Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Friday, December 31, 2010

Bye-bye 2010, Hello 2011



Salam

Ada apa pada cinta? Eh, cinta pulak! Tersilaplah. Maksud saya, ada apa pada angka? Sekadar nombor sahaja, kan? Begitulah kita yang hidup di dunia fana ini. Tak usah risaukan nombor-nombor yang ada ini. Tak payah kita fikirkan tentang azam baru. Yang penting kita ambil kira ialah masa yang berjalan. Bak air yang mengalir di sungai, tak akan mengalir lagi di tempat yang sama. Begitulah masa, setiap detik, setiap saat... ia akan berlalu pergi dan tak akan kembali lagi.

Adoi!

Saya tak pernah kisah pun tentang tahun apa, yang penting ialah masa yang akan saya lalui itu, insya-Allah apabila diizinkan Tuhan Yang Maha Esa. Selagi ada umur, itulah harapan saya, untuk terus berada dengan kesihatan yang baik, akal yang waras, perasaan kasih sayang, bukan sekadar sayangkan diri, sayangkan ahli keluarga, jiran dan teman, tetapi sayangkan juga alam ini, segala kehidupan yang dianugerahkan Ilahi. Tentunya sayang kepada agama, bangsa dan negara.

Rezeki akan kita usahakan dan cari, tetapi jangan biarkan diri jadi hamba abdi kepada wang ringgit. Masa yang ada ini kita gunakanlah untuk mencari kebahagiaan, kepuasan dan keharmonian. Masa juga kita gunakan untuk berada aman di dunia dan akhirat. Bukan sekadar berkata-kata sahaja, tetapi berusaha dan mengamalkannya. Insya-Allah, Tuhan Maha Menyayangi dan Mengampuni. Berusaha, berdoa dan bertaubatlah... semoga Allah SWT mengizinkan kita untuk menjadi hamba yang salleh/salleha.

Sebagai penulis, insya-Allah, selagi ada zat yang dikurniakan, saya akan terus menulis. Akan terus cuba mencari kelainan, akan terus cuba memuaskan hati pembaca dan diri sendiri, akan terus cuba menyelitkan ilmu dan pengajaran walaupun mungkin sebesar biji saga. Akan terus berjuang agar rakyat Malaysia sayangkan bahasa Melayu. Akan terus berkata-kata dan meluahkan perasaan dalam hal yang berkaitan dengan dunia sastera. Akan terus berusaha untuk majukan industri buku di tanah air ini. Akan terus berada di sini selagi nafasku berhembus dan selagi umurku ada di badan. Akan kulakukan buat Tuhanku.

Apa pun, saya tetap bersyukur kerana diizinkan Tuhan untuk berada di sini. Alhamdulillah.

Thursday, December 30, 2010

Malaysia Menang Cuti!




Salam,

Hehe... memang seronok sebab akhirnya Malaysia menang bola. Walaupun kita kalah semalam, tetapi aggregatenya kita masih menang! Tension giler!

Apa pun, syabas team Malaysia!

Pun begitu, janganlah kita cocky sangat. Saya pasti kalau Indonesia yang menang, sure punya Indonesia akan cakap macam-macam tentang kita. Tapi kita semua tahu, majoriti rakyat Indonesia bukan merupakan orang yang cerdik pandai. Mereka terlupa juga bahawa antara kita dan mereka, tak ada sangat bezanya. Datang dari serumpun juga, amal budaya yang hampir serupa, bercakap guna bahasa yang nak sama. Saudara pun ramai di sana.

Okeylah, orang Malaysia lebih bijak, jadi... elok kalau kita jangan perasan sangat. Lagipun, bukannya 'World Cup' yang kita menang, 'Asia Cup' pun tidak.

Sebenarnya, apa yang kita ingin lihat ialah semangat untuk bermain bola hidup semula. Dah terlalu lama Malaysia ketinggalan, ada kala kita kalah teruk dengan team yang tidak gah langsung. Alhamdulillah, ada petanda yang menunjukkan bahawa team kita sudah mula berhijrah. Mungkin kita kena pastikan pemain kita bukan terdiri dari pemain yang gila glamor. Kita tak ada 'David Beckam' atau 'Daud Bekam'. Biarlah pemain kita tumpu pada bola, bukan sibuk jadi selebriti. Kalau dah gah betul-betul, tak apalah juga... hehe.

Harap-harap juga rakyat Malaysia, terutama golongan muda akan belajar untuk menyokong Malaysia. Tidak ralitkan team-team luar negara seperti Manchester United, Liverpool atau Real Madrid. Selama ini, rakyat Malaysia lebih bangga kalau 'Man U' menang seolah-olah datuk nenek mereka datang dari sana! (huhu jangan marah!)

Sokonglah negara kita dan banggalah dengan team negara kita. Bila menang kita raikan, kalau kalah kita jangan putus semangat... terus berjuang. Dalam pada itu, bila menang janganlah lupa daratan.

Secara jujur saya katakan yang saya tidak sokong kita dapat cuti sehari kerana Malaysia menang! Kalau selalu menang macam mana? orang Malaysia tak payah kerja? Berpesta sepanjang masa? Adoi! Saya rasa sekalipun kita bangga Malaysia menang, tak payahlah beria-ia sangat. Lepas ni nak buat apa lagi, nak bagi 'Datuk' pada satu team bola kerana menang? Atau nak bagi tanah banyak-banyak. Yang tu lah nanti team kita akan jadi lemak, terus tak boleh main.

Helo... kalau sayangkan Malaysia, janganlah manjakan sangat. Pemain jangan dimanjakan, orang awam pun jangan. Bila manja, itulah yang tak jadi semuanya. Maaflah kalau ada yang tak sokong kata-kata saya ini. Apa yang saya luahkan ini adalah jujur dari hati.

Wassalam.

Wednesday, December 29, 2010

Indie Atau Underground?




Salam

Pagi ini saya masih kurang sihat, tapi tak apa... taklah teruk sangat, alhamdulillah. Malam tadi, saya dapat panggilan dari kejauahan... teman dan pembaca'hardcore' saya... kami bersembang-sembang walaupun kadang-kadang line tak berapa elok. Dia kirimkan sesuatu untuk saya dari sana, saya juga cadang nak beri buku saya yang terbaru dan juga beberapa buku Mimie Afinie (dia baru ada dua aje buku Mimie). Kalau bersembang dengan dia, memang seronok. Ada-ada aje ceritanya dan kerana dia juga jenis kelakar, saya sentiasa tergelak! Alhamdulillah.

Pagi ini saya nak bercerita sikit-sikit tentang karya 'underground'. Ada orang kata karya macam inilah yang dikategorikan sebagai indie. Hah! Yang itu saya tak tahulah. Sebabnya ialah kerana perkataan indie sebenarnya datang dari perkataan Inggeris 'Independent' atau apa yang dimaksudkan ialah 'berdikari' tanpa perlu bantuan sesiapa. Sebenarnya bila kita kata muzik 'indie' ia bermaksud bahawa yang membuat alunan muzik itu membuatnya secara berdikari, tanpa bergantung pada mana-mana syarikat muzik seperti EMI, Warner Brothers dan lain-lain. Begitu juga dengan penciptaan lagu yang dikaryakan, tidak bergantung dengan orang luar. Semuanya dibuat sendiri, termasuk urusan recording dalam studio (studio disewa).

Ramai yang keliru apa sebenarnya dimaksudkan dengan muzik indie atau apa yang dikatakan muzik 'underground'. Muzik indie sebenarnya apa-apa sahaja yang diuruskan secara sendiri dan muzik underground pula ialah apa-apa yang dibuat keluar dari landasan biasa. Apa kita kata sebagai 'out of the main stream'. Ramai orang keliru tentang hal ini. Ramai yang ingat semua lagu-lagu seperti yang disampaikan oleh Yuna, Hujan, Bunkface... itulah muzik indie! Huh! Sebenarnya muzik mereka lebih kepada 'underground' (Stail muzik luar dari yang biasa), tetapi kerana mereka juga hasilkan muzik secara sendiri, ia juga boleh dikategorikan sebagai indie. Tetapi ada juga muzik indie yang bukan jenis underground! Ada juga muzik underground tak jadi indie (kerana tidak dikomersialkan).

