Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Wednesday, March 26, 2014

Mentaliti Yang Daif

Assalam

Semestinya kita terasa akan kemurungan yang melanda negara ini.  Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un. Dari Dia kita datang, kepada Dia juga kita kembali. Kematian itu adalah satu kepastian buat semua manusia yang bernyawa, hanya kita tidak tahu bila ajal akan tiba. Pun begitu, bila maut tiba, kita tak mungkin dapat mengelaknya sekalipun kita menangis keluar air mata darah. Setiap ujian itu datangnya bersebab, dan ada hikmah di sebaliknya yang mungkin menjadi pengajaran buat kita semua. Penerbangan MAS yang hilang, tentu berpunca, hanya kita belum tahu mengenainya. Pelbagai teori yang diketengahkan, semoga kita akan temui jawapannya nanti. Insyaa- Allah. Sebagai orang Islam, kita wajib terima ketentuan Ilahi. Hanya sabar sahaja yang dapat tenangkan hati dan jiwa. Kebetulan, tiga orang daripada mereka yang berada di pesawat yang hilang itu, tinggal di kejiranan kami. Tentunya kami turut rasa sedih buat kaum keluarga yang terlibat.

Dalam entri hari ini, saya ingin membawa anda kembali ke tanah Haram, kota Madinah dan kota Mekah. Perkara ini pernah saya bangkitkan semasa kembali dari ibadah umrah pada tahun 2011. Kali ini, saya bangkitkan sekali lagi. Bagi kami dan juga mereka yang lain (ketika berbual-bual), kita dapat rasakan bahawa kedua-dua kota itu sedang pesat membangun untuk kemudahan jemaah yang bakal datang ke kota-kota ini untuk tunaikan ibadah umrah dan haji. Namun begitu, persiapannya terlalu fokus untuk mereka yang berduit banyak. Kemudahan hotel (terutama di kota Mekah) lima, enam dan tujuh bintang disediakan di keliling Masjidil Haram, secara automatiknya akan mengizinkan mereka yang kaya-raya sahaja untuk mengecapi kemudahan yang disediakan, sementara yang tidak berduit, mungkin satu hari nanti, tidak berdaya untuk tunaikan ibadah ini. Betapa sedih yang kami rasakan. Kalau anda mempunyai kemampuan, eloklah pergi secepat mungkin ke tanah suci. Jangan tunggu-tunggu lagi. Jangan terlalu berkira-kira sangat, kerana bimbang di masa akan datang, ibadah itu akan menjadi satu kemewahan dalam hidup kita yang mungkin kita tak mampu untuk merasa.

Kebetulan, kami menaiki Saudi Air untuk ke Jeddah. Kerajaan Saudi menyediakan terminal khas buat airline mereka itu dan kami rasa selesa kerana tidak banyak songeh. Semuanya cepat. Tetapi bagi mereka yang menaiki airline lain, terpaksa guna terminal lain yang makan masa berjam-jam untuk keluar dari terminal berkenaan. Ada yang sampai enam tujuh jam terpaksa tersadai di lapangan terbang.

Dalam pada itu, kami juga berasa hairan dengan pihak pegurusan negara Arab Saudi yang kaya-raya itu. Dalam pada kesibukan untuk menaik taraf kota Mekah dan Madinah, kemudahan yang disediakan dalam perjalanan antara kedua-dua kota itu, sangat daif standardnya. Memang payah nak cari tempat rehat yang okey-okey di sepanjang highwaynya. Walaupun lebuh rayanya bagus, tetapi kemudahan sangat kurang. Itu menunjukkan bahawa kerajaan Saudi tidak prihatin atau sebenarnya mereka mempunyai mentaliti yang daif.

Sebenarnya ada lagi perkara-perkara yang akan saya ceritakan, mungkin sebagai pengajaran buat kita semua. saya akan sambung lagi di entri selepas ini, insyaa-Allah.

Wassalam.