Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Thursday, October 31, 2013

Un Break My Heart

Assalam


Pernah dengar lagu Toni Braxton, Un Break My Heart, tak? Kalau tak pernah dengar, cuba cari di YouTube. Lagu ini merupakan antara lagu kegemaran saya. Saya letakkan lirik lagunya. Cantek!

Don't leave me in all this pain
Don't leave me out in the rain
Come back and bring back my smile
Come and take these tears away
I need your arms to hold me now
The nights are so unkind
Bring back those nights when I held you beside me
Un break my heart
Say you'll love me again
Undo this hurt you caused
When you walked out the door
And walked outta my life
Un cry these tears
I cried so many nights
Un break my heart
My heart
Take back that sad word goodbye
Bring back the joy to my life
Don't leave me here with these tears
Come and kiss this pain away
I can't forget the day you left
Time is so unkind
And life is so cruel without you here beside me
Unbreak my heart
Say you'll love me again
Undo this hurt you caused
When you walked out the door
And walked outta my life
Uncry these tears
I cried so many nights
Unbreak my heart
My heart


                            Gambar penyanyi Toni Braxton

Wednesday, October 30, 2013

Cari Suami Mat Salih

Assalam

Ada seorang teman bertanya dengan saya, "You rajin betul update blog, kan?"

Iya betul. Saya suka menulis di blog. This is part of my life. Yang pasti, memang ramai yang suka datang ke sini untuk membaca apa yang saya tulis. Saya okey aje. Itu namanya kongsi pengalaman. Tapi... ada juga yang datang curi-curi untuk membaca. Mungkin nak tahu apa yag ada kat hati saya. Mungkin juga ada yang nak tahu tentang kehidupan saya. Tak apalah kalau nak menyibuk pun, saya nak buat macam mana, kan?

Kebetulan semalam saya ke Kuala Lumpur. Ada temujanji. Saya sempatlah bersembang-sembang dengan cik minah ni. Dia kata dia malas dah nak bercinta kerana baginya rata-rata 'lelaki Melayu' ni payah nak percaya. Kata dia juga, lelaki Melayu suka buli kaum wanita. Kalau jadi suami tu, semua nak suruh isteri lakukan untuknya. Dibuat isteri macam 'babu' atau 'orang gaji'. Segala-galanya isteri yang kena urus. Orang perempuan pula sekarang ini memang banyak yang bekerja, malah ramai pula yang kena membantu suami dalam hal kewangan. Ada suami yang kaki buli, gaji isteri pun dikerjakannya. Memang tak boleh pakailah!

Sebab itulah tiba-tiba muncul tentang 'mat salih'. Dalam perbualan kami itu, tidaklah kami kata yang lelaki mat salih tu bagus benar, tetapi mat salih yang masuk Islam, biasanya jauh lagi baik daripada lelaki Melayu yang dah lama merupakan orang Islam. Lelaki mat salih pun rata-rata lebih 'open minded', lebih romantik, lebih bertimbang rasa pada kaum wanita. Huhu... kalau ada lelaki Melayu yang baca artikel ini, mesti rasa nak marah, kan? Tapi nak buat macam mana? Mungkin eloklah kalau lelaki Melayu cuba pertingkatkan cara mereka memikat wanita. Kalau tidak, memanglah ramai wanita Melayu akan cuba mencari lelaki luar untuk dijadikan suami. Tak salah tu. Tidak ada larangan dalam hal seperti ini, janji lelaki itu baik hati dan menjalankan tanggungjawabnya sebagai orang Islam yang taat pada perintah Allah SWT. Orait! Mat salih pun mat salihlah!

Wassalam.


                      calon-calon mat salih.... hehe

Tuesday, October 29, 2013

Mungkinkah Tersilap?

Assalam

Sebagai manusia yang tak sempurna, tentu sekali kita akan melakukan kesalahan dari masa ke masa dan kerana itulah kita kena rajin minta ampun dan bertaubat pada Allah SWT agar kita juga dijauhkan daripada melakukan kesalahan. Pun begitu, kadang-kadang kita merasakan bahawa kita melakukan kesilapan. Maknanya kita tersilap langkah mungkin.

Tapi kenapa agaknya kita boleh jadi buat kesilapan itu? Kita sengaja atau tidak? Atau kita sengaja kata bahawa kita tersilap, padahal sebenarnya kita yang sengaja rancang untuk lakukan perkara itu. Namun bila kita terkejut atau terasa bahawa perkara itu tak menjadi, kita pun akuilah bahawa kita tersilap. Yang peliknya, tidakkah kita berfikir sebaik-baiknya sebelum kita mengambil tindakan untuk lakukan apa yang kita lakukan itu? Mungkinkah dalam sekelip mata kita terlupa atau tersasul atau tersasau? Logik ke? Atau kita ini sebenarnya saja seronok-seronok nak cuba lakukan perkara itu yang kita sudah pasti akan mengundang kesusahan?

Kalau kita tak sedar maka bolehlah kita tahu bahawa apa yang kita lakukan itu merupakan sesuatu yang kita silap atau tersalah, tapi kalau kita buat dengan segala kesedaran maknanya kita yang mengundang untuk lakukan kesalahan itu. Atau mungkinkah ketika kita melakukannya kita merasakan bahawa perkara itu bukan salah kerana ia pada ketika itu sangat menguntungkan kita?

Macam orang makan rasuah. Mereka tahu bahawa rasuah itu kesalahan besar, tapi kerana rasuah menguntungkan diri, orang yang melakukannya akan buat-buat terlupa atau tak ingat, konon-konon tak perasan pun yang itu adalah satu kesalahan. Tapi bila tertangkap atau terbongkar rahsia, masa itulah si tukang makan rasuah akan mengelabah dan mengatakan bahawa dia sudah lakukan satu kesilapan yang tak sengaja.

Adoiii... boleh tersilap pulak!

Bertambah pelik kalau yang melakukan kesilapan itu merupakan orang yang cerdik pandai, orang yang tahu agama, yang tahu apa itu baik dan apa itu tidak baik. Kalau perkara yang sama dilakukan oleh orang lain, pasti dia akan nampak bahawa itu adalah satu kesalahan yang tak patut dilakukan. Tapi kerana dia yang melakukannya, maka ia menjadi satu kesilapan! Masya-Allah. Sungguh kesian kerana dia tidak sedar bahawa dia sudah tersilap langkah. Iya ke ni?

Wassalam.

                   Adoiii... tersilap sudah!

Monday, October 28, 2013

Qada' Dan Qadar

Assalam dan selamat pagi.

Semoga anda semua berbahagia hendaknya. Bagi saya, alhamdulillah saya okey-okey sahaja. Semalam, saya dan suami pergi melawat biras saya (suami arwah kakak ipar - kira abang ipar suamilah ni) yang telah melakukan operation bypass di IJN. Alhamdulillah, dia kelihatan baik dan sihat. Mungkin selagi kita ada umur, kesihatan itu penting buat kita, kan? Lebih penting daripada harta dan wang ringgit kot. Kalau berharta dan berduit tapi kesihatan tak baik, mungkin kita juga tidak rasa selesa, kan?

Apa-apa pun, selagi kita dekat dengan Allah SWT, sekalipun kurang sihat, hati tetap tenteram dan keredhaan juga ada untuk membuat kita lebih tenang. Segala ujian datangnya daripada Tuhan yang maha esa. Walaupun sakit, kadang-kadang jiwa tetap sihat dan kebahagiaan tetap ada.

Sebagai manusia, pasti kita mahu lakukan yang terbaik buat diri kita. Pun begitu, tak semestinya apa yang kita fikir baik, terbaik juga buat kita. Allah maha mengetahui. Mungkin kita lakukan sesuatu itu kerana kita sangkakan itu yang elok dan bagus, namun ia tak menjadi kerana Allah tidak mengizinkannya. Kita rasa hairan kerana kita telah pun berdoa, tetapi doa kita itu tak kesampaian. Macam yang saya katakan itu, apa yang kita rasa baik tak semestinyat terbaik buat kita. Allah SWT tahu apa yang ada pada hati kita. Mungkin kita katakan bahawa niat kita baik, namun ada sesuatu di sebalik niat yang Tuhan tidak izinkan, wallahuaklam. Semoga kita terima qada' dan qadar dengan baik juga.

