Assalamualaikum.
Dah lama saya tak update blog ni, memang saya terlalu sibuk. Ke Utara dan juga ke Selatan. Namun dalam semua hal yang merupakan sebuah kesibukan, tentunya hal kepulangan ke rahmatullah kekanda saya, Asmah Emir, merupakan agenda teratas sekali. Kekanda saya sememangnya tinggal di Alor Star, walaupun dia dilahirkan di Indonesia (ibunya rakyat Indonesia). Sepanjang usia saya, saya hanya tahu bahawa Kak Asmah tinggal di Alor Star. Dalam ramai adik beradik kami yang juga ramai, Kak Asmah lah yang mempunyai antara banyak anak. Anaknya seramai 13 orang, salah seorang, sudah pun meninggal dunia. Orang kata bila dah banyak anak semestinya banyak cucu juga.
Ketika saya ke Alor Star untuk melawat Kak Asmah yang semasa itu sedang gering, sempat saya bertemu dengan anak-anak saudara saya yang kebanyakannya dah lama saya tak jumpa. Saya juga berjumpa dengan cucu-cucunya dan salah seorang telah beritahu saya yang dia tinggal tidak jauh dari tempat saya sekarang. Secara automatik, kami jadi rapat dalam tempoh singkat saya berada di Alor Star.
Sungguhpun Kak Asmah sudah tiada lagi, namun saya harapkan pemergiannya itu juga membawa rahmat kepada kami ahli keluargnya. Yang jauh menjadi dekat dan rapat.
Saya doakan roh kakak saya aman di alam barzakh. Semoga dia diampunkan Tuhan di atas segala dosa-dosanya, rohnya dirahmati Allah SWT dan semoga anak-anak serta cucu-cicitnya, adik-beradiknya akan sentiasa mendoakan Kak Asmah yang kami sayangi.
Sebuah kematian itu sebenarnya adalah satu peringatan buat kita yang hidup. Dunia ini hanya sementara. Lebih baik kita jauhkan segala kejahatan dan buatlah sebanyak mungkin amalan-amalan mulia, semoga kita dilindungi Allah SWT dunia dan akhirat. Ameen.
Al Fatihah buat roh Kak Asmah Emir.