Okey ni
Salam semua
Biasanya bila ada yang bertanya, "Macam mana?" Kita pun jawab, "Okey." Maksudnya semuanya bagus-bagus, kan? Tak ada masalah. Tapi kita hidup ni mana tak ada masalah, mesti ada, kan? Kalau tak besar, kecil. Kalau tak kecil pun... ada lah... tapi mesti ada punya.
Bila ornag bertanya, "How are you?" Kita jawab dulu, "I am Okay," tapi lepas tu kita tambah sikit, "Tapi kadang-kadang adalah pening-pening sikit."
Biasalah tu. Kenapa kita suka kata 'Okey' ? Mungkin sebab kita rasa bersyukur masih bernafas di dunia ini, betul tak? Sebab tu kita rajin kata okey. Besar ertinya kalau kita sentiasa bersyukur dalam apa jua keadaan. Bermakna kita menghargai nikmat Tuhan buat kita sekalipun kadang-kadang tengkok kita macam nak tercekik! Hehe... gurau aje ni.
Okeylah, saya tak tahu cerita anda, tapi saya boleh berkongsi cerita saya. Sejak kebelakangan ini, saya dah berkali-kali terjatuh. Tiga kali terjatuh kat laman rumah (masa menyiram pokok bunga), sekali masa berada di Jogja (ketika melihat sebuah candi) dan sekali lagi di dalam kamar ketika bersedia untuk solat. Kebetulan, saya ada masalah dengan lutut saya (maklumlah umur ni pun masih muda...hehe), jadi bila jatuh, hanya Tuhan yang tahu macam mana sakitnya. Semalam, dua kali saya terjatuh. Sekali pagi dan sekali malam. Masa nak tidur tu, jenuhlah makan pain killer, lumur minyak urat dan macam-macam lagi. Masa nak tidur tu suami saya tanya saya, "Kaki you macam mana?" Dia tahu saya kesakitan teramat sangat masa siang tu. Saya jawab, "Okey... don't worry." Sebelum tu dia ajak saya jumpa doktor, saya pula kata tak perlu kerana saya tahu doktor akan bagi saya pain killer.
Saya okey saja sebab saya tahu sakit lutut tu biasa sahaja, bukanlah sesuatu yang teruk sangat, sebab ramai lagi yang sedang berdepan dengan macam-macam hal. Misalnya, anak perempuan saya terima mesej daripada salah seorang anak buah di sebelah suami saya, yang terpaksa menghantar mesej kepada semua yang dia kenal, untuk mengumpul dana bagi membolehkan dia membeli satu alat hospital untuk keperluan anak sulungnya yang berpenyakit jantung berlubang. Dia memerlukan alat itu untuk bawa anaknya pulang dari hospital sementara menunggu untuk anaknya dibedah (sebelum ini sudah pernah dibedah). Alat itu mampu menolong anaknya bernafas dengan sempurna. Kebetulan juga, anak buah suami saya ini mempunyai seorang lagi anak yang juga mengidap penyakit yang sama, cuma tidak seteruk kakaknya. Apa pun, saya tak dapat bayangkan kehidupan seorang ibu muda yang terpaksa berusaha keras untuk pastikan anak-anaknya hidup sempurna seperti orang lain. Mana lagi nak fikirkan tentang hal kewangan. Kebetulan juga, bila anak-anaknya sakit begitu, dia terpaksa berhenti kerja untuk fokus pada anak-anak.
Jadi... apalah sakit lutut ni, kan? Sebab tu lah saya lebih ikhlas berkata okey. Alhamdulillah, masalah saya ialah kaki saya ni. Tapi masih boleh berjalan, cuma bila solat tu kena pakai kerusilah. Tapi kan... sangatlah pelik, bila saya di tanah suci, lutut saya ni macam okey aje. Boleh pulak solat macam biasa. Tapi sekarang ni tak tahulah... mungkin tak berapa sesuai. Apa pun, saya tetap bersyukur di atas semua nikmat yang Tuhan berikan ini. Alhamdulillah.
Wassalam.
