Sekadar Hiasan
Salam
Di hujung minggu yang lepas, saya mendapat satu panggilan daripada seorang adik angkat (lelaki), walaupun kami selalu berhubungan hanya sekali-sekala sahaja kami dapat berbual panjang lebar. Kali ini, panggilannya bersebab. Dia hendak bercerita pada saya tentang seseorang yang mungkin saya dapat membantu. Katanya, Puan S perlukan orang lain untuk memberi semangat kepadanya. Saya pun pasanglah telinga.
Puan S adalah seorang guru sekolah dan mempunyai bekas suami seorang pensyarah (ada PhD dan saya namakan Dr.D) dan mereka mempunyai beberapa orang anak. Kisah sedihnya bermula bila bekas suami berhubungan dengan seorang wanita (Cik X). Bila Puan S sedar yang suami ada awek, dia menghubungi Cik X dan berkata sekiranya Cik X benar-benar mahu berkahwin dengan suaminya, dia akan masuk meminang. Bagi Puan S, dia tidak mahu suaminya melakukan maksiat. Bila Dr.D tahu tentang hal itu, dia menjadi marah lalu dia mengamuk! Tahu-tahu perhubungan Puan S dan Dr.D sudah menjadi kucar-kacir. Bermulalah satu keadaan yang menyakitkan buat Puan S dan anak-anaknya. Dr.D mula menyebar fitnah dengan mengatakan bahawa isterinya sedang mengamal ajaran sesat dan mungkin kepala otaknya juga sudah jadi tak betul. Dalam keadaan begitu, Dr.D mengambil kesempatan lalu memukul isterinya dan jiran-jiran, walaupun sedar akan perbuatan Dr.D, masing-masing takut nak masuk campur.
Di sekolahnya sendiri, Puan S telah dipulaukan kerana mereka percaya kepada cerita yang disebarkan suaminya. Akhirnya, Puan S telah diceraikan dan Puan S dan anak-anak telah dihalau keluar dari rumah di mana gaji Puan S dipotong setiap bulan untuk membayarnya!
Puan S terpaksalah mencari rumah lain untuk disewa. Keretanya juga telah diambil oleh bekas suami dan dia terkapai-kapai untuk menyara anak-anak yang semuanya masih bersekolah dan belajar. Malang bagi Puan S, urusannya untuk tukarkan sekolah dua orang daripada anak-anaknya (yang masih bersekolah rendah) disukarkan oleh pihak berkaitan, kerana bekas suaminya masuk campur lalu sengaja menyusahkan. Anak-anaknya itu duduk di rumah dan tidak bersekolah.
Saya difahamkan bahawa anak-anak Puan S terpaksa menerima rawatan psikiatri kerana mereka mengalami tekanan. Puan S sendiri terpaksa ke sana dan ke mari (tanpa kenderaan) untuk mendapatkan bantuan bagi menyelesaikan pelbagai masalahnya dan anak-anak, termasuklah wang-ringgit yang tidak mencukupi untuk menampung keluarganya. Macam-macam lagi yang diceritakan teman saya tentang kesusahan Puan S yang suatu ketika dahulu telah membantu suami untuk menyiapkan ijazah kedoktorannya (Puan S mahir dalam bahasa).
Mungkin begitulah manusia, bila sudah senang, mereka akan lupakan segala-galanya yang pernah menjadi sebahagian dari hidupnya.
Apa pun bagi saya, ini adalah sebuah kisah yang benar-benar terjadi dan sangat menyentuh emosi. Sukar untuk saya faham hati perut manusia yang mempunyai pelajaran tinggi namun tiada hati budi. Ke manakah perginya akal fikiran mereka dan di mana pula disorokkan rasa kasih sayang, lalu yang ditinggalkan sekadar kezaliman yang menyeronokkannya? Di mana pula letaknya iman lelaki yang sepatutnya menjadi ketua dan imam famili?
Teman saya telah ditugaskan untuk membantu Puan S dan tentulah teman saya telah lakukan siasatan, bukan sekadar hentam keromo buat cerita. Semoga kisah ini akan menyedarkan kita semua, jangan terlalu percaya kepada mereka yang bertopengkan ilmu dan pangkat yang ada. Kadang-kadang mereka ini adalah serigala yang bertopengkan musang di dalam hutan.
Wallahua'lam.