kan? Alhamdulillah, semoga kita menghargai suasana tropika yang dianugerah Ilahi buat kita semua.

Petang tadi saya hanya berehat-rehat di rumah seraya berbual-bual dengan anak-anak yang datang menyinggah. Hujung minggu, kalau dapat kami semua nak berehat sahaja. Iyalah, takkan nak kerja tak henti-henti, kan?

Sempat juga kami berbual dan bercerita tentang ekonomi negara hari ini. Berbangkitnya kisah ini kerana kami sedang berbincang tentang ekonomi yang kurang baik di Eropah. Kami bimbang perkara ini akan berjangkit ke nagara kita juga dalam masa yang agak terdekat. Yang membimbangkan kami kerana sedang fikirkan tentang rakyat Malaysia yang sedang hidup di luar kemampuan. Rata-rata, ada yang nampak macam senang dan kaya kerana mereka mempunyai ibu bapa dan mungkin datuk dan nenek yang pernah berkerja keras untuk kumpulkan harta. Kini nikmatnya dirasai anak-anak atau cucu-cucu, sedangkan anak-anak ini dan mungkin cucu-cucu pada 'realiti' nya tidak mampu.

Kalau tak percaya, cuba kita lihat kepada keadaan sekitar 20 atau 30 tahun yang lalu. Orang bergaji average sekitar RM1,200 dan sekarang ini averagenya ialah sekitar RM 1,500... beza lebih kurang RM300 sahaja. Tetapi cuba lihat pada harga rumah dan kereta? Mungkin lima atau enam kali ganda lebih mahal. Begitu juga barang-barang keperluan yang lain termasuk makanan. Jadi... ramai yang membeli rumah dan kereta kerana ada duit 'support' dari famili dan ramai juga yang mempunyai harta dan hidup selesa kerana bergantung kepada duit pinjaman yang juga tinggi... mungkin kad kredit atau hutang bank. Adoi! Risaunya.

Harap-harap orang kita tak akan terperangkap seperti di Amerika Syarikat. Tahu-tahu mereka sudah tidak ada rumah dan kereta lagi. Tahu-tahu mereka sudah tidak ada pekerjaan dan tak tentu makannya lagi. Nauzubillah.

Renung-renungkanlah.

Friday, October 22, 2010

Sedang-Sedang Maaa



Salam

Mungkin pelik agaknya kalau ada orang tidak mengharapkan untuk jadi kaya-raya di dunia ini, sekadar berdoa untuk hidup sederhana sahaja. Tapi betul ni. Dah banyak kali saya dengar hal ini dan baca di blog-blog. Memang ada orang yang lebih rela dia jangan jadi terlalu kaya, biar sedang-sedang sahaja. Katanya, apa guna kalau kaya sekalipun kalau hati dan jiwa tidak tenteram. Mereka juga percaya bahawa biasanya orang yang terlalu kaya itu tidak seronok sebenarnya. Mungkin juga mereka percaya kita tak akan dapat semuanya di dunia ini dan kerana itu mereka memilih untuk menjadi tidak terlalu kaya.

Okeylah, kaya itu pun sangat subjektif sebenarnya. Kaya macam mana? Rumah besar macam mahligai (ada kamar tidur mungkin sampai berbelas-belas atau berpuluh-puluh, ada swimming pool di dalam atau luar rumah, mempunyai perabot rumah yang mewah...), ada kereta mewah yang berderet-deret, ada tanah, ada harta, ada syarikat gah, ada duit berlambak-lambak dalam bank, ada orang gaji lebih dari empat orang - mungkin sampai 10 orang, ada pemandu, ada pengawal.... pendek kata, hampir semuanya dia ada. Kalau yang kaya betul, mungkin ada jet, ada kapal (saya kenal juga yang macam ni) Itu dari segi material lah! Memang ramai yang kaya-raya, malah di Malaysia pun berlambak juga, termasuk orang-orang Melayu. Biasanya juga, anak mereka tidak pergi ke sekolah biasa-biasa. Biasanya juga, anak-anak mereka turut berupa dan bergaya (duit maaa... semua pun boleh). Okeylah... kaya itu masih lagi subjektif, sebab ada juga orang kaya yang tak nampak kaya, sebab mereka tak berbelanja sangat (tak tahulah, mungkin kedekut kot, atau cermat teramat sangat).

Sebenarnya bagi saya, tak apa kalau kaya. Kalau dah ada rezeki untuk jadi kaya-raya, apa salahnya, kan? Saya mempunyai ramai kaum kerabat yang jatuh dalam kategori ini dan ramai di antara mereka tinggal di Indonesia. Hehe... apa, ingat orang Indon miskin ke? yang datang sini aje yang banyak miskin. Saya juga mempunyai kenalan (kawan?) yang kaya macam tu.

Okeylah... kalau tanya saya, saya juga tak naklah terlalu kaya. Saya mahu yang sedang-sedang sahaja. Lagipun, saya memang tak minat rumah besar macam mahligai tu. Kalau bagi kat saya, saya jual kot... hehe. Tapi... kalau saya ada banyak duit, saya nak berjalan-jalan, pergi ke semua tempat di dunia ni.(Tak naik private jet pun tak apa). Kalau tak ada duit, macam mana nak pergi, kan?

Saya tak kisah kalau rumah tak ada perabot mewah (saya memang tak minat), saya tak kisah kalau tak ada swimming pool... boleh pergi hotel maaa (asal ada kolam ikan) (rumah saya kat Selesa Hillhomes ada swimming pool, tapi tak pergi pun... huhu).

Banyak benda yang saya tak ambil kisah pun (material lah). Jadi, bagi saya hidup sedang-sedang itu lagi okey. Lagipun, kalau kita mati semua harta di dunia kita tak bawak pun. Yang penting bagi saya, saya dapat lakukan amal jariah, bersedekah, membayar zakat... buat orang lain happy dengan duit saya... dan jalan-jalan... hati happy maaa.

Wallahua'lam.

Thursday, October 21, 2010

Ronda-Ronda Blog Lagi


Salam

Dah malam, tapi rasa macam nak menulis kat blog pulak. Mungkin sebab tunggu cik abang balik lambat. Nak buat macam mana, kan? memang suka kalau dia balik cepat, tapi apa nak buat, kadang-kadang banyak kerja. Tak apalah... aku tetap setia menunggumu... hehe, jiwang sikit.