Wassalam.




Sunday, October 27, 2013

Iri Hati Jadi Sakit Hati

Assalam

Semalam saya hanya rehat di rumah setelah mengemas rumah. Hari ini belum tahu lagi apa programnya. Kalau rajin, mungkin nak keluar kot.

Apa-apa pun, jom kita bicarakan hal ini. Hal 'iri hati' dengan apa orang lain ada yang kita tak ada. Perlukah kita begitu? Bukankah kita di dunia ini dijadikan Tuhan berbeza-beza, maknanya kita tak sama. Ada orang ditakdirkan untuk jadi raja, tentulah rumahnya besar, harta mungkin tak terkira. Ada tu pula, dijadikan miskin papa kedana, tak punyai apa-apa. Ada juga dijadikan sederhana, ada sebahagian sahaja, tak ada semuanya. Itu dari segi harta benda. Begitu juga dengan jiwa, ilmu dan macam-macam lagi. Walhasil kita sememangnya dijadikan begitu, tak mungkin serba ada, serba 'perfect'. Ada ketika, mungkin sihat juga kalau kita mempunyai perasaan 'iri hati' kerana perasaan itu mampu membuat kita kerja keras untuk dapatkan sesuatu. Misalnya, kita terkesan di lubuk hati bila melihat seseorang itu berjaya dalam hal kerjayanya. Kerana itu, semangat kita juga turut meninggi lalu kita juga memberi tumpuan untuk jayakan diri kita. Syabas!

Pun begitu, manusia ini sangat lemah kerana kebanyakan kita  mempunyai perasaan 'iri hati' yang berbentuk negatif. Kita rasa sakit bila melihat orang lain 'lebih' daripada kita. Bila kita lihat orang bahagia, kita benci. Bila lihat orang ada rumah besar, kereta besar atau apa-apa sahaja, kita pun nak sama. Kalau boleh kita nak lebih daripada itu. Mungkin kita juga mampu untuk dapatkannya, tapi kadang-kadang ada nikmat lain yang Tuhan tarik pula daripada kita. Wallahuaklam.

Kalau kita ada rasa 'iri hati' dalam jiwa kita, elok juga kita pastikan perasaan itu tidak merosakkan jiwa kita nanti. Kadang-kadang kerana kita terlalu fikirkan 'kemahuan' kita, kita sanggup lakukan apa sahaja untuk dapatkannya. Tetapi kerana niat kita 'kotor', sekalipun kita dapat, mungkin hanya buat seketika sahaja. Selebihnya kita kembali dengan rasa 'sakit hati' yang berterusan. Jadi, kita perlulah berjaga-jaga jangan terlalu melayan rasa yang negatif yang timbul dalam jiwa kita. Wallahuaklam.

Wassalam.




Saturday, October 26, 2013

Sayanglah Sementara Boleh

Assalam semua

Selamat berhujung minggu, semoga anda semua dapat rehatkan tubuh dan tenangkan jiwa. Semoga kita semua dapat beristirehat dengan ahli keluarga yang tersayang.

Hari ini saya bercadang untuk mengemas rumah. Adik saya akan ke Pulau Langkawi dengan kawan-kawannya, jadi hilanglah pembantu saya di rumah. Mujurlah dia pergi tiga hari sahaja.

Minggu awal November nanti, ramai yang akan ke luar, termasuk saya dan suami. Anak perempuan saya akan ke Kota Kinabalu dengan kawan-kawannya, anak-anak lelaki saya Faiz dan Irfan akan ke Jakarta menghadiri Pesta Buku dan juga ada mesyuarat dengan rakan kongsi mereka di sana, insyaaAllah saya dan suami kami akan ke Phuket, macam dalam novel saya 'Terbanglah Sayang'. Saya pernah ke pulau itu tetapi suami saya belum lagi, jadi kami akan rehat di sana.

Mungkin sekali-sekala itu yang kita perlukan, untuk berehat, mental dan emosi dan juga tubuh badan. Tapi dalam hal ini, kadang-kadang kita tak dapat nak makan angin pun, tetapi terpaksa ke luar kerana bertugas. Banyak kawan-kawan saya selalu ke luar stesen atau luar negara, tetapi hanya untuk tugasan, bukan untuk rehatkan badan. Tapi tak apalah, kadang-kadang memang macam tu kot, terpaksa sibuk-sibuk untuk kerja yang kita lakukan. Saya tahu, ramai kawan-kawan yang selalu ke luar, mereka jadi bosan kerana keletihan dan tak dapat menghabiskan masa dengan keluarga. Dalam hidup ini, yang penting ialah untuk berada dengan orang-orang yang kita sayang.

Bila saya melihat jenazah Yeop saya, saya tahu betapa keluarga itu sangat penting selagi hayat berada di kandung badan. Kerana itu juga, kita sangat digalakkan untuk melawat jenazah, agar kita beringat selalu bahawa hidup ini adalah sementara. Sebaik mungkin kita berikan perhatian kepada orang-orang yang kita sayang. Satu hari nanti, kita akan tinggalkan semuanya untuk berada di alam barzakh.

Semoga Allah SWT melindungi kita dunia dan akhirat. Amin.

Wassalam


Friday, October 25, 2013

Yeop Kami Sudah Tiada Lagi

Assalam

Pagi tadi saya tak sempat update blog sebab saya telah pulang ke Kuala Kangsar di awal pagi untuk melawat jenazah abang angkat saya yang kami panggil Yeop. Abang angkat saya telah dipeliharai oleh ayah saya sejak kecil lagi dan sejak saya kecil, saya memang memanggilnya 'Yeop'. Petang semalam, tiba-tiba sahaja Yeop tumbang, pengsan dan kemudian meninggal dunia ketika berada di Ipoh. Sangat mudah. Kami adik beradik telah pulang ke KK sebaik sahaja dimaklumkan bahawa Yeop sudah tiada lagi. Semoga roh Yeop dirahmati Allah SWT, diampunkan segala dosa-dosanya dan selamat di alam barzakh. Al Fatihah.

Sempatlah saya melawat pusara arwah ayah saya dan juga ibu tiri saya ketika jenazah Yeop dikebumikan. Memang ramai yang hadir dan mensolatkan jenazah Yeop. Tidaklah rohnya berasa sunyi, walaupun Yeop hanya anak angkat keluarga kami, namun kami adik beradik dan seluruh keluarga tetap mengahragai dan menyayanginya.

Tentunya saya sedih dan keletihan juga sebab terpaksa bergegas ke kampung kami. Tapi, alhamdulillah segala-galanya berjalan dengan lancar dan Yeop dikebumikan sekitar 11.00 pagi.

Saya, suami dan anak saudara naik satu kereta dan puaslah kami bersembang ketika pergi ke KK dan ketika pulang ke rumah. Alhamdulillah, Tuhan permudahkan semuanya.

Wassalam.


Thursday, October 24, 2013

Ibarat Daki di Badan

Assalam

Semalam, saya mendengar cerita seorang teman pembaca saya. Dia bercerita tentang temannya yang tercebak dengan suami orang. Katanya temannya itu sedang frust menonggeng. Jadi saya tanyalah, "Hah kenapa pulak? Orang tu tinggalkan dia ke?"

"Tu lah, Kak Aina... mula-mula tu macam nak raklah. Ingatkan berbahagialah dia hingga ke pintu syurga, rupa-rupanya tidak. Baru berapa bulan sahaja dia dah kena tinggal. Lelaki tu kata dia lebih sayang isterinya dan tak sanggup untuk menduakannya. Apa lagi, kawan saya tu macam meroyanlah sekejap. Dia kata lelaki ni ambil mudah sahaja, dibuatnya orang perempuan macam daki di badan, dengan mudah sahaja disentalnya dan dibuang terus. Macam kain buruklah, bila dah lusuh dicampak sahaja dalam tong sampah!"