Sekarang ni saya nak bincang pula tentang karya indie atau 'underground' yang berbentuk tulisan. Sekali lagi ada kekeliruan di sini. Apa yang dikatakan 'indie' dan apa pula 'underground'. Saya tengok sekarang ini, pihak media pun keliru, tak dapat nak jelaskan apa itu karya indie. Sebenarnya, apa sahaja karya yang dihasilkan dan diterbitkan secara sendiri, itulah yang dikatakan karya indie. Salah satu penulis bertaraf 'indie' ialah RADZI SAPIEE yang menghasilkan karya-karya 'Berpetualang Ke Aceh'. Dia menulis, mendesain kulit buku, buat layout, terbitkan dan mengedarkan secara sendiri. Secara solo. Ramai juga penulis yang bergerak secara ini, tak kiralah penulisan mereka jenis apa, termasuklah 'novel cinta'. Ini bermaksud bahawa walaupun ia berbentuk indie, ia juga turut menjadi komersial. Siapa pun boleh mendapat karya-karya ini di kedai-kedai buku dan juga melalui 'online'. Begitu juga dengan muzik tadi. Muzik indie kita boleh dapat di kedai muzik atau secara 'online'.

Apa pula yang dikatakan karya underground? Di Malaysia, belum banyak lagi. Setahu saya, mereka yang menulis karya underground, menulis dalam bentuk satira (satire), yang tidak 'direct' maksudnya. Kebanyakan karya-karya ini juga adalah daripada mereka yang 'protes' tentang isu-isu setempat dan global. Kebanyakan juga menulis kerana geram dengan perkara-perkara yang sedang berlaku. Banyak juga karya 'protes' menceritakan isu-isu politik, isu rasuah, isu kebangsaan, bahasa dan agama, dan macam-macam lagi. Biasanya juga, karya seperti ini dihasilkan oleh mereka yang aktif menulis blog! Banyak juga karya diterbitkan daripada entri-entri blog!. Tentunya, karya seperti ini diterbitkan secara 'online' (ada juga yang dijadikan buku berbentuk fizikal) dan dipasarkan biasanya secara 'online' juga. Buku-buku macam ini payah nak dapat di kedai-kedai buku! Karya underground biasanya tidak komersial.

Okey... saya harap anda dapat tangkap apa maksud saya dan saya harap anda faham dengan apa yang saya bangkitkan. Jadi... janganlah kita dengan mudah sahaja melabelkan apa itu underground sebagai indie.

Okeylah... setakat ini dulu. Wassalam.

Tuesday, December 28, 2010

Karya Indie?




Gambar cilok dari Yahoo

Salam semua.

Hehe, hari ini adalah hari jadi saya. 'Happy birthday to me'... hehe. Saya tak kuasa nak meraikan hari jadi... apa pun, alhamdulillah kerana Tuhan izinkan saya untuk terus berada di dunia yang fana ini. Semoga saya dan keluarga dan anda semua yang membaca blog ini dirahmati-Nya dan selamat dunia akhirat. Amin.

Pagi ini juga, saya rasa macam kurang sihat. Ada flu lah pulak. Tapi tak apa, sikit aje sakitnya. Alhamdulillah.

Malam tadi, sedang tidur nyenyak (sekitar 2.20 pagi), alarm pejabat KarnaDya di Bukit Puchong berbunyi. Adoi! saya dan anak-anak kelam-kabut. Masing-masing berada di rumah sendiri, jadi saya pun mulalah hubungi mereka. Faiz tidur tak sedar (agaknya letih), jadi pihak alarm telefon saya. Akhirnya saya dapat hubungi Faiz dan Irfan. Irfan pun tak berapa sihat (juga kena flu). Faiz hubungi Polis Bukit Puchong dan pihak Polis pergi meronda di kawasan pejabat. Kata polis, tak ada apa-apa. False Alarm agaknya. Apa pun, saya dan Faiz terus pergi ke Puchong. Mujur jalan raya tak ada kenderaan. Sekitar 15 minit kami dah sampai. Masuk ofis dan check, memang tak ada apa-apa. Check juga tape pada CCTV, memang tak ada apa-apa. False alarm, tapi kami puas hati sebab dah check sendiri. Kalau tak pun, memang tak boleh tidur. Sekejap aje kami dah sampai rumah. Suami saya tak ikut sekali sebab dia mahu ke Johor Bahru pagi ini (dah pergi dah tadi pagi).

Okeylah... dalam perjalanan, saya dan Faiz berbual-bual tentang bisnes. Selalunya memang begitu, kami seronok bercerita tentang apa yang boleh kami lakukan untuk 'improve' bisnes kami. Kebetulan baru-baru ini, pihak kami ada berbincang dengan pihak penerbit lain tentang sesuatu yang kami rasa perlu dilakukan untuk naikkan lagi imej bisnes buku di Malaysia. Yalah, takkanlah kita nak berada di takuk lama saja, kan? Kami juga berbual tentang trend di sini termasuk trend penulisan 'Indie' dan 'underground' yang sedang berada di pasaran kini. Ha, jangan ingat ada lagu-lagu Indie saja, tetapi penulisan dan karya Indie dan underground pun dah ada!

Nantilah... lain kali saya akan bercerita tentang perkara ini. Adios dan wassalam.

Monday, December 27, 2010

Sabaq-Sabaq Naa!








Salam

Hari tu, kami pi Tanjung dengan Aloq Staq. Ni, kami dah balik dah... hahaha... saja aje nak cakap macam orang utara, tapi macam tak kena, kan? Tapi tak apa, yang penting kami 'enjoy' kat utara tu. Siap sampai kat Padang Besar, Kangar dan Kuala Perlis lagi, walaupun masa tak cukup sangat.

Apa pun, saya nak ucapkan terima kasih kepada pembaca-pembaca tersayang kami yang telah datang ke POPULAR Komtar dan juga POPULAR City Plaza untuk berjumpa dengan saya dan Mimie Afinie. Kepada Rashidah, Rahimah, Che Ku Fatimah dan Maziah, Ida, Maya, Zue, Intan, Ani... juga tak lupa kepada Atiqah (Dia sebenarnya tinggal di Perlis)yang terserempak dengan saya di ruang makan (kat hotel)dan sempat juga bergambar. Yang mana saya tak sebut tu... alahai, biasalah tu... ingat muka tapi tak dapat nak ingat nama. Begitu juga kepada staf-staf POPULAR di Komtar dan juga City Plaza... terima kasih daun keladi, esok-esok jumpa lagi.

Semalam, perjalanan pulang ke selatan agak memenatkan. Dari Ipoh hingga ke Tanjung Malim, jalan raya teramat sesak. Maklumlah, kawasan itu sibuk tetapi lorong lebuh raya masih dua sahaja. Kira dah high time lah lorong mesti ditambah sampai tiga, kalau tidak, sentiasalah sibuk setiap kali musim perayaan dan cuti sekolah. Tambah pula pemandu-pemandu Malaysia yang ada bersemangat 'kamikaze', kadang-kadang menggerunkan. Saya betul-betul tak faham kalau ada pemandu yang membawa kereta kecil dan suka cilok masuk... menyusahkan!

Kami sempat juga berhenti dan masuk ke kawasan Kuala Sepetang sebab nak pergi makan 'mee udang'... dalam perjalanan, ada kemalangan. Berderet-deret yang berlanggar dan semuanya dalam satu kumpulan (rombongan orang kahwin). Dah sah dah, mereka berlanggar sesama sendiri kerana memandu terlalu rapat, hinggakan bila brek sahaja, masing-masing pakat tibai belakang! Kesianlah pada pengantin, sebab rombongan lambat sampai!

Kadang-kadang, ada juga pemandu kereta mewah, tetapi memandu dengan cara orang bermentaliti rendah! Dah tahu dah jalan tu jam, tapi nak cilok jugak... masuk kat lorong kecemasan, dah tu bawak laju macam pelesit! Tahu-tahu kat depan kena berhenti juga, sebabnya ada kereta rosak. Inilah yang saya nak marah dan kata 'bahlul lah'... hehe...

Okeylah... yang penting bila kita berada di lebuh raya, eloklah kita bawa bersabar dan bertimbang rasa. Jangan gelojoh dan nak marah-marah. Apa yang boleh kita buat, semua orang pun nak cepat. Dalam pada itu, memang ada pemandu yang suka memandu macam berada di tepi laut. Makan angin maa! Adoi. Sabaq-sabaq naa...

Saya letakkan beberapa gambar yang diambil di utara. Gambar saya dengan Zue, Intan dan Ani, gambar-gambar di Pekan Rabu, Alor Star, gambar di Alor Star dan si kecil itu ialah si Firas... dalam perjalan nak balik kampung abah dia yang terletak di Pulau Pinang. Umur Firas dah 44 hari dah.

Adios dan wassalam.

Thursday, December 23, 2010

Jangan Emosi, Nanti Rugi




Salam

Esok, saya akan berada di luar kawasan. Saya dan Mimie Afinie akan berada di Pulau Pinang (POPULAR Komtar) jam 5.00 petang. Siapa yang berada di sana, jemputlah datang meriahkan suasana di sana nanti. Hari Sabtu pula, kami berdua akan berada di City Plaza, (Popular juga) Alor Star, Kedah jam sekitar 2.00 tengah hari. Jom kita jumpa di sana!

