Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Thursday, June 28, 2007

Biarkanlah dia... Dia tak sihat.

"Kak... saya tak sukalah dia, kak."

"Kenapa?" Saya bertanya.

"Dia ni tak betul sangat otak dia agaknya."

"Kenapa? Apa yang dia buat?" Semakin tak sabar saya nak tahu.

"Dia ni, kan... depan kita buat-buat baik. Datang rumah kita. Masuk rumah kita. Buat-buat bersembang dengan kita, lepas tu dia balik dan mengata-ngata kita. Saya tak sukalah, kak. Perangai dia teruk betul!"

"Laaa... biarlah dia. Dia tak sihat kut." Saya terus memujuk.

"Alah, kak. Dengan akak pun dia mengata-ngata. Depan akak dia buat-buat baik aje, tapi di belakang... macam-macam dia kata." Katanya lagi.

Saya pun jadi bertambah hendak tahu. Naluri manusia bukankah memang begitu? "Apa yang dia kata pasal akak ni?" suara saya lembut saja, tidak mahu berlaku provokasi.

"Alah, dia kata... akak berlagak macam Mak Datin."

Saya terus tergelak.

"Kenapa? Apa yang akak buat?"

"Saya tak tahulah, kak. Agaknya... gaya akak kut." Katanya lagi. "Atau mungkin cara akak bercakap dengan orang lain."

Semakin saya tergelak. "Tak apalah tu." Jawab saya lagi. "Biarkanlah dia."

"Tapi, kak... dia kata buku akak bukannya sedap sangat."

"Oh ya? Dia baca ke?" Saya menyoal lagi.

"Setahu saya... dia tak pernah beli atau baca. Takat selak-selak buku akak kat kedai, adalah. Dia memang tak minat pada akak pun."

"Biarkanlah dia. Kalau dia baca... risaulah juga akak. Tapi kalau takat selak-selak kat kedai, biarkanlah. Tak payah susah hati. Akak pun tak susah hati." Jawab saya lagi, cuba memujuknya.

"Tapi... saya menyampahlah, kak."

"Isy... tak usahlah menyampah macam tu." Saya masih memujuknya.

"Dia kata... kulit buku saya tak cantik. Berserabut warnanya."

"Oh ya? Dia pakar ke?" saya tanya lagi.

"Memang dia tak tahu apa-apa, kak. Itulah yang menyakitkan hati saya ni, kak."

Saya gelak. Beria-ia saya gelak. "Kamu janganlah emosional. Ada orang memang macam tu. Betullah tu... dia sakit kut. Dia sakit hati. Biarkan dia... kalau kamu layan nanti kamu juga jadi macam dia. Merayau-rayau macam orang tak betul. Biar dia kata kita jangan kita kata dia. Dia dah memang tak sihat..." saya terus tersenyum.

Mujurlah dia mahu menerima kata-kata saya. Maklumlah orang muda. Sebenarnya manusia memang mudah terasa. Tapi... itulah yang saya kata kepadanya. Biarkanlah...

Saturday, June 23, 2007

Tulis Dengan Hati

Saya selalu menerima emel daripada mereka yang minta pandangan tentang penulisan. Seringkali saya mengingatkan bakal penulis-penulis muda seperti ini:
Sekali pun berminat, tanpa bakat, tidak mudah untuk seseorang itu menjadi penulis. Sama juga dengan seni yang lain. Minat sahaja tidak akan menjadikan seorang itu pelukis atau pemuzik yang baik. Dalam begitu, kalau ada bakat tetapi tidak dihiraukan, bakat itu akan hilang begitu sahaja. Kerana itu, bila ada bakat, tanamlah minat... barulah berhasil. Apa sekalipun, orang yang ada minat dan bakat itu, perlu juga ada disiplin diri yang baik untuk berkarya. Jangan hangat-hangat tahi ayam. Sekejap rasa hendak tulis, sekejap lagi dah malas pula.
Ada juga tabiat buruk penulis, yang suka sangat membaca karya orang lain, lepas itu dicedok sana sini untuk dijadikan karyanya. Kalau apa yang ditulis merupakan bahan ilmiah, mungkin itu merupakan cara yang baik untuk memantapkan hasil tulisannya. Tetapi... kalau mahu bercerita, janganlah cedok cerita orang lain atau curi gaya orang lain. Fikirkanlah jalan cerita yang datang dari hati dan fikiran, aturkan plotnya dan perturunkanlah gaya sendiri. Bila kita meniru cara orang lain maka sedikit sebanyak karya kita tidak dikatakan original!
Tulislah dengan hati. Kalau mahu bercerita, ceritakanlah sesuatu yang betul-betul dekat dengan hati anda. Ceritalah tentang sesuatu yang anda tahu dan ada pengalaman dengannya. Mungkin itu merupakan kisah orang lain, tetapi biar cerita itu anda yang tahu dari tuannya, bukan sesuatu yang anda baca dalam buku cerita orang lain. Sekalipun cerita anda adalah cerita fantasi, biarlah ilham itu datangnya dari hati dan fikiran anda sendiri.
Kekalkanlah keaslian dalam penulisan anda untuk memberi kepuasan kepada pembaca!

