Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Monday, March 31, 2008

Hilang

Apakah yang akan anda lakukan apabila anda kehilangan orang tersayang? Kemungkinan besar anda akan rasa tertekan dan kemungkinan juga anda akan berdepan dengan kemurungan berpanjangan. Pernahkah anda bertanya dengan mereka yang pernah menghadapi keadaan seperti ini? Hilang orang tersayang.
Selagi nyawa dikandung badan, mungkin kita ada tanggungjawab untuk teruskan kehidupan. Sekalipun sakit dan perit, bukan hak kita untuk turut mati sebelum sampainya kematian. Mungkin mudah untuk berkata-kata tetapi tak mungkin sama dengan bahu yang memikul. Pun begitu, kita perlu ingatkan diri dan cari jalan yang paling baik untuk mengatasi keadaan seperti ini.
Mungkinkah yang hilang akan berganti?

Thursday, March 27, 2008

Budak Suluq

Kami bergegas ke Jeti Jesselton yang terletak tidak jauh dari hotel kami yang berdepan dengan 'Water Front'. Malah, kerana nak cepat sangat, Cikgu Jani memilih untuk bungkuskan sahaja makanannya yang kami beli di sebuah restoran canggih. 'Rain Forest Kafe'. Sebenarnya, saya dan Zahirah terpaksa sahaja masuk ke restoran itu untuk makan tengah hari kerana kami mahu mengguna bilik airnya. Cikgu Jani hantar kami ke jeti dan barang-barang yang kami bawa turun dari 'National Park Kinabalu' kami minta Cikgu Jani hantar sahaja ke kaunter hotel kami. Tinggalkan sahaj di situ. Takut tak sempat nak kejar bot ke Pulau Manukan. Petang sebelumnya, kami dah buat janji dengan budak bot.
Sebaik sahaja tiba di kaunter jeti, 'mamat' yang jaga kaunter memberitahu kami, dah tak ada pelanggan lain selain daripada kami berdua yang hendak ke pulau. Memang dah lewat pun, dah melepasi tiga petang. Tapi agaknya bila melihat wajah kami berdua yang hendak sangat ke pulau itu, 'mamat' tu pun kesian. Dia mengatur untuk kami ke sana.
Itulah pertama kali kami bertemu dengan dua beradik budak Suluq yang membawa kami menyeberangi laut untuk ke Pulau Gaya dan Pulau Manukan. Kami berbual-bual di atas bot laju itu. Hari dah mula gelap. Mungkin nak hujan. Tapi kami berdua tetap nekad untuk ke sana, tak kira panas atau hujan!
Memang menakjubkan bila saya sampai di jeti di pusat peranginan Pulau Manukan itu. Pantainya indah, airnya jernih dan bersih... dan resortnya memang ada kelas!
"Wah! Banyaknya ikan... ikan todak lagi, betul tak?" saya bertanya kepada AlSarif, salah seorang daripada dua beradik yang membawa kami itu. Dia bercerita dan kedua-kedua kami mula bertanya itu dan ini.
"Ada tempat makan kat resort ni?" saya menyoal.
"Ada, puan... ada dua."
"Kamu pernah makan di sini? Sedap tak?"
"Mana ada saya makan di sini , puan... tempat ni bukan untuk saya. Saya bawa pelanggan saja."
"Jom... kita makan kat sana." Saya mengajak mereka dan kami terus ke kawasan resort yang kebetulan memang terletak di tepi pantai. Terasa seperti di Pulau Bali. Sebenarnya, saya tidaklah lapar sebab baru sahaja makan, tetapi saja suka-suka hendak mengajak mereka berdua.