"Iyalah... buat apa dia pergi cari penyakit? Kan dah tahu suami orang. Memanglah macam tu, takkanlah dia tak menduga kot? Yakin sangat ke dia?"

"Tu lah, Kak Aina... dulu kami dah nasihat, tapi dia degil. Dia rasa lelaki tu takkan niayakan dia. Tup-tup kena tinggal. Dahlah terasa macam dakilah pulak."

Bagi saya, kita sebagai wanita harus meletakkan nilai pada diri sendiri. Kalau kita yang tersua-sua lebih, memang begitulah jadinya. Orang tak akan hormati kita. Orang akan ambil kesempatan kerana kita yang berikan ruang dan peluang. Kalau kita ada harga diri, kita tak biarkan ia jadi begitu. Kalau dah jadi macam tu, nak salahkan siapa lagi? Mestilah salahkan diri sendiri. Wallahuaklam.

Wassalam.

Wednesday, October 23, 2013

Jangan Terlalu Pentingkan Diri

Assalam

Semalam saya lepak-lepak di Kuala Lumpur dengan kawan saya. Memang relakslah. Hari ini duduk di rumah saja. Esok, mungkin lepak lagi dengan rakan yang lain pula. Agaknya ini merupakan musim lepak dengan kawan-kawan. Dalam pada itu, rasa bersalah tetap ada kerana belum siapkan manuskrip novel baru. Ramai yang dah tanya melalui emel. Adoii... insyaaAllah akan saya usahakan kerana tak lama lagi saya juga ada program untuk makan angin ke luar. Jadi kalau boleh, biarlah manuskrip siap sebelum saya ke luar tu. In syaa Allah.

Sebagai orang perempuan, sebenarnya banyak benda yang kita boleh buat dalam hidup. Tak perlulah duduk termenung fikirkan yang bukan-bukan. Kawan baik saya merupakan seorang ibu tunggal, tetapi alhamdulillah dia pandai aturkan masanya dan pandai uruskan aktivitinya. Selain daripada mencari rezeki, dia pastikan masanya diruskan dengan baik supaya dia tidak berasa sunyi. Sebenarnya memang begitu. Saya juga punyai kawan-kawan perempuan yang tak pernah kahwin pun. Okey sahaja. Mereka tak pernah mengeluh dan tak kisah pun tak bersuami.

Sebenarnya semua adalah pada diri kita. Kalau kita jenis yang suka berfikiran negatif, maka negatiflah jadinya. Mungkin kita rasa kita mahu buat yang positif, tapi kalau caranya tak betul, hidup kita akan berubah jadi negatif juga. Jadi... elok kalau kita berjaga-jaga. Yang penting, sekalipun mungkin kita perlu fikirkan diri kita, tetapi itu tidak bermakna kita kena jadi orang yang pentingkan diri sahaja. Bila kita buat macam tu, pasti Tuhan marah.

Okeylah, jom kita buat yang terbaik sebaik mungkin, semoga Allah SWT beri kita yang terbaik juga dunia dan akhirat.

Wassalam.


Tuesday, October 22, 2013

Cermin Muka Dulu

Assalam

Kalau anda perempuan, pernah tak anda pergi ke tempat beli-belah dan tiba-tiba sahaja ada yang menghampiri anda dan bertanya, "Tak nak cuba produk ni? Bagus sangat untuk kulit anda. Nampak tak bintik-bintik tu kat pipi anda, pakai ini boleh keluar semua." Itulah kata si tukang jual. Kita pun agak tertarik juga, tiba-tiba kita melihat pada wajahnya. Adoiii... banyaknya jeragat. Dah tu berlubang-lubang lagi akibat jerawat yang ganas kot. Tentulah kita hilang tarikan untuk membeli produknya. Sebab kita pun tertanya-tanya, "Kalau bagus sangat produk tu, kenapa dia tak cuba pada kulit mukanya?"

Mungkin dalam hidup begitulah agaknya. Kita pandai mengatur hidup orang sedangkan kita sendiri tidak hebat mana pun. Kadang-kadang kita ingat yang kita ni bagus sangat, tapi sebenarnya kita pun banyak kelemahan, tak bagus mana pun. Kalau kita nak atur hidup orang, pastikan hidup kita dah teratur, barulah okey. Betul tak? Memang kita boleh kongsi idea, tapi jangan ingat idea kita tu dah melampau hebat. Lagi-lagilah kalau kita dah pernah mengalami satu kegagalan, jangan ingat mudah sangat nak mengatur hidup orang. Macam budak 'sales' tadi tu lah, sebelum nak suruh orang lain perbaiki mukanya, eloklah kalau dia tengok di cermin. Muka dia dah bagus sangat ke?

Oiii... sangatlah pedih, tapi itulah realiti. Kita nampak kelemahan orang, kita terlupa pada kelemahan kita sendiri. Dah tu kita tuduh orang lain 'jahat' sedangkan kita sebenarnya mungkin lagi 'teruk'. Nauzubillah.

Semoga kita sentiasa muhasabah, tidak tuduh orang lain bukan-bukan. Semoga Allah SWT lindungi kita semua, dunia dan akhirat.

Wassalam




Monday, October 21, 2013

Mengintai Apa Yang Kita Tulis

Assalam

Selamat mulakan minggu baru. No Monday blue, please... kalau ada, itu sekadar alasan sahaja. Jangan jadi malas dan manjakan diri. Tiada hari yang tidak bagus untuk bekerja apatah lagi di hujung minggu anda sudah berehat-rehat.

Okeylah... pagi ini mood saya agak baik juga walaupun di hujung minggu saya sangat sibuk. Hingga pagi ini, masih ada lagi tugasan saya yang tak siap lagi. Lepas update blog ini, saya akan sambung semula, insyaaAllah. Sebenarnya saya sedang siapkan dua proposal untuk dua TV stesen yang berasingan. Pulak tu, produser berkenaan nak makan angin ke Jepun dalam masa dua hari lagi, itulah yang saya kena siapkan sebelum mereka ke luar negara.

Tinggalkan cerita itu, jom kita tinjau-tinjau tentang apa kita tulis di blog. Pernah tak anda  terfikir bahawa ada orang di luar sana yang rajin masuk ke blog anda untuk mengintai apa yang anda tulis? dari situ mungkin, dia akan mengenali anda. Mungkin juga dia tahu siapa kawan-kawan anda, siapa ahli keluarga anda, apa aktiviti anda dan macam-macam lagi. Kalau diikutkan, karakter ini memang karakter seorang 'stalker'. Dia mengintai dan mengintip anda melalui apa yang anda tulis. Dari situ, mungkin dia akan mengambil kesempatan kerana dia tahu apa kelemahan anda dan apa pula kekuatan anda. Malah, dia juga tahu apa yang anda sayang.

Bahaya! Memang bahaya, tapi sebagai penulis blog mungkin kita tak sedar dan tak perasan. Tambah pula kalau kita buka blog kita untuk sesiapa sahaja membacanya. Kerana itu mungkin, ada yang biarkan blog mereka jadi 'private', hanya mereka yang dijemput sahaja yang boleh membaca entri-entri di blog. Tapi bagi orang macam saya ni, takkan nak block kot? Macam mana saya nak ajak pembaca saya mengenali diri saya ini sebagai penulis?

Bahaya, kan?

Apa-apa pun, saya serah pada Allah SWT agar apa yang saya tulis di blog saya ini tidak dijadikan bahan 'kesempatan' buat orang di luar sana yang rajin mengintai blog saya ini. Bukan saya tak tahu siapa yang mengintai ni (dulu mungkin tak tahu), tapi saya biarkan sahaja."Bacalah apa-apa yang kamu nak baca. Ada aku kisah?"

Okeylah, kepada anda semua yang saya sayang, jaga diri okey? Kalau ada blog tu, berjaga-jagalah, takut ada yang tak siuman di luar sana.

Wassalam.


