Assalam
Semalam saya hanya rehat di rumah setelah mengemas rumah. Hari ini belum tahu lagi apa programnya. Kalau rajin, mungkin nak keluar kot.
Apa-apa pun, jom kita bicarakan hal ini. Hal 'iri hati' dengan apa orang lain ada yang kita tak ada. Perlukah kita begitu? Bukankah kita di dunia ini dijadikan Tuhan berbeza-beza, maknanya kita tak sama. Ada orang ditakdirkan untuk jadi raja, tentulah rumahnya besar, harta mungkin tak terkira. Ada tu pula, dijadikan miskin papa kedana, tak punyai apa-apa. Ada juga dijadikan sederhana, ada sebahagian sahaja, tak ada semuanya. Itu dari segi harta benda. Begitu juga dengan jiwa, ilmu dan macam-macam lagi. Walhasil kita sememangnya dijadikan begitu, tak mungkin serba ada, serba 'perfect'. Ada ketika, mungkin sihat juga kalau kita mempunyai perasaan 'iri hati' kerana perasaan itu mampu membuat kita kerja keras untuk dapatkan sesuatu. Misalnya, kita terkesan di lubuk hati bila melihat seseorang itu berjaya dalam hal kerjayanya. Kerana itu, semangat kita juga turut meninggi lalu kita juga memberi tumpuan untuk jayakan diri kita. Syabas!
Pun begitu, manusia ini sangat lemah kerana kebanyakan kita mempunyai perasaan 'iri hati' yang berbentuk negatif. Kita rasa sakit bila melihat orang lain 'lebih' daripada kita. Bila kita lihat orang bahagia, kita benci. Bila lihat orang ada rumah besar, kereta besar atau apa-apa sahaja, kita pun nak sama. Kalau boleh kita nak lebih daripada itu. Mungkin kita juga mampu untuk dapatkannya, tapi kadang-kadang ada nikmat lain yang Tuhan tarik pula daripada kita. Wallahuaklam.
Kalau kita ada rasa 'iri hati' dalam jiwa kita, elok juga kita pastikan perasaan itu tidak merosakkan jiwa kita nanti. Kadang-kadang kerana kita terlalu fikirkan 'kemahuan' kita, kita sanggup lakukan apa sahaja untuk dapatkannya. Tetapi kerana niat kita 'kotor', sekalipun kita dapat, mungkin hanya buat seketika sahaja. Selebihnya kita kembali dengan rasa 'sakit hati' yang berterusan. Jadi, kita perlulah berjaga-jaga jangan terlalu melayan rasa yang negatif yang timbul dalam jiwa kita. Wallahuaklam.
Wassalam.