"Makan di sini saja, cukuplah puan." Abang AlSarif berkata. Dia menunjuk kepada sebuah kafe kecil, yang digunakan oleh pengunjung yang datang untuk mandi-manda di tepi pantai.
"Ada yang lagi elok tak?"
"Ada puan. Di sana tu... itu mahal."
"Kalau saya nak belanja kamu makan, saya belanja kamu di sana tu. Kalau yang ini, kamu pun boleh bayar, kan?"
Mereka tersengih-sengih dan kami terus menapak ke ruang makan resort yang terletak berdepan dengan pantai yang indah.
Kami melayan kedua-dua beradik itu. Abang berumur 25 tahun dan adik pula baru 23 tahun. Kedua-duanya sudah berkahwin. Kami berbual dan saya banyak bertanya, maklumlah penulis.
Abang berkata yang dia dilahirkan di Filipina tetapi adiknya dilahirkan di Kota Kinabalu.
"Kamu ada IC lah?" saya menyoal adik.
"Tak ada, puan. Saya ada surat beranak sahaja."
"Surat beranak?"
Dia pun mengeluarkan sijil lahirnya yang dibawanya ke sana dan ke mari. Di sijil itu, semua butiran kelahirannya tercatat dan juga perkataan bukan warga negara bagi ayah dan ibunya.
"Kamu sekolah tak?" saya soal lagi pada adik, sambil kami menjamah makanan.
"Sampai darjah enam sahaja. Tingkatan satu tak lagi, sebab saya tak ada IC." katanya.
"Kenapa kamu tak boleh jadi warga negara? Bukankah kamu dilahirkan di sini?"
"Entahlah, puan. saya dah pohon tapi tak dapat."
"Habis tu... kamu rakyat mana?"
"Entahlah puan. Orang macam saya ni... tak ada siapa yang mahu. Saya hanya tumpang bumi Tuhan. Laut inilah mungkin negara saya. Orang miskin macam kami ni... beginilah puan."
Saya melihat anak matanya. Ada butiran mutiara yang mula bergenang dan saya dapat rasakan kehibaan yang dirasai anak muda itu. Begitulah kita agaknya... kalau tak berharta, miskin dan papa... tak ada siapa yang pedulikan. Sekalipun dilahirkan di tempat itu, masih tidak ada hak buatnya untuk menggelarkan dirinya rakyat.
Mungkin dia tidak diperlukan oleh orang-orang yang tidak sensitif, namun dia tetap hamba Allah. Apakah kita insan lain tidak bertanggungjawab bagi insan seperti dia? Patutkah kita tutup sahaja mata dan biarkan dia terus jadikan lautan tempat yang dikatakan rumah buatnya?
Saya sedih melihat AlSarif. Yang pasti, saya tahu dia baik, kerana petang itu sepatutnya kami tidak sampai ke Pulau Manukan sebab sudah lewat, tetapi mereka dua beradik sanggup menghantar kami tanpa meminta sebarang ganjaran yang lebih. Bagi mereka, tambang biasa itu sudah cukup. Alhamdulillah, petang itu rezeki mereka sudah disediakan Tuhan.
Malam itu, ketika memandang 'water front' di luar tingkap bilik kami yang terletak di tingkat 10, saya teringat kepada budak Suluq itu.
"Sarif... kamu masih ada di KK?"saya hubunginya melalui telefon bimbit.
"Ada puan." Jawabnya.
"Kamu buatkan salinan surat beranak kamu tu. Biar saya bawa pulang ke KL, okey?"
Kami berjumpa lagi malam itu. Saya dan Zahirah, dan kedua-dua budak Suluq itu.

