Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Monday, July 09, 2012

Bila Hutang Keliling Pinggang


Salam

Pagi Isnin yang ceria... hehe, harap-harap ceria untuk semua orang. Kalau ada masalah pun, jangan terlalu memikirkannya sangat. Biasanya, kebanyakan orang masalahnya ada kaitan dengan duit. Jadi... biarkanlah. Sekalipun setinggi gunung duit yang ada, akan tetap ada masalah. Apatah lagi kalau kurang duitnya. Lagipun, apa nak kisah... duit aje tu.

Pagi ini nak sembang sikit tentang stail hidup orang kita. Mungkin juga ini terjadi di merata-rata tempat di dunia ini. Saya terbaca satu artikel yang menjalankan kajian tentang cara orang kita berbelanja. Ramai yang suka berbelanja lebih daripada pendapatan. Misalnya, gaji sebulan ialah RM2,500, tetapi perbelanjaan setiap bulan ialah RM3,000. Bermakna setiap bulan terpaksa tambah hutang sebanyak RM500. Tapi yang peliknya juga, setiap bulan, kebanyakan perbelanjaan ialah untuk membayar hutang. Hutang kereta, hutang kad kredit, hutang bayar perabot dan macam-macam lagi. Yang tinggal untuk makan, terlalu sikit. Kalau tak betul gaya, setiap hari memang terpaksa kurang makan.

Biasanya juga, sekalipun kurang mampu, sudah menjadi lumrah manusia untuk memaparkan kemampuan masing-masing. Sebab itulah, selain daripada masalah transport, kebanyakan kita tak mahu dilihat tanpa ada kereta. Biar duduk di dalam rumah yang tak selesa, tapi kereta mesti ada maa... sebab itu juga, jalan raya tak pernah sunyi daripada kesesakan lalu-lintas. Maklumlah tak kira berapa gaji sekalipun, mesti ada kereta. Kalau dah ada kereta tu, tentulah nak kena beli minyak. Dan bila ada kereta, mesti nak selalu berjalan-jalan. Bertambahlah habis duitnya.

Sebab itulah ada orang beli pakaian pun berhutang. Nak beli baju biar yang dah siap (untuk perempuanlah) sebab senang, tak payah nak cari tukang jahit. Jadi, beli baju sehelai, bayar tiga atau empat kali. Lepas empat bulan, baru selesai bayar. Habis tu kalau nak pakai lebih dari sehelai, bermakna banyaklah hutang yang nak kena bayar. Begitu juga perabot rumah. Orang ada 'flat screen' kita pun nak ada juga. Jadi biar kita berhutang tak apa, janji ada. Huh!

Macam-macam lagi yang menjadi keperluan (perlu ke?) tetapi tak mampu dibeli dengan duit cash, jadi bila nak beli juga, maka berhutanglah kita. Bila makan gaji, kita payah nak tambah pendapatan. Ini adalah kerana gaji kita merupakan pendapatan tetap. Kalau nak buat 'over time' pun ada limit, kadang-kadang memang tak ada pun. Jadi macam mana? Nak pergi buat bisnes sambilan, masa pula tak cukup. Dah tu modal pun tak ada. Akhirnya... berhutang lagi.

Jangan biarkan hutang keliling pinggang, takut nanti terasa nafas pun ada udara hutang!

Apa pun, kalau nak berhutang sekalipun, biarlah berjaga-jaga, jangan sampai berhutang dengan Ah Long. Kalau kita pergi ke situ... aiyaaa... baik pergi aje ke tali gantung. Sebab kita akan memerangkapkan diri dan mungkin akhirnya kita mati begitu saja. Nauzubillah.

Kalau anda masih muda dan belum lagi bekerja, biarlah berjaga-jaga dari mula. Aturkan hidup anda dan uruskan baik-baik. Jangan berhutang, terutama benda-benda kecil seperti pakaian, perabot dan juga makanan. Wallahua'lam.

Wassalam.