Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Wednesday, September 07, 2011

Nun Jauh Di Sana, Tetap Dekat Di Hati

           Kota Bandung

                   Bandung

Salam semua,

Ada yang dah lama menunggu agar saya bercerita sesuatu tentang dunia buku, terutama tentang skandalnya... huhu, nampaknya saya masih belum bersedia untuk meluahkannya. Beri saya sedikit masa lagi dan saya akan aturkan sedikit demi sedikit. Bukan mudah nak bentangkan hal-hal ini, kerana banyak yang terlibat dan mungkin banyak juga yang tak suka.

Mungkin saya masih dalam mood beraya, jadi saya nak bercerita tentang hal keluarga. Saya percaya, anda semua tahu yang saya datang daripada sebuah keluarga yang besar, saya mempunyai lebih daripada seorang ibu. Malah, arwah ayah saya memang kahwin banyak (jumlahnya memang tidak normal buat orang Melayu - jangan lupa yang ayah saya memang bukan Melayu) dan kerana itu, kami mempunyai adik beradik yang ramai. Ada yang tinggal di Indonesia, ada di Singapura dan di Malaysia. Arwah ayah saya dilahirkan di Mekah, tetapi pernah tinggal dan berkhidmat dengan negara Turki. Buat ketika itu, negara Arab bukan seperti sekarang ini. Moyang saya pernah dilantik menjadi 'Emir' untuk jajahan negara Turki dan kerana itulah keluarga kami memakai nama keluarga 'Emir' yang membawa maksud 'Raja'.

Suatu ketika dahulu, datuk saya dan juga keluarganya berdepan dengan masalah politik di negaranya dan kerana itulah mereka telah berhijrah lalu meninggalkan Tanah Arab. Mula-mula, ayah saya telah datang ke Pulau Jawa dan Surabaya merupakan tempat pertama tempat ayah saya. Kebetulan di sana sudah ada banyak penduduk yang berketurunan Arab. Kebanyakannya datang dari Yemen. Kemudian, ayah saya tinggal pula di Bandung dan merantau di merata-rata tempat sebelum datang ke Malaysia. Pada mulanya di Malaysia (ketika itu ialah Tanah Melayu), ayah saya datang ke Kelantan bersama sepupu-sepupunya (kerana itu saya mempunyai ramai saudara yang tinggal di Kelantan) dan kemudian datang ke Perak dan bermastautin di negeri itu. Semasa ayah saya datang ke Malaysia, adik-beradiknya yang lain terus tinggal di Indonesia.

Hari ini, kebanyakan kaum kerabat saya di Indonesia, mempunyai latar ekonomi yang sangat baik kalau dibandingkan semasa datuk saya dan ayah saya tiba di sana. Alhamdulillah, kami juga tidak pernah putus hubungan dengan mereka, walaupun suatu ketika dahulu, semuanya tidak mudah.

Nun jauh di sana, namun mereka tetap dekat di hati.

Kami sudah berkali-kali ke Bandung dan kalau dibandingkan dengan Jakarta, kami lebih suka Bandung, tambah pula tempat itu mempunyai banyak kisah dan nostalgia. Kerana itu juga saya pernah mengambil latar Bandung dalam novel saya 'Seharum Kasih'. Malah, nama Rasya Aleeya dalam novel itu saya ambil nama anak saudara saya di sana.

Insya-Allah, sekitar dua minggu lagi kami akan ke Bandung untuk bertemu dengan sepupu-sepupu kami dan keluarga mereka, juga abang sulung saya yang tinggal di Bogor (Bogor tidak jauh dari Bandung).

Okeylah... bila saya ada masa, mungkin saya akan cerita lagi tentang ahli keluarga saya.

Wassalam.