Sunday, March 23, 2008

Terima Kasih, Orang Sabah

Salam, semua.

Masih lagi rasa kepenatannya, maklumlah dalam masa yang tidak begitu panjang, macam-macam yang telah saya lakukan di Sabah. Perjalanan ke Kota Kinabalu dan terus ke Sandakan dari KLIA meletihkan tapi tetap seronok. Saya bertemu dengan Zul, Yusri, Hasnah, Rajah, Zahirah, Abdul Razak... di KLIA lagi hinggalah ke Sandakan. Malam itu, bertemu pula dengan Sugi dan Zaini. Esoknya, bertambah menarik. Saya bertemu dengan semua guru-guru sekolah Sabah yang datang bertaklimat di Sandakan. Ada yang datang dari Tawau, KK, Kudat, Lahad Datu, Beaufort, Labuan, Semporna, Kinabatangan... macam-macam lagi, termasuk Sandakan juga. Ramli, Nurul, Norsiah, Sal, Lamia, Zaini, Yahya... ramai lagi, semuanya membuat saya rasa teruja. Kami berkongsi pengalaman, berkongsi pengetahuan... dan yang penting, terikat satu pertalian silaturahim.


Saya ke rumah Agnes Reith, ke Kinabatangan, ke Pasar Besar... saya berkenalan dengan pelbagai kumpulan etnik; bajau, bugis, banjar, kadazan, dusun... yang menarik, saya juga berkenalan dengan kumpulan etnik Sungai... yang kebanyakannya berasal dari Kinabatangan. Sebelum ini, saya tak tahu pun tentang kewujudan kumpulan etnik ini. Kini, saya telah berkenalan dengan sejarah asal usul mereka dan bagaimana nama KINABATANGAN itu wujud! Memang menarik.

Selain daripada kumpulan etnik dan sejarah bandar Sandakan, makanan laut di situ juga memikat saya. Tak pernah lagi saya melihat ikan, udang, ketam dan pelbagai makanan laut sehebat itu. Memang enak, bah... makan udang galah dan udang kertas tak henti-henti. Semuanya 'fresh'!


Saya tak sempat ke Sepilok kerana memilih untuk ke Kinabatangan. Apa pun, terima kasih kepada Cikgu Zaini kerana bersusah payah menemani kami ke sana. Alhamdulillah, saya memang seronok ke Sandakan dan saya berharap sangat kehadiran saya dapat membantu mereka semua dan saya berdoa agar mereka berjaya dalam kerjaya yang diamanahkan itu.

Kota Kinabalu telah mengalami pelbagai perubahan dan tentu sekali menakjubkan. Saya sempat ke 'National Park' di kaki gunung Kinabalu dan terus ke Kundasang dan Ranau dan terus ke kawasan air hangat Poring. Pagi itu, semasa dalam perjalanan mendaki (dengan kereta pacuan empat roda) kaki gunung, kabus tebal menutupi kawasan itu dan pemandangan di sekitar kawasan itu telah menambat hati saya. Cikgu Janni... terima kasih kerana sudi menemani kami ke sana.

Petang itu, sebaik sahaja turun dari kawasan pergunungan, saya sempat ke Pulau Gaya dan Manukan. Kami menaiki bot laju ditemani dua orang adik beradik Sulug, Sarif dan abangnya. Pulau yang cantik itu berjaya menghiburkan hati kami berdua... saya dan Zahirah. Air yang jernih menjadi tempat ikan-ikan todak berkeliaran di situ. Bukan todak sahaja, tetapi juga ikan kerisi, belanak yang berwarna warni. Indah sekali. Pasar Filipino, tamu dan pasar-pasar basah di sana memang menarik.


Kunjungan saya ke Sabah merupakan sebuah lawatan yang banyak meninggalkan memori indah dan saya berharap akan dapat ke sana lagi. Masih banyak tempat yang tak sempat saya kunjungi. Apa pun, sempat saya bawa balik kopi Tenom, teh Sabah dan udang kering, termasuk belacan Papar!

Orang Sabah... anda sekelian merupakan orang-orang yang tinggi budi bahasanya. Saya kagum dan terima kasih kepada semua yang saya sempat bertemu. Jangan lupa untuk terus berhubungan dengan saya. Insya-Allah, kita akan jumpa lagi!

Friday, March 14, 2008

Ke Sabah

Untuk makluman pembaca blog sekelian, saya akan ke Sabah mulai hujung minggu ini hingga Jumaat depan. Saya akan ke Sandakan dan Kota Kinabalu untuk sebuah program penulisan kreatif. Bagi semua pembaca saya yang berada di Sabah, sila hubungi saya melalui e-mel. Terima kasih.

Thursday, March 13, 2008

Sampai Bila?

