


Awal minggu lepas, saya mendapat panggilan daripada salah seorang pelajar Yemen yang berada di Malaysia. Kata Ali Suleiman kepada saya, "Aunty... Sheikh Bugshan akan datang ke sini. Kalau jadi, nanti saya beritahu aunty ya?"
Ingat tak pada akhir 2008, semasa saya pulang dari negara Yemen? saya pernah bercerita tentang pengalaman saya ke Yemen, ke Sana'a dan juga Mukalla... semua ini saya ceritakan dalan entri-entri saya di bulan Disember 2008. Saya pernah menyentuh tentang usahawan Arab (billionaire)yang kami temui di Yemen (dia adalah warga Arab Saudi, ketua kepada Kumpulan Bugshan), malah karakter ini saya ceduk untuk novel saya 'Matahariku'(ayah Eyyad Aysar).
Hari Jumaat, saya hantar SMS kepada Ali Suleiman, 'Macam mana Ali, jadi tak?'
Ali tidak jawab SMS saya, tetapi membuat panggilan dan terus berkata kepada saya, "Aunty... Sheikh Bugshan ada di sini, aunty cakap ya?"
Saya hampir ketawa, kerana tak sangka pula yang saya diberi peluang untuk berbual-bual dengan seorang Sheikh (antara sepuluh terkaya di Timur Tengah), dan dia dengan ikhlas mengajak saya dan suami untuk makan malam dengannya pada malam hari berikut. Ia itu hari Sabtu yang lepas. Kami pun pergi (Takkan tak pergi pula). Yang peliknya, hanya kami sahaja yang dijemputnya, termasuk Muhammad (Seorang lagi teman yang ke Yemen. Dia masih muda, dan dua orang pemuda berketurunan Cina, pelajar KDU yang merupakan teman-teman budak-budak Yemen di Malaysia) ke sebuah restoran eksklusif, Ibunda Malay Fine Dine Restoran, yang terletak di sebelah Embassy Kuwait, berdepan dengan Prince Court Hospital.
Yang menariknya, kami telah menjadi tetamu VIP Sheikh yang kaya itu. Kebetulan, sekali lagi saya merupakan satu-satunya tetamu wanita mereka. Selain daripada kami, tetamu sheikh itu ialah pelajar-pelajar Yemen yang di sponsornya.
Saya masih ingat lagi, semasa kami ke Yemen dulu, ramai yang ikut sekali termasuklah beberapa orang Datuk-Datuk. Tetapi pada malam Sabtu itu, mereka semua tidak dijemput, hanya kami sahaja. Melalui perbualan pada malam itu, fahamlah saya bahawa kami diraikan oleh sheikh itu kerana dia berbesar hati yang kami melayan pelajar-pelajarnya di Malaysia. Itulah cara dia membalas budi kami.
Untuk makluman pembaca blog saya semua, Sheikh Bugshan datang ke Malaysia dengan rombongannya, menaiki jet peribadinya. Dia juga tinggal di sebuah hotel terkemuka (Mengikut kata pelajarnya, dia book lebih 30 bilik di hotel itu). Malah, sebelum makan malam dengan kami, Sheikh Bugshan berjumpa dengan sekumpulan usahawan Jepun yang tiba dari Tokyo. Kemudiannya, dia berjumpa dengan Tun Dr. Mahathir dan juga beberapa wakil-wakil Universiti tempatan di Malaysia untuk urusan pengambilan students Yemen ke Malaysia.
Malam itu, saya bawa anak saya(Nabil) yang bongsu. Saya berkata kepada Nabil, "Kalau boleh jadi kaya macam dia, bagus, kan? tapi kalau boleh jadi baik hati dan budi macam dia, lagi bagus. Kita tak pernah jumpa orang kaya yang baik macam ni, kan?"
Itulah perasaan kami. Sheikh Bugshan melayan kami seolah-olah kami sama taraf dengannya. Baginya, kaya atau miskin tidak penting, yang penting ialah budi bahasa.
Sebelum berpisah, Sheikh Bugshan berkata kepada kami, "Kalau ke Yemen, beritahu saya, atau ke Saudi... beritahu saya, kalau kita tak jumpa di KL lagi."
Gambar-gambar di atas, adalah istana Sheikh Bugshan di Hadramawt Yemen, jet peribadinya dan bangunan Bugshan di Jeddah, yang saya ambil dari google.