Sebenarnya saya rindu juga untuk ke utara, dah lama tak ke sana. Rindu nak makan laksa Kuala Kedah atau Kuala perlis, pulut panggang, mihun sup dan pelbagai kuih muih yang hanya ada di utara. Kalau ada masa, saya akan terus ke Perlis, lepak-lepak kat sana sat!

Kerana itu juga saya tak akan updatekan blog ini selama tiga hari.

Okeylah, pagi ini nak sambung sedikit cerita yang saya bangkitkan pada entri semalam. Tentang dunia buku. Bukanlah saya pakar sangat, tapi saya hendak berkongsi pengalaman saya sebagai orang yang lebih berusia daripada kebanyakan penulis-penulis lain. Sebagai penulis, salah satu cara untuk selamat ialah untuk tidak masuk campur dalam urusan pihak mana-mana penerbit. Mungkin kita akan dengar macam-macam khabar angin atau cerita yang tidak menyenangkan daripada orang-orang tertentu. Lebih baik kita jangan libatkan diri kita kerana secara ikhlas saya katakan hal penerbit bukan merupakan hal kita. Setiap penerbit mempunyai hal masing-masing yang tidak memerlukan campur tangan penulis. Kadang-kadang pihak penerbit mempunyai masalah dalaman dengan kakitangan mereka dan itu sebenarnya memang tak ada kena-mengena dengan kita sebagai penulis. Elakkan diri daripada masuk campur.

Perkara ini juga pernah dibangkitkan oleh saya sendiri dalam entri yang lama, begitu juga dengan penggiat buku yang lain (biasanya veteran) di dalam blog-blog mereka. Tujuan perkara ini dimaklumkan adalah untuk memberi panduan kepada mereka yang masih tidak biasa atau masih baru dalam dunia buku.

Sebagai penulis, kita tidak perlu beremosi. Jadilah penulis yang profesional, yang tahu menjaga diri sebagai penulis. Kalau ada perkara-perkara yang tersebar tentang apa-apa sahaja, elakkan diri daripada terlibat! Dunia buku kadang-kadang tak banyak beza dengan dunia hiburan di tanah air ini. Terlalu banyak gosip yang suka disebarkan sana-sini dan percayalah, kebanyakan gosip itu tidak benar pun. Sekadar disebarkan oleh orang-orang tertentu untuk kepentingan mereka. Jadilah orang yang matang yang tidak cepat melatah. Kalau ada apa-apa yang kita tak pasti, lagi mudah kita bertanya dan berterus terang daripada bersangka buruk. Elakkan diri daripada berpihak atau berat sebelah.

Kalau kita rajin masuk campur, akhirnya nanti kita juga yang akan kerugian.

Wednesday, December 22, 2010

Dunia Yang Kecil




Salam

Betul tu. Walaupun kita tahu dunia ni besar, namun dunia yang kita hidup kadang kala atau biasanya, tidaklah terasa besar sangat. Mungkin kerana itu juga, kita kerap bertembung dengan orang yang serupa. Lagi kita cuba jauhi, bertambah dekat jadinya.

"Kak... saya nak cerita satu benda ni." Kata seorang teman yang berada di dalam dunia buku.

"Ceritalah." Jawab saya pula.

"Kita yang duduk dalam dunia buku ni, sebenarnya tak boleh sibuk-sibuk sangat pasal orang lain, kan? kita juga tak boleh bergosip atau mengata-ngata orang lain yang berada dalam dunia yang sama dengan kita ni. Betul, kan kak?"

"Eh, apa halnya pulak ni?"

"Tak adalah, tapi saya dah terkena, kak. Saya ni tak tahu apa-apa, tapi dengar cerita orang. Saya tumpanglah bergosip sama. Tiba-tiba cerita yang saya gosip ni sampai pula pada telinga orang yang saya dan yang lain tu gosipkan. Apa lagi... saya kenalah! Rupa-rupanya, saya yang memang silap. Saya tak tahu cerita sebenarnya. Saya mendengar cerita sebelah pihak. Tentulah orang yang bercakap tu berat sebelah. Saya pulak tanpa usul periksa terus percaya. Lepas tu buat kecoh. Sekarang ni saya dah rasa bersalah dan berdosa. Paling malang saya juga kerugian."

"Kenapa rugi?"

"Iyalah... cerita pasal apa yang saya buat ni dah sampai merata-rata. Saya gosip tu pun pasal penerbit. Sekarang ni, saya dah tak tahu mana nak hantar karya saya ni. Saya rasa malu nak berikan karya saya pada pihak penerbit yang saya pernah kutuk. Saya menyesal lah, kak. Dah tu, penerbit lain pun tahu pasal saya ni. Dunia buku memang macam tu, ya kak? Penerbit kenal satu sama lain. Dia orang pun bercerita juga."

Adoi... inilah yang kita tak mahu buat, kan? Buat satu kesilapan dalam dunia yang kecil. Tak kisahlah dunia buku atau dunia apa sekali pun.

Saya dah lama tahu tentang hal ini. Dunia yang tak besar mana ni. Pi mai pi mai, duk tang tu jugak. Dulu, saya pernah menyoal suami saya yang merupakan seorang jurutera. Pernah terjadi sesuatu yang membuat suami saya marah dan ianya berkaitan dengan sebuah syarikat konsultan jurutera juga. Saya hairan kenapa suami saya tak buat apa-apa yang menunjukkan marahnya. Masa itu saya rasa memang patut kalau suami saya kata sesuatu kepada mereka yang dia marah tu. Kata suami saya, "Dunia jurutera ni tak besar mana. kalau I buat sesuatu yang nampak macam 'arrogant' atau 'berlagak', semua orang akan tahu. Esok-esok mungkin I ada hal dengan dia orang ni. Kan susah nanti kalau I dah clashed? Lebih baik diam aje. Lagipun, kita tak tahu cerita yang sebenarnya."

Memang tepat kata suami saya. Sekarang ini dia selalu berkomunikasi dengan teman-teman yang berada di syarikat yang saya maksudkan. Tak ada masalah.

Inilah juga nasihat saya kepada mereka yang berada di dunia buku, termasuk diri saya juga. Kalau kita dengar apa-apa cerita yang tak elok, lebih baik kita diamkan diri. Kalau kita dengar yang baik dan menarik, okeylah kalau kita nak bercakap pasal hal itu. Kalau kita buruk-burukkan orang, tambah pula kita sekadar dengar khabar angin sahaja (mungkin tak betul atau berat sebelah), takut kita yang terkena balik kalau kita dengan sengaja melibatkan diri. Ingatlah, dunia buku tak besar mana di Malaysia ini. Ke mana sekali pun kita pergi, kita akan berjumpa dengan orang-orang yang sama. Kalau kita bergosip pasal orang, ingatlah orang juga mungkin bergosip pasal kita.

Wallahua'lam.

Tuesday, December 21, 2010

Nak Hairan Apa?



Salam

Memang saya cemas bila melihat berita tentang kemalangan bas pelancong yang terjadi di Perak. Maklumlah... kejadian seperti itu bukan sekadar satu tragedi, tetapi suatu yang memalukan. Mesti pelancong yang datang ke Malaysia jadi takut hendak naik bas kita. Sememangnya itulah komen orang luar tentang keadaan jalan raya di Malaysia. Jalan rayanya okey, tetapi yang tak okey ialah pemandu-pemandu Malaysia. Memang teruk. Kalau anda biasa di luar negara, anda akan tahu apa yang saya katakan ini. Di Malaysia, pemandu kita membawa kenderaan seolah-olah sedang berada dalam pertandingan 'Kamikaze'. Nak tengok siapa yang boleh berlanggar dulu.

Semasa saya di Korea, itulah kata orang Korea. Kalau ke Malaysia, hampir semuanya okey, tetapi tidak di jalan raya. Teman-teman kami yang datang dari luar akan berkata benda yang sama. Malah, kalau ada yang berangan-angan untuk datang dan pandu sendiri, kami akan nasihat supaya jangan buat begitu. Bahaya!

Malaysia memang mempunyai kadar kemalangan yang tinggi, mungkin antara paling tertinggi di dunia. Kenapa ya?

Kalau tanya saya, saya katakan ini ada kena mengena dengan perangai manusia yang rata-rata tidak bertimbang rasa. Pernah tak anda memandu di lebuh raya dan melihat pemandu kereta yang membawa perlahan tetapi duduk di lane tengah? Seolah-olah dia sedang melakukan perkara terbaik dalam hal memandu. Bukankah itu menyusahkan pemandu lain? Kenapa kalau bawa perlahan, tak ikut sahaja di lane paling perlahan? Kan lebih selamat.

