Assalam
Kadang-kadang terasa juga macam nak menulis lagi. Maksud saya menulis manuskrip dengan tujuan untuk diterbitkan. Maklumlah, walaupun saya sibuk dengan hal-hal lain, tetapi jiwa penulis masih ada lagi terselit di celah-celah hati. Kadang-kadang juga, terasa rindu di hati ini kepada patah-patah perkataan yang seringkali menghiasi kertas putih atau di skrin laptop ini. Malah, memang ada manuskrip yang terpengkalai, ditulis sekerat jalan sahaja. Kesian. Malangnya, payah nak terus masuk begitu sahaja kerana sebagai penulis, saya perlukan konsentrasi dan mood untuk terus menulis. Insyaa-Allah , satu hari nanti mungkin mood itu akan datang dengan baik untuk saya berikan fokus pada penulisan. Ramai penyokong dan pembaca saya yang tak henti-henti bertanya tentang buku baru saya. Insyaa-Allah, insyaa-Allah, insyaa-Allah. Dengan izin Allah, mungkin akan ada juga nanti.
Sebenarnya dalam hidup ini, kita sentiasa perlukan cabaran. Kita perlu lakukan sesuatu yang baharu, agar kita akan terus berusaha dan gunakan otak kita dengan baik, tidak jadi buntu. Sekalipun umur mungkin masih muda, tetapi kalau kita biarkan diri tidak berkembang, maka otak kita akan jadi jumud. Tak bergerak dan akan menjadi seorang yang berfikiran negatif. Semua tak boleh!
Kita mahu jadi seorang yang positif dan merasakan mampu untuk lakukan macam-macam termasuk sesuatu yang baru dan mencabar!
Walaupun umur saya dah agak tinggi, namun hati saya tetap bersemangat untuk lakukan sesuatu yang 'menarik' dan tidak biarkan diri saya jadi malap, insyaa-Allah.
Bagi saya, selagi Allah berikan waktu dan usia serta kesihatan yang baik, kita sepatutnya gunakannya dengan cara yang baik juga, tidak biarkan waktu berlalu tanpa melakukan sesuatu yang berguna. Apa jua yang kita lakukan, kita sepatutnya memikirkan tentang dunia dan akhirat juga. Tak payahlah kita hanya fikirkan akhirat tanpa pedulikan dunia, kerana tanpa kebaikan yang kita lakukan di dunia, maka akhirat kita juga menjadi pudar. Allahuakbar!
Adalah seorang ni yang saya jumpa. Umurnya sekitar akhir 40an. Katanya kepada saya, "Sekarang ni saya dah tak kisahkan dunia ni sangat. Apa yang penting, saya nak sediakan bekalan untuk akhirat."
Saya tersenyum mendengar kata-katanya. Mungkin dia tak perasan kot, sebab semasa saya berjumpa dengannya, mukanya bermekap beria-ia, pakai pun beria-ia dan dia sedang berada di rumah saya untuk bersuka ria bersama teman-temannya. Kalau fikirkan akhirat sahaja, pasti dia sedang berada di rumah, mungkin duduk mengaji atau di tikar sembahyang!
Bukan saya nak mengata, tetapi hakikatnya kita adalah manusia dan mempunyai 'limitations', apa pun yang kita katakan, kita tetap manusia yang diberikan hati dan jiwa. Selagi sihat dan ada umur, kita mempunyai keinginan itu dan ini. Yang penting, kita tidak lakukan sesuatu kerana 'nafsu' tetapi lakukan dengan niat untuk dapatkan kebaikan yang menjadi bekalan akhirat. Aamiin. Tidak salah untuk berusaha dan pasang cita-cita walaupun umur sudah meningkat, kerana kita tak tahu umur kita tamat bila. Hanya Allah SWT yang tentukan.
Tenang kan?
