Saya mula membaca novel ketika umur saya 12 tahun. Ketika itu, novel yang ada di pasaran hanyalah novel-novel bahasa Inggeris dan juga dari Indonesia. Tak banyak novel penulis tempatan. Malah, di tempat kecil seperti tempat tinggal saya, memang payah untuk dapatkan buku di pasaran. Biasanya kami berkongsi buku. Ketika saya berada di tingkatan tiga, membaca bagaikan sudah menjadi satu ketagihan. Tak boleh kalau tak baca buku! Ketika itulah saya selalu ditangkap cikgu kerana suka membaca semasa cikgu mengajar. Sekalipun begitu, ketika itu saya sudah mendapat satu 'exposure' atau pendedahan yang berbeza daripada mereka yang tak suka membaca. Ketika saya di tingkatan tiga, saya telah mengarah pelbagai drama dan program untuk lakonan di sekolah. Saya juga mengarah untuk mereka yang berada di tingkatan lima. Karangan saya, (dalam kedua-dua bahasa, Inggeris dan Melayu) selalu dijadikan karangan contoh. Saya masih ingat, guru Bahasa Inggeris saya sering menjaja karangan saya dari satu kelas ke satu kelas, hingga membuatkan saya terasa malu.
Apa yang ingin saya nyatakan ialah, kita jangan takut untuk membaca dan kita jangan hanya membaca bahan-bahan yang sama sahaja. Bacalah semuanya. Dengan cara yang begini sahaja kita akan didedahkan dengan pelbagai keadaan dan inilah yang akan membantu kita untuk meluaskan pandangan dan menambahkan ilmu. Baik buruk adalah untuk kita aturkan dalam hidup ini!