Saja terasa nak bercerita, mungkin siang tadi bermesej2 dengan beberapa orang pembaca. Ada seorang pembaca suruh saya masuk blog ni (saya dah pernah dah masuk blog tu, tapi dah terlupa), saya pun bacalah. Memang interesting. Lepas tu, saya suruh seorang lagi pembaca masuk blog tu pulak. Hehe, ramai-ramailah kami masuk blog awek tu. Yang seronoknya, kami seronok membaca ceritanya yang tulus ikhlas dari hati. Memang dia pandai menulis dan bahasanya (Inggeris dan Melayu) sangatlah bagus. Lepas tu, kami mengintai-intai juga blog pakwe dia. Rupa-rupanya dia orang ni kenal-kenal melalui blog juga dan kini bercinta jarak jauh. Wow! memang romantik, boleh dijadikan novel lah. Kalau awek tu tulis sendiri lagilah bagus.

Tapi memang saya tak nafikan, bercinta jarak jauh ni, kadang-kadang mungkin lagi interesting daripada duduk dekat-dekat. Yang pasti, bila duduk jauh-jauh tu perasaan 'rindu' selalu ada. Payah nak berkelahi sebab... jauh, kan. Saya tahu tu, kerana dulu pun saya bercinta jarak jauh. Bertahun-tahun lamanya. Dulu pulak, mana ada handphone, mana ada komputer. Surat aje, maa!

Iyalah... bila berjauhan kadang-kadang ada juga cabarannya, tetapi kita kena jujur dengan orang yang kita sayangi itu, tak bolehlah bermain kayu tiga. Tapi... ada orang tak sanggup bercinta jarak jauh. Saya ingat dulu-dulu, kakak2 saya yang bercintan jarak jauh, semuanya tak menjadi. Begitu juga teman-teman saya. Mungkin jodoh kami (saya dan dia) ada dan sudah tersurat di Lohmahfuz, kami akan bertemu jodoh jua.

Dalam mengintai-intai blog orang ni, saya terasa lucu juga, kerana ramai yang bersungut kerana kerap didatangi komen-komen mereka yang jenis sakit hati. Ada orang memang suka masuk blog orang dan keluar kata-kata yang menyakitkan. Adoi! Ini mesti kes sakit jiwa ni. Hehe... saya dah tahu dah, memang benda macam ni selalu terjadi. Memang pelik, kan? kalau kita tak suka buat apa kita jadi busybody dan sibukkan hal orang? kalau tak suka janganlah masuk blog orang. Blog dia, suka hatilah dia nak kata apa, lainlah dia mengata kita. Kalau dia tulis hal dia, biarkanlah. Kalau kita suka, kita pergilah. Kalau tak... blah ajelah!

Hehe... anyway, saya seronok membaca luahan hati mereka (the two bloggers). Ada cerita kelakar, ada cerita sedih. Thumbs up!

Budaya Satay?


Pernah dengarkah tentang budaya satay ni? Selama ini orang Melayu selalu dilink kan dengan PHD (Perasaan Hasad Dengki). Terma PHD ni memang dah basi dan bila disebut balik pada PAU ke 61, rasa macam dah basi dah. Seolah-olah yang tukang cakap tu memang dah tak ada modal dan memang dah jumud pun! Hehe... saya pun bukannya suka tengok perhimpunan politik ni, dah bosan dah, tetapi semasa waktu berita (prime time) biasanya saya tengoklah juga. Jadi, tertengoklah semalam. Alahai... kata nak perjuangkan orang Melayu, tapi nampak macam ralit highlight tentang apa yang ada dijual dekat tempat tu. Sibuk pula tunjukkan muka-muka selebriti yang sememangnya tak relevan dengan perjumpaan tu. Paling bosan, masing-masing berbuih cakap itu dan ini, tapi seolah-olah sibuk mengipas sana-sini, bukan nak cuba cari jalan macam mana nak baiki keadaan orang Melayu!

Helo... awak bukan orang politiklah!

Hehe... semalam saya tertarik dengan apa yang dicakap oleh 'Saudara Khairi Jamaludin', hero pemuda UMNO. Dialah yang sebut tentang 'Budaya Satay' tu. Saya suka yang ni, tapi tak tahulah Khairi tu ciluk idea orang atau idea dia sendiri. Apa pun, budaya satay ni untuk menggambarkan orang-orang yang suka mencucuk, lepas tu mengapikan dan mengipas. Cantik! memang tepat sekali.

Eh, satay pun ada macam-macam, kan? satay kajang ada, satay kampung ada, satay ayam ada, satay China pun ada (masa saya pergi Kunming, China saya pernah makan satay).

Tapi... bukan ke macam biasa aje? maksudnya, macam biasa dengar?

Iyalah, memanglah biasa, kan?

Pergi mana pun, memang begitulah. Tukang cucuk tu mesti ada. Lepas tu tukang mengapi-apikan, dan paling ramai ialah tukang mengipas. Kalau kita berada di atas, tukang mengipas kita memang banyak. Tak cukup-cukup, sampai letih dapat angin banyak sangat. Tapi bila kita dah jatuh ke bawah, jangan haraplah! habislah muka berasap, tak ada siapa pun nak mengipas balik.

Okeylah, saya malas nak berceloteh pasal hal ni, tetapi inilah realiti hidup hari ini. Manusia di sekeliling kita pandang tinggi pada kita bila kita berada di kemuncak, tetapi bila kita dah berada di bawah, mereka tak pandang langsung.

Tapi, sampai bila kita mampu duduk di atas? mesti akan turun juga, kan? tempat kita lebih selesa di bawah... sama dengan orang lain.

Wallahua'lam.

Wednesday, October 20, 2010

Mereka Yang Tak Setia



Salam dan Selamat Pagi

Hehe... bukan Selamat Malam. Semalam, ada seorang pembaca menyoal saya. Kata dia (you, Mel...hehe), cerita ni cerita sedih ke, Kak Aina?

Rasa-rasanya macam tak sedih. Selamat Malam, bukannya Selamat Tinggal. Cerita ni mengisahkan kehidupan Maya Kamilla... seorang wanita elit, yang dibesarkan dalam sebuah keluarga elit, mempunyai seorang ayah yang sangat 'conscious' tentang status dan latar belakang yang sekufu. Cerita ini juga mengisahkan seorang lelaki elit yang pernah meminati Maya, dan di atas sebab-sebab tertentu, dia terpaksa bekerja keras untuk memikat Maya Kamilla semula.

