Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Saturday, May 28, 2011

Kalau Orang Sakitkan Hati Kita...

Cantik, kan kalau ada taman macam ni? Ini bukan taman saya.

Salam

Pagi ini, saya bercadang untuk kemaskan rumah dan uruskan 'garden' saya. Garden saya bukanlah macam gambar kat atas ni... hehe. Tengah hari nanti, nak pergi rumah orang kahwin di Bangi. Anak seorang teman lama akan melangsungkan perkahwinannya. Esok, saya akan ke Johor Bahru, tetapi balik hari. Juga untuk menghadiri majlis seorang sepupu saya yang akan melangsungkan perkahwinannya. Alhamdulillah.

Bila bercerita tentang apa yang saya akan buat di hujung minggu ini, saya teringat dengan seorang pembaca saya yang menghantar emel kepada saya. Katanya, "Kalau orang sakitkan hati kita, bercakap buruk pasal kita, kita nak buat macam mana, Kak Aina?"

Hmmm... saya pun berfikir-fikirlah juga bila nak jawab soalannya ini. Iyalah, saya kata juga, orang akan terus mengata-ngata kita, buruk sangka tentang kita, kerana kita ini duduk di dalam dunia yang penuh dengan manusia, yang memang ramai begitu caranya. Saya katakan juga, "Tak apalah orang nak kata kita, kita tak payah cari gaduh dengan dia, kerana Tuhan Maha Kaya dan Maha Adil. Ada benda kita boleh ambil tindakan, kadang-kadang pula, kita biarkan. Serahkan saja pada Tuhan. Sampai masa, kita akan tahu juga. Begitu dengan dia, akan terasa di hatinya."

Memang susah nak tahan geram. Memang payah nak bersabar, tetapi itulah ubat yang paling mujarab. Kita biarkan, asalkan kita tidak dicederakan, atau tidak menjejaskan hidup kita seharian. Kalau ada yang tak kena, barulah kita ambil tindakan.

Memang begitu keadaannya, ada orang kurang bijak, terlalu mudah percaya cakap orang lain. Ada orang memang jenis tak pandai untuk berfikir, terlalu pantas menerima hasutan. Jadi, kita nak buat macam mana kalau kita berdepan atau pernah berkenalan dengan orang yang memang kecil daya pemikiran? Terpaksalah kita bersabar dan fikirkan perkara yang baik. Kesian pada orang yang suka mengumpat pasal orang lain, sebab dia tidak sedar akan perbuatan kurang bijaknya itu. Perbuatan yang mungkin akan menjadikan dia kurang Islamik. Semoga Tuhan ampunkan dosa-dosanya.

Dalam pada itu, bila kita tahu yang kita sedang berdepan atau pernah berkawan dengan orang yang begitu fikirannya, kita jangan pula jadi macam mereka. Nanti orang kata, 'Dua Kali Lima' sahaja. Hehehe...

Kita kena ingat bahawa kalau Tuhan izinkan, mungkin jauh lagi perjalanan kita. Takkanlah kita nak buang masa berkelahi dengan orang lain. Lambat laun, orang akan tahu perangai buruk kita. Orang pun akan menyampah dengan kita yang suka sangat bergosip pasal orang! Nauzubillah.

Kepada pembaca-pembaca kesayangan saya, insya-Allah, sama-samalah kita bawa bersabar. Relakslah, beb! Biar orang tak suka dan benci kita, jangan kita juga jadi macam itu. Semoga Tuhan rahmati hidup dan akhirat kita. Amin.