Lihat pula pemandu lori dan pemandu bas. Jarang-jarang kita berjumpa dengan pemandu yang bertimbang rasa, maknanya mengambil berat tentang pemandu yang membawa kereta tidak besar. Lori dan bas kan besar? kalau asyik nak menghimpit kereta-kereta kecil, kan bahaya? Di antara kereta mewah dan kereta kecil, biasanya kereta kecil yang mudah kemalangan. Ini adalah kerana rata-rata pemandu kenderaan tidak hormat kepada kereta-kereta kecil. Bagi mereka 'lantaklah' kalau berlanggar dengan kereta yang tak mahal. Kalau kereta mewah mereka lebih berjaga-jaga. Malang sungguh dengan 'attitude' pemandu di jalan raya.

Lihat juga kepada penunggang motosikal. Kerap sangat mereka menunggang secara bahaya dan menyusahkan orang lain.

Lagi satu hal yang saya selalu perhatikan ialah pemandu suka membawa kereta dengan jarak yang terlalu dekat dengan kereta di hadapan. Oleh kerana itu juga bila kereta depan berhenti mengejut atau perlahan secara mengejut, kereta di belakang pasti akan langgar!

Di negara Scandinavia, kemalangan hampir jarang-jarang berlaku. Di sana, kenderaan dilarang ketat daripada menghampiri kenderaan lain ketika berada di atas jalan raya. Ia merupakan kesalahan besar kalau memandu dengan mendekatkan kenderaan dengan kenderaan lain! Kenapa tak kita juga buat macam tu?

Masalah besarnya di negara ini ialah kita ada peraturan tetapi orang ramai tak pernah ikut peraturan. Peraturan tidak dilaksanakan kerana bagi kita itu semua tak perlu. Antara sebab mengapa perkara seperti ini tidak pernah diambil serius oleh mereka yang menguatkan kuasa ialah kerana masalah 'Paw'. Semua boleh terlepas kalau anda pandai 'paw'!

Jadi, nak hairan apa kalau negara kita tak putus-putus dengan berita kemalangan jalan raya yang dahsyat!

Monday, December 20, 2010

Bahana SMS


Salam

Pagi ini saya nak bercerita tentang suatu perkara yang sangat 'intrend' pada masa ini. Malah, teknologi menghantar pesanan melalui telefon bimbit atau telefon genggam sudah memainkan peranan yang amat berkesan dalam kehidupan kita seharian. Masa dulu-dulu, semasa telefon bimbit tidak berperanan seperti sekarang, apa-apa yang ingin kita sampaikan kita buat melalui mulut atau juga surat. Orang dulu-dulu bercinta memang macam itu, kalau tidak pun, mereka lakukan melalui orang ketiga. Maknanya, semua dilakukan dengan cara yang bukan spontan. Sudah difikirkan terlebih dahulu. Tambah pula kalau hendak diluahkan melalui surat. Semuanya diatur dan disusun, tak adalah main keluar sahaja.

Kadang-kadang, ayat-ayat yang diatur melalui pesanan telefon bimbit atau SMS ni, boleh membuatkan perasaan seseorang itu teruja. Maklumlah, terutama sekali kalau ada 'secret admirer' yang tiba-tiba meluahkan perasaan atau apa kita panggil 'mengayat'. Perkara ini sangat 'intrend' bagi golongan remaja. Tak payahlah bersusah payah nak tulis surat yang berjela-jela, lepas tu kena masukkan dalam envelop, beli pulak stem dan poskan. Tunggu pula berhari-hari untuk dapatkan balasan. Itu pun kalau yang dihujung sana tidak sibuk, atau memang sudi hendak balas kiriman surat kita itu.

Pun begitu, dalam keasyikan menghantar atau berbalas-balas SMS ini, kadang-kadang (mungkin selalu juga) pasangan akan berkelahi atau mudah berkelahi kerana tersinggung dengan ayat-ayat yang dikirim melalui SMS itu. Maklumlah, semuanya dikarang secara spontan dan ikut kata hati. Akal jarang-jarang sempat memberi reaksi!

Itulah bahananya kiriman SMS. Banyak orang yang terkena atau terperangkap dengan reaksi spontan lalu perkara kecil mudah jadi besar. Perkara remeh sudah berubah jadi sesuatu yang rumit.

Jarang-jarang orang berfikir lama-lama untuk membalas SMS. Yang merumitkan lagi bila ada yang sedang marah terus meluahkan rasa hati melalui pesanan SMS. Keluarlah kata-kata caci atau keji. Tak ada apa yang boleh menapiskan dan kerana itu, si penerima boleh jadi 'gila' bila mendapat mesej yang dihantar. Maka terjadilah peperangan. Pada hal, mungkin keadaan marah itu boleh berubah kalau si pengirim tadi bawa bertenang dahulu, fikir dengan waras dan menghantar mesej yang baik-baik.

Pernah tak perkara seperti ini terjadi kepada anda?

Biasanya kalau ada orang kirim SMS yang bunyi macam tak elok, saya akan buat tak tahu sahaja. Saya lebih rela tak balas daripada membalas dan berkelahi.

Saya juga tahu banyak pasangan (kekasih dan juga suami-isteri, kadang-kadang kawan dan juga adik-beradik) yang berperang sakan kerana ayat-ayat yang menyakitkan yang dikirimkan melalui SMS.

SMS seronok kita terima bila ayat yang tertera di skrin menyenangkan hati. Namun, ayat-ayat SMS juga sering kali menjadi bahan perpisahan dan perceraian. Malah, SMS selalu mendatangkan pergaduhan dan boleh merebak apabila mesej yang 'menghentam' itu di 'forward'kan kepada orang lain. Musnahlah segala-galanya.

Oleh kerana itu, berjaga-jagalah semasa hendak menghantar pesanan terutama kalau anda sedang berada dalam keadaan yang marah. Bawa bertenang dulu kerana menyesal kemudian kurang faedahnya.

Friday, December 17, 2010

Tak Nak Duit Free



Salam

Pagi ini saya nak bersembang-sembang tentang isu ni. Isu duit dan harta di mata keluarga. Mungkin ada yang dah melaluinya.

Kalau anda seorang wanita, mungkin ahli keluarga mahu melihat anda bertemu jodoh dengan orang yang berwang. Lagi kaya, lagi baik. Ada ibu bapa, prioriti pertama apabila mahu memilih calon untuk anak perempuan ialah 'ada duit'. Kalau tak berduit, jangan harap boleh dekat dengan anaknya.

Masa saya muda-muda dulu (sekarang ni pun tak tua sebenarnya... hehe), itulah yang ditanya orang kampung apabila ada anak dara yang nak kahwin. "Suami dia kerja apa?" Kalau kita sebut kerja di mana, mereka akan tanya lagi, "Pangkat apa?" Sebaik sahaja kita sebutkan pangkatnya, mereka pun mulalah berkira-kira di kepala.

Malah, apabila kita lama tak balik kampung, dan bila kita balik, semua orang nak tengok kita. Gemuk ke kurus? Kalau kurus, itu bermakna dia ada banyak masalah rumah tangga. Biasanya ialah masalah duitlah tu. Kalau badan berisi, nampak macam ceria... mereka akan berkata, "Wah, pandainya laki kau jaga kau. Makan cukup... ialah banyak duit, kan?" Itulah dialognya.

Sekarang ini pun sama. Dalam keluarga, masing-masing akan bertanya apabila dengar cerita bahawa 'si dia' dah ada calon. "Dia kerja apa?" itulah soalan pertama. 'Kerja apa' sama maknanya dengan 'banyak tak duit dia?'

Adoi...

Begitu juga dalam hal harta pusaka. Kadang-kadang kita berasa semput apabila adik-beradik berebutkan harta yang seciput. Pernah dulu, terjadi dalam keluarga ibu saya. Masing-masing mahukan hak di atas sebidang tanah, yang namanya telah dialih kepada seseorang yang berasal dari Indonesia. Apa lagi, kalau boleh mahu sahaja berbunuh kerana semua sudah berkira-kira untuk dapatkan hasil dari tanah itu. Hinggakan ada yang dah bawa pelanggan yang berminat untuk beli, pada hal tanah tu tak boleh ditukar nama lagi. Adoi!

Cerita pasal harta ini memang tak ada penghujungnya. Jarang-jarang kita dengar ada ahli keluarga yang tak ambil kisah tentang harta pusaka ini. Mereka tak ambil kisah bila ada benda yang nak kena bayar, misalnya hasil tanah, atau cukai. Yang itu, semua orang buat tak tahu! Hehe

Mungkin semua orang tak mahu susah-susah. Sebab itulah nak cari menantu yang berduit dan hendakkan harta pusaka. Jadi, semuanya dah tersedia, tak payah berusaha lagi. Boleh ke macam tu?