Pembaca juga akan bertemu dengan seorang lelaki muda yang 'ambitious', mempunyai cita-cita tinggi untuk menaikkan taraf hidupnya. Selain itu, pembaca akan berkenalan dengan karakter-karakter di sebuah firma hartanah. Ada yang 'poyo', ada yang 'gila-gila', ada yang baik hati, tetapi mereka semua akan membuat anda tersenyum-senyum.

Apabila sebut tentang elit ni, pagi ini teringat pula saya untuk berkata sesuatu tentang golongan 'elit' atau 'berlagak elit' di negara ini. Mungkin isu yang akan saya perkatakan ini merupakan sesuatu yang sensitif, tetapi pada hakikatnya ia adalah satu realiti.

Saya bukan merupakan ahli kumpulan 'Elit' Lembah Klang, tetapi saya mengenali ramai yang merasakan bahawa mereka adalah elit. Tak kiralah Melayu, Cina atau India.

Rata-rata, golongan ini tidak percaya sangat pada sistem pembelajaran di Malaysia (salah siapa sebenarnya?) dan kerana itulah mereka lebih selesa untuk menghantar anak-anak mereka ke luar negara untuk dapatkan pelajaran (bukan kerana biasiswa ya). Ada yang menghantar anak-anak mereka dari usia yang awal lagi. Ada tu dari sekolah rendah lagi. Ada yang menghantar sebaik sahaja anak mereka masuk sekolah menengah. Negara kegemaran mereka ialah Australia, England, Amerika Syarikat dan Canada. Ada juga pilih Singapura. Ada yang sanggup pohon untuk dapatkan 'status PR' supaya mereka boleh bekerja di negara-negara ini (terutama Australia dan Canada) dan dengan mudah dapat menyekolahkan anak-anak mereka di negara ini.

Dari sini, kita dapat melihat betapa orang-orang ini (yang merasakan mereka golongan elit), tidak setia pada negara sendiri. Malah, ramai yang melabur wang mereka di luar negara dan pada bila-bila masa sahaja mereka mampu untuk berpindah ke negara-negara luar ini (mereka ada rumah dan harta di sana). Sebab itulah mereka tak peduli untuk mengukuhkan bahasa Melayu mereka, kerana Malaysia bukan merupakan negara yang mereka banggakan!

Malangnya, ramai di antara mereka ini yang terlibat dalam projek-projek mega negara. Itu bermaksud bahawa mereka hanya mencari keuntungan semata-mata tetapi pada hakikatnya mereka tidak pernah menyayangi negara ini.


Mungkin ada yang membaca blog ini dan tertanya-tanya, "Betul ke ni?" Kita akan rasa tak betul kalau kita tak tahu, tetapi akan berasa betul kalau kita tahu. Saya mempunyai banyak kenalan yang datangnya dari golongan ini.

Kita juga perlu ingat, ada juga golongan yang bukan elit tetapi juga tidak setia kepada negara ini. Segala keuntungan yang diperolehi di negara ini akan dikaut dan dihantar kepada negara yang masih tersemat di hatinya!

Memang sedih kalau kita fikirkan tentang hal ini. Tetapi inilah realiti. Mungkin ada di antara kita sengaja mahu tutup mata dan buat-buat tak tahu.

Wallahua'lam.

Tuesday, October 19, 2010

Selamat Malam Kekasih



Inilah cover novel terbaru saya. Jangan cari kat kedai ya, belum ada lagi. Sekarang ini sedang dicetak. Kalau nak tengok sinopsisnya, bacalah di website KarnaDya.

Nature My Love


Salam

Pagi-pagi lagi, suami saya sudah ke Jay Bee. Pagi-pagi lagi, saya juga sudah berdepan dengan komputer, macam biasalah! Lepas subuh, memang inilah aktiviti saya setiap hari. Bila matahari naik sahaja, saya juga akan ke taman untuk urusan pokok-pokok saya.

Kalau nak tahu, saya juga banyak tanam pokok-pokok herba di bahagian belakang rumah. Tongkat Ali pun ada dan dah besar pun. Bukannya nak buat apa pun, saja seronok tanam. Pokok rosemary pun ada... kalau nak masak kambing atau daging, memang elok digunakan. Selain dari pandan, saya juga ada kesum, ada daun pudina, ada serai, ada lengkuas, ada kunyit, ada pokok-pokok ulam yang lain, ada juga pokok pisang (pisang siput, dia macam pisang abu juga), ada juga durian belanda, ada limau nipis, ada limau kasturi dan ada pokok cili. Kat depan (Kat luar rumah), saya juga tanam pokok nanas (saya atur jadi macam garden), ada pokok ciku dan mangga (sikit lagi berbuahlah). Huhu... saja seronok nak cerita, mungkin saja nak kongsi dengan anda semua betapa pokok dapat membuat kita rasa seronok. Betul ni, kalau tak percaya, cubalah.

Mungkin saya pernah cerita sebelum ni, saya memang suka gardening. Masa saya budak lagi, saya dah banyak menanam, termasuk sayur-sayuran. Ada budak suka tanam pokok ke? Tapi betul, saya memang suka menanam sejak kecil lagi. Saya juga pernah bela kambing, ayam, arnab dan macam-macam lagi. Biasanya, apa yang saya bela tu, saya memang tak akan makan! Termasuklah ikan. Saya ada bela ikan patin kat kolam saya ni, tapi saya tak pernah makan, saya biarkan sampai dia mati sendiri (sebab dah tua).

Semestinya saya suka pokok bunga, terutama yang unik dan yang ada aroma. Setiap kali pokok saya berbunga, hati saya turut berbunga juga. Syukran ya Tuhan.

Saya suka pada nature dan mungkin perasaan itu sama seperti membaca, yang saya lakukan sejak budak-budak lagi. Sekarang ini walaupun saya sibuk menulis, cinta saya kepada nature masih tersemat kuat. Alhamdulillah.

Semoga nikmat ini Tuhan anugerahkan buat saya dan anda semua yang membaca blog ini.

Monday, October 18, 2010

Masuk Surau Pun Kena Jaga




Salam,

Pagi ni belum ada mood nak bercerita sangat. Tapi semalam, semasa saya balik dari Melaka, kami singgah di R n R Seremban. Kami tumpang solat di surau yang disediakan. Kebetulan, saya seorang diri masuk ke surau wanita, sebab saya tak bawa anak perempuan saya. Dalam hati, rasa macam tak sedap sangat, tapi tak tahu kenapa. Saya bimbangkan tas tangan saya, walaupun bukannya banyak duit di dalamnya. Yalah, kalau hilang jam tangan ke, handphone ke... IC lagi, kad kredit lagi... macam-macam kad yang ada dalam purse tu lagi. Tapi, masa nak ambik wuduk tu, terpaksa aje letak tepi. Lepas tu pergi ke ruang atas untuk solat.

