Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Thursday, July 23, 2015

Cinta Yang Tak Boleh Dibeli

Assalam

Masih sibuk beraya ke? Nampaknya dah jadi budaya kita kan? Bila Syawal sahaja, selagi tak habis Syawal kita akan terus berhari raya. Tak apalah, nak buat macam mana pun. Malah kami pun tak putus-putus didatangi tetamu terutamanya kaum kerabat. Alhamdulillah, setidak-tidaknya silaturahim kita berkekalan. Aamiin.

Begitulah keadaannya, cinta yang tak boleh kita beli. Walaupun mungkin ada duit setinggi gunung, tetapi bukan semua cinta kita mampu beli. Memang tak dinafikan, ada orang sangat mudah mencurahkan cintanya asal sahaja ada keberuntungannya atau ada hasilnya. Asal sahaja dapat sesuatu, maka hatinya pun diberikan. Kalau semurah itu cinta kita, pasti tidak kekal dan pasti akan rosak jua satu hari nanti.

Kasih sayang semestinya datang dari hati yang suci murni. Walaupun mungkin tak dapat apa-apa hasil daripadanya, namun rasa kasih itu tetap ada. Cinta murni membentukkan pengorbanan. Barulah kita anggap ini sebagai cinta. Bukan hanya antara manusia yang berpasangan, malah antara ibu bapa dan anak-anak, ada yang menjual beli kasih sayang mereka. Bila anak berduit, ayah ibu sayang lebih kalau dibandingkan dengan anak-anak yang kurang mampu. Begitu juga adik-beradik, yang rajin menghulur mungkin akan lebih disayangi. Mudah benar kita membeli kasih sayang. Betapa butanya hati kita ini.

Apatah lagi antara lelaki dan perempuan. Kalau si perempuan mudah tersua-sua hanya kerana wang-ringgit yang dihulurkan, maka kita sebenarnya sedang dibohonginya. Tetapi memang ramai yang buta mata dan buta hati, tak melihat tabiat buruk yang melekat pada insan di dunia. Mereka jadi kabur dan mudah percaya hanya dengan kata-kata dusta! Nauzubillah min zalik.

Percayalah... kalau cinta kita perolehi melalui wang-ringgit, maka katalah pada hati, bahawa sebenarnya diri sangat bodoh dan mudah terpedaya. Tak usah harapkan cinta yang dibeli untuk berlaku jujur dan setia. Cinta yang dibeli akan berakhir dengan khianat, sudah pasti.

Sejujur-jujurnya, pandanglah pada keikhlasan di hati, bukan sekadar kata-kata kosong yang pandai mencairkan hati. Tak usah terpedaya dengan cerita dongeng kerana semua yang bersukat dengan material akan hancur jua di akhirnya.

Wassalam.