Sunday, October 20, 2013

Jangan Jadi Tukang Kikis

Assalam

Selamat berhari Ahad buat anda semua. Saya rasa mungkin hari ini saya tak ke mana-mana kot. Kalau nak keluar pun mungkin dekat-dekat sahaja. Saya kena siapkan kerja yang tak siap lagi ni.

Sempat saya menjenguk-jenguk beberapa blog yang follow saya. Teringat pada satu blog ini yang bercerita tentang hikmah yang datang kepadanya setelah terjadi satu musibah. Betapa dia bersyukur kerana Allah SWT masih beri dia kesempatan untuk menikmati bahagia yang datang setelah musibah itu. Kerana itulah kita kena sentiasa bersangka baik pada Allah taala kerana semuanya adalah rahsia Dia. Hanya Allah yang tahu apa yang terbaik buat kita semua. Kata-kata seperti ini sebenarnya adalah kata-kata untuk memberi semangat pada kita semua, insyaaAllah.

Semalam, sempat juga saya tengok satu video klip ini di YouTube. Anak saya yang bercerita tentangnya. Sengaja seorang lelaki ini berlakon untuk mengajak seorang awek cantik untuk pergi makan-makan dengannya. Awek itu menolaknya kerana katanya dia tak minat. Jadi lelaki itu pun pergilah ke arah keretanya yang terpakir tidak jauh dari situ. Wanita itu melihat kereta Lamborgini nya (kereta super mewah) lantas dia menghampiri lelaki itu dan berkata kepadanya, "Okey, ada sebuah restoran yang tak jauh dari sini kalau awak berminat untuk bawa saya makan-makan."

Jawab lelaki itu, "Oh sekarang saya tak berminat dah kerana awak sebenarnya adalah seorang pengikis!"

Mungkin memang ramai kaum wanita (juga lelaki) yang mata duitan macam tu. Suka cari mangsa yang berduit sahaja. Sebenarnya tak salah pun kalau kita suka pada duit atau material, tetapi kenalah cari sendiri! Jangan suka cari kesempatan dan peluang untuk mengikis orang lain. Itu namanya 'pisau cukur' atau 'kemaruk'. Orang yang begitu memang tak akan dipandang mulia oleh sesiapa pun. Orang yang macam itu sama saja macam peminta sedekah di jalanan yang pergi mencari mangsa untuk kutip hasil tanpa mahu berusaha untuk cari sendiri. Hina sungguh!

Sebaik-baiknya kita, kalau suka pada material, kita usahakanlah agar kita mampu untuk dapatkannya. Janganlah kita berkeliaran mencari mangsa untuk berikan kita apa yang kita idamkan! Perbuatan itu memang buruk sangat-sangat. Tambah pula kalau kita perempuan. Memang kita jenis tak ada maruah kalau perangai kita buruk macam tu. Semoga Allah SWT selamatkan kita dan jauhkan kita daripada mempunyai sikap 'mengikis' ini. Nauzubillah.

Wassalam.




Saturday, October 19, 2013

Kesakitan Untuk Melahirkan

Assalam

Hari ini hari sabtu, hari untuk kita relaks-relaks dengan keluarga. Pastikan kita berikan masa untuk ahli keluarga kita, kalau tak dapat setiap hari, hujung minggu itu dijadikan masa untuk mereka bersama kita. Kebetulan, hari ini kakak saya (tinggal di Muar) dan familinya akan ke rumah kami di Nilai. Ibu saya dan suami saya yang siapkan menu untuk hari ini bagi meraikan famili yang datang berkunjung. Saya akan tolong juga, tapi saya juga kena siapkan kerja yang sudah dijanjikan. InsyaaAllah, akan saya usahakan.

Semalam, saya sempat melawat anak saudara suami saya yang baru melahirkan anak kecilnya (anak ketiga). Anak saudara kami itu masih kesedihan apatah lagi bila mengenangkan ibunya yang baru lagi pergi buat selama-lamanya. Dia merupakan anak perempuan tunggal dan pastinya sangat rapat dengan arwah ibunya. Kalau boleh, saya mahu berlama-lama dengannya di hospital, tetapi semalam dia masih kurang sihat kerana pembedahan yang dijalankan untuk melahirkan bayinya.

Begitulah pengorbanan orang perempuan, terpaksa melalui kesakitan yang amat sangat untuk mendapatkan zuriat dan alhamdulillah, Allah SWT memberi kekuatan buat kaum wanita melalui saat-saat yang sakit itu. Semoga semua suami-suami dan anak-anak sentiasa menghargai pengorbanan yang terpaksa dilalui oleh kebanyakan kaum wanita di dunia ini.

Selamat berehat-rehat, semoga kita dilindungi Allah SWT dunia dan akhirat.


Friday, October 18, 2013

Rasa Diri Dizalimi

Assalam

Saya sibuk menulis, tapi bukan manuskrip novel. Saya sibuk siapkan beberapa proposal untuk drama TV dan juga skrip drama. Novel yang mana satu, saya tak boleh nak cakap lagi... kena tunggu.

Apa pun, hari ini saya kesibukan lagi sebab saya ada urusan di Kuala Lumpur. Jadi, tak dapatlah nak fokus pada penulisan sahaja.

Kebetulan, semalam saya sempat membaca. Macam biasalah, walaupun sibuk menulis, saya tak boleh terlepas daripada membaca. Saya membaca tentang kata-kata Nabi Muhammad S.A.W. yang pernah berpesan agar umatnya tidak cuba melakukan ibadah yang keterlaluan hingga tak mampu menanggungnya. Misalnya, tak perlu menghatam al-Quran setiap tiga hari, atau berpuasa lebih daripada selang sehari sepanjang tahun. Malah, baginda berpesan agar umatnya tidak cuba menandingi ibadah beliau kerana baginda adalah seorang Rasul dan segalanya adalah rahsia Allah SWT.

Cuba kita melihat pada diri kita, memang terlalu ramai yang mahu mengikut sunnah Nabi, namun ramai yang gagal kerana mungkin niat itu tidak tepat, sekadar ikut-ikutan sahaja. Seelok-eloknya, kalau kita mahu mengikut sunnah Nabi, buatlah apa yang kita mampu lakukan dan tidak lebih daripada itu, jangan kita cuba bersaing dengan kekasih Allah SWT yang teristimewa itu kerana betapa sekali kita rasa hebat, tak mungkin kita mampu melakukan apa sahaja yang baginda lakukan. Masya-Allah.

Ada di antara kita pasti tertanya-tanya, mengapakah dirinya terasa seperti dizalimi. Mungkin agaknya diri itu terlupa kerana dia juga pernah menzalimi orang lain sebelum terasa dirinya dizalimi. Subhanallah.

Sebaik-baiknya, kita bersangka baik pada Allah SWT kerana agama Islam tidak pernah menzalimi umatnya, tetapi manusia itu yang selalu berlaku zalim, dengan sengaja atau tidak. Allah menduga kita dengan ujian yang berpatutan dengan kesanggupan kita, namun kadang-kadang manusia itu yang lupa daratan. Terlalu banyak kepentingan dirinya sendiri hingga tidak kisah hati orang lain yang disakitinya. Allah SWT tidak suka kita menyakiti hati orang lain, termasuk jiran tetangga, rakan-rakan, ahli keluarga dan semua orang yang ada kaitan dengan kita. Biarlah kita jadi manusia yang celik mata dan hatinya, tidak sengaja membutakannya.

Wallahuaklam.

Thursday, October 17, 2013

Ombak Dan Benteng

Assalam

Bila orang bercinta buat satu tempoh yang lama, mungkin benteng yang dibina itu jadi kukuh dan kuat. Adat hidup di dunia fana, akan ada ombak besar yang akan datang untuk memukul pantai, namun kalau benteng teguh dan kuat, sekalipun ombak tsunami yang datang, benteng tak runtuh.

Yang menjadi sakitnya bila ombak tak dapat terima yang benteng itu sangat kuat. Tak logik kot, tapi itulah realitinya.