Saya letak beg tangan kat tepi sejadah. Selesai solat, saya pun bersiap-siap untuk keluar dan sebaik sahaja mahu keluar, saya terlihat seorang wanita separuh usia yang sedang menangis, membuka pintu surau untuk masuk ke dalam. Saya hairan. Saya bertambah hairan kerana dia masuk ke dalam surau bersama-sama suaminya.

"Awak letak kat mana?" soal suaminya kepada si isteri.

Saya bertambah hairan lalu bertanya pula. "Kenapa ni?"

"Beg tangan dia diambik orang masa sembahyang tadi." Itulah jawab suaminya.

Memang tak boleh buat apa-apa lagi, sebab yang keluar masuk memang ramai dan kita payah nak syak kerana tak nampak. Lagipun, macam mana kita nak tahu kalau kita nampak orang ambil tas tangan kerana mungkin kita sangka memang itu tas tangannya.

Apa-apa pun, berjaga-jagalah sekalipun kita masuk ke surau, kerana bukan semua orang yang masuk surau niatnya untuk bersolat. Tak kira perempuan atau lelaki. Wallahua'lam.

Cumanya kes semalam tu, saya terkilan juga apabila suami wanita yang kehilangan tas tangan masuk ke dalam surau wanita. Maklumlah, kan namanya surau wanita... tentu ada yang sedang ambil wuduk dan membuka tudungnya.

Apa pun... berjaga-jagalah, apa sekalipun yang mahu kita lakukan.

Okeylah, dah lama tak letak gambar budak kecil ni. Dia dah besar sikit sekarang ni... gambar ni kami ambil masa musim hari raya. Anak dara anak saya... si YUSUFIA.

Sunday, October 17, 2010

Always Problem?


Salam

Huhu... tak sudah-sudah rasa macam banyak problem. Problem? Masalah lah! tak tahu ke?

Okeylah... kita nak bincang pasal masalah ni. Ramai orang rajin menulis blog kerana seronok meluahkan perasaannya dalam blognya itu. Betul, kan? Dekat bloglah dia berkata macam-macam. Kalau hati sakit, kat situlah dia luahkan. Kalau dia terkena kat situ juga diluahkan. Dia marah, kat situ juga tempatnya. Best tulis kat blog. Siapa tak ada blog, hah, sangatlah rugi! Kalau tak percaya,, rajin-rajinlah melayari blog-blog taukeh blog. Macam-macam cerita ada.

Kadang-kadang saya seronok jugak meronda-ronda kat blog orang. Bukannya apa, tapi nak tengok apa yang orang lain tulis. Itu pun bila saya boring dengan apa yang saya tulis! hehe... 'Take a break, read other people's blog'.

Okeylah... rata-rata orang mudalah lebih banyak rasa tertekan. Kalau ada 'problem', dia pun meluahkanlah dalam blog. Biasanya juga, orang-orang muda lebih mudah rasa tertekan. Kadang-kadang masalah mereka sebenarnya kecil aje, tapi rasa macam besar. Ialah, mereka masih muda dan belum berdepan dengan macam-macam masalah lagi. Baru sikit-sikit aje.

Kisah 'pakwe' atau 'makwe' tinggal, jadi isu yang menyakitkan. Kisah 'bff' yang tak setia kerap juga jadi isu di blog. Kisah ibu bapa, pun ada juga yang merenyahkan. Ada yang bercerita tentang perceraian ibu dan bapa mereka. Kisah cikgu di sekolah, yang mungkin menyakitkan hati. Kisah kawan-kawan kelas... ada-ada saja. Kisah 'syok kat orang', juga menjadi isu yang menekankan. Adoi!

Biasalah... jadi orang muda, segala-galanya jadi isu yang besar. Betul, kan?

Mungkin kena tunggu bila betul-betul umur dah jadi dewasa. Tunggu bila dah kahwin nanti. Hah... soal rumah tanggalah pulak. Tension dengan hubby atau isteri. Tension dengan mak and pak mentua. Tension dengan ipar-duai. Tension kat tempat kerja, kawan kerja. Tension sebab masalah duit. Masalah duit-duit ni, boleh jadi isu yang teramat besar!

Kisah orang ketiga pulak... adoi, sakitnya hati!

Walhasil, tak sudah-sudah dengan 'problem', kan? tak akan habis-habis.

Mungkin lagi membebankan kalau kita jatuh sakit. Bertambah membebankan kalau kita kehilangan orang yang kita sayang (kematian?). Bertambah merumitkan kalau kita terjerat dengan isu hutang yang mengganggu perjalanan masa depan?

Okeylah... jom kita lari dari segala masalah ini. Kalau ada masalah apa-apa pun, jom kita buat-buat tak tahu aje. Fikirkanlah bahawa orang lain juga ada masalah, mungkin lagi teruk daripada kita. Kita rasa masalah kita besar sebab kita tak sedar yang orang lain juga ada masalah yang jauh lebih besar daripada kita.

Jom kita belajar bersabar dan jom kita belajar bersyukur dengan apa yang kita ada. Setiap saat dan masa yang Tuhan berikan kepada kita, jom kita ucapkan kesyukuran. Mungkin itu mampu membahagiakan kita.

Wallahua'lam.

PS: Mula-mula, sepatutnya saya pergi ke Sabah (KK), lepas tu ubah plan. Lepas tu nak ke Kuantan. Pun ubah plan. Mungkin nak ke Melaka aje. Not a problem!

Friday, October 15, 2010

Siapa Yang Tak Nak Nampak Cantik?




Kalau tanya pada orang perempuan, mungkin peliklah kalau dia kata dia tak peduli pasal nak nampak cantik ke tidak. Rasa sayalah, memang lumrah insan yang bergelar perempuan, semua nak nampak cantik. Cuma, cantik ni adalah sesuatu yang subjektif. Lain mata nampak dengan cara yang berlainan. Lain hati pun rasa yang berlainan.

Ada mata, suka kepada yang nampak natural. Tak ada mekap apa-apa. Mungkin ada yang mekap juga, tapi guna cara yang natural. Ada mata, suka muka yang bermekap tebal. Dan ada mata, suka melihat pada wajah yang diubahsuai.

Eh, ubah suai? Macam mana ni ek?

