
Gambar di atas sekadar hiasan, tiada kaitan dengan saya.
Salam
Pernah tak anda fikirkan tentang kaum kerabat anda, terutama mereka yang duduk jauh daripada anda?
Okeylah, saya memang datang dari sebuah keluarga yang besar. Dari sebelah ayah dan juga dari sebelah ibu. Dan ramai juga daripada mereka yang tinggal berjauhan daripada kami. Semasa saya kecil, kadang-kadang memang payah nak jumpa saudara-mara kami terutama yang tinggal jauh. Bila berjumpa, memang menyeronokkan.
Sejak dulu lagi, saya memang ambil berat tentang kaum kerabat ni. Tak kiralah mereka kaya atau miskin, mereka orang berada atau tak ada apa-apa. Bagi saya, mereka serupa sahaja, kaum kerabat saya.
Setiap kali ada majlis perkahwinan, semasa itulah kami berjumpa. Kalau majlis itu majlis sebelah ibu, maka kaum kerabat ibulah yang saya bertemu. Kalau sebelah ayah saya, kaum kerabat ayahlah yang kami jumpa. Kebanyakan saudara-mara sebelah ayah saya berada di kejauhan, sejauh Amerika Syarikat, Timur Tengah, Indonesia (paling banyak) dan juga Singapura. sebelah ibu pula, hampir semua berada di Utara Malaysia, ada segelintir di Selatan dan juga Sumatera. Ayah ibu saya berasal dari Aceh, berketurunan Arab Yemen.
Mungkin kerana itu juga, biasanya bila ada majlis keluarga, saya akan cuba ke sana, kerana hanya di sana sahaja saya akan bertemu dengan kaum kerabat saya. Yang penting, kita cuba rapatkan silaturahim dengan ahli-ahli keluarga kita. Kita berusaha mana yang mampu. Kadang-kadang, setelah kita beria-ia, tidak menjadi juga. Bukan semua orang sama. Rambut sama hitam mungkin, tapi hati tetap lain-lain. Apa pun, saya akan terus berusaha untuk kekalkan ikatan silaturahim dengan kaum kerabat saya, walaupun kami tinggal berjauhan.
Untuk makluman anda sekelian, saya berbangga dengan saudara-mara sebelah ibu saya, kerana kalau saya buat majlis, mereka akan berusaha untuk datang walaupun tinggal jauh dari saya. Saya bersyukur. Alhamdulillah.