Orang Melayu tak punyai pilihan tetapi untuk berubah. Kita tak boleh lagi berkhayalan! Kita tak boleh lagi ralit dengan hiburan dan perkara ini perlu kita sampaikan kepada semua ahli keluarga, kawan-kawan dan orang kampung kita. Kalau kita masih ralit dengan perkara-perkara yang akan musnahkan kita, satu hari nanti orang sudah tak kenal lagi kepada bangsa dan kaum etnik Melayu. Kita jangan harapkan supaya orang lain yang menolong kita untuk berubah, tetapi kita mesti lakukan sendiri.
Orang Melayu juga perlu berubah cara berfikir. Jangan bergantung kepada 'makan gaji' sahaja kerana memang sudah tak ada jawatan untuk kita semua. Bayangkanlah, orang Melayu mengharap kepada jawatan-jawatan awam dan setakat mana mampu pihak awam membantu. Di pihak swasta pula, kebanyakannya adalah bukan hak orang Melayu. Memang kita payah nak tumpang. Alternatif lain ialah untuk berniaga sendiri. Memanglah tak mudah, tapi dengan usaha yang gigih, perniagaan (apa sahaja bidang) dapat membantu. Lihatlah pada orang lain yang bukan Melayu, kenapa mereka boleh?
Terlalu banyak program televisyen yang ditujukan kepada orang Melayu dan program itu semuanya membuat orang kita ralit. Program-program realiti yang menghiburkan berjaya untuk memusnahkan orang Melayu dan menguntungkan orang lain. Lihatlah pada diri kita ini. Masih mahu lagi berhibur-hibur tak henti-henti? Sampai bila kita akan begini?
Beritahulah pada ahli keluarga kita bahawa kita perlu berubah. Jangan buang masa dengan hiburan yang tak berhala-tuju itu. Jangan buang masa berlonggok-longgok di pusat beli-belah. Jangan buang masa dengan apa-apa sahaja yang tak berfaedah. Carilah ilmu kerana hanya dengan ilmu sahaja kita akan berjaya berubah. Lihatlah.... hanya 4% sahaja harta di negara ini dipunyai oleh orang Melayu sedangkan jumlah penduduk, orang Melayu yang mendahului. Sampai bila kita akan begini?
Selama ini, kita mengharapkan bantuan. Selama ini kita mempunyai sikap yang sama... tunggu bantuan dan malangnya buat kita, bantuan itu tidak menolong kita. Bukan itu sahaja, tetapi memang malang buat kita kerana ramai yang diamanahkan untuk membantu tidak tunaikan amanah mereka. Orang Melayu dibiarkan terus berkhayalan... taksub dengan hiburan.
Bagi penulis-penulis yang membaca blog ini, marilah kita ramai-ramai membantu orang Melayu. Kita tulislah perkara-perkara yang boleh menolong orang kita berubah. sekalipun menulis buku cerita atau buku cinta, kita masih boleh lakukan sesuatu untuk menyebarkan ilmu dan mesej yang dapat menolong orang Melayu. Ingatlah... hanya menerusi tulisanlah orang lain akan mendapat mesej dan ilmu yang mahu disampaikan. sekalipun menulis buku kanak-kanak, biarlah kita sampaikan ilmu yang dapat menolong kanak-kanak itu menjadi orang yang amanah, orang yang bekerja kuat, orang yang boleh berfikir waras dan orang yang takut kepada Tuhan.

Wednesday, March 12, 2008

Apabila Hidup Kita Ditekan

Betulkah teori yang mengatakan bahawa sesuatu bangsa itu akan jadi lebih kuat, lebih rajin, lebih kreatif dan lebih kental apabila mereka mendapat tekanan? Kebanyakan penduduk minoriti di mana-mana sahaja di dunia ini berjaya menonjolkan diri dalam bidang ekonomi kerana mereka terpaksa bekerja lebih kuat daripada orang lain. Misalnya di England, rakyat berketurunan Pakistan dan India, kini mempunyai kehidupan yang jauh lebih baik dan mewah daripada orang tempatan (asal), walaupun pada suatu ketika dahulu (sekitar 30 tahun lalu), mereka hidup susah. Begitu juga minoriti di Afrika Selatan. Malah, orang Melayu di Singapura, sekalipun tidak kaya-raya macam kebanyakan mereka yang berketurunan Cina di sana, kualiti hidup mereka adalah lebih baik daripada kebanyakan orang Melayu di Malaysia. Mereka lebih kreatif, kerja lebih kuat dan lebih rajin.
Mungkinkah sesuatu bangsa itu akan menjadi lebih baik apabila mereka berdepan dengan tekanan? Misalnya rakyat Malaysia berketurunan Cina, walaupun pada asalnya mereka tidak merupakan rakyat yang kaya-raya, kini sudah lama berubah kerana mereka telah membina sebuah rangkaian atau network untuk membantu sesama sendiri sejak dulu lagi. Mereka berbincang dan mereka mencari jalan untuk mengatasi segala rintangan agar berjaya di mana-mana sahaja mereka berada. Apabila sesuatu berlaku yang tidak membantu, mereka sama-sama mencari jalan penyelesaian.
Mungkinkah orang Melayu akan jadi begitu juga apabila hidup tertekan? Satu soalan yang perlu kita fikirkan.