Tapi... ada orang memang suka pada cabaran. Bertambah seronok kalau dapat bekerja keras. Lagi banyak kerja, lagi best! Yang pasti apa sahaja rezeki yang datang adalah dari titik peluh sendiri, bukannya duit FREE!

Apa pun, selalulah kita beringat, berebut harta dunia tak ada apa sangat hasilnya, kerana akhirnya kita mati juga, dan segala-galanya ditinggal sahaja. Tak guna berputus silaturahim sekadar harta yang tak seberapa itu.

Thursday, December 16, 2010

You Boleh Tolong Tak?


Salam

Semalam saya hadir satu majlis makan malam bersama suami. Majlis itu adalah majlis launching jongkong emas dan shilling emas secara syariah. Huhu... nak beli emas! Iyalah, sekarang ni nak simpan duit banyak-banyak sangat bahaya kerana nilai duit mudah jatuh. Dah tu, nilai duit sentiasa menurun bukan menaik. Jadi, beli jongkong emas mungkin merupakan satu cara simpanan yang terbaik. Itu pun kalau banyak duit. Cuma takut, kalau dah beli jongkong emas, sampai bila-bila pun jongkong itu akan terus disimpan. Jadi... di mana nilainya? Tahu-tahu dah mati dan anak cucu yang tukang habiskan...

Okeylah, mungkin elok juga kalau beli hartanah... ada value dan baik juga untuk masa depan. Apa pun, saya seronok makan-makan di majlis malam tadi kerana menu yang disediakan ialah menu Arab. Memang best!

Okeylah... nak berbalik kepada perbincangan saya di entri semalam. Ini kisah nak cari bakal suami yang baik-baik.

Kata seorang teman kepada saya, "Kak Aina... lelaki ni, bila dia baik dengan kita, biasanya ada sebab. Biasanya juga lelaki yang baik-baik ni mereka ada strategi... strateginya ialah nak pinjam duit."

"Nak pinjam duit?"

"A'ah... mereka selalu ingat wanita yang berusia tetapi tak kahwin-kahwin ni, banyak simpan duit. Macam Bank Negara!"

"Ya ke? Dia orang silap kot. Ingatkan Zeti Ahtar kot..."

"Mananya! Kak Aina... kenapa ada lelaki yang macam tu? Bukan sikit tau, tapi bersepah-sepah. Kenapa lelaki selalu tak berduit? Yang kahwin tak ada duit, yang belum kahwin pun tak ada duit."

"Entah... agaknya yang berduit semuanya menyorok, takut orang ambil duit dia pulak."

"Tulah... kadang-kadang saya jadi takut nak kawan dengan lelaki ni. Saya sentiasa curiga, ternanti-nanti bila dialog dia nak berubah dan bertanya saya, "I ni sekarang ni ada masalahlah. You boleh tolong tak?"

Saya hanya tergelak kecil. Rasa kelakarlah pulak.

"Serius, Kak Aina. Memang payah nak jumpa lelaki yang 'ori' yang tak nak mintak duit. Konon-konon nak pinjam. Tapi... jangan haraplah nak dapat balik. Baik tak baik, bayang pun hilang sama."

Adoi...

Wednesday, December 15, 2010

Tak Tahu Bila Jodohku Tiba


Gambar sekadar hiasan


Salam

Itulah keluhan seorang teman wanita@pembaca novel saya. Dia kata dia rimas dengan soalan-soalan yang tak henti-henti datang kepada dirinya.

"Kak Aina... saya dah malas nak balik kampung. Orang kampung tak tahu nak tanya benda lain, asyik-asyik bila saya nak kahwin. Nak kahwin dengan siapa? dengan monyet kat atas pokok ke?" itulah dialognya dalam gurauan yang tak ceria. "Saya letih, Kak Aina. Bukan saya tak usahakan. Dah puas juga saya berdoa, tapi jodoh saya tak tiba-tiba lagi. Usia saya dah nak sampai pertengahan 30-an. Tapi nak buat macam mana? Tak tahulah bila jodoh saya akan tiba."

Adoi... saya turut bersimpati. Maklumlah memang bukan senang jadi perempuan. Masa bersekolah dan belajar, mak ayah suruh kita fokus dengan pelajaran. Jangan nak cari jodoh masa tu, takut tak boleh belajar nanti. Bila dah habis belajar, masa tu dah mula jadi susah. Maklumlah, sibuk nak cari kerja. Lepas tu sibuk pulak dengan kerja.

Tahu-tahu umur dah meningkat.

Mungkin juga dah temu lelaki-lelaki yang mungkin boleh dijadikan teman hidup, tetapi malangnya tak ada yang menjadi.

"Kak Aina... bukan senang nak cari lelaki yang jujur dan bertanggungjawab ni. Memang ramai lelaki kat luar sana, tapi yang kira macam okey, semuanya dah berbini. Takkan pulak nak kahwin dengan suami orang? Yang bujang pulak, kalau okey sikit, mereka yang memilih. Nak yang cantik aje, yang sedang-sedang mereka tak minat. Kalau cantik pulak, nak yang baik... dah tu nak yang muda. Kalau tua sikit, mesti rupa yang menawan macam 'ratu dunia'!"

Oi... berat tu.

"Betul, Kak Aina. Saya selalu jumpa juga dengan calon yang okey-okey. Tapi dia orang ni poyo semacam."

Poyolah pulak. "Sabar ajelah." Itulah kata saya. Kadang-kadang, bila kita cari memang tak jumpa. Bila kita duduk diam-diam, tahu-tahu dah ada. Hehe. Bukannya apa, kadang-kadang orang yang kahwin awal pun bukanlah bahagia sangat. Mungkin banyak juga masalahnya. Kadang-kadang kahwin lewat ada berkatnya. Hanya Tuhan sahaja yang tahu.

Alahai orang-orang kampung... janganlah komen-komen kalau tengok ada member yang tak kahwin lagi. Kalau nak komen sangat, kenapa tak tolong carikan? Kan dapat pahala nanti!

Tuesday, December 14, 2010

BM dan Novel di Malaysia




Salam

Malam-malam macam ni, teringat pulak saya tentang satu hal yang dibangkitkan oleh Mr.Pak, pemandu pelancong kami semasa berada di Korea tempoh hari. Dia begitu berbangga dengan bahasa Korea nya, tak sudah-sudah mengajar kami berkata itu dan ini dalam bahasa Korea. Sempat juga dia berkata kepada kami, di depan semua pelancong Malaysia (pelbagai bangsa). "Masa saya di Malaysia dulu, ada seorang teman ni, dia kata dia tak tahu cakap Melayu. Saya hairanlah... kata orang Malaysia." Dengan ikhlas dia menyampaikan perasaannya.

Saya yang menjawab. "Ya, di Malaysia memang ramai yang tak mengaku tahu cakap bahasa Melayu. Ada tu memang betul pun tak tahu cakap Melayu. Mungkin mereka tak rasa yang bahasa Melayu tu penting, atau mungkin mereka tak rasa hebat kalau cakap bahasa Melayu. Atau mungkin juga memang tak 'kelas' cakap bahasa Melayu."

Mr. Pak gelak. "Peliklah. Kenapa tak 'kelas' kalau cakap Melayu? kan itu bahasa kebangsaan awak?"

"Yalah... itu fikiran mereka yang tak pandang bahasa Melayu sebagai bahasa yang penting. Bahasa Melayu imej rakyat Malaysia. Bagi saya, kalau tahu cakap macam-macam bahasa dengan baik, itu lebih kelas daripada hanya tahu cakap bahasa Inggeris atau bahasa Mandarin sahaja. Lagi kelas kalau semua bahasa yang kita tahu itu kita boleh bertutur dengan sangat baik. Betul, tak?"

"Ya... dah tentu betul tu. Orang Korea memang sayang bahasa ibunda kami sekalipun kami juga berusaha kuat untuk bercakap dalam bahasa lain, termasuk bahasa Inggeris."

Inilah nasib bahasa Melayu. Dalam negara sendiri pun orang tak ambil kisah. Orang politik tak pernah ambil berat tentang hal ini. Kalau bercakap konon-konon macam sayang sangat pada bahasa Melayu ni, tapi realitinya, HAMPEH!

