Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Thursday, January 15, 2015

Nak Sihat Atau Nak Kaya?

Assalam

Kesihatan yang bagus merupakan tajuk yang menjadi kegemaran manusia di dunia ini selain daripada harta dan wang ringgit. Semua orang nak sihat dan nak nampak cantik. Kalau boleh bukan sekadar sihat tetapi hidup lama dan bila dah tua pun masih nampak okey. Semua orang mahu yang itu, tetapi memang ramai lagi suka kalau dapat hidup kaya-raya. Tak payah pening-pening kepala.

Kerana benda-benda macam inilah, manusia sanggup buat apa sahaja. Ada yang sanggup menipu, ada yang sanggup makan rasuah, ada yang jadi kaki judi, ada yang jadi pelacur dan ada juga,  sekalipun terpilih untuk lebih berilmu dan jadi orang warak, masih tergila-gilakan harta dunia. Berebut nak beri ceramah sana sini, janji dapat bayaran yang tinggi, berebut nak masuk TV agar cepat popular nanti. Nauzubillah min zalik. Masing-masing sukar mahukan rezeki yang suci murni, semuanya kerana berasakan bahawa harta dunia ini lebih tinggi nilainya daripada mengutip pahala untuk akhirat nanti.

Pun begitu, masing-masing tetap nak sihat. Paling tak suka kalau sakit. Tak suka juga kalau ditimpa musibah. Kalau boleh nak saja hidup dalam rumah besar yang ada segala-galanya. Atau nak duduk kat kondo mewah yang ada sekuriti supaya harta terkawal. Kalau boleh nak punyai kereta besar atau mewah. Kalau dapat free lagilah bagus, tak payah susah-susah.

Banyak orang tak suka kerja susah-susah. Nak buat yang senang-senang tapi yang boleh dapat duit banyak. Banyak orang gemar buat kerja yang ringan-ringan sahaja tapi dapat bayaran yang besar. Sebab itulah kita di Malaysia ni susah nak dapat orang yang nak buat kerja buruh sekalipun gaji buruh sekarang ini dah okey dah. Orang tak mahu buat kerja berat, biar tak ada kerja pun tak apa. Kalau boleh nak duduk dalam bilik aircond dua puluh empat jam, tak kisah pun kalau keadaan itu sebenarnya mampu merosakkan kesihatan kita.

Memang ramai juga di antara kita ini yang suka juga memberi. Ada tu memang giat menolong sana sini. Tetapi malangnya, ramai juga yang gemar pukul canang konon-konon dialah manusia yang terbaik kerana murah hati dan tinggi budi pekerti. Tulis di Facebook, bagi tahu di group whatsapp, letak gambar di Instagram dan macam-macam lagi agar semua orang tahu tentang perilakunya yang baik itu. Dari satu sudut, pastinya ada kebaikan juga kalau perkara baik itu disampaikan pada orang lain agar lebih ramai lagi yang akan membantu. Tetapi kalau sekadar nak menunjuk sahaja, baiklah tak usah. Buat rugi sahaja kerana perbuatan itu serupa dengan tak ikhlas.

Dalam pada itu, memang eloklah kalau kita sama-sama jaga kesihatan. Tak susah pun, janji kawal apa yang kita makan dan rajinlah beriadah agar diri kita sentiasa segar. Dulu-dulu saya hairan juga kenapa Nabi junjungan kita Muhammad SAW dikatakan memakan buah-buahan dahulu sebelum makan main meal. Ini adalah kerana kita biasa makan buah sebagai pencuci mulut kerana kita diberitahu bahawa pencuci mulut dimakan selepas makan main meal. Rupa-rupanya memang banyak khasiatnya kalau kita makan buah-buahan terlebih dahulu. Malah, dah bertahun-tahun saya amalkan begini kerana kita akan berasa lebih sihat dan segar kalau rajin makan buah-buahan sebelum makan main meal. In syaa Allah. Sebenarnya kalau kita nak jaga kesihatan, adalah lebih baik kalau kita renungkan tabiat Nabi junjungan kita Muhammad SAW. Lihatlah apa yang tertera di al Quran, kerana Allah SWT sudah maklumkan kepada kita cara terbaik untuk jaga kesihatan. Namun semuanya adalah urusan-Nya kalau kita ditimpa sakit.

Apa-apa pun, kalau ada duit setinggi gunung, harta sepenuh kapal pun, tanpa kesihatan yang baik, tiada maknanya harta dan duit itu. Dalam pada itu, sekalipun mahu berusaha untuk dapatkan rezeki yang banyak, biarlah kita buat dengan baik, tanpa terbelit dengan tingkah laku yang bertentangan dengan Islam. Nak buat apa pun, buatlah kerana Allah. Rezeki kita di tangan Tuhan dan sebaik-baiknya doa kita kepada Allah SWT agar rezeki yang diberi tidak putus buat kita dan janganlah kita terbelit dengan hutang di keliling pinggang.

Kita nak sihat, kita juga nak rezeki yang halal yang tidak terputus. Kedua-duanya mampu menolong kita untuk beramal dan beribadah dengan fokus yang baik. Semoga kita jadi orang-orang Muslim dan Muslimah yang soleh dan solehah. Aamiin.

Wassalam