
Buat apa kita berjanji kalau kita tahu yang kita tak akan menepati kata-kata kita itu? Saya memang tak faham dengan orang yang buat janji tetapi akhirnya membatalkan janjinya dengan sengaja. Di atas alasan-alasan yang tak konkrit, dengan senang hatinya janji dilupuskan. Sebenarnya saya tak berniat untuk menceritakan kisah ini, tetapi saya rasa elok juga saya ceritakan untuk satu pengajaran buat kita semua.
Semasa bulan Ramadhan yang lepas, awal-awal lagi saya telah berancang untuk sponsor buka puasa kepada sebuah rumah anak yatim yang terletak tidaklah jauh dari kawasan kami di Bangi. Saya 'book' tarikhnya pada penghujung bulan Ramadhan, kerana kata pihak pengurusannya, masa itu sangat sesuai kerana tak ada orang lain yang hendak sponsor. Saya pun okey dengan tarikh yang diberikan itu. Malah, dua minggu sebelum tiba tarikh itu, saya bertanya lagi apa makanan yang kanak-kanak itu suka untuk dijadikan juadah berbuka puasa. Saya pun berpakat dengan staf KarnaDya untuk aturkan program berbuka puasa itu. Semua staf KD bercadang untuk turut serta dalam majlis yang dirancang itu.
Pada hari berkenaan, saya pun telefonlah pihak pemgurusan dan memaklumkan tentang perkara itu sekali lagi. Malangnya, pihak pengurusan memaklumkan kepada kami bahawa pada petang itu, kanak-kanak itu akan dibawa ke sebuah hotel terkemuka di Petaling Jaya kerana ada syarikat lain yang akan 'sponsor' berbuka puasa.
Jadi saya pun bertanyalah, "Bukan ke kita dah berjanji yang petang ini kami yang nak sponsor buka puasa?"
Kata pihak pengurusan, "Nak buat macam mana, ada syarikat ni dah ajak. Kalau Puan nak hantar makanan, hantarlah."
"Siapa yang nak makan kalau dah budak-budak tu makan di hotel?"
"Hmm... tak apa. Nanti kami boleh bawak balik. Budak-budak tu pun, mungkin masa balik nanti masih lapar."
"Kan dah lewat masa tu, takkan dia orang boleh makan lagi? lagipun... banyak yang kami beli nanti." Kami rancang untuk order pizza kerana kanak-kanak itu kata nak makan pizza. Tapi... ialah, pizza nak lawan makanan hotel lima bintang, tentulah pizza tak laku.
Kami terkilan, kerana permintaan kami itu dihampakan begitu sahaja. Sudahlah pihak berkenaan tidak memaklumkan kepada kami dari awal lagi tentang perubahan rancangan. Bertambah terkilan kerana saya sudah berkali-kali menghantar 'sedekah' dalam bentuk wang kepada pihak berkenaan sebelum itu.
Kami terpaksa batalkan perancangan kami itu dan saya hanya belikan makanan untuk staf KD berbuka puasa di pejabat. Tak jadilah makan bersama-sama anaka-anak yatim. Begitulah nasib kita, hinggakan nak bersedekah pun susah... terpaksa compete dengan syarikat gergasi. Maklumlah, kita sekadar semut... janji yang dibuat dengan kita tak ada erti dan harganya. Sejak itu, saya pun carilah rumah anak yatim yang lain, yang mungkin lagi daif dan lagi payah untuk orang lain sampaikan sedekah mereka.
Apa yang saya ingin ketengahkan ialah tentang 'janji'... janganlah kita anggap itu sekadar perkara remeh sahaja. Bila kita perlu, kita keluarkan kata-kata manis, tapi bila kita dapat yang lebih baik, janji kita tadi, kita tolak tepi.