Monday, March 10, 2008

Faktor X, Y, Z... dan.....

Tidak dinafikan, hujung minggu yang lepas merupakan hujung minggu yang menggemparkan. Setelah 50 tahun, kuasa yang ada pada tangan pemerintah telah tergugat. Pelbagai teori dan fakta dikaitkan dengan apa yang sedang berlaku itu. Saya bukan pakar politik dan saya juga tak suka sangat membincangkan hal politik, tetapi apabila hal ini ada kaitan dengan kita, suka atau tidak, kita terpaksa juga ambil tahu. Apa yang menarik buat saya, ialah pandangan yang dikeluarkan oleh beberapa orang penganalisa politik, yang sebelum ini (sebelum undi) tak berani untuk menyentuh apa-apa yang dianggap sebagai mencemar nama baik parti pemerintah, tetapi sebaik sahaja keputusan pengundian tidak berpihak sangat pada kuasa gergasi itu, maka keluarlah suara-suara berani yang selama ini dibuat secara sorok-sorok sahaja.

Saya rasa inilah sebab utamanya mengapa orang ramai merasakan bahawa sesuatu terpaksa dilakukan, kalau tidak kuasa itu akan terus bermaharajalela tanpa pedulikan perasaan dan kehendak rakyat! Ada yang mungkin merasakan kuasa besar mereka itu tak mungkin ditundukkan oleh sesiapa jua. Masing-masing mungkin terlupa bahawa sekalipun mempunyai kuasa yang besar dan kukuh, tiada sesiapa di dunia ini mempunyai kuasa yang lebih besar daripada kuasa Allah SWT. Kalau kita lupa, memang malanglah nasib kita ini. Sekalipun dicurahkan segala kemewahan dan nikmat untuk bumi Malaysia ini, kalau tidak dikendalikan dengan baik, Tuhan akan menarik balik kemewahan itu. Jangan kita lupa bahawa Tuhan boleh mengubah sesuatu itu dalam sekelip mata sahaja.

Tak pernah terjadi lagi sebelum ini, orang-orang Melayu secara beramai-ramai pergi memangkah parti pembangkang DAP, tetapi mereka melakukannya kerana mereka tidak diberi pilihan lagi. Kalau tidak ke mulut buaya, mereka akan terus duduk di mulut harimau. Mulut harimau itu sudah lama disesakkan dengan makanan mewah dan untuk mengajar harimau supaya bertimbang rasa dan menolong bangsa, terpaksa sahaja dibuat begitu. Kalau tidak, harimau akan terus bermaharajalela dan terus fikirkan tengkoloknya sahaja!

Kata rakan saya, "Aku tak kisah lagi kalau aku terpaksa makan racun. Tapi kalau racun boleh dijadikan ubat... aku buatlah daripada aku terus makan ubat yang tak menjadi-jadi. Makin lama makin sakit aku ni dan makin tak ada jalan lagi. Yang ini... aku cuba."

Apa-apapun, sama-samalah kita bermuhasabah. Lihatlah pada diri kita ini. Ada ketika, kita terpaksa lakukan sesuatu yang mungkin akan memudaratkan diri kita, tetapi kita terpaksa lakukannya kerana kalau kita tak buat, kita akan mati dan kita tak akan membuat mereka buka mata dan buka hati.

Politik memang begitu. Kalau hari ini hari aku, mungkin esok tidak lagi. Yang menariknya, rakyat Malaysia mahukan perubahan. Kalau kuasa pemerintah berdegil dan tak mahu berubah, mungkin inilah cara terbaik untuk memaksa mereka berubah! Atasilah faktor-faktor X, Y, Z yang diperkatakan orang... mungkin termasuk faktor KJ yang tak putus-putus dibincangkan orang. Kalau kuasa pemerintah mahu lakukan sesuatu, lakukan itu terlebih dahulu, kalau tidak orang Melayu payah nak percaya lagi.

