


Saya melihat banyak perbezaan di antara orang dulu-dulu dan orang sekarang. Mungkin sistem pembelajaran yang diamalkan sekarang banyak membezakan orang dulu dan orang sekarang. Maksud saya dengan orang dulu ialah orang yang dididik dengan sistem pembelajaran LCE, MCE, HSC... sekarang ni, PMR, SPM, STPM. Lebih kurang macam tu lah. Kalau kita tengok budak-budak sekarang, macam nak gila mengutip 'A' dalam apa-apa peperiksaan yang diduduki mereka. Kadang-kadang macam nak semput dada mendengar keputusan mereka. Sampai berbelas-belas 'A' dalam ujian SPM. Begitu cemerlang sekali. Zaman dulu, kalau dapat 6 atau 7 'A' dan nak meletup dunia dibuatnya!
Tapi yang peliknya, budak-budak sekarang tak tahu sangat apa-apa di dunia luar. Kalau tak percaya, pergi tanya. Dapatlah 20 atau 30 'A', tanya tentang mana-mana negara di benua Afrika atau di Amerika Selatan, mungkin mereka tak pernah dengar pun kewujudan negara-negara itu. Jangankan geografi, kalau sejarah luar lagi mereka tak tahu apa-apa. Apatah lagi politik negara luar. Itu tak apa lagi, tanya pula tempak-tempat di dalam negara ini, itu pun mereka tak tahu. Memang pelik.
Saya bersembang-sembang dengan adik saya, seorang penerbit filem dokumentari dan program televisyen. Dia memberitahu saya, seringkali dia bertemu dengan remaja yang ibu bapanya orang senang-senang, tetapi jarang-jarang melihat tempat-tempat di Malaysia ini. Tinggal di KL tetapi Terengganu dan Kelantan pun tak pernah pergi. Mereka lebih teruja berbelanja untuk membeli telefon bimbit yang mahal-mahal, playstation... atau apa-apa alat-alat elektronik yang mahal dan sofistikated. Lebih suka makan-makan di restoran 'fastfood', melepak di shopping complex! Kesiannya.
Cuba tanya mereka di mana letaknya negara seperti Ethiopia dan apakah nama ibu negaranya? tentu mereka tak pernah dengar pun tempat bernama Addis Ababa. Tanya lagi tentang tempat-tempat seperti Albania, Bulgaria, Armenia, Belarus atau Estonia. Entah di mana letak benuanya pun mungkin mereka tak tahu. Kalau kebetulan ibu dan bapa mereka tak ambil kisah, tak usah haraplah budak-budak ini akan tahu tentang dunia luar.
Mungkin mereka biasa mendengar negara seperti Rusia, Amerika Syarikat, England, tapi ramai yang suka 'confused'. Ada yang tak tahu London dengan England itu tak sama. Ada yang tak tahu pun England dan Amerika itu adalah negara yang berbeza.
Kalau anda mempunyai anak-anak atau adik-adik yang masih muda, ajarlah mereka dari sekarang agar mereka tidak ketinggalan zaman suatu hari nanti. Saya sangat sedih kalau saya berbual-bual dengan remaja dan mereka tak tahu apa-apa tentang dunia luar. Tak usahkan luar negara, luar daerah pun mereka tak tahu sangat.
Ayuh... cuba kita ubahkan cara hidup kita hari ini. Biar kita tak sampai di tempat-tempat itu tetapi kita tahu serba sedikit tentang dunia luar ini. Jangan biarkan kita tergila-gilakan untuk dapat banyak 'A', tetapi terperangkap dalam dunia yang tertutup!
Komputer ada, Internet pun ada, jom berkenalan dengan dunia luar.