Dalam hidup kita, seringkali ombak akan datang mengganggu pantai yang tenteram. Paling malang kalau ombak itu ganas dan tidak berhati perut, maka datangnya yang tidak diundang akan menggerunkan pantai yang aman damai. Tapi kalau ada benteng yang kuat, tentu omabk akan jadi 'frustrated'  dan terpaksa pilih untuk kembali ke lautan luas, mencari mangsa lain yang mungkin berada di pantai yang lain pula.

Wassalam.

Wednesday, October 16, 2013

Doa Yang Terbaik

Assalam

Semalam, kami semua menyambut Hari Raya Aidil Adha di rumah adik saya di Gombak. Kami berkumpul di sana buat pertama kalinya. Seronok juga. Sayalah paling seronok sebab dapat relaks di hari raya. Alhamdulillah, semuanya baik-baik belaka. Kami sampai di rumah semula sekitar 8.00 malam. Lepas solat, kami relaks-relaks sahaja.

Saya dan suami, kami sempat bualkan tentang 'doa'. Kadang-kadang, bila kita berdoa, kita sering minta itu dan ini daripada Allah SWT. Memang bagus begitu kerana walaupun Allah tahu apa yang kita mahukan, Allah tetap mahu kita berdoa pada-Nya, biar kita meminta-minta kerana kita ini merupakan manusia kerdil yang mengharapkan belas kasihan Tuhan yang maha kuasa.

Kadang-kadang juga, bila kita berdoa, terutama bila kita tunaikan solat istikhorah, kita terlalu rigid dengan apa yang kita mahukan. Kita minta Allah tunjukkan A atau B, kadang-kadang kita minta Allah berikan 'A' kerana itu yang kita mahukan. Mungkin kerana itu juga kita sangka 'A' yang kita mahukan merupakan sesuatu yang diizinkan Allah, maka kita dipermudahkan untuk mendapat 'A' seperti yang dimahukan.

Saya masih ingat lagi ketika saya tunaikan ibadah umrah beberapa tahun yang lalu. Beberapa orang pembaca saya meminta saya doakan mereka di depan Kaabah. Kebanyakan mereka minta itu dan ini. Saya doakan semuanya, tetapi saya minta dan pohon pada Allah agar berikan mereka yang 'terbaik'. Mungkin ketika itu mereka sangkakan 'A' atau 'B' merupakan yang terbaik, tetapi sebenarnya Allah SWT lebih mengetahui apa yang paling terbaik untuk mereka.

Bagi saya, sekalipun saya berdoa untuk itu dan ini, saya sentiasa minta Tuhan berikan yang terbaik buat saya di dunia dan akhirat, dan semua orang yang tersayang, kerana sebenarnya kita tidak pernah tahu rahsia Tuhan. Apa yang kita sangkakan baik itu mungkin tidak baik buat kita. Kalau kita percaya Tuhan akan berikan yang terbaik, kita doakanlah begitu, sekalipun ketika lakukan solat Istikhorah. Biar Tuhan berikan kita yang terbaik, walaupun kita tidak terus melihat hikmah dan hidayah-Nya. Masya-Allah.

Saya doakan yang terbaik buat kita semua, terutama mereka yang saya sayang.

Wassalam.


Tuesday, October 15, 2013

Hanya Seketika

HANYA SEKETIKA


Hanya seketika sahaja
Aku jadi lupa
Aku tersilap langkah
Hampir hilang dalam hutan
Yang gelap gelita
Tiada apa-apa kecuali bunyi yang menakutkan

Aku terlena
Dan bila terjaga
Aku ingatkan aku dah jadi gila

Bukan ini yang aku mahukan
Tetapi mengapa aku berada di tempat itu?
Seolah-olah aku tak tahu
Tempat itu mungkin berhantu
Mungkin ada puaka yang menunggu

Dalam ketakutan
Aku duduk termenung
Kufikirkan jalan yang mampu
Membawa aku pulang
Aku pasti aku akan jumpa juga
Kerana buat seketika
Aku sedar yang aku tersesat

Hanya seketika sahaja
Masa itu mampu menghancurkan hidupku
Mujur ada DIA
Yang tunjukkan jalan aku pulang
Ya Allah... aku bersyukur pada-MU
KAMU masih menyayangi diriku ini
Masya-Allah...

Monday, October 14, 2013

Kira Dosa Kita Dulu

Assalam

Selamat menyambut Hari Raya Eidul Adha, semoga kita sama-sama dapat mengelakkan diri daripada melakukan dosa kecil atau besar. Cuba juga menghayati semangat korban' dalam Islam. Setakat manakah kita sanggup berkorban di atas nama agama kita yang mulia ini?

Pun begitu, kadang-kadang kita sibuk mengira dosa orang lain sedangkan kita terlupa bahawa diri kita juga tak lari daripada melakukan dosa.

Tadi, semasa pulang ke rumah dari luar, tiba-tiba ketika beratur untuk masuk ke simpang menghala  ke kawasan rumah saya, ada sebuah kereta kecil yang datang laju dari belakang, lalu terus sahaja memotong kami tanpa rasa malu, walaupun dia sengaja buat begitu tanpa sebarang alasan. Mungkin dia tidak nampak akan kesalahan yang telah dilakukan, yang dia nampak hanyalah kemudahan yang datang kepadanya., atau mungkin menafaat buat diri pemandu kereta kecil itu. Namun sekiranya berlaku perlanggaran, tentu dia akan menyalahkan orang lain, kan?

Begitulah kita manusia, mudah sekali mengira kesalahan orang atau dosa orang tetapi terlupa untuk melihat kesalahan sendiri, apatah lagi dosa yang dilakukan sendiri.

Biasalah kan... manusia memang begitu. Dengan mudah sahaja mengira dan melihat segala yang dirasakan salah dan silap orang, tetapi akan buat-buat bodoh di atas kesalahan sendiri. Macamlah contoh di atas tadi, pemandu kereta kecil itu tanpa segan silu membuat kesalahan, namun akan menyalahkan orang lain bila ada sesuatu yang buruk berlaku.

Sebaiknya, sebelum kita menuding jari, mungkin jauh lagi indah dan baik kalau kita mencermin diri kita sendiri. Mungkin kerana kebodohan dan kesalahan yang kita lakukan, maka perkara yang buruk itu terjadi pada kita. Janganlah mudah menuduh orang lain melakukan dosa sedangkan kita jauh lagi banyak dosanya kerana perbuatan kita yang menyakitkan hati orang lain. Nauzubillah.

Semoga kita sebagai umat Islam akan terus membuka minda untuk mencerminkan diri kita sendiri sebelum menyukat kesalahan orang lain.

Wassalam.

Insan Kerdil Inilah Manusia



INSAN KERDIL

Manusia...
Sehebat mana sekalipun
Akan kecundang juga
Tidak hari ini, mungkin esok pula
Selagi kita dipanggil manusia
Itulah ciri-cirinya

Manusia banyak kelemahan
Banyak pula kekurangan
Tapi manusia juga ada kekuatan
Ada keimanan
Kalau itu yang dimahukan
Jangan biarkan diri ditelan
Kelemahan dan kekurangan

Manusia merupakan insan kerdil
Bergantung kuat pada Ilahi
Hebat mana dia
Tetap kerdil sifatnya
Akan ada dosa-dosa
Yang mungkin tak terkira

Hanya Allah jua
Yang maha penyayang
Maha pengampun
Maha mengasihani

Simpatilah kepada manusia yang kerdil ini
Ya Allah
Agar kecundangnya bangkit semula
Agar jiwa yang rapuh, kental kembali
Agar kesilapan tidak diulangi
Agar dia menjadi insan yang disayangi

Insan kerdil inilah manusia...


PS: Selamat menyambut Hari Raya Korban dan selamat menghayati pengorbanan kita sebagai insan kerdil di dunia fana ini. Semoga Allah SWT melindungi kita dunia dan akhirat.

Wassalam.