Sebenarnya, kita tak perlu takut pada manusia kerana kita tahu Tuhan tahu dan hanya pada Tuhan sahaja yang patut kita takut. Kalau kita tak mahu tolong bangsa, siapa lagi yang akan lakukan untuk kita? Mungkin ramai yang tak mengerti apa yang sedang berlaku ini. Tetapi kini, kita semua tahu, perasaan tak puas hati itu terpaksa sahaja dilepaskan. Oleh sebab tiada pilihan, inilah yang terjadi. Apa yang diharapkan ialah sesuatu akan diubah dan sesuatu itu akan membantu kita secara keseluruhan. Jangan biarkan rasuah dan sifat bermaharajalela itu dijadikan amalan kita kerana perbuatan itu bukan hanya merugikan bangsa dan agama, tetapi akan memusnahkan generasi masa depan kita!

Friday, March 07, 2008

Penyakit

Alhamdulillah, sekiranya kita diberikan kesihatan yang baik dan sihat sentiasa. Bersyukurlah, kerana dalam hidup kita ini, sekalipun kita mempunyai banyak wang atau mempunyai kuasa, tetapi kalau tidak diberikan kesihatan, hidup kita bagaikan tak berpedoman. Pun begitu, kita patut usahakan kerana setiap penyakit itu sudah disediakan ubatnya. Carilah!
Dalam membincangkan hal sakit ini, yang paling kita takut kalau kita menghidapi penyakit sakit hati atau punyai hasrat dengki. Penyakit ini memang payah nak diubati. Kalau kita iri hati tetapi menerimanya secara positif, kita akan mampu memperbaiki kekurangan pada diri. Tetapi, kalau perasaan itu lebih kepada 'geram' atau 'benci', maka timbullah perasaan untuk mengkhianati atau untuk menabur fitnah.
Penyakit yang seperti ini, kalau tak pandai dikawal, akan memusnahkan diri! Malah, mungkin akan mengganggu emosi dan akhirnya nanti mungkin menghadapi penyakit 'mental' atau gila! Oleh sebab itu, elakkanlah diri daripada mempunyai perasaan 'dengki'. Sekiranya kita melihat orang lain lebih elok daripada kita, terimalah itu sebagai kenyataan dan cubalah untuk memperbaiki diri. Dalam begitu, carilah apa kelebihan yang kita ada, agar perasaan sakit hati tidak terus bertapak di jiwa.
Yang pasti, setiap diri kita ini memang dianugerahkan Tuhan dengan kelebihan dan kelebihan itu tidak sama dengan orang lain. Carilah dan gunalah kelebihan itu untuk meningkatkan prestasi. Insya-Allah, kalau hati kita berniat baik, akan ada jalannya. Tuhan Maha Pengasih lagi Penyayang.

Monday, March 03, 2008

Hidup Yang Singkat Usah Dipendekkan Lagi

Hidup kita ini sudah cukup singkat untuk kita pendekkan lagi. Ada ketika, kita terasa sunyi dan sepi dan perasaan itu bertandang kerana mungkin pengalaman yang baru sahaja kita lalui. Suatu perpisahan kerana ditinggalkan kekasih, perceraian yang tak pernah disangka atau dipinta, lebih memeritkan lagi jika berlaku kematian yang tak pernah diduga.

Apa-apapun, perlu kita ingatkan diri bahawa kita sekadar insan biasa, hanya menumpang di bumi Allah s.w.t. dan apa-apa sahaja yang ditentukan untuk kita, itulah qada' dan qadarnya. Tuhan lebih Mengetahui dan selagi ada umur yang diberikan, jauhilah daripada hidup menderita.

Bahagiakanlah hidup kita semua. Hiduplah seadanya dan teruslah berusaha untuk melakukannya lebih baik daripada apa-apa yang ada. Itu ialah usaha kita dan berdoalah agar Tuhan Menganugerahi kita sesuatu yang baik-baik untuk kita semua!