Friday, June 15, 2007

NAMAKU IWAN

Namaku 'Iwan'. Umurku 10 tahun. Aku merupakan anak seorang pelacur dan kami tinggal di sekitar Kampung Baru, Kuala Lumpur. Dulu, ibuku merupakan anak orang berada. Ibu bapanya tinggal di kawasan Ampang. Malangnya, ibuku terjebak dengan aktiviti yang tidak digemari keluarganya, maka ibuku itu telah dihalau mereka.
Aku tak tahu siapa bapaku. Ibuku terlibat dalam kancah pelacuran mungkin kerana ketika itu, itulah dunia yang dekat dengannya. Aku dibesarkan sebagai anak seorang pelacur yang sememangnya hina di mata masyarakat. Aku tidak punyai surat lahir dan hanya bila umurku mencecah hampir sembilan tahun barulah ada yang membantu dan dapatkan aku surat lahir itu. Barulah juga aku dihantar ke sekolah.
Malangnya, aku tak pandai sesuaikan diriku di sekolah. Maklumlah, aku tidak seperti orang lain. Walaupun aku comel (dari segi rupa) dan mempunyai badan yang kecil, namun aku tetap tidak berdaya untuk bersaing dengan mereka yang normal. Aku canggung. Aku tidak pandai hidup dalam dunia orang biasa yang bukan sepertiku. Kerana itu mungkin aku sering dikatakan 'nakal'.
Akhirnya aku ditangkap, kerana dikatakan mencuri wang pelanggan ibuku. Kerana aku di bawah umur, mereka menghantarkan aku di tempat ini, kononnya untuk pulihkan sikap burukku. Aku menangis kerana tak mahu berpisah dengan ibuku. Aku baru 10 tahun, tidakkah mereka mengerti bahawa aku mahukan ibuku. Hanya dialah satu-satunya yang aku ada. Lagipun.... ibuku tidak sihat, tidak seperti ibu orang lain. Namun, tiada siapapun yang mahu bersimpati.
Aku ditempatkan di neraka ini! Walaupun aku masih kecil, tapi aku sedar bila aku diperlakukan manusia bagaikan seekor binatang. Manakah hati mereka? Manakah perasaan belas mereka? Manusia kejam yang ada di kelilingku tidak langsung melindungiku. Aku meraung, aku menangis... tapi mungkin kerana aku hanya sekadar anak seorang pelacur, maka aku dibiarkan menanggung kesiksaan ini!
Ya Tuhan... kenapa ada manusia yang sanggup berlaku seperti binatang? Hanya kepada ibu sahaja dapatku luahkan sakit dan sedihku ini. Hanya ibuku sahaja yang tahu bila aku mengadu kepadanya bahawa manusia di dalam tempat itu 'meliwat' anak lelakinya yang kecil ini. Ibuku menangis... setiap kali datang melawatku. Namun, apakan dayanya sebagai seorang pelacur yang hina. Bagaimana mampu dia menolong anak kecilnya ini.
Ya Tuhan... tolonglah kami, bantulah aku... berilah aku peluang seperti anak-anak lain juga. Sekalipun aku hanya anak seorang pelacur yang tak tahu membaca dan menulis, namun aku tetap punyai hati dan perasaan. Lembutkanlah hati mereka yang berkuasa, dan lepaskanlah aku dari neraka dunia ini!
Cerita di atas ini bukan merupakan bayangan atau dongeng semata-mata. Cerita ini adalah cerita benar. Saya mendapat panggilan daripada seorang teman yang membawa kisah benar ini. Kawan saya ini mengajak saya untuk berjumpa dengan Iwan di tempat yang dikatakan itu. Ya Tuhan... bantulah anak ini, semoga hidupnya tidak seperti daun kering di padang pasir... yang akan terbang melayang-layang entah ke mana.

Monday, June 11, 2007

Apa Yang Hendak Kutulis?

Kabus Menebal di sekeliling rumahku, burung dah mula berkicauan, namun sang matahari masih menyorok, segan ... mungkin malas nak menyinar pada pagi Isnin ini. Aku pula masih terkapai-kapai, terkial-kial, semua buat semuanya tak jadi. Mungkin terasa segan seperti Sang Matahari. Apa yang hendak kutulis?
Ah... lama tak update blog! Aku ke mari, dan di sinilah aku luahkan ilham. Pagi yang dingin ini membuatkan aku mahu berkongsi sesuatu dengan pembaca blog yang selalu berkunjungan.
Selalu aku mendapat soalan... "Apa yang patut saya tulis?"
"Tulislah apa-apa yang kamu suka. Kalau tulis benda yang kamu tak suka, memanglah payah." Jawabku.
Memang itulah yang aku lakukan mula-mula dulu. Aku tulis sahaja dan selepas siap, baru aku mencari penerbit yang mahu membaca manuskripku dan menerbitkan buku ku itu. Namun hari ini, aku rasa ada baiknya juga sekiranya penulis mendapatkan maklumat daripada pihak penerbit tentang apa yang patut mereka tulis. Mungkin lagi mudah begitu. Kemudian, tulislah apa yang paling dekat di hati mereka. Banyak pilihan kerana ada banyak juga penerbit di luar sana.
Aku pernah juga melihat beberapa penulis muda yang menyiapkan manuskrip dan juga ilustrasi... mengikut cara mereka sendiri, selepas itu mereka akan mencari penerbit yang mahu menerbitkan produk mereka cara mereka. Ini memang menarik! Dalam begitu, cara ini ada risikonya. Tetapi kalau penulis itu yakin yang ideanya memang menarik, aku rasa tak mengapa buat begitu. Mungkin ada baik juga dia buat begitu, kerana dia yang membawa sesuatu idea yang baru. Ini juga bergantung kepada kumpulan sasarannya. Kalau pihak penerbit tidak suka, mungkin sukarlah penulis mahu mencari pihak yang mahu menerbitkan hasil penulisannya.
Yang penting bagiku, kalau ada bakat dan ada minat, tulislah! Kalau dah memang seorang penulis, teruslah menulis. Jangan patah semangat. Jangan peduli apa orang kata. Tulislah!