Okeylah... saya juga terkilan dengan sesuatu yang telah saya katakan tentang NOVEL CINTA di pasaran Malaysia hari ini, di sebuah surat khabar baru-baru ini. Saya rasa ada perkara yang saya sentuh tentang 'kajian' yang perlu dilakukan oleh penulis Malaysia, disengajakan tidak diletak dalam komen saya tentang hal yang berkaitan. Saya juga berkata bahawa orang lelaki di Malaysia ini selain dari suka duduk di depan komputer, mereka juga suka baca bahan yang berunsur motivasi dan buat duit! Itulah yang kadang-kadang saya malas nak cakap apa-apa tentang hal buku ni. Tak lengkap komen yang kita buat tu.

Apa pun, saya tetap dengan pendirian saya bahawa pasaran buku di Malaysia perlukan pilihan dan saya percaya, pembaca memang bijak untuk memilih apa yang mereka suka. Kalau tulis novel cinta yang tak ada kualiti, novel itu tetap tak menjadi pilihan. Saya juga tegas dengan pendirian bahawa nak tulis apa pun, penulis mesti buat kajian dan faktanya mesti tepat, sekalipun novel genre cinta dan kekeluargaan (love and family).

Sebenarnya kalau diikutkan, memang banyak perkara yang boleh kita tulis, misalnya tentang hal skandal politik dan juga rasuah. Saya memang teringin sangat nak buat kisah-kisah macam tu. Tapi... boleh ke? Bebas ke kita untuk menulis semua tu?

Kenapa orang bijak pandai di Malaysia ni tak nak menulis novel dalam bahasa Melayu? Buatlah... saya teringin nak baca sesuatu yang betul-betul bagus dan hebat!

Adoi... ini yang buat saya jadi geram. Bertambah geram bila sedar ada orang sengaja 'bias', berat sebelah dengan pandangan kita. Kalau rasa nak berat sebelah, lain kali jangan tanyalah, kan?

Okeylah buat malam ni.

Tak Segan dan Tak Takut



Salam

Hari ini saya terlambat update blog. Banyak kerja. Tapi saya ada satu cerita yang menarik dan cerita ini telah disampaikan oleh seorang pembaca kepada saya. Kisahnya ialah tentang ahli keluarganya.

"Kak Aina... saya geram betul dengan pakcik saya tu. Bukan dengan dia saja, tetapi anak-anak dan juga isteri dia."

"Kenapa awak geram?"

"Pakcik saya tu sebenarnya bukanlah kaya sangat. Biasa-biasa aje. Dia sekadar makan gaji aje dan pangkat pun tak besar. Dulu sekolah sampai tingkatan lima aje, itu pun terkolap. Tak pernah pun masuk kolej sambung belajar. Kami semua tahu berapa banyak gaji dia tu. Tapi, Kak Aina percaya ke, rumah dia bukan main besar lagi. Harga beratus-ratus ribu, kereta mewah lagi. Siap ada motor besar yang mahal tu lagi. Dah tu, asyik-asyik buat jamuan kat rumah dia. Besar-besaran pulak tu. Memang macam orang kayalah..."

"Kot memang kaya agaknya." Tambah saya.

"Tak apalah kalau kaya. Tapi... dari mana datang duit yang boleh buat dia jadi kaya? takkanlah gaji yang dia terima tiap bulan tu boleh buat dia hidup senang? tak mungkin."

"Ada investment agaknya."

"Kak Aina... kami semua tahu aktiviti pakcik saya tu. Dari dulu sampai sekarang. Dia dapat duit luar, Kak Aina. Anak-anak dia yang selalu bercerita. Isteri dia pun sama. Yang peliknya, mereka megah, Kak Aina. Rasa macam hebat sebab dapat hidup senang walaupun ayah mereka tak berpangkat tinggi. Kami ni, semua rasa malu. Kadang-kadang ngeri nak pergi makan kat rumah dia."

"Kenapa pulak ngeri?"

"Yalah, kami tak tahu duit yang dia beri kami makan tu datangnya dari mana. Siap buat sate beribu-ribu cucuk setiap kali ada jamuan. Makanan lain lagi. Ada khemah dan berhias mewah. Kadang-kadang ada bunga api lagi. Bukannya kecik, tapi yang besar, harga mesti beratus kalau tak beribu. Tak gila ke?"

Saya tak tanya lagi. Iyalah, mungkin dalam hati saya juga terfikir, kalau ini merupakan trend orang hari ini, macam mana lagi kita nak buat, kan? Masing-masing tak rasa segan sekalipun tahu mereka sedang lakukan kesalahan. Rasuah sememangnya dah jadi budaya orang kita dan inilah yang menakutkan. Nauzubillah.

Monday, December 13, 2010

Suami Idaman





Salam

Ya, pagi ini, inilah tajuk perbincangan entri ini. Calon yang anda idam-idamkan, atau ciri-ciri wajib yang perlu ada pada seorang suami! Saya percaya ia merupakan tajuk hangat bagi kaum wanita dan ia juga merupakan info buat kaum lelaki yang membaca blog ini.

Okeylah... kalau nak diikutkan kata hati, tentu ramai kaum wanita akan berkata yang mereka suka kepada lelaki yang 'hensem'. Itu merupakan antara ciri fizikal yang boleh menambat hati. Huh! tapi kacak tu bukan ke subjektif? Lain orang dan lain mata akan memberi deskripsi yang berbeza. Ada yang mencari lelaki gagah perkasa, macam hero dalam cerita-cerita 'superhero'. Berombak-rombak muscles di lengan. Ada pula yang lebih senang dengan lelaki yang comel. Bagi mereka, lelaki yang begitu lebih menyenangkan hati. Ada yang mahu tinggi langsing, berkulit cerah, ada pula mahu yang berkulit sawo matang, hitam manis... ada pula suka lelaki yang tak ada rambut (betul ni... dah berkali-kali saya jumpa wanita yang kata begitu). Ada yang berkenan pada lelaki yang gempal. Walhasil, macam-macam bentuk fizikal yang menjadi idaman hati.

Apa pun, karakter dalamanlah yang selalunya dapat bertahan dalam hati wanita. Ada kala, rupa fizikalnya mungkinlah tak seperti apa yang dia suka (tak macam hero jambu dalam drama Korea), tetapi kerana hatinya baik, wanita boleh jadi cair.

Hati baik macam mana?

Ramai wanita yang berkata bahawa mereka suka pada lelaki yang suka ambil tahu tentang dirinya. "Dah makan ke?", "Kenapa tak tidur, tak sihat ke?", "Tak apalah kalau gemuk sikit, janji sihat.", "Tak usah kisah apa orang kata, yang penting awak seronok, betul, kan?"

Kata-kata yang menyejukkan hatilah yang menjadi idaman kaum wanita. Orang perempuan suka dimanjakan walaupun pada hakikatnya dia bukan merupakan seorang yang jenis manja-manja.

Tapi... biasalah, kan? Banyak lelaki yang bijak mengayat bila belum dapat. Hah, kalau jadi perempuan, kita kena tahu yang mana 'mengayat', yang mana pula yang betul ayat-ayatnya. Kalau tak tahu, maknanya kita kurang bijaklah... hehe.

Perempuan juga suka pada lelaki yang tepati janjinya. Kalau kata nak buat sesuatu, dia akan lakukannya, bukan berkata semata-mata tetapi tak menepatinya. Perempuan akan merajuk bila lelaki menipunya.

Kebanyakan perempuan mahukan ciri-ciri 'warak' dalam lelaki. Mereka mengharapkan lelakilah yang akan menjadi imam mereka. Kalau tak hebat sangat ilmu agamanya, biarlah 'okey-okey', jangan langsung tak tahu apa-apa. Perempuan Melayu memang takut pada lelaki yang 'kurang ilmu agamanya'. Kalau tak percaya pergi tanya. Walaupun mereka bukan jenis bertudung litup, mereka tetap suka kepada lelaki yang tinggi ilmu agamanya. Mungkin juga bagi mereka, lelaki yang tak ambil hal tentang agama bukan merupakan ciri suami yang baik. Mereka takut pada lelaki yang suka 'minum', suka berjudi, kaki perempuan, mungkin juga kaki 'dadah' dan jenis tak bertanggungjawab!

Jangan keliru, ada juga lelaki yang nampak macam warak, tetapi masih tak bertanggungjawab!

Kalau tanya lagi, ada yang akan berkata bahawa mereka juga sukakan lelaki yang romantik sifatnya. Sekali lagi ini merupakan sesuatu yang sangat subjektif. Apa pun, lelaki yang mengambil berat tentang diri seorang wanita akan selalu memberi imej 'romantik'.

Okeylah... yang last sekali, ramai perempuan sukakan lelaki yang ada 'fulus'. Tak semua teringin kepada lelaki yang kaya giler (bukan senang nak dapat pun), tetapi mereka mahukan satu keyakinan. Kalau tahu bahawa lelaki itu memang jenis 'kurang fulus' atau selalu tak berfulus, kalau mereka memilih lelaki seperti ini, itu bermakna mereka sedang berdepan dengan sesuatu yang tak meyakinkan. Sebenarnya, ramai yang tak kisah untuk cari suami yang kaya-raya, janji lelaki yang diminati itu jenis yang rajin dan sanggup bekerja keras untuk masa depan.