Okeylah... dah jadi trend sekarang ni, nak nampak cantik dengan berwajah bujur sirih (dagu tajam), mata macam mata kucing, hidung mancung... tak boleh kembang langsung. Huhu... ramai yang dah terikut-ikut ni. Pasal nak hidung mancung ha? kalau tak mancung tak okey ke? tapi kalau nak tahu, ada perempuan di negara lain (misalnya di Iran), mereka tak suka hidung terlalu mancung. Mereka turut ubah suai hidung supaya jangan jadi mancung sangat. Astaghfirullah...

Ada tu pulak, takut muka berkedut. Eh, semakin banyak usia, semakinlah berkedut. Nak kisah apa, kan?

Tapi ada juga yang usianya masih muda tapi wajah dah penuh dengan garis-garis halus, menjadikan rupa lebih tua daripada usia.

Saya dapat tahu dari kawan yang tinggal di Saudi mengatakan bahawa alat-alat mencantikkan wajah sangat laku di sana walaupun rata-rata kaum wanita di sana memakai purdah.

Tak kisahlah...

Tapi yang peliknya di sini pula, ada yang mengiklankan jenama-jenama tertentu (alat penjagaan wajah) tapi muka sendiri sudah diubahsuai melalui pembedahan plastik. Habis tu, macam mana kita nak percaya pada kosmetik tu? boleh pakai ke tu?

"Kak Aina macam mana?" tanya seorang pembaca.

"Kalau nak tahu, Kak Aina dari remaja lagi memang dah rajin jaga muka... hehe. Tapi dulu-dulu mana ada duit. Kita pakai secara traditional aje. Guna putih telur dan limau nipis. Kita buat facial sendiri. Wapkan muka dengan wap air panas. Tapi arwah ayah Kak Aina memang selalu nasihat anak-anak perempuannya supaya jaga kulit muka. Kata ayah Kak Aina (ayah Kak Aina ni Arab tulen), muka kita ni adalah harta kita juga. Dia suruh kami sayang pada apa yang kami ada. Termasuk rambut... dan semuanya."

Yalah... kita orang perempuan kenalah jaga semuanya. Bukan sekadar untuk suami, tetapi untuk diri sendiri. Tapi... janganlah over-over. Tak usahlah sampai nak make over pulak... repair mata, repair hidung, repair dagu...

Sedihlah, seolah-olah kita nak betulkan apa yang Tuhan dah bagi pada kita.

Apa salahnya kalau hidung tak mancung sangat, atau kembang sikit. Tuhan dah buatkan kombinasi tu sesuai untuk kita secara keseluruhannya. Kita kenalah ingat, walaupun mata cantik macam mana sekalipun, hidung tinggi macam gunung pun, atau dagu bujur macam daun sireh ke, tapi kalau hati tak elok, semua yang ada tu tetap tak elok.

Apa salahnya kalau kulit kita gelap? Salah ke? kenapa nak kena tonyoh sampai jadi cerah?

Saya pernah tengok gambar-gambar wanita dari Sudan dan Ethopia, mereka berkulit gelap, namun mata kita yang melihat tetap nampak cantik.

Jadi... kecantikan sebenarnya datang dari hati. Kalau hati kita cantik, tentu wajah kita juga turut berseri-seri, walau mungkin kita dilindungi purdah, namun mata tetap bercahaya. Sekalipun tak ada mekap, kita tetap nampak ceria.

Apa pun, sebagai orang perempuan, jagalah harta kita ini. Tak mekap tak apa, tapi kulit kena jaga.

Wallahua'lam.

Thursday, October 14, 2010

Wang Oh Wang...



Salam

Soal duit mungkin merupakan antara isu penting yang boleh menggugat rumah tangga. Kebanyakan orang fikir begitu, malah ramai yang mengaku begitu. Selain daripada hal 'orang ketiga', isu duit merupakan isu besar dalam rumah tangga.

Saya perhatikan ramai 'couple muda' yang bermula di alam rumah tangga dengan menggunakan kaki kiri. Ha? kaki kiri?

Ya... kaki kiri. Sebabnya saya katakan begitu ialah kerana dari awal lagi mereka sudah berhutang untuk kahwin. Baru nak kahwin dah buat pinjaman dan dah ada hutang keliling pinggang. Hutang koperasi, hutang bank, hutang kredit kad, hutang ceti... ada tu sanggup hutang dengan along, gara-gara nak buat majlis yang besar-besaran. Ada pula tu, buat 'refinancing' kereta atau motor kerana nak cari duit nak kahwin. Ada yang jual tanah mak ayahnya sebab nak kahwin. Adoi!

Yalah... sekarang ini tak ada hantaran yang diminta pihak perempuan yang 'ciput-ciput'. Kalau kat KL ni, semuanya mencecah RM10,000 ke atas. Kalau glamor sikit, mesti sampai RM20,000 ke atas. Macam ada pertandingan pulak, kan?

Masalahnya, bukan setakat duit hantaran aje, tapi macam-macam hantaran lagi, lelaki dan perempuan. Persalinan baju lagi, baju pengantin lagi, pelamin lagi, kenduri lagi... semuanya bertema!

Ayoyo... memang matilah kalau gaji tak sampai RM2,000 lagi. Kalau sampai pun masih tak cukup. Bila kahwin aje, nak masuk rumah lagi. Nak ada kerusi meja, nak ada katil, nak ada TV, nak ada mesin basuh... nak ada segala-galanya! Kesiannya.

Sebab tulah saya kata kalau tak betul gaya, memang kita bermula dengan menggunakan kaki kiri. Semuanya menyusah dan membebankan. Dah kahwin sampai sepuluh tahun pun, hutang tak habis lagi.

Hidup berhutang memang tak seronok. Itu pun kalau cukup duit nak bayar hutang. Kalau tak cukup... itulah yang jadi punca gaduh.

Jadi... sayang Kak Aina semua, kalau nak kahwin tu, buat kira-kira dulu ya. Janganlah berhutang untuk kahwin, memang tak akan happy. Buatlah yang sedang-sedang aje, ikut kemampuan kita supaya kita dapat hidup dengan penuh makna.

Wang oh wang... jangan kita jadi hamba kepadanya.

Wallahua'lam.

Wednesday, October 13, 2010

Jealous, Biar Sikit-Sikit Aje



Salam

Rasa kelakarlah pulak pagi ini. Saya dah berkali-kali cuba muat turunkan lagu-lagu OPICK (penyanyi Indonesia), rupa-rupanya saya sebenarnya dah pun miliki CD OPICK sejak tiga tahun yang lalu, termasuklah lagunya yang berjudul 'RAPUH'. Pagi ini barulah saya perasan kerana terjumpa CD yang dah lama saya beli tu. Hehe... apalah!

