Saya suka lihat gambar ini - tiada kaitan dengan judul entri
Salam
Waktu pagi untuk saya sememangnya merupakan masa yang terbaik... untuk menulis. Tapi bila mood saya baik dan idea mencurah-curah, bila-bila masa pun okey aje.
Alhamdulillah, syukur pada Ilahi kita masih di sini lagi. Alhamdulillah juga kerana saya masih mampu menulis, sesuatu yang saya lakukan dengan rela hati dan keikhlasan, tanpa mengharapkan apa-apa pun. Begitulah cerita seorang teman baik saya, dia menulis kerana menulis membuat dia bahagia. Tidak pernah pun dia mengharapkan apa-apa balasan atau bayaran. Katanya, "Kak... saya dah tulis beratus-ratus kali untuk surat khabar. Kalau kumpul dah lebih dari tiga empat buku kot. Tak pernah sesen pun orang bayar saya, tapi saya suka. Bila melihat artikel saya dibaca orang, saya teruja dan itulah ganjaran buat saya."
Ya betul... sebab saya pun rasa begitu. Bila menulis, saya tak pernah fikirkan berapa banyak bayaran yang saya boleh dapat, tetapi saya akan berasa seronok bila orang beritahu saya yang mereka membaca apa yang saya tulis. Sebagai contoh, ada orang beritahu saya bahawa dia dan kawan-kawannya yang tinggal di kawasan yang sama membaca buku saya di library kampungnya secara percuma. Saya suka mendengarnya, kerana memang mereka itu ramai. Besar hati saya kerana tahu yang mereka suka baca buku saya. Begitu juga ada pembaca-pembaca saya yang tinggal di asrama. Mereka membaca novel saya kerana meminjam buku kawan.
Kadang-kadang saya tulis buat suka-suka, dan mahu melihat tulisan saya itu pergi ke merata-rata tempat untuk orang baca, tak kisah pun kalau saya tak dapat apa-apa. Ada orang beritahu pada saya, "Mana boleh tulis saja-saja dan tak harap apa-apa? Rugilah macam tu." Tapi saya pula tak fikir begitu. Bagi saya rezeki Tuhan yang tentukan. Tak semestinya rezeki datang 'direct' dari hasiul tulisan kita itu, rezeki boleh datang dari mana-mana sahaja. Misalnya kawan saya tadi, walaupun dia tidak mendapat ganjaran daripada tulisannya, tetapi orang ramai mengenalinya kerana tulisannya itu. Dan dari situlah perlahan-lahan datang rezeki untuknya. Tuhan yang menentukan dan kita sebagai insan di dunia ini, wajib percaya yang kita perlu berikhtiar, tetapi jangan sekali-kali fikir kita mampu mengatur semuanya. Allah yang menentukannya.
Sebagai contoh juga, saya seronok update blog saya ini dan mengambil masa untuk menulisnya. Memang saya tak dapat apa-apa dari segi kewangan, tetapi alhamdulillah, saya mendapat kepuasan dan rasa itu tak boleh ditukar dengan nilai wang. Syukur di atas nikmat-Nya. Bagi saya, inilah cara saya berinteraksi di alam maya dengan mereka yang suka membaca entri-entri di blog ini.
Manusia ini tidak serupa, jadi saya tahu tak semua orang bersetuju dengan kata-kata saya. Mungkin ada juga yang berkata, "Iyalah... dia bolehlah cakap macam tu sebab dia bukan orang susah..." Huh! Kalau anda fikir begitu, janganlah... sebab saya juga tahu apa itu hidup susah. Tetapi itu tidak bermakna bila susah kita kena lakukan segala-galanya di dunia ini hanya untuk dapatkan 'Wang'! Ada benda yang kita suka lakukan tetapi tidak memberi ganjaran kewangan, takkan kita tak mahu lakukan kerana tak berbaloi?
Apa pun... mungkin kita akan rasa lagi seronok kalau tulisan kita akan terus dibaca orang, mungkin hingga sepuluh tahun lagi, dua puluh tahun lagi atau hingga bila-bila. Bayangkanlah betapa banyak tulisan yang ditinggalkan dan masih dibaca dan mereka yang menulis tidak pun mendapat ganjarannya. Namun, semestinya kepuasan itu ada, mungkin juga untuk cucu cicit dan generasi akan datang. Jangan tulis sekadar untuk jadi popular hari ini dan mendapat banyak wang hari ini sahaja. Rugi kalau kita tulis begitu. Wallahua'lam.
Wassalam.