Yalah, nak macam ni atau macam tu, last-last kita akan terima apa yang kita rasa terbaik buat kita, kan? Apa pun, mestilah balance dengan diri kita, bukan sesuatu yang tak ada dalam realiti.

Nampaknya setakat ini dululah. Esok-esok saya sambung lagi.

Friday, December 10, 2010

Kisah Korea Lagi






Gambar atas sekali ialah dari drama Korea. Yang bawah2, gambar kami di Korea. Yang bertiga tu, saya, suami dan Mr. Pak, pemandu pelancong Korea kami.


Salam

Kalau nak tahu, hampir 60% pendapatan orang perempuan Korea dilaburkan dalam pakaian dan kecantikan. Mengikut ceritanya, perempuan di Korea suka akan status dan 'class' dan sebab itulah mereka lebih yakin apabila paras rupa menjadi menawan. Apatah lagi dengan barangan yang berjenama. Mungkin kerana itu juga, perempuan di Korea sekarang ini tidak lagi macam perempuan Korea di zaman dulu. Mereka lebih dominan. Lelaki terpaksa mengikut arahan mereka! Huhu... memang bijak!

Kalau kita tengok drama Korea, perempuannya cakap lembut-lembut dan lelakinya pun nampak macam 'gentleman', tapi realitinya, orang Korea lebih kasar dari 'drama' di TV! Hehe... tapi kerana lakonan mereka yang hebat, kita di seluruh dunia juga turut terpesona.

Balik kepada kisah drama Korea ni. Kenapa agaknya mereka bijak mengaturkan drama-drama yang boleh meletup? Saya teringat suatu masa dahulu. Semasa tu kami tinggal di England dan di sana, ada satu drama bersiri Australia bernama 'Neighbours' menjadi kegilaan orang-orang Inggeris. Walaupun Australia jauh dari England, ramai yang mahu ke sana kerana teringin untuk melihat lokasi drama itu. Hebat!

Saya percaya bukan sekadar jalan cerita sahaja perlu menarik, tetapi lakonan dan lokasi mesti hebat. Malah, watak-watak mesti interesting, dan itulah yang boleh buat penonton terlopong!

Sebenarnya nak hairan apa, kan? Orang di luar sana akan buat macam-macam untuk jadi bertambah hebat. Kita di Malaysia ni saja yang buat apa pun semuanya berkira-kira. Dah tu, tukang hentam dan komen memang ramai. Last-last tak jadilah apa-apa pun. Tapi saya percaya, kalau kita usahakan betul-betul, kita juga boleh jadi berjaya macam orang lain. Bukanlah saya kata yang kita ni gagal, tetapi kalau orang lain (Misalnya Korea yang pernah hampir tenggelam ekonominya pada tahun 1997, tetapi bangun semula dengan pantas) boleh lakukan macam-macam dengan cemerlang, kenapa kita tak mahu cuba? Insya-Allah, kita buatlah filem atau drama yang juga mempunyai impak buat masyarakat global. Mungkin untuk masyarakat Islam. Buat drama-drama yang positif bentuknya, bukan cerita mengarut yang berunsur negatif. Pastikan kita berbelanja lebih sikit supaya lokasi nampak cantik dan menarik. Pastikan juga pilih pelakon-pelakon yang betul-betul boleh berlakon! Bukannya tak ada pelakon kita yang hebat-hebat. Kita mesti ingat, suatu masa dahulu, P.Ramlee juga telah menaikkan nama Melayu melalui filem-filemnya.

Okeylah... bila teringat apa-apa lagi, saya akan sambung cerita.

Kam sa ham nida dan wassalam.

Thursday, December 09, 2010

www.baloi.com.my

Salam,

Saja nak ajak pembaca blog ni untuk participate kat website www.baloi.com.my. Macam-macam ada untuk anda yang minat nak cari harga-harga benda yang berbaloi! Jom masuk kat link blog ni kat tepi ni! Memang tak rugi.

Wednesday, December 08, 2010

Korea,The Land of Beauty




Salam

Maaflah sebab tak update petang tadi. Malam ni barulah free sikit. Okeylah nak cerita pasal pergi Korea ni. Mula-mula saya nak cakaplah, saya ni memang jenis yang tak suka cerita tentang benda yang tak elok tentang tempat yang saya pergi. Saya lebih senang bercerita tentang benda yang seronok-seronok. Iyalah, kalau suka cari yang tak elok, baik duduk aje kat Malaysia ni. Tak usah pergi mana-mana.

Sebenarnya, percutian kami di Korea sangatlah hectic... tak dapat nak berehat sangat. Macam-macam tempat yang dibawa pemandu pelancong, termasuklah Pulau Nami, Lombong lama (lombong emas) yang bernama Hwa-Am Cave dan kemudian kami ke Alpensia Ski Resort. Perjalanan yang agak jauhlah jugak. Cuaca... adoi, memang sejuk hingga ke tulang. Masa di lapangan terbang Incheon lagi kami dah rasa sejuknya cuaca di sana. Ada ketika hingga -10 degree celcius. Terketar-ketarlah jugak. Mujurlah baju tebal, sarung tangan... semuanya lengkap.

Saya tak ski pun, suami saya sahaja yang berski. Saya bukan tak suka, tapi lutut saya sakit, jadi takut pulak kalau buat juga, nanti tak pasal-pasal tak berjalan pulak. Jadi... kita main-main ajelah kat resort tu.

Selain itu, kami juga dibawa ke ladang strawberi, naik bangunan tinggi 63 tingkat di kota Seoul, masuk wax museum, pergi ke The Blue House, Istana Gyeongbok, tempat ginseng,kimchi, kosmetik dan macam-macam lagi.

Huh! Orang Korea memang gilakan 'kecantikan'. The Land Of Beauty...bukan saya maksudkan tentang tempat tu, tetapi tentang orang-orangnya yang sangat suka kepada kecantikan diri. Tak kira lelaki atau perempuan. Orang Korea memang bergaya habis! Dah tu, muka pun jaga gila. Kebanyakan mereka buat 'face lift'. Di Korea memang terkenal dengan pembedahan kosmetik dan di sana bukan sahaja orang Korea yang buat face lift tetapi wanita dari luar negara, termasuklah orang-orang Malaysia.

Orang Korea matanya memang kecil (macam satu line aje), tapi dah diubah suai jadi besar sikit. Begitu juga hidung dan kulit muka. Lepas tu pulak, mereka ada macam-macam jenis kosmetik yang canggih-canggih yang boleh buat muka jadi lawa! Memang ramai wanita ke sana untuk buat wajah nampak lagi best. Kedai kosmetik memang bersepah-sepah. Orang Korea juga sangat 'concious' dengan barang-barang yang branded. Tak pakailah barang-barang cikai!

Rata-rata orang Korea memang kelihatan cantik dan bergaya walaupun pada musim sejuk. Lelakinya juga sangat bergaya dan sangat ambil berat dengan paras rupa. Malah, kosmetik juga disediakan untuk kaum lelaki secara besar-besaran.

Seoul, ibu negara Korea, sangat besar dan mempunyai penduduk seramai 20 juta! hampir seluruh jumlah rakyat Malaysia tinggal di kota Seoul. Tetapi... Seoul sangat bersih, kemas,besar dan teratur. Memang tempat itu sangat sofistikated, moden dan sangat berteknologi tinggi. Payah nak jumpa kereta buruk kat sana, sebab walaupun cost of livingnya tinggi, kereta murah. Mereka juga tak mempunyai pendatang asing untuk melakukan kerja-kerja. Semuanya dilakukan oleh orang mereka sendiri. Paling best, orang Korea bercakap dalam bahasa Korea tetapi masih mampu untuk maju dan menjadi negara yang hebat!

Korea juga mempunyai banyak sungai, tetapi tak ada sungai yang kotor. Semuanya bersih gila! Kerana cuaca sejuk, ada juga sungainya yang agak beku berais (terutama di kawasan ski resort).