Sunday, October 13, 2013

Orang Yang Berkorban Adalah Orang Yang Memberi

Assalam

Semalam saya tak update blog ni sebab kesibukan di luar. Sampai malam barulah betul-betul ada di rumah. Alhamdulillah. Hari ini mungkin tak ke mana-mana kot sebab banyak hal yang perlu diuruskan di kawasan rumah saya ni. Taman saya dah lama terabai, esok lusa dah raya haji, kan? Saya juga tak bercadang nak buat makan-makan kat rumah, mungkin nak suruh adik saya dan keluarganya yang uruskan itu semua dan kami akan berhari raya di rumahnya. Rasa macam malas nak masak-masak kat rumah.

Bila bercerita tentang hari raya korban itu, tentulah perkataan 'korban' itu menjadi isu pertama dalam sambutan hari raya korban. In syaa Allah setiap tahun kami cuba lakukan 'ibadah korban' dengan memberi sumbangan korban itu dan biasanya kami buat di negara Kemboja. Tahun ini, di surau kami pun penduduk kawasan ini membuat korban.

Bila kita bercakap tentang 'korban', kita bermaksud dengan tindakan untuk menyerah sebahagian daripada apa yang kita ada kepada orang lain atau sesuatu aktiviti itu. Maknanya kita memberi dengan rela hati, kalau dalam hal agama, tentulah dengan keikhlasan dan redha. Kita buat sesuatu itu kerana Allah. Itulah korban. Kita tidak 'berkorban' kalau kita tidak 'kehilangan' sesuatu yang ada pada kita, sebaliknya mendapat sesuatu. Itu bukanlah 'korban' namanya, tetapi ia adalah satu keuntungan.

Kadang-kadang, bila manusia alpa, mereka juga turut keliru bila berkata tentang 'korban'. Bahasa Inggerisnya ialah 'sacrifice'. Kita tidak 'sacrifice' kalau dalam keadaan di mana kita tidak memberi apa-apa (duit, masa, harta-benda, apa sahaja) sebaliknya kita pula yang mendapat sesuatu, walaupun mungkin kecil bahagiannya. Tentu sekali, yang 'berkorban' ialah orang yang memberi sesuatu dari haknya. Jadi, bila kita bercerita tentang 'korban', pastikan kita tidak keliru. Jangan kata kita 'berkorban' sedangkan kita yang mendapat sesuatu bukan hilang sesuatu.

Semoga anda semua relaks-relaks di hujung minggu.

Wassalam.


Friday, October 11, 2013

Jangan Biarkan Aku Sengsara

Assalam


JANGAN BIARKAN AKU SENGSARA


Tak pernah ku terfikir
Satu ketika nanti aku jadi terlupa
Aku tersasul dan alpa
Bagaikan terhumban di perigi buta
Tenggelam timbul
Aku ralit dengan rasa
Sangkaku mungkin itulah syurga

Tiba-tiba aku terjaga
Tersedar dari khayalan yang terlena
Kau cinta pertamaku
Mungkin akan hilang begitu sahaja
Kerana salah aku yang terleka

Dadaku goyah jiwaku sengsara
Aku takut kehilanganmu
Kaulah cinta hatiku
Tapi kini kau mahu lupakan aku
Bukan salahmu memang salahku
Aku yang ralit dengan cinta palsu
Aku tak sedar aku tertipu

Wahai sayangku...
Sesungguhnya aku menyesal
Tak mungkin ada yang sama sepertimu
Yang kusangka permata
Hanyalah kaca yang tiada harga
Tak mungkin sama sepertimu

Wahai sayangku...
Jangan biarkan aku sengsara
Berilah aku peluang kedua
Izinkan aku bertapak di hatimu semula
Kanku semai dan kujaga
Takkan ku ulangi kesilapan ini lagi
Semoga kau terima hati
Yang sudah kucuci
Semoga kita akan bersatu semula
seperti selamanya

Jangan biarkan aku sengsara...


Menjerat dan Menjerut

Assalam

Dah pun masuk hari Jumaat. Selamat tengah hari semua, semoga anda berada dalam keadaan yang baik-baik. Saya di sini alhamdulillah, sihat-sihat sahaja.

Hari ini saja nak bersembang tentang kita sebagai manusia kerdil yang tumpang di dunia fana. Pasti kita akan melakukan kesilapan. Ada kala silap kecil-kecil sahaja, ada ketika silap yang besar yang mampu menjerat leher kita. Ada ketika, kita mampu lepaskan diri dengan mudah walaupun terjerat ketat, tapi ada masa, memang payah nak melepaskan diri hingga menggerunkan kita.

Memang malanglah kalau kita tak dapat nak lepaskan diri daripada terjerat teruk. Mesti kita fikirkan bagaimana agaknya nak cari jalan untuk tidak terus jatuh ke dalam lubang tahi. Kadang-kadang kita terbelit dengan cara orang lain yang sengaja nak belitkan kita lagi. Memang ada manusia yang hidupnya memang nak cari kesempatan. Kadang-kadang, melalui kata-kata merekalah orang lain mampu membelitkan diri. Dah tu, bila nak lepaskan diri kita, dia akan muncul untuk menjerut kita pula.

Oleh kerana itulah kita sebagai manusia yang lemah ini, eloklah berjaga-jaga, jangan biarkan ada yang menghampiri untuk mengambil kesempatan lalu menjerat kita melalui kata-kata manisnya. Takut susah nak lepaskan diri. Nauzubillah.

Wassalam.





Thursday, October 10, 2013

Lelaki Mudah Terjerat

Assalam

Hari ini saya ke Bandar Baru Bangi, kira macam pergi port lama sayalah. Lama tak jumpa kawan-kawan, jadi hari ini kira macam relaks2 lah.... alhamdulillah.

Tentunya banyak cerita kawan-kawan, ada yang buat saya sedih, ada juga yang buat saya ketawa. sedih bila dengar cerita kawan-kawan yang sakit, tapi ketawa bila dengar cerita yang melucukan.

Kawan saya cerita bagaimana suami dia terjerat dengan penipuan kawan-kawannya sendiri. Konon-konon nak tumpang jadi penjamin dan akan diupah dengan ganjaran yang besar, akhirnya hampir-hampir dia diisytihar bankrap. Terpaksa dia pindahkan semua harta-harta ke atas nama isterinya, takut-takut kalau dia muflis kerana kawan yang meminta dia jadi penjamin dah lari dengan hutang bank keliling pinggang. Akhirnya, terpaksa pula dia mencari peguam dan terpaksa bayar yuran yang tinggi melambung! Tapi yang untung ialah kawan saya, kerana semua harta suaminya dah pindah jadi harta dia! Bagi saya sangatlah melucukan kerana sebelum ini, suaminya itu macam berkira-kiralah juga.

Tapi saya tak tahu kenapa, orang lelaki ini bagi saya kadang-kadang memang mudah sangat terjerat dengan skim-skim penilpuan. Mudah pula terpedaya dengan kata-kata manis teman-teman atau orang luar. Bila dah percaya tu, segala-galanya nak diserahkan. Akhirnya kantoi! Memang bahlul lah, kan?

Tak tahu kenapa lelaki mudah kena tipu. Memang ada perempuan yang juga mudah kena tipu, tetapi biasanya perempuan kena tipu sebabkan rasa tamak yang ada dalam diri.

Oiii... mesti ada yang marah ni. Tapi itulah realiti. Bagi saya, kalau kita terlalu lemah, memang kita mudah dikelentong!

Wassalam.


Wednesday, October 09, 2013

Tak Semestinya Yang Halal Itu Baik

Assalam

Minggu ini adik saya pula ditimpa musibah. Salah satu kereta mereka hilang dicuri orang. Biasalah kan, di dunia ini memang banyak pencuri pun. Kalau tak curi barang, ada juga yang curi orang. Walhasil, memang banyak penyangak yang mencari mangsa. Kerja tak mahu, barang free sahaja yang mereka mahu. Apa-apa pun, kita kena anggap hal ini sebagai ujian dunia. Ia akan datang dan pergi dan ujian-ujian ini sebenarnya sedang ringankan kita daripada dosa-dosa kita.

