Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Tuesday, March 06, 2012

Kreatif Macam P.Ramlee

            Salah satu cerita popular P.Ramlee

Salam semua

Saya tak update blog pada waktu pagi seperti yang biasa saya lakukan kerana pagi tadi saya memang ada urusan di Kuala Lumpur, jadi awal-awal lagi saya dah keluar rumah. Sekarang ini barulah saya ada kelapangan untuk menulis di blog ini. Okey, tentu anda tertanya-tanya, hah apa cerita? Hai... kalau nak cakap pasal cerita, sebenarnya saya ni tengah marah sangat-sangat. Tapi alhamdulillah, saya masih mampu untuk mengawal kemarahan saya ini. Insya-Allah, saya akan terus kawalnya. Mungkin inilah yang saya dah belajar selama ini, ada kala, sekalipun kita sakit hati, ada baiknya kita tahan sahaja. Anda semua tak payah risau, kerana saya tak marahkan anda pun. Saya marah orang lain... hehe...

Okeylah, dalam marah-marah ni, saya teringat pada cerita yang saya baru sahaja selesaikannya. Kebetulan, tadi saya singgah di sebuah lokasi yang telah saya muatkan dalam manuskrip cerita baru saya ini. Dan ketika berada di tempat itu, saya terdengar lagu lama yang didendangkan oleh penyanyi legenda kita, iaitu Allayarham P.Ramlee. Alahai... penuh nostalgia. Hai, apa kena-mengena cerita saya dengan P.Ramlee? Sebenarnya memang tak ada kena-mengena apa-apa pun, cuma sesuatu tentang penyanyi dan pelakon itu membuatkan saya teringat kepada cerita saya ini.

Agaknya sebab saya sedang cuba untuk hiburkan hati yang masih gundah-gulana kot. Hehe... tak adalah. Tapi memang benar, kan? Cerita-cerita yang pernah dikisahkan P.Ramlee kepada kita semua sangat klasik dan tentunya berkesan. P.Ramlee biasanya menceritakan kisah-kisah yang sememangnya berlaku di sekeliling kita. Kisah keluarga, kisah darjat, kisah buruk sangka, kisah tamak, materialistik, kisah kelentong sana-sini dan juga kisah-kisah cinta. Macam-macam yang pernah diceritakan P.Ramlee pada kita semua dan hingga hari ini, kita tak pernah jemu menonton cerita-ceritanya yang sudah beratus kali diulangkan di televisyen. Malah, anak bongsu saya tak pernah jemu-jemu menontonnya terutama cerita-cerita humor, sekalipun P.Ramlee dah lama pergi meninggalkan kita semua dan anak-anak muda tidak pernah mengenalinya. Namun, ceritanya masih ada dah masih relevan untuk kita semua.

Baru-baru ini, saya menonton sebuah drama di sebuah stesen TV swasta. Saya agak terkejut juga melihat drama itu, kerana jalan ceritanya seratus peratus meniru sebuah filem 'mat salih' yang baru lagi saya menontonnya (juga di TV). Aduhai... walaupun cerita itu telah diMelayukan, tetapi kisahnya masih sama seratus peratus. Sedihnya saya melihat, seolah-olah kita tak punyai idea sendiri. Sekalipun cerita mat salih tu memang sedap, itu tak bererti bahawa kita perlu curi jalan cerita mereka.

Saya teringat seseorang yang pernah saya temui bertahun-tahun dahulu, semasa saya sibuk mula menulis novel. Katanya kepada saya, "Alah, bukan susah sangat nak menulis ni. Kalau tak tahu, ambil aje jalan cerita dalam novel mat salih, lepas tu awak Melayukanlah." Saya terkejut mendengarnya. Orang berkenaan ketika itu sangat aktif dalam dunia penerbitan.

Saya hanya senyum sahaja dan berkata, "Tak apalah... saya lagi suka tulis apa yang saya tahu."

Tapi, inilah yang saya lihat sekarang ini. Ramai yang suka menulis mengikut trend yang ada. Bila ada sahaja cerita yang agak okey, yang lain pun ikut sekali. Tak kisahlah tulis novel atau skrip drama. Sebab itulah, kita asyik baca atau menonton benda-benda yang nak sama sahaja. Lepas itu, kita semua akan berasa jemu.

Mungkin kita perlu fikirkan bagaimana boleh kita jadi karyawan seperti P.Ramlee. Tak pernah lagi Allayarham P.Ramlee menulis atau membawa cerita yang nak sama. Malah, lagu-lagunya juga sangat berbeza antara satu dengan yang lain. Beliau tak pernah kering dengan idea. Kalau P.Ramlee boleh lakukannya, tentu ada di antara kita juga yang mampu buat begitu.

Okeylah... saya nak buat kerja lain, semoga anda semua akan fikir-fikirkan hal ini, bagaimana mampu kita kembangkan kreativiti kita dalam dunia penulisan seperti P.Ramlee.

Wassalam.