Saya juga nak bercerita tentang kehebatan Korea menaikkan negara mereka melalui drama-drama mereka. Kita di Malaysia ni, ada yang suka kutuk kerana mengata orang-orang yang suka tengok cerita cinta. Tetapi di Korea, melalui cerita cintalah mereka naikkan nama negara mereka. Cinta tak kosong di sana, ia membawa hasil yang lumayan. Orang-orang luar tergila-gila dengan watak-watak drama Korea dan kerana itu, ramai yang ke sana untuk melihat lokasi-lokasi drama Korea dan juga pelakon-pelakon Korea. Kalau nak difikirkan, apalah sangat dengan drama-drama Korea tu, tetapi kita terpaksa terima hakikat bahawa orang Korea mampu lakukan sesuatu dengan betul dan tepat dan kerana itu, mereka berjaya menaikkan negara mereka untuk menjadi popular. Orang Siam, orang Filipina, Indonesia, Singapura, Taiwan, Brunei... juga orang Malaysia, semua suka ke sana kerana apa yang saya katakan tadi.

Bila agaknya Malaysia akan lakukan seperti itu, bukan sekadar mahu membuat filem atau drama yang tak ada siapa pun yang nak ingat!

Adoi... pelik, kan? Tapi, kita kena terima hakikat bahawa di mana-mana pun di dunia ini, orang memang suka cerita cinta. Ia sentiasa menyenangkan walaupun mungkin cerita itu cerita sedih.

Okeylah... setakat ini dulu.

Anyong Ha Seyo




Salam dan Anyong Ha Seyo...

Okeylah, mentang-mentang baru balik dari Korea, kenalah speaking Korean. Macam kat drama Korea tu... hehe... lepas dah kata helo, katalah terima kasih pulak. Hah, macam ni... Kam sa ham nida...

huh! Dahsyat tu.

Apa pun, saya baru je balik dari Korea. Penat nya pun tak habis lagi. Tapi... tak sabar pulak nak update blog ni.

Kat mana saya pergi?

Mana lagi, kalau tak pergi berski...

Sebelum pergi ke resort ski, kami telah singgah di Pulau Nami... pulau yang terkenal dengan latar drama bersiri 'Winter Sonata' tu... ni ada gambar untuk buktinya. Kalau nak tahu, saya sendiri tak pernah pun tengok drama tu. Saya tengok siri yang akhir sahaja, itu pun sebab ada orang suruh tengok. Tapi bila sampai kat Korea, memang terpaksa jugak ambil tahu. Bukannya apa, tapi memang drama tu tinggalkan impact yang dahsyat buat tourism Korea. Bukan drama tu sahaja tetapi drama-drama Korea yang lain. Meletup-letup drama Korea ni hinggakan berpuluh-puluh kapal terbang yang datang ke Korea membawa pelancong dari merata-rata tempat, terutamanya dari Asia yang hendak tengok tempat itu! Oi... saya pun apa lagi, terpaksalah join sekali.

Saya letak je gambar tu dulu. Saya nak rehat. Kalau rajin, nanti saya sambung cerita. Memang banyak benda yang nak saya ceritakan tentang KOREA.

Kam sa ham nida... nak tidoq sat!

Thursday, December 02, 2010

Winter Sonata?


Salam

Semalam, saya dan suami menghantar Ali Suleiman (orang Yemen) di lapangan terbang KLIA. Sejak mengenalinya di Yemen (Ali pernah belajar di Malaysia), kami memang baik dengannya. Dia selalu ke rumah dan kami juga beberapa kali bertemu dengan dia di mana-mana saja. Sekarang ini, dia bertugas untuk menjaga Resort Heyd Al Jazeel di Hadramaut, Yemen. Pernah saya cerita tentang tempat ini di dalam novel saya berjudul 'MATAHARIKU'.

Semalam, kerana tiada orang lain, banyaklah yang sempat Ali ceritakan pada kami, terutama tentang bagaimana dia boleh datang ke malaysia untuk belajar. Sebelum itu, kami berborak tentang Tuhan. Saya katakan kepada dia bahawa dalam hidup saya ini dah macam-macam saya tempuhi. Ada manis dan tentunya ada pahit. Dulu, saya selalu terkilan apabila menempuhi apa-apa yang pahit. Sekarang ini saya tak rasa macam tu lagi, insya-Allah kerana saya tahu setiap yang pahit itu, adalah satu pengalaman yang mematangkan fikiran saya dan mengajar saya tentang kehidupan. Yang pahit itu adalah sebahagian dari hidup kita dan kita sebagai manusia adalah makhluk yang tidak sempurna. Namun, kalau hati dan jiwa dekat dengan Nya, insya-Allah segala pahit itu akan ada manis yang menunggu.

Yang seronoknya, saya terlopong mendengar cerita Ali pula, tentang bagaimana dia menjadi rapat dengan 'Sheikh Abdullah Bugshan' (Orang kaya Saudi yang berasal dari Yemen). Macam sebuah cerita yang kita tengok kat filem saja. Penuh dengan kebetulan, tetapi itulah realiti. Mungkin lain kali saya cerita pasal hal ini.

Katanya lagi, "Saya sedih kerana terpaksa tinggalkan Malaysia. Dulu, masa mula-mula datang, saya memang takut dengan orang Malaysia. Kami selalu kena tipu, terutama dengan pemandu teksi. Alhamdulillah, semakin lama tinggal di sini (Dia tinggal lima tahun)semakin saya suka Malaysia, apatah lagi saya dah ada banyak kawan Malaysia yang sangat baik dengan saya."

Begitulah hidup kita kalau merantau. Tentu banyak yang kita belajar. Saya pernah rasa hidup yang begitu. Alhamdulillah, Tuhan beri peluang untuk kami rasa semua itu.

Okeylah... saya akan bercuti selama seminggu. Destinasi? huhu... Korea Selatan. Kata kakak saya, "Jangan pergi sekarang ni... orang dah nak berperang kat sana." Eh, tak apalah kot. Nak buat macam mana, kan? kami dah atur semuanya. Lagipun... kami akan ke Seoul dan juga Alpensia Ski Resort. Adoi... nak main ski weh! betul ke ni? Boleh ke? Ingatkan nak pergi tengok lokasi drama Korea 'Winter Sonata' tu... hehe. Sebenarnya, saya tak ada pun tengok drama Korea... tak ada masa. Cuma selalu dengar cerita orang lain.

Apa pun, Korea sedang berada dalam musim sejuk. Jadi... oi, kena pakai tebal-tebal. Nak main ski lagi.

Jadinya... blog saya ni tak dapatlah saya update sehingga minggu depan. Insya-Allah, akan saya cerita tentang pengalaman saya ke sana.



Bye-bye and Wassalam.

Wednesday, December 01, 2010

Perempuan Suka Lelaki Jambu?



Salam

Terma 'jambu' sudah ada sejak saya remaja lagi. Kalau lihat lelaki yang bukan 'handsome' tetapi 'lawa' itu kami panggil jambu. Sampai sekarang terma itu masih diguna pakai.

Jambu tu macam mana?

Lelaki yang berwajah lawa, badan tak tegap sangat, slim biasanya, muka bersih, licin mungkin berkulit halus nak akan-akan wanita. Biasanya jambu tak ada misai atau janggut, jauh sekali berjambang. Rambut mereka mungkin ala-ala panjang sikit, ada juga yang pendek. Jangan silap ya, jambu tak sama dengan 'bapuk' atau lelaki lembut. Jambu adalah lelaki biasa yang 'cantik' lebih dari kacak!

Sekarang ini, ramai penonton wanita, bukan hanya di Malaysia sahaja tetapi di seluruh dunia, tergila-gila menonton drama Korea, Taiwan dan Jepun, juga negara-negara lain seperti Thailand dan Filipina, di mana hero-heronya banyak yang berwajah 'jambu'.

Tengoklah blog-blog gadis Malaysia (Kebanyakannya Melayu), banyak yang menulis tentang hal ini - kesukaan mereka dengan hero-hero drama Korea, Taiwan dan Jepun yang kebanyakannya macam 'jambu'. Malah, filem Twilight yang menjadi kegilaan gadis-gadis di seluruh dunia juga mempunyai hero yang 'jambu'!

Jadi... tidak mustahil lelaki berwajah 'jambu' lebih laku daripada lelaki 'macho' yang berbadan tegap, bermisai, berjanggut atau berjambang. Kenapa ek?

Mungkinkah kerana perempuan hari ini lebih yakin dengan lelaki yang begini? Lelaki berwajah 'jambu' tidak melambangkan kekerasan dan kerana itu mereka menjadi sesuatu yang boleh dipercayai.

Logik ke?

Entahlah. Tetapi, rata-rata perempuan hari ini takut dengan lelaki yang bersikap ganas. Lelaki 'jambu' biasanya tak ganas. Tak suka sepak terajang, tak suka pukul bini... huhu... betul ke ni?

Saya tak tahulah. Tapi... inilah realiti hari ini.

Ada sesuatu yang terjadi dan kita sepatutnya menghalusi hal seperti ini. Saya sekadar membawa isu ini untuk kita sama-sama fikirkan. Anda macam mana? Suka lelaki 'jambu' juga ke?