

Sepanjang hari semalam, saya kesibukan. Kebetulan, badan pun tak berapa sihat. Pening dan dedar... mungkin sebabkan flu. Tapi, tak apalah... bukannya teruk sangat pun. Awal pagi, suami saya telah ke Johor Bahru. Alhamdulillah, mungkin kami memang sesuai tinggal di Kota Seriemas ini, kerana tak jauh dari lapangan terbang (KLIA dan LCCT). Suami saya hampir setiap minggu, kadang-kadang sampai dua tiga kali seminggu terpaksa ke Johor Bahru sebabkan projek yang sedang dijalankan syarikatnya. Kadang-kadang ke tempat lain juga. Siangnya itu, banyak benda yang saya kena buat. Mujur juga anak bongsu saya dah selesai peperiksaan SPMnya, jadilah dia supir saya, ke hulu dan ke hilir. Nasib baik juga dia sudah lama berlesen memandu.
Suami saya pulang pada petangnya, sempat pula menyinggah di kedai gunting rambut setelah pulang dari lapangan terbang dan sebaik sahaja solat Maghrib dia sudah ke KL semula kerana terpaksa menghadiri jamuan malam yang diundang seorang duta luar. Kebetulan pula, saya dan anak-anak termasuk ibu dan adik saya, kami dijemput besan kami untuk makan malam di Putrajaya. Sekali lagi anak bongsu saya yang menjadi pemandunya.
Sesampai di rumah, hari dah agak lewat malam. Saya hanya menanti sumai pulang, dia lambat sikit kerana agak jauh juga untuk ke Ampang. Sekitar 11.30 malam, dia menghubungi saya. Katanya, "I accident lah!"
Tentulah saya terkejut, tetapi alhamdulillah, kerana dia sendiri yang menghubungi saya, tidaklah saya panik sangat. Katanya ada seorang pemandu wanita yang terbabas dan berpusing lalu terus melanggar keretanya. Malam tadi hujan.
"Habis tu, you macam mana?" soal saya, risau juga.
"I okay. Dia pun okay. Cuma keretalah teruk. Kereta I pun tak boleh bergerak ni sebab tayar belakang tersangkut." Tetapi suami saya tak mahu saya datang. Ketika itu dia tidak jauh dari kawasan Tol Sungai Besi, lalu saya pun hubungi anak sulung saya yang kini tinggal di rumahnya di Bangi untuk pergi membantu ayahnya.
Berkali-kalilah saya hubungi suami saya untuk pastikan semuanya okey. Alhamdulillah, dia tiba rumah hampir 3.00 pagi. Dia relaks dan saya pun relaks juga. Katanya dia sudah pun buat laporan polis dan anak sulung kami yang menemaninya.
Sungguhpun malam tadi agak malang buat kami, namun hati ini tetap tenang. Bagi saya dan suami, ini hanya sekadar dugaan kecil yang Tuhan berikan dalam keadaan kami yang sedang kesibukan. Biasalah... kita hanya manusia, dari masa ke masa, dugaan seperti ini akan datang kepada kita untuk menguji.
Pagi ini, selesai solat Subuh, saya turun sebentar untuk menjenguk keadaan kereta suami saya. Memang kena buat major repair... namun alhamdulillah, saya terima dengan baik, begitu juga suami. Tak apalah kalut sikit...