Salam
Tahun lepas, masa musim percutian Tahun Baru Cina, kami ke Pulau Pinang kerana majlis sambut menantu anak perempuan kami. Sekarang ni, kami dah pun ada cucu. Tahun ini pula, kami sibuk juga masa percutian Tahun Baru Cina, kerana anak sepupu kami berkahwin. Anak sepupu kami lelaki dan berkahwin dengan orang Melaka. Jadi, ke Melakalah kami pergi. Semalam kami berada di Melaka dan masa balik tu, apa lagi, tersangkut dalam jam yang panjang. Saya keletihan bila sampai di rumah. Hari ini, majlis sambut menantu pula, di rumah sepupu saya yang terletak di Bandar Baru Salak Tinggi. Mujurlah dekat dengan rumah kami.
Apa pun, pagi ini saya ingin bercakap tentang keadilan. Tak kiralah sama ada hal negara, hal keluarga, hal suami isteri... apa-apa sahaja. Apa sahaja yang kita lakukan, pastikan kita berlaku adil. Saya selalu mengingatkan diri saya sendiri supaya jangan terlupa.
Kalau anda seorang suami dan mempunyai lebih dari seorang isteri, pastikan anda sentiasa amalkan untuk berlaku adil kepada semua isteri-isteri anda. Jangan ambil ringan. Begitu juga kepada anak-anak. Jangan pilih kasih, hanya sayang yang lelaki atau perempuan, atau yang cantik, atau yang berduit sahaja. Anak kita semuanya serupa walaupun tak sama.
Begitu juga kalau kita merupakan seorang anak. Berlaku adillah juga kepada ibu bapa kita, terutama kalau ibu kita sudah tidak bersuami lagi. Berilah peluang kepada ibu kita untuk mendapatkan kasih sayang kita. Jangan kita terlalu pentingkan keluarga kita (anak dan isteri) hinggakan ibu kita terabai.
Okeylah... saya sekadar mengingatkan sahaja agar kita semua jangan terlupa.
PS: Ini gambar Sharifah Yusufia, cucu saya yang pertama. Sudah enam bulan umurnya dan semakin 'interesting' perangainya.