Assalam
Kita selalu guna perkataan 'busybody' untuk menjelaskan tentang sikap manusia yang sibuk menjaga tepi kain orang lain. Betul tak? Hinggakan kadang-kadang perkataan 'busybody' dah jadi macam slanga kita sahaja.
Okeylah, pagi ini saya memang ada mood untuk berbual tentang hal ini walaupun saya agak keletihan sedikit sebab semalam di rumah saya macam kalut sikit. Kebetulan menantu saya tak sihat, jadi terpaksalah tengokkan anak-anak kepada anak saya Irfan sementara menantu saya dibawa untuk berjumpa doktor. Insyaa-Allah dia okey sahaja.
Berbalik kepada perkataan 'busybody' ini, memang kebanyakan manusia mempunyai sikap ini. Kalau tak banayk pun, sedikit mesti ada. Rata-rata manusia suka mahu tahu tentang orang lain apatah lagi kalau orang itu merupakan musuhnya atau orang yang dia tak suka. Selain daripada musuh, banyak orang suka sibukkan hal rakan-rakan mereka sendiri atau kaum kerabat. Dah tentunya rata-rata orang ramai suka nak jaga tepi kain selebriti. Macam seronok kalau tahu satu-satu artis itu mempunyai skandal. Rasa macam tak lengkap kalau ketinggalan!
Kalau kebetulan 'gosip hangat' samapi ke telinga kita tanpa dirancang, kira macam okey lagilah, sebab bukan kita yang pergi cari gosip itu. Namun kebanyakan orang akan menghabiskan masa senggang mereka (kadang-kadang masa kerja yang dibayar) dengan mengintai hal orang di laman-laman sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter, blog dan macam-macam lagi. Kalau dapat sahaja apa-apa berita sensasi, mereka akan edarkan secepat mungkin! Hebat tu, tanpa sedari mungkin mereka sedang membuka aib orang.
Paling malang buat sesiapa jua, kalau memang mempunyai sikap 'menyibuk' dan suka jaga tepi kain orang tanpa tunjukkan 'belang' mereka itu. Dari luaran, konon-konon mereka sangat innocent, tetapi sebenarnya mereka mempunyai tabiat buruk kerana merupakan jenis manusia yang 'menyibuk' hal orang. Duduknya tak senang kalau tak mengintai hal orang, terutamanya hal musuhnya. Kadang-kadang 'si musuh' tak tahu pun yang sebenarnya dia merupakan 'musuh', tetapi 'si penyibuk' tetap suka ambil tahu hal 'si musuh' tadi kerana ada benda yang tersirat.
Di zaman siber, manusia bertambah jadi busybody. Memang mudah sangat-sangat tambah pula untuk mereka yang banyak masa. Ada yang tak ada masa pun, rajin pula curi masa. Janganlah biarkan masa kita menjadi masa yang tidak halal.
Wahai manusia... janganlah jadi insan yang sebegitu rupa, suka ambil tahu hal orang dan suka jaga tepi kain orang. Lebih baiklah kita perbaiki apa-apa yang kurang pada diri sendiri dan cuba bantu orang lain untuk perkemaskan diri di jalan yang diredhai Allah swt. Tak usahlah buang masa mengintai dan menyibuk cuba membaca dan melihat apa-apa yang ada tentang orang lain, mungkin sekadar untuk puaskan hati walaupun orang yang disibukkan itu tak pernah ambil tahu dan peduli pada si tukang sibuk!
Jom jadi manusia yang tidak membuang masa dengan mengintai dan menyibukkan hal orang lain! Jom jadi manusia yang sentiasa ambil berat untuk memperbaiki diri sendiri dan ahli keluarga. Tak usah jadi manusia yang sengaja mahu sakitkan hati sendiri kerana perbuatan itu sangat merugikan.
Wassalam.
Busy body.... sekadar hiasan.