Bila sentuh tentang kecurian, kadang-kadang kita kena tutup mata sahaja bila harta kita dicuri orang daripada apa jua segi. Biarkan sahaja kerana rezeki kita tetap ada, insyaa-Allah. Hilang duit atau harta, kita boleh cari lain. Tapi kalau hilang maruah atau air muka, itu lagi susah kot. Kalau hati kita disakiti, mungkin bertambah kita benci. Duit kita boleh kita usahakan. Memang di dunia ini ada orang yang nak ambil mudah. Cuba cari mangsa untuk dapatkan lebih harta benda, atau nak hidup senang. Yang macam itu, memang rugi benarlah.

Kadang-kadang manusia terlupa. Dia ingatkan apa sahaja yang dikatakan 'halal' itu dianggap sebagai baik. Serupa macam kalau kita makan daging yang disembelih oleh orang Islam, memanglah halal, tapi kalau daging itu rosak, walaupun halal ia tetap akan merosakkan kita bila makan. Akibatnya nanti kita boleh jadi sakit. Jadinya, bukan semua yang kita anggap halal itu baik. Cuba kita fikirkan baik-baik. Kadang-kadang, yang halal itu mampu membunuh kita. Tahu-tahu kerana kita taksub konon-konon apa yang kita buat itu sebagai halal, rupa-rupanya Tuhan tak suka pun. Sebab itulah kadang-kadang, ada yang halal mampu buat kita jadi rosak dan hampa. Mungkin  kita yang salah perkiraan. Kita tak sedar sebenarnya kita terasuk dan terpedaya dengan mainan dunia. Asal sahaja kita kata halal, kita ingat baik.

Semoga kita terus jadi manusia yang beriman, tidak sekadar pura-pura beriman. Semoga Allah swt selamatkan kita dunia akhirat.

Wassalam




Tuesday, October 08, 2013

Tergedik-Gedik!

Assalam

Selamat petang semua, semoga hari Selasa ini lebih baik daripada hari semalam.

Tiba-tiba saya teringat sebuah program televisyen stesen lokal di mana antara seorang hosnya merupakan seorang wanita yang agak matang. Pun begitu, saya terkejut beruk bila melihat dia ketawa. Macam tak percaya sahaja seorang hos wanita boleh ketawa mengilai begitu sekali! Saya agak terkejut kerana kelakuan yang begitu boleh diterimapakai oleh sebuah stesen televisyen. Apakah kita ini merupakan manusia yang pentingkan 'hits' dalam TV hinggakan kita tak ambil kisah tentang 'pengajaran' yang ditinggalkan untuk para penontonnya?

Bayangkanlah kalau ada anak dara-anak dara yang masih remaja, yang menonton program itu, tentu kalau tidak bijak, mereka akan merasakan bahawa itu merupakan sesuatu yang boleh dan elok dilakukan oleh kaum wanita. Gelak kuat atau gelak besar, tergedik-gedik di depan kamera seolah-olah tidak langsung rasa bersalah.

Sebagai orang perempuan, tak kira muda atau tua, cantik atau buruk, miskin atau kaya, kita patut menjaga tata susila kita, patut jaga tingkah laku kita, jangan sampai orang lain menganggap kita sebagai wanita yang tidak tahu jaga harga diri. Tak ada maruah!

Mungkin pelik kot kalau kita fikirkan bahawa memang ada wanita berumur yang masih sanggup tergedik-gedik, seolah-olah mereka masih muda. Kadang-kadang, mungkin tak nampak 'kegedikannya' sangat, tapi mereka masih boleh mempunyai sikap untuk 'mengada-ngada' seolah-olah umur mereka masih setahun jagung. Kalau orang luar melihatnya, mestilah terasa loya. Geli kot kalau orang perempuan yang dah berumur mahu berkelakuan macam budak remaja. Kalau muda, sekitar 20-an, 30-an mungkin, taklah loya sangat kot. Tapi kalau dah lebih 45 tetapi rasa macam muda, memang meloyakan!

Maaflah kalau ada yang terasa, tetapi saya sekadar mengingatkan diri sendiri dan juga wanita-wanita di luar sana, agar menjaga 'tatatertib' dan maruah diri, jangan sampai orang menghina kita. Wallahuaklam.

                                 Cilok dari Google

Monday, October 07, 2013

Kalau Kita Materialistik

Assalam.

Bagi pembaca saya, terutama yang dah baca semua novel-novel saya, mungkin pernah baca kisah yang saya paparkan dalam novel 'Matahariku', kisah antara Syakira dan lelaki separa Arab yang bernama Eyyad. Memang ramai pembaca muda saya yang jatuh cinta dengan Eyyad, maklumlah Eyyad sangat kaya-raya. Kebanyakan kita mungkin teringin untuk hidup senang, kan? Kalau boleh kita tak mahu hidup susah. Tapi sebenarnya bagi saya, senang atau susah, kaya atau tidak, semuanya adalah subjektif. Terpulang bagaimana kita mahu tafsirnya. Ada orang bergaji RM10,000 sebulan, tetapi dia menganggap dirinya susah kerana masih tak cukup dengan apa yang dia ada. Ada orang gajinya jauh lagi rendah, tapi dia tak kisah pun. Dia hidup mengikut kemampuannya. Kalau berpendapatan sekitar RM 2K atau 3K, maknanya kenalah hidup mengikut kemampuan itu. Tak bolehlah hendak berangan-angan hidup dengan pendapatan yang lebih, mestilah tak cukup.

Tapi kalau kita memang jenis materialistik, gaji banyak mana pun tak akan cukup punya. Kita mahu lebih lagi. Kalau kita ni jenis rajin, okeylah, mungkin kita boleh usahakan untuk dapat lebih. Ada orang dia buat 'online business', sambil-sambil kerja dia cuba juga cari pendapatan tambahan agar hidupnya lebih selesa. Syabas!

Tapi ada orang pula, walaupun materialistik, dia malas nak fikir tentang nak cari pendapatan lebih. Kalau boleh, dia nak cari lelaki yang macam Eyyad tu, tak payah susah-susah cari duit banyak. Mesti duit akan datang bergolek. Kalau dia perempuan, dia akan guna strategi 'cakap lembut-lembut', 'lemah longlai', agar lelaki yang 'berduit' akan celik matanya dan akan terpikat dengannya.

Dalam cerita 'Matahariku', watak ibu Syakira, saya gambarkan sebagai seorang wanita, walaupun sudah berumur, namun mempunyai sifat 'materialistik'. Dia sanggup tinggalkan suaminya kerana mahukan pendapatan yang lebih.

Memang bahaya kalau kita mempunyai semangat 'materialistik' yang tinggi. Kita sanggup buat apa sahaja asal kita dapat pendapatan lebih. Sungguh malanglah kalau kita merupakan seorang perempuan yang begitu, kerana sifat 'materialistik' begini pasti akan merendahkan martabat kita sebagai seorang wanita Muslimah. Nauzubillah.

Semoga kita tidak mempunyai sifat materialistik begitu. Semoga kita dipeliharai Allah SWT daripada mempunyai sifat jengkel sebegitu.

Wassalam.


Sunday, October 06, 2013

Tuhan Lebih Tahu

Assalam

Dah banyak hari saya tak update blog. Agak sibuklah sikit, tak sempat nak buka laptop ni. Apa-apa pun, alhamdulillah, saya masih bernafas lagi.

Beginilah kita kan, kadang-kadang apa sahaja yang kita mahukan kita dapat, kadang-kadang banyak benda yang macam payah nak dapat. Bila kita jadi orang perempuan, kadang-kadang ujian datang sangat berbeza daripada lelaki. Namun Allah SWT dah jadikan orang perempuan kadang-kadang lebih kuat daripada lelaki.  Kerana itu mungkin, Allah jadikan perempuan ibu untuk melahirkan anak-anak. Bila perempuan dapat melalui sakit dan perit mengandung selama 9 bulan dan kemudian melahirkan anak-anak, insyaa Allah, Tuhan dah jadikan wanita itu lebih kuat daripada kaum Adam. Mungkin secara fizikalnya lelaki itu lagi kuat, tetapi daripada segi emosi dan perasaan, kadang-kadang kaum Hawa jauh lagi kuat daripada lelaki.

