Dalam kesibukan berpesta buku tahun ini, pihak penerbitan KarnaDya menerima banyak liputan media; dari pihak surat khabar, radio dan televisyen. Saya sendiri telah ditemubual oleh pelbagai pihak dan berbagai-bagai soalan telah diajukan kepada saya. Di antaranya ialah tentang penulisan, pembacaan, perhubungan saya dengan pembaca,mesej yang saya sampaikan dalam buku dan ada juga soalan tentang sama ada kami juga ada menulis apa-apa tentang politik! Memang menarik dan agak mencabarkan juga apabila saya disoal tanpa tahu terlebih dahulu apa yang mahu mereka soalkan. Apa-apa pun, saya berterima kasih kepada semua. Tanpa pihak media, memang payah kita hendak kenalkan sebuah syarikat penerbitan kecil seperti KarnaDya ini. Alhamdulillah, bantuan mereka membantu kami.
Ada juga yang menyoal kami tentang buku cinta. Kata mereka, "Ada tak pihak lain yang mengkritik kamu kerana menerbit juga buku-buku cinta?"
Kami menjawab, "Memang ada. Tapi kami tak kisah. Kebanyakan yang mengkritik bukannya baca pun buku kami. Mereka tak tahu pun apa yang kami tulis dalam buku. Lagipun, apa salahnya kalau ada orang suka baca buku cinta? Apa salahnya kalau kita dapat tenangkan hati pembaca? Membaca adalah lebih baik daripada hiburan-hiburan yang ada di luar sana. Setidak-tidaknya hati orang yang membaca tenteram dan minda mereka bergerak aktif. Tak salah fikirkan soal-soal cinta. Cinta itu luas, bukan sekadar cinta antara lelaki dan perempuan sahaja. Orang yang fikirkan tentang 'cinta' lebih baik daripada mereka yang pura-pura tidak suka."
Fikir-fikirkanlah.