Assalam
Betulkah orang kata kita akan tahu kita benar-benar sayangkan seseorang itu ataupun tidak bila kita kehilangannya?
Ada sebuah cerita yang benar-benar terjadi pada seorang teman saya. Ketika dia sakit, pasangannya buat indah tak indah sahaja. Teman saya terpaksa ke hospital seorang diri untuk mendapatkan rawatan yang 'serius'. Katanya, pasangannya malas nak ikut sekali untuk menemannya. Bila tahu tentang hal itu, saya berasa sedih teramat sangat. Teman saya masih muda dan pasangannya tak ambil berat tentangnya. Akhirnya teman sayaitu meninggal dunia. Ketika dia tiada lagi, barulah pasangannya terasa akan kehilangannya itu. Barulah dia sibuk menangis dan terasa sedih. Tiba-tiba dia sedar akan kehilangan pasangannya itu.
Setahu saya, pasangan rakan saya yang sudah pergi buat selama-lamanya itu, tak mencari penggantinya pun. Sudah lama teman saya pergi dan pasangannya masih hidup solo.
Pelik, kan? Bila ada, dia tidak menghargainya. Bila sudah tiada, barulah dia sedar akan kehilangannya.
Saya juga teringat seorang lagi teman saya. Ketika itu, saya berada di luar negara. Saya diberitahu kawan-kawan bahawa teman saya ditimpa musibah (dia ada barah). Malangnya, bila ditimpa musibah begitu, teman saya terus putus asa dan tidak mahu berubat. Dia beritahu rakan-rakan yang rapat, dia rela untuk pergi, walaupun anak-anaknya masih kecil. Dia kata dia tidak mahu melalui kesakitan dalam proses perubatan. Dengan pantas sahaja teman saya itu kembali ke rahmatullah. Saya tak sempat pun untuk berjumpa dengannya.
Semoga Allah SWT cucuri rahmati ke atas roh teman-teman saya yang sudah pergi ini. Saya sentiasa teringat kepada mereka setiap kali saya berdoa setelah selesai solat. Semoga roh mereka aman di alam barzakh. Yang pasti, saya merindui teman-teman yang suatu ketika dahulu pernah buat saya gelak dan ketawa.
Al Fatihah.
Semoga kita yang masih hidup ini mampu untuk menghargai setiap masa anugerah Tuhan buat kita, amin.
Wassalam.