Jadi orang perempuan juga, kita kena berhati-hati. Kadang-kadang jangan terlalu ikutkan emosi dan perasaan. Mungkin kerana terlalu ikutkan rasa hati, akhirnya kita mampu untuk makan hati diri sendiri. Wallalhuaklam.

Biasanya juga, rata-rata lelaki akan merasakan bahawa diri mereka jauh lagi kuat daripada wanita, tetapi pada hakikatnya mereka boleh jadi sangat lemah. Mereka mudah tertipu dan terpedaya. Mereka juga mudah dipengaruhi dan mudah mengasihani. Memang ada lelaki yang bukan jenis begitu, mungkin ada yang hatinya keras macam kayu, tetapi rata-rata, mereka dijadikan Tuhan kuat fizikal tetapi lemah pula emosinya.

Mungkin ada yang membaca entri ini tidak bersetuju dengan pendapat saya, tetapi percayalah, inilah kehidupan kita sebenarnya.






       Gambar-gambar ini kami ambil ketika berada di Melaka.


Jadi orang perempuan kadang-kadang kita tak boleh terlalu yakin dengan apa yang kita mahukan. Tak semua yang kita mahu kita akan dapat. Mungkin lelaki juga begitu. Mungkin jauh lebih baik sekiranya kita fikir sedalam-dalamnya sebelum mengambil keputusan untuk lakukan sesuatu dalam hidup yang melibatkan hati dan emosi, terutama antara lelaki dan wanita. Kadang-kadang kita tak dapat membaca apa yang terbentang di depan kita. Bila kita dijadikan Tuhan sebagai wanita, mungkin kita perlu terima hakikat bahawa ada ketika, kita tak mampu dapat apa yang orang lain ada. Kita terimalah hidup ini seadanya kerana Tuhan lebih tahu apa yang lebih baik buat kita. Wallahuaklam. Mungkin pada hati kita, ini lebih baik daripada itu, tetapi Tuhan lebih tahu apa yang terbaik buat hamba-Nya.

Wassalam.


Thursday, October 03, 2013

Entri Bertarikh 4 Jun 2013

Assalam

Entree saya 'Drama Selamat Malam Kekasih' bertarikh 4 Jun 2013, merupakan antara entree saya yang terhangat untuk tahun ini. Hari itu ialah hari Selasa dan pada tarikh itu, saya dengan berbesar hati memaklumkan kepada semua pembaca dan followers saya bahawa novel saya 'Selamat Malam Kekasih' akan menjadi drama bersiri 13 episod bermula pada 18 Jun 2013. Kini drama itu sudah lama touch down dan sudah pun diulangtayang, namun masih ramai yang memasuki entree saya yang bertarikh 4 Jun itu. Tarikh itu menjadi terkesan buat saya - mungkin ada perubahan dalam hidup.

Dalam hidup memang macam tu kan? Akan ada tarikh-tarikh yang mengingatkan kita kepada sesuatu yang terjadi. Mungkin sampai bila-bila pun kita tak lupa, kan? Bagi saya, drama SMK itu sama juga dengan drama-drama yang lain seperti BBK dan KLB, tak ada apa-apa yang beza sangat, tetapi untuk tahun ini, entree bertarikh 4 Jun itulah yang menarik perhatian followers saya. Saya masih ingat lagi, hari itu saya agak excited juga kerana melihat trailer drama itu buat pertama kalinya di TV Al Hijrah.

Semoga kita sama-sama berdoa untuk kebaikan dunia dan akhirat. Wassalam

Wednesday, October 02, 2013

Tanpa Mu Aku Kehilangan

Assalam

Betulkah orang kata kita akan tahu kita benar-benar sayangkan seseorang itu ataupun tidak bila kita kehilangannya?

Ada sebuah cerita yang benar-benar terjadi pada seorang teman saya. Ketika dia sakit, pasangannya buat indah tak indah sahaja. Teman saya terpaksa ke hospital seorang diri untuk mendapatkan rawatan yang 'serius'. Katanya, pasangannya malas nak ikut sekali untuk menemannya. Bila tahu tentang hal itu, saya berasa sedih teramat sangat. Teman saya masih muda dan pasangannya tak ambil berat tentangnya. Akhirnya teman sayaitu  meninggal dunia. Ketika dia tiada lagi, barulah pasangannya terasa akan kehilangannya itu. Barulah dia sibuk menangis dan terasa sedih. Tiba-tiba dia sedar akan kehilangan pasangannya itu.

Setahu saya, pasangan rakan saya yang sudah pergi buat selama-lamanya itu, tak mencari penggantinya pun. Sudah lama teman saya pergi dan pasangannya masih hidup solo.

Pelik, kan? Bila ada, dia tidak menghargainya. Bila sudah tiada, barulah dia sedar akan kehilangannya.

Saya juga teringat seorang lagi teman saya. Ketika itu, saya berada di luar negara. Saya diberitahu kawan-kawan bahawa teman saya ditimpa musibah (dia ada barah). Malangnya, bila ditimpa musibah begitu, teman saya terus putus asa dan tidak mahu berubat. Dia beritahu rakan-rakan yang rapat, dia rela untuk pergi, walaupun anak-anaknya masih kecil. Dia kata dia tidak mahu melalui kesakitan dalam proses perubatan. Dengan pantas sahaja teman saya itu kembali ke rahmatullah. Saya tak sempat pun untuk berjumpa dengannya.

Semoga Allah SWT cucuri rahmati ke atas roh teman-teman saya yang sudah pergi ini. Saya sentiasa teringat kepada mereka setiap kali saya berdoa setelah selesai solat. Semoga roh mereka aman di alam barzakh. Yang pasti, saya merindui teman-teman yang suatu ketika dahulu pernah buat saya gelak dan ketawa.

Al Fatihah.

Semoga kita yang masih hidup ini mampu untuk menghargai setiap masa anugerah Tuhan buat kita, amin.

Wassalam.

Tuesday, October 01, 2013

Bagaimanakah Untuk Bercinta Lagi?

Assalam

Teringat tetang lirik lagu Mojo seperti entree sebelum ini, saya terdengar penjelasan Edry (KRU) tentang kisah seorang teman (lelaki - tak pasti bersaudara ke tidak dengan Edry), katanya setelah 10 tahun isterinya meninggal dunia, temannya itu masih menyendiri dan membesarkan anaknya (seorang), tanpa fikirkan untuk berkahwin lagi. Lelaki itu masih muda lagi. Edry bertanya, "Kenapa tak nak berusaha untuk cari pengganti?" Jawab lelaki itu, "Takut tak berdaya untuk jatuh cinta lagi." Takut tiada ruang untuk 'orang baru' di hatinya. Adoi, kesian sungguh.

Siapa yang pernah baca salah satu cerita saya dalam 'Semalam Ku Bermimpi', mesti teringat kisah seorang lelaki ni yang kematian isterinya. Kerana setia pada cinta pertamanya itu, walaupun dia berkahwin lain, dia tak mampu untuk lupakan isterinya yang telah meninggal itu. Memang bukan mudah nak jumpa lelaki yang macam tu, kan? Tapi saya pasti ada. Kalau tak, tak adalah Edry boleh buat lagu tu, kan?

Saya juga teringat pada arwah teman baik saya yang telah meninggal dunia hampir 15 tahun yang lalu. Ketika dia sakit dan tenat, suaminya yang menguruskannya sepanjang masa. Suapkan makan, mandikan, angkatkan. Suaminya sanggup tinggalkan kerja dan jaga isterinya itu. Mereka tiada anak walaupun sudah lebih 10 tahun berkahwin. Fantastic.

Kalau kita cintakan seseorang, pasti kita akan lakukan apa sahaja atas nama cinta,kasih dan sayang kan?

Dalam pada itu, bila kita hilang cinta kita itu, bagaimanakah agaknya untuk bercinta lagi? Pasti sukar.

Saya sekadar cuba memahami keadaan yang begitu, keadaan di mana seseorag itu kehilangan cinta hatinya.

Okeylah.... semoga kita dirahmati Allah SWT, selamat dunia akhirat.

Wassalam.