Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Tuesday, July 15, 2014

Nuzul Quran

Assalam



"Peristiwa Nuzul Al-Quran merupakan peristiwa turunnya ayat al-Qur'an yang pertama kepada Nabi Muhammad s.a.w. hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada hari ini. Peristiwa Nuzul Al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad s.a.w. ketika baginda sedang beribadat di Gua Hira, bersamaan dengan tanggal 6 Ogos 610M. Perkataan "Nuzul" bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.
Ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. melalui perantaraan Malaikat Jibril ialah lima ayat pertama daripada Surah Al-Alaq"
Kalau kita selalu menyambut hari jadi, hari ibu, hari bapa dan macam-macam hari lagi, jomlah kita sama-sama menyambut hari di mana Allah turunkan ayat al-Quran yang pertama kepada Baginda Nabi Muhammad s.a.w.
Orang Islam wajib beriman pada kitab suci al-Quran, kerana tanpa percaya padanya, samalah macam tak percaya pada Allah swt. Namun, sekadar percaya begitu-begitu sahaja tanpa mahu mengambil masa untuk mendalami ayat-ayat al-Quran, tiada juga erti yang besar dalam hidup kita. Jadikanlah budaya hidup untuk membaca ayat-ayat al-Quran, memahami ayat-ayatnya dan seterusnya mengamalkan apa yang Allah aturkan dalam kitab suci itu. Tak payahlah kita menunjuk-nunjuk kehebatan kita membacanya kalau kita hanya mampu untuk membaca sahaja tetapi tidak memahami dan tidak pula mempraktikkan apa yang terkandung dalam kitab suci itu. Sekalipun mungkin kita tidak bijak mana, namun kalau kita usahakan, siapa sahaja mampu membaca, memahami dan mempraktikkan semua yang terkandung dalam al-Quran.
Biarlah kalau kita masih merangkak-rangkak untuk membacanya, tetapi kita hidupkan semangat dan niat untuk membaca al-Quran, itu lebih baik daripada terus menunggu untuk jadi orang yang hebat membacanya. Tak payahlah nak bertanding, sekadar mampu untuk membacanya sudah baik, kerana bila kita terus usaha untuk terus membaca, akhirnya nanti pembacaan kita juga akan jadi lebih baik.
Betapa ruginya kita kalau kita tak ambil berat untuk memahami apa yang ada di dalam al-Quran. Segala-gala yang terkandung dalam kitab itu adalah jalan yang terbaik yang patut kita ikuti, termasuk segala mukjizat yang ada di dalamnya. Mukjizat al-Quran mampu mengubah seorang non muslim untuk menjadi muslim, ayat-ayatnya mampu untuk dijadikan ubat segala penyakit, termasuk penyakit berat, dengan izin Allah swt. Malah, ayat-ayat al-Quran mengandungi segala zat positif untuk hidup kita dan akhirat kita. Bacalah.
Saya hanya mahu berkongsi cerita ini yang pernah terjadi baru-baru ini dalam famili kami. Anak saudara suami saya telah koma akibat pecah 'brain stem' di dalam kepala. Mengikut kata pakar perubatan, dia tidak mempunyai harapan untuk hidup. Kami diberi 24 jam, itu sahaja. Namun, ahli keluarga tak mampu menerima keadaan 'terkejut' seperti itu, kerana pesakit masih muda dan mempunyai anak-anak yang masih kecil. Kata seorang doktor wanita Muslim kepada kami ketika itu, "Kamu hanya boleh berdoa sahaja... kerana semua ini adalah kehendak Ilahi." dan itulah yang kami lakukan. Berdoa dan tak putus-putus membaca al-Quran di sebelahnya. Alhamdulillah, umurnya terus panjang. Dia keluar dari koma setelah hampir sebulan tak sedarkan diri. Kini, dia sudah mampu untuk duduk. Sudah banyak yang bergerak, walaupun masih belum bercakap lagi. Malah, ketika pakar membuat CT Scan kepada kepalanya, sudah tidak kelihatan 'brain stem' yang pecah itu. Subhanallah.
Hanya dengan izin-Nya keajaiban seperti itu mampu berlaku, namun kita sebagai hamba-Nya perlu berusaha dan percaya bahawa kalau ajalnya belum tiba, akan ada cara yang diaturkan Allah untuk hamba-Nya. Masya-Allah.
Semoga kita akan terus jadi ummat Islam yang sentiasa berusaha untuk membaca, mencari segala rahsia Allah swt di sebalik ayat-ayat yang terkandung di dalam kitab suci al-Quran. Semoga kita terus berdoa pada Allah kerana Tuhan suka pada hamba-Nya yang rajin berdoa. Semoga teguh iman kita. Amin.

Wassalam.