Happy Face
Salam semua
Semoga anda ceria-ceria selalu. Semoga kita maintain jadi insan yang bertaqwa, insya-Allah. Amin.
Dalam perjalanan hidup kita, banyak yang akan terjadi. Banyak juga perkara-perkara tidak enak atau apa yang kita katakan sebagai negatif akan terus terjadi. Kalau tak banyak, sedikit. Itu merupakan lumrah kehidupan. Walaupun ada segunung wang dan harta sekalipun, kita tetap akan berdepan dengan dugaan.
Orang kata, tak penting kalau kita terjatuh pun kerana itu merupakan perkara biasa. Apa yang penting ialah sama ada kita mampu bangun semula dan terus berjalan laju. Kalau kita jatuh dan kita biarkan terus jatuh dan jatuh lagi, maknanya kita tak sayang pada diri kita. Kenapa agaknya kita terjatuh tadi? Kemungkinan besar kerana kalau kita tidak pernah jatuh, kita tak akan belajar untuk berjaga-jaga dan cuba untuk berjalan laju. Kita akan terus terhegeh-hegeh, tak pernah jatuh tetapi tak rancak berjalan pun. Cuba kita lihat bayi yang belajar untuk berjalan. Ada tak yang tak pernah jatuh? Mesti tak ada, kan? Kalau mereka tak jatuh, mereka akan beranggapan bahawa untuk berjalan itu terlalu mudah. Tapi bila jatuh, mereka tahu yang mereka perlu berwaspada dan jangan jalan terhegeh-hegeh sangat. Bila bayi jatuh, mereka akan bangun semula dan berjalan lagi. Walaupun takut, mereka tetap akan cuba berjalan. Insya-Allah.
Sebagai manusia dewasa, tak usahlah takut untuk jatuh, kerana biasanya kejatuhan itu akan membawa kita untuk menjadi orang yang lebih cemerlang. Dalam apa jua keadaan, kita tidak akan berhenti untuk belajar. Kita akan terus belajar dan melatihkan diri hingga ke liang lahat. Sekali terkena tidak bermakna kita akan sentiasa terkena. Sekalipun terkena banyak kali, kita jangan putus asa kerana setiap musibah yang datang itu ada cara untuk mengatasinya. Insya-Allah. Apa yang penting, kita perlu berusaha, bersyukur pada Tuhan sentiasa dan tentunya berdoa pada-Nya. Wallahua'lam.
Wassalam.
