Assalam
Hari ni lambat upadate blog ini. Pagi-pagi lagi kami dah ke Lenggeng, banyak sangat urusannya. Alhamdulillah, ada perkara yang merisaukan sudah pun dapat diselesaikan. Syukur dengan bantuan Allah swt. Kita usaha dan berdoa, Allah yang makbulkan.
Okeylah... sementara saya dapat relaks seketika, sajalah nak berbual-bual kosong. Sekarang ini orang ramai memang suka bercerita tentang politik. Saya memang malas nak dengar. Bosan! Kalau setakat mampu untuk cakap sahaja, memang tak gunalah. Tak ada apa-apa yang berubah!
Baik saya bercerita tentang benda lain yang mungkin terjadi pada kita. Ini kisah tentang apa yang kita suka dan minat. Kadang-kadang, tak semestinya apa yang kita suka orang lain pun suka. Malah, ada ketika apa yang kita nampak cantik, orang lain tak nampak begitu pun! Mata orang lain, lain pandangannya, walaupun mungkin rambut sama warna.
Kalau tiba-tiba sahaja kita berkahwin dengan seseorang tanpa mengenali latar dirinya atau tidak ada rujukan, kadang-kadang kita mungkin terasa yang diri kita terperangkap. Kalau dulu-dulu (malah sekarang pun masih ada), orang tua-tua suka mengaturkan perkahwinan anak-anak mereka. Biasanya calon dipilih mengikut latar belakangnya atau 'kufu' nya, biar sama padan. Ibu dan ayah akan pilih yang terbaik untuk anak-anak mereka kerana biasanya juga calon akan ditapis baik-baik dan ada 'reference'. Mereka tak akan redah sahaja dan kerana itulah biasanya juga perkahwinan seperti itu menjadi dengan baiknya sekalipun anak-anak atau pasangan tak begitu mengenali antara satu dengan yang lain.
Namun malangnya hari ini, banyak kes yang menjadi calon 'rekomen' adalah setakat pilihan kawan-kawan yang tak pasti latar belakanganya. "Kau ambiklah awaek ni... okey dia." Main okey-okey aje. Bila dah kahwin, barulah tersedar yang diri dah terperangkap. Rupa-rupanya si perempuan punyai niat lain, atau si lelaki ada niat tertentu sahaja. Baru kahwin tiga bulan, kepala mula rasa pusing. Buat-buat suka tetapi sebenarnya tak suka.
Barulah sedar apa yang kita suka, tak sama dengan dia. Apa yang dia suka, kita memang tak suka. Bila berada dalam keadaan begini, kita akan menantikan peluang untuk bebaskan diri. Kita buat-buat macam okey, tapi bila sampai masa, kita akan angkat kaki dan bawa diri! Maka terloponglah yang ditinggalkan itu!
Jadi... bila kita nak pilih pasangan, biarlah kita tahu latar belakangnya. Sekalipun mungkin tak kenal sangat dengan orangnya, kita pastikan ibu bapanya siapa. Kita tengok adik beradiknya. Kita tengok amalan agamanya. Jangan main kata 'okey' sahaja kerana akhirnya nanti kita akan menyesal! Nauzubillah min zalik.
Begitulah kisah seorang teman. Katanya dia menyesal berkahwin dengan seorang 'wanita' ini, kerana sangkanya wanita itu seorang yang baik hati, rupa-rupanya ada udang di sebalik batu. Dia menyesal kerana percaya dengan cakap seorang kawan, konon-konon wanita itu seorang wanita yang baik budi, rupa-rupanya cakap-cakapnya sangat 'kosong'!
Dalam agama kita, itulah yang dituntut, agar kita pastikan dengan pilihan yang kita jadikan pasangan hidup, tidak main redah sahaja, kerana di zaman ini, sangat mudah diterpedaya dan dikelontong manusia.
Wassalam.
Bila dah tak suka