Assalam
Dalam berkarya atau dalam penulisan, saya memang suka mengguna style 'sinis' atau apa yang kita panggil satira, siapa yang makan cili dia akan terasa pedas. Maklumat yang disampaikan tidak berbentuk direct. Banyak entri blog saya yang terbendung cerita-cerita berbentuk satira atau orang putih kata 'satire' yang dikhaskan untuk mereka yang kadang-kadang suka menyibuk atau tak faham bahasa.
Dalam bercerpen pun begitu juga, saya memang suka sesuatu yang tersirat di balik ayat-ayat yang diatur, khas untuk mereka yang mengerti. Itulah kelebihan seorang penulis, tidak menulis biasa-biasa sahaja. Kalau sekadar mampu menulis macam kanak-kanak sekolah darjah tiga, lebih baik jangan menulis kot.
Okeylah, pagi ini saya nak berbicara tentang hal anak-anak. Ramai ibu dan ayah sangat sayang kepada anak-anak mereka. Memang bukan normal kalau ada ibu ayah yang tak sayangkan anak-anak. Semestinya di antara ibu dan ayah, biasanya juga ibu lebih menyayangi anak-anak. Mungkin kerana ibu yang melahirkan mereka. Sebab itu bila ada kes perceraian kebanyakan ayah mengangkat kaki dan tinggalkan anak-anak tanpa mahu ambil peduli lagi seolah-olah mereka sudah tiada tanggungjawab lagi. Tidak seorang ibu, biasanya mereka akan berusaha keras untuk membesarkan anak-anak mereka walaupun terpaksa melalui pelbagai rintangan.
Namun begitu, di zaman serba kemewahan, kebanyakan ibu bapa mahu juga menyediakan kemewahan untuk anak-anak mereka. Orang kata, "biar merasa" dan hari ini, ramai yang mahu melakukan pelbagai benda untuk pastikan anak-anak mereka terhidang dengan segala kemewahan. Biasanya juga, bila hidup dengan kemewahan, anak-anak ini tidak akan mengenali apa itu kesusahan. Maka dengan itu, daya kekuatan mereka tiada, apabila berdepan dengan sebarang kerapuhan hidup atau dugaan, anak-anak ini pasti akan gagal. Wallahuaklam.
Sebagai ibu bapa yang waras, memang elok kita sediakan ilmu yang cukup untuk anak-anak. tanpa ilmu, anak-anak tidak akan ke mana-mana. Mereka akan menjadi insan yang lemah, tiada daya untuk berjuang. Namun, sebagai ibu bapa yang pintar, tak payahlah sediakan segala kemewahan dalam bentuk material, untuk anak-anak hinggakan ibu bapa itu sendiri terpaksa hidup menderita. Anak merasa senang, ibu ayah tak dapat apa-apa kesenangan. Memang terlampau banyak kes yang begitu. Dalam hal sebegini, bagi saya, kesalahan terletak pada ayah dan ibu yang melampau mahukan anak hidup dalam kemewahan. Walaupun kita sayangkan anak-anak itu tak bererti bahawa kita wajib memberi mereka segala kesenangan tanpa batas. Kalau kita buat begitu, akhirnya nanti anak-anak akan pijak kepala.
Dalam membesarkan anak-anak, kita seharusnya dapat mengacukan mereka agar mampu berdepan dengan segala dugaan. Kalau mahu sediakan yang baik-baik, biarlah dalam hal ilmu dan masa depan, bukan mahukan anak-anak hidup senang tanpa batas. Kalau anak-anak tidak kenal kesusahan, mereka tak mampu untuk menghargai kesenangan. Dalam keadaan yang begini, semua akan kerugian.
Ada ibu sanggup melacurkan diri untuk memberi kesenangan kepada anak-anak. Ada ibu tunggal yang sibuk cari suami lagi untuk mengutip material buat anak-anak. Ibu yang begini tentunya tidak mengguna akal dan kebijaksanaan, hanya pantas mencari jalan pintas untuk rebutkan duniawi untuk menghidangkan kesenangan. Begitu juga si ayah yang mampu berasuah untuk mencari kesenangan material. Pada hal banyak jalan lain untuk mencari kestabilan dan kerukunan kehidupan.
Saya gerun bila mendengar orang berkata, "I nak anak-anak I hidup mewah."
Dari kecil biarlah anak-anak dibentangkan dengan ilmu dunia dan akhirat, agar anak-anak menjadi insan cerdik yang mampu mengguna akal dan bijak mengatur kehidupan tanpa takut untuk berdepan dengan dugaan dan ujian.
Hidup tak perlu melampau mewah hinggakan kita menjadi manusia sesat dan lupa daratan.
Wassalam.
Sekadar hiasan