Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Wednesday, February 22, 2012

Mana Lagi Sakit, Cerai Hidup Atau Cerai Mati?

          Sekadar hiasan - dalam kesedihan

Salam semua,

Hari ini dah hari Rabu. Semoga kita teruskan semangat untuk berusaha di dunia ini. Pun begitu, ada juga di antara kita mungkin sedang bergelut dengan kekecewaan kerana perpisahan. Orang kata, kalau putus kasih semasa belum berkahwin, sakitnya tidaklah teruk seperti pasangan yang dah berkahwin. Sebabnya... hah, kita semua tahu sebabnya. Bila dah kahwin tu, kita duduk serumah, sebilik, sekatil, kita kongsi macam-macam... jadi bila berpisah mestilah terkesan, kan?

Mana lagi sakit? Berpisah semasa sama-sama hidup atau berpisah kerana sebuah kematian?
Tidak dinafikan, orang yang terpaksa bercerai kasih dengan suami atau isteri kerana sebuah kematian yang tidak diduga merupakan satu perpisahan yang mungkin susah untuk dikendalikan. Tiba-tiba dia tak ada. Tentulah sakit yang dirasai itu sangat terasa, mungkin payah hendak diluahkan. Dalam keadaan berkasih-sayang, tiba-tiba dia pergi. Mungkin kerana sakit (yang tiba-tiba), mungkin kerana kemalangan... tentulah yang ditinggal itu terpaksa merana, menanggung rindu dan kacau-bilau hidupnya kerana terpaksa mencari jalan untuk lari dari perasaan yang tertekan itu. Ada orang yang berpisah begini, tak boleh mencari pengganti, kerana yang hilang baginya tak mampu dicari ganti.

Biasanya pula, bila bercerai hidup, ada dua cara. Ada yang berpisah dengan cara baik. Mungkin yang ini tak meninggalkan kesan sangat. Masing-masing mungkin dah bosan dan kerana tak ada jalan lain, mencari jalan penyelesaian melalui perceraian. Ada juga yang berpisah dalam keadaan yang menyakitkan. Salah seorang berlaku tidak jujur, curang, main kayu tiga dan macam-macam lagi. Perpisahan yang begini akan meninggalkan kesan yang sangat mendalam dan mungkin juga ada 'dendam' yang akan ikut sekali.

Pun begitu, ada juga yang berpisah kerana kematian sebenarnya merupakan satu hikmah buatnya. Selama ini, dia terpaksa sahaja teruskan kehidupan dengan pasangan walaupun tak suka. Tetapi bila 'mati', lega yang datang kepadanya. Tentulah kematian pasangannya itu tidak terasa sangat. Malah, mungkin kuburnya masih merah, dia sudah bersedia untuk mencari pengganti!

Ada juga perpisahan yang masih hidup juga membawa kesan yang sama. Bila berpisah, dia berasa teramat lega, kerana berkahwin dengan pasangannya sangat membebankan. Macam-macam kelakuan pasangan terpaksa ditanggungnya. Malah, perpisahan mampu membuat dia jadi kuat dan bersedia untuk berdepan dengan dunia yang penuh dengan dugaan.

Apa sekalipun yang terjadi, kita harus reda dengan segala ketentuan Tuhan buat hamba-Nya. Kalau kita reda, sakitnya jadi sikit. Memang tidak mudah, tetapi kita belajarlah untuk permudahkannya. Belajarlah untuk menikmati kehidupan ini dengan cara yang terbaik. Insya-Allah, perceraian membawa hikmah yang kita tak pernah pun menduganya bagi mereka yang terpaksa berdepan dengannya.

Wallahua'lam.