Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Friday, April 09, 2010

Asam Garam dan Macam-Macam Ragam



Baru-baru ini, saya bersembang-sembang dengan seorang kenalan. Katanya kepada saya, "Kak Aina... saya dan semua adik-beradik perempuan saya, kami tak kahwin-kahwin lagi. Kakak saya dah masuk 45, saya sendiri dah dekat 40. Adik-adik perempuan saya, seorang dah 37 dan seorang lagi dah 35."

"Kenapa tak kahwin? Saja suka tak nak kahwin ke?" soal saya, hairanlah juga sebab kenalan saya itu memang cantik orangnya.Adik beradiknya juga cantik-cantik.

"Entahlah, Kak Aina. Adik beradik lelaki kami, ada tiga orang. Semua dah kahwin."

Bertambahlah hairan saya. Kenapa tak kahwin agaknya?

"Kak Aina... masa kami sekolah-sekolah dulu, mak ayah kami tak bagi kami yang perempuan ni, berkawan dengan sesiapa pun. Kami tak boleh keluar rumah bila dah habis waktu sekolah. Tuisyen pun kat rumah aje. Mengaji al Quran pun kat rumah. Kami disuruh mak ayah kami supaya belajar rajin-rajin supaya bila dah besar nanti menjadi. Alhamdulillah, kami yang perempuan ni semuanya menjadi. Kakak saya... dia dah jadi ketua jabatan (Kakaknya bekerja di sebuah badan kerajaan). Saya sendiri... dah jadi pengurus bank. Adik saya, seorang dah jadi doktor dan seorang lagi pegawai tinggi dalam kementerian pertahanan."

"Bagus tu." Kata saya.

"Betul bagus, Kak Aina. Tapi... kami tak kahwin-kahwin." Katanya lagi.

"Cuba ceritakan, kenapa?" saya menyoal lagi, tak puas hati.

"Memang kami ni jenis tak pandai berkawan dengan orang sangat. Jadi... tak pandai nak mencari."

"Takkan tak ada orang yang berkenan kot?"

"Ada juga, Kak Aina. Tapi... kalau ada yang masuk pinang kami, mak ayah kami tolak. Abang-abang dengan adik lelaki saya pun tak suka kalau tahu ada orang berkenan dengan kami."

"Hisy, kenapa macam tu?"

"Entahlah, Kak Aina. Mak ayah kami tak suka kami yang perempuan ni kahwin. Dia orang takut kalau kami tak dapat bantu mak ayah lagi. Dia orang takut kalau suami kami mengawal pendapatan kami nanti. Sekarang ini, memang kami yang perempuan yang tanggung ibu bapa kami. Yang lelaki lepas tangan."

"Laa... tak adilnya." Kata saya.

"Nak buat macam mana, Kak Aina? Kami dah biasa macam ni. Kami pun tak pandai melawan, sebab mak ayah ajar dari kecil jangan sesekali melawan cakap mereka. Jadi... kami terima sajalah. Lagipun, adik beradik lelaki kami lebih selesa kalau kami tak kahwin. Mereka lebih senang. Mereka kata, memang tanggungjawab kami yang perempuan untuk jaga mak ayah selagi ada umur mereka."

Saya tidak terkata. Nak kata apa lagi? Mungkin inilah sebahagian dari asam garam hidup di dunia ini. Ada bermacam-macam ibu bapa, yang sayang anak, yang benci anak dan yang mempergunakan anak. Wallahua'lam.


*Malam tadi, saya dapat berita daripada teman lama (masa di UM dulu). Dia bercerita yang dia baru sahaja dapat berita yang mengatakan seorang teman kami semasa di kampus dulu, kini sedang sakit tenat. Dia mengidap barah payudara. Teman yang sakit ini ialah seorang doktor perubatan. Sedih saya mendengarnya kerana masih terbayang-bayang lagi wajahnya yang biasanya sangat ceria semasa di kampus dulu. Kami memanggil dia 'Rohani cute', kerana dia sangat comel. Orangnya kecil, mukanya comel dan kulitnya putih melepak. Dia sangat ramah.

Insya-Allah, saya akan cuba melawatnya nanti.