Okeylah, pagi ni saya masih nak bincangkan tentang perkahwinan. Semalam pun sama, bila tengok aje surat khabar, ada cerita orang kahwin, ada juga cerita tentang peceraian. Agak mengerikan juga.

Salah satu punca yang menyebabkan rumah tangga bergoyang ialah kerana sikap cemburu yang ada pada salah seorang pasangan, atau mungkin kedua-duanya. JEALOUSY - satu penyakit yang sering kali buat kita makan diri. Sifat cemburu itu sebenarnya merupakan sesuatu yang normal dan agak sihat, tetapi cemburu yang tak bertempat dan keterlaluan itulah yang boleh melingkupkan hubungan suami isteri.

Bayangkanlah kalau setiap kali kita bergerak, kita kena buat laporan. Bertambah merimaskan kalau setiap lima belas minit, dia buat panggilan kerana nak tahu kita buat apa. Adoi! peningnya kepala, dahlah terasa malu dengan kawan-kawan kerja.

"Siapa tu? bini kau ke? kenapa dia asyik call aje? dia takut kau hilang ke?"

Mesti kita berasa malu kalau kawan kita tegur macam tu.

Bertambah membebankan kalau kita tak buat apa-apa tetapi ditegur dan dimarahi kerana pasangan kita berburuk sangka pada kita.Dia tuduh kita bukan-bukan!

Kalau nak cemburu pun, biarlah berpada-pada dan berpatut-patut. Kalau tak cemburu langsung, nanti pasangan kita ingat kita tak sayang padanya.

Semasa kita muda, mungkin pasangan kita lebih cemburu. Ada juga yang menjadi bertambah cemburu bila umur meningkat. Ada teman yang saya kenal, bila suaminya dah bersara dan tinggal di rumah, dia mula menyekat pergerakan isteri. Isteri tidak diizinkan untuk keluar bersama teman-teman. Padahal, dulu dia tak kisah pun. Huhu!

Saya masih teringat semasa saya muda dulu (sekarang pun siapa kata saya tua? hehe), pasangan saya memang ada 'cemburu' sikitlah... banyak kot, hehe. Mungkin dia belum betul-betul mengenali saya... apa pun, memang dia jealous giler! setiap kali kami keluar makan, saya kena pilih tempat duduk yang tidak mengadap orang ramai. Kata dia, mata saya galak! hehe... nak buat macam mana. Memang dah mata kita macam tu.

Apa pun... itu dulu-dululah. Sekarang ni dah lama tak macam tu lagi. Dia percaya pada saya, begitu juga saya padanya. Insya-Allah, kita hanya menumpang di dunia Tuhan, kalau Tuhan nak ambil pasangan kita dan bagi pada orang lain, nak buat macam mana lagi, kan? Kita doalah yang terbaik, supaya hubungan kita suami isteri diselamatkan daripada segala rintangan. Agar semangat cemburu diredakan supaya kita lebih relaks dan happy. Jangan biarkan cemburu memusnahkan perkahwinan kita.

Okeylah, alhamdulillah pagi ni, saya masih sayang padanya. Insya-Allah, dia juga begitu.

Wallahua'lam.

Tuesday, October 12, 2010

Menang Sama Menang



Salam

Hehe... bukan cerita di Commonwealth games, tapi kisah orang kahwin-kahwin. Pendek cerita, hal rumah tanggalah. Kata orang, macam mana baik sekalipun, rumah tangga ni tetap ada turun naiknya. Sekali-sekala, mesti ada yang boleh jadi tak kena. Antara suami dan isteri, berkelahi akan tetap berlaku juga. Dalam hal macam ni, kalau nak berkelahi sekalipun, mulut kena jaga. Jangan keluarkan kata-kata yang menyakitkan hati pasangan. Jangan bermaki hamun. Jangan keluar kata-kata kejam yang akan menggoreskan hati pasangan.

Ewah... apa hal Kak Aina pagi ni?

Alahai, tak adalah hal apa-apa, saja nak bercerita, nak mengingatkan diri dan juga semua yang rajin datang membaca di blog ini. Bukannya apa, kalau baca aje surat khabar sekarang ini, banyak sangat cerita orang yang baru kahwin. Semuanya glamor belaka. Tapi malangnya cerita orang bercerai pun macam sama banyak juga. Inilah yang rasa macam tak suka.

Sama-samalah kita mengingatkan diri agar perkahwinan kita akan tetap berkekalan hingga ke syurga. Jangan jadikan perkara yang remeh-temeh itu besar dan terus meletup. Benda kecil, biar sahaja jadi kecil.

Perkelahian antara suami isteri akan jadi besar apabila masing-masing tak mahu bertolak ansur. Masing-masing nak menang sendiri, tak mahu mengaku kalah. Kadang-kadang, kalah pun tidaklah merugikan. Kalau kita mengaku kalah, mungkin kita sebenarnya sedang keuntungan, sebab dapat menyelamatkan perkahwinan. Sekalipun kita rasa yang diri kita itu betul, tak perlulah kita besar-besarkannya. Tak payahlah kita keluarkan kata-kata kesat sebab kita tengah naik angin.

Sebaik-baiknya juga, jangan suka kritik pasangan kita hinggakan semua yang dilakukannya tak kena. Anggaplah kita semua manusia yang tak pernah sempurna. 'We make mistakes'. Biarlah kita sama-sama menang. Berkompromi boleh menyelamatkan perkahwinan kita.

'Divorceproof' merupakan perkataan baru yang diwujudkan dalam kamus mat salih... hehe, bukan setakat waterproof aje.

Okeylah... kita boleh usahakannya agar perkahwinan kita selamat, namun Tuhan Maha Mengetahui... kalau terpaksa bercerai, mungkin ada hikmahnya. Wallahua'lam.

Monday, October 11, 2010

Jalan-Jalan Ke Jay Bee



Salam

Seperti yang dirancangkan, pada hujung minggu yang lepas, saya dan suami ke Johor Bahru. Hanya kami berdua. Semua orang bertanya, "Yang lain mana?"

Jawab kami pula, "Sekarang ni, kami selalu berdua aje. Yang lain-lain dengan hal masing-masing."

Yalah, tiga orang anak kami dah kahwin, tinggal yang bongsu saja. Yang bongsu pula, kebetulan ada hal, jadi tak dapat nak ikut kami.

Dalam perjalanan ke Jay Bee, kami singgah di Kluang. Dapatlah beli kopi 'O' (dalam paket) untuk bawa balik. Beli juga buah-buahan. Kalau nak tahu, tak jauh dari Tol Air Itam, memang ada tempat orang jual produk lokal, harga di situ sangat-sangatlah murah. Saya suka beli buah nenas, markisa, pisang tanduk (kadang-kadang durian dan rambutan pun ada, kalau musimlah). Produk makanan kering pun banyak. Kami juga makan tengah hari di kawasan itu, makan nasi aluk asam pedas ikan air tawar. Memang kaw!

Setibanya kami di Jay Bee, kami check in di hotel dulu (kalau ke Jay Bee, kami memang tidur hotel), lepas tu solat dan rehat2. Sebelah petang, kami ke hospital, melawat adik ipar saya yang baru buat 'operation'. Lepas tu pergi pula ke rumah adik ipar seorang lagi (dia akan ke Mekah untuk menunaikan haji pada bulan ini). Pada waktu malam, saya dan suami pergi ke Restoran Banafe (Tempat favourite) makan nasi ayam penyet. Lepas tu, ikut anak saudara suami (Saya memang rapat dengan anak saudara yang ini) ke Danga Bay membawa anak-anaknya bermain-main di kawasan itu (ada theme park).

Esok pagi, lepas breakfast, kami lepak kat bilik. Lepas tu barulah ke rumah kakak ipar saya... makan-makan lagi. Kalau ke Jay Bee, rumah kakak ipar yang ini saya mesti pergi. Lepas tu barulah kami ke tempat orang kahwin. Ada dua pengantin yang diraikan. Yang seronok, kerana suami dan saya dapat berjumpa dengan kawan-kawan lama. Kebetulan, majlis berlangsung di kawasan Gelang Patah. Lepas tu, sempatlah kami ke kawasan Pelabuhan Tanjung Pelepas. Kami lepak di sebuah restoran laut (yeo and famili), sebuah restoran atas air kepunyaan Chinese Muslim.

Dah puas, barulah kami balik ke Nilai. Semalam, kereta memang banyak di atas lebuh raya. Sibuk semedang (sentiasa). Tetapi, sekali-sekala berjalan macam tu, memang bestlah... dapat relaks dan tak perlu bawak kereta laju-laju. Dalam begitu, aduhai... kena jugak saman!

Friday, October 08, 2010

Tanpa Masalah?


Salam,

Adakah manusia di dunia ini yang hidup tanpa masalah? tak pernah lalui apa-apa dugaan? mustahil, kan?

Sebagai insan di dunia ini, haruskah kita tak henti-henti fikirkan tentang masalah yang ada di sekeliling kita? mungkin kita akan jadi gila dibuatnya... mungkin, kan?

Perlukah kita terlalu takut dengan apa jua dugaan yang datang, perlukah kita ambil hati pada setiap perkara jelik yang terjadi pada kita, perlukah kita sentiasa beremosi pada setiap apa yang terjadi ini? Kalau perlu, sampai bila? buat selama-lamanya? Ada perkara memang kita tak boleh nak tolak tepi, ada orang memang kita dah tak boleh buat apa-apa lagi. Dah memang tabiatnya begitu.

Yang tentunya, kita payah nak ubah orang lain, tetapi kita boleh ubah diri kita sendiri.

Dalam hal ini, saya selalu percaya, sebaik-baiknya kita jangan terlalu ambil hati dengan apa yang berlaku di sekeliling kita. Tidaklah bermakna kita tolak tepi perasaan kita, tetapi jangan biarkan diri kita tertekan dengan perkara-perkara yang kita tak dapat nak elakkan.

Dari kecil sampai dewasa, akan ada perkara-perkara yang boleh buat kita kecewa, sedih, makan hati, hampa dan macam-macam lagi. Tidak kira berapa umur kita, kita akan diduga, namun jiwa dan hati kita tetap ada di situ. Jagalah ia dengan sebaik-baiknya. Setiap apa yang datang kepada kita ada sebabnya, hanya Tuhan yang tahu.

Kita sentiasa merancang dan mahukan yang terbaik, tetapi dugaan tetap datang. Kadang-kadang, apa yang kita tak suka dan benci, itulah yang ditimpa kita. Namun, Tuhan tetap tahu mengapa ia diberikan kepada kita.

Percayalah bahawa Tuhan berikan dugaan itu kerana kita mampu menerimanya. Percaya juga bahawa dugaan itu tetap ada hikmahnya, hanya Tuhan yang Maha Mengetahui.

Kerana itu juga, janganlah kita buat diri kita tertekan dengan segala apa yang mungkin datang menguji kita. Terima dengan baik, dengan bersabar dan percayalah Tuhan akan memberi jalan untuk kita hadapinya.

Hargailah kehidupan kita, carilah kecemerlangan, jangan biarkan orang lain membuat kita rasa terhina...

Insya-Allah, carilah kebahagiaan dunia dan akhirat.

Thursday, October 07, 2010

Tempat Unik, Pulau SOCOTRA






Salam

Pagi ni saya tak ada mood nak bercerita, sekadar memaklumkan yang saya suka dengar lagu-lagu ketuhanan yang sering disampaikan oleh penyanyi-penyanyi seperti Opick, Maher Zain dan Sami Yusuf. Lagu-lagu yang menenangkan jiwa, tentunya mententeramkan hati. Alhamdulillah.

Pernahkah anda teringin untuk ke mana-mana tempat di dunia ini yang anda pernah dengar dan melihat gambar-gambarnya, tetapi tahu tidak mudah untuk sampai ke sana? Ada tak tempat di dunia ni yang anda tak pernah tahu pun wujud? Betapa hebatnya Allah SWT, menjadikan berbagai-bagai lanskap yang tak tercapai oleh minda kita.

Pernahkah anda dengar tentang sebuah pulau yang bernama SOCOTRA? Bagi saya, mungkin pulau ini merupakan antara tempat yang paling unik di dunia ini. Pulau ini terletak 500 kilometer dari Al Mukalla, Yemen dan ianya berada di tengah-tengah lautan antara Lautan Arabia dan Lautan India. Kalau rajin, layarilah Internet untuk dapatkan maklumat tentang pulau ini.

Okeylah... wassalam.

Wednesday, October 06, 2010

Rezeki Penulis


Salam,

"Ada musim, aku inginkan keriuhan. Ada masa, aku mencari ketenangan. Ada ketika, aku mahukan kesederhanaan, mahukan kedua-duanya. Itulah yang selalu hatiku inginkan. Namun, apa yang aku idamkan tidak semestinya kesampaian. Aku terima seadanya kerana aku juga tahu siapalah diriku ini, sekadar menumpang di dunia yang fana.

Ada ketika aku mendapatnya dan ada kala, aku tidak diberi apa-apa. Aku tetap terima seadanya. Aku reda."

Okeylah, mukadimah untuk pagi yang disinari matahari.

Kalau kita melihat buku orang lain laris di pasaran, itu tidak bererti yang buku kita juga turut laris sama. Kalau kita lihat seolah-olah buku kita macam 'laris' sangat-sangat, kadang-kadang tak adalah laris mana pun. 'Gimik' saja. Itulah dunia buku di Malaysia, mudah dibuat 'gimik' seolah-olah jualannya meletup!

Ada seorang rakan penulis, sangat terkilan kerana dia tidak mendapat bayaran royalti seperti yang diharapkan. Kata dia, buku dia nampak macam laris, sebab tak ada kat rak buku lagi. Mungkin dah habis dijual.

Sebenarnya, ada ketika buku tak ada di rak buku, kerana kedai tak memintanya. Ada kedai, rak buku memang tak cukup, jadi tak dapat nak muatkan semuanya. Terpaksa pilih-pilih. Ada kala, buku habis dihantarkan ke kedai-kedai, jadi dalam stor memang tak ada. Tetapi, itu tak bererti buku dah habis dijual. Kadang-kadang buku yang tak ada di stor boleh jadi ada semula, kerana ada buku 'return' dari kedai-kedai yang tak dapat menjualnya. Kerana itu, buku masih tak habis dijual. Terpaksalah buku-buku tadi diagihkan semula untuk dihantar ke kedai-kedai lain pula.

Ada buku laris di tempat 'A', ada pula laris di tempat 'B'. Begitulah, cita rasa dan selera pembaca adalah berbeza-beza.

Sebagai penulis, kita kena terima hakikat bahawa bukan apa sahaja yang kita tulis senang dijual. Jangan pula bila kita lihat buku orang lain laku, kita akan anggap yang buku kita pun akan laku macam itu juga. Tidak semestinya.

Samalah macam buat lagu atau berlakon. Bukan nasib semua orang sama.

Ada juga penulis yang terkenal, namanya gempaq! semua orang tahu dia. Tapi, tak semestinya buku dia turut gempaq sama. Ada penulis terkenal, bila nak bagi buku pada distributor, pihak distributor berkira-kira untuk edarkan bukunya kerana tahu tidak mudah menjual bukunya.

Ada penulis, bukunya laris dengan pihak penerbit 'A', tapi tak laris dengan pihak penerbit 'B'. Sekali lagi saya katakan inilah rezeki kita.

Jadi, sebagai penulis, kita kenalah bersabar. Kalau kita terus usahakan, insya-Allah, adalah nanti.

Wallahua'alam.

Tuesday, October 05, 2010

Nawaitu


Niat yang ada dalam hati, hanya Allah SWT sahaja yang tahu. Kalau kita berniat untuk lakukan sesuatu untuk kebaikan, Tuhan tahu. Kalau kita berniat untuk lakukan sesuatu kerana tamak, atau dendam, atau marah, atau sakit hati... Tuhan tetap tahu. Dalam kita mencari rezeki, tentulah wajib juga kita lakukannya kerana Allah SWT. Kalau kita nak cari duit tapi bukan kerana Tuhan, itulah kadang-kadang kita dengar ada yang sanggup jual dadah, ada yang lakukan rasuah, ada yang sepatutnya buat kerja (kerana makan gaji), tapi tak buat kerja pun! Bila niat dalam hati hanya mahukan wang sahaja, maka hati kita turut jadi beku dan keras macam batu. Tak ada kelembutan dalam jiwa lagi, kerana niat sudah lari. Nauzubillah.

Sesungguhnya, Tuhan Maha Mengetahui apa yang tersirat dalam hati.

Tak guna berbuih mulut kita beritahu sana sini kalau sekadar untuk sedapkan hati sendiri, padahal kita juga tahu bahawa kita sedang menghambakan diri kerana wang. Tidak dinafikan ramai yang berkobar-kobar tak putus bersolat sunat kerana mencari 'SYURGA', tapi apabila 'WANG' datang menjelma di depan mata, hati berubah dan kiblat juga turut berganjak. Nauzubillah.

Tidak salah bekerja kuat kerana mencari rezeki. Malah, tidak salah mencari rezeki seolah-olah kita akan hidup buat selama-lamanya. Namun, biarlah rezeki yang kita cari adalah kerana Allah SWT, rezeki yang halal. Biarlah niat di dalam hati itu kekal kerana Tuhan. Bukan sekadar perkara-perkara seperti berjudi, dadah atau rasuah, tetapi perkara seperti curi tulang, penipuan, busuk hati, tikam belakang... jangan menjadi amalan.

Pada waktu bekerja, kita bekerjalah.

Bagi saya memang pelik kalau ada orang mahu lakukan solat sunat di waktu kerjanya. Seolah-olah bekerja bukan satu ibadah. Sekalipun majikan kita bukan Islam, kita masih tak boleh curi tulang. Kalau taukeh kita tak tahu, Tuhan tetap tahu.

Saya juga berasa pelik apabila ada yang meletakkan kadar tertentu untuk lakukan kerja-kerja amal dan dakwah. Sekarang ini, mati pun kita kena bayar untuk dapatkan servis memandikan, solatkan jenazah kita. Tidak adakah lagi kerja amal yang dilakukan sesama insan yang bergelar Muslim?

Nampaknya kita kena ada bajet tertentu yang kita bawa sama, kerana kita tak tahu bila kita akan mati. Takut kalau mati, tak ada orang nak uruskan pula. Nauzubillah.

Saya jadi pelik bila saya berbual dengan seorang teman dan dia berkata, "Aku nak anak aku jadi hafiz, sebab sekarang ni hafiz senang buat duit. Kalau dah jadi hafiz, tak putus orang jemput suruh jadi imam, tambah pula bulan puasa. Hebat tu! Ada sorang hafiz yang aku kenal, boleh buat kerja sepanjang bulan Ramadan, lepas tu relaks sepanjang tahun."

Saya terdiam. Mungkin apa yang rakan saya kata itu ada kebenarannya.

Apa pun, nawaitu kita, hanya kita yang tahu. Tapi jangan lupa